Monday, 28 May 2012

Klinik 1Malaysia rawat 3.4 juta pesakit


 – Sejak dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Januari tahun lalu, 80 Klinik 1Malaysia di seluruh negara telah merawat seramai 3,475,151 pesakit sehingga 17 April lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, jumlah itu termasuk 524,000 pesakit yang menerima rawatan di 27 klinik tersebut yang baru beroperasi tahun ini.

Menurutnya, sambutan menggalakkan itu mendorong kerajaan untuk menambah 25 lagi Klinik 1Malaysia di kawasan bandar menjelang 2012 yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi serta didiami golongan kurang berkemampuan atau berpendapatan rendah.

“Klinik 1Malaysia diwujudkan bertujuan memudahkan masyarakat mendapat akses kesihatan khususnya di kawasan bandar. Pesakit yang mengunjungi Klinik 1Malaysia tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan rawatan penyakit ringan.

“Melihat kepada jumlah kedatangan pesakit, adalah relevan jumlah klinik itu ditambah,” katanya 

Menurutnya, ketika ini Johor mempunyai jumlah klinik terbanyak iaitu sembilan buah diikuti Selangor (lapan), Perak, Pulau Pinang dan Sarawak (tujuh); Kuala Lumpur dan Kelantan (enam); Kedah, Negeri Sembilan, Pahang dan Sabah (lima); Melaka dan Terengganu (empat) serta masing-masing satu di Labuan dan Perlis.


Dua pegawai angkat sumpah YDP Majlis Daerah yang baru


SEREMBAN 25 Mei - Dua pegawai kanan kerajaan negeri ini mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah yang baru di hadapan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di Wisma Negeri, di sini baru-baru ini.

Mereka ialah Pegawai Daerah Jelebu, Zulkifli Baharan, 51, yang mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah serta Timbalan Pentadbir Tanah, Pejabat Daerah dan Tanah Rembau, Zaidi Johari, 42, sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Jelebu yang baru.

Majlis angkat sumpah itu disaksikan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan dan Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Ishak Sahari.

Zulkifli yang berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Jelebu selama hampir tiga tahun menggantikan Pegawai Daerah Kuala Pilah, Ibrahim Hassan yang kini menjawat jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan) di Wisma Negeri.

''Saya bersyukur dengan pelantikan ini dan akan berkhidmat sebaiknya. Memang kita ketahui Kuala Pilah ini mempunyai kawasan yang luas, ada lima Dewan Undangan Negeri (DUN), satu Parlimen dan sebanyak 125 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)," katanya.

Katanya, kepercayaan yang diberikan oleh Menteri Besar akan dilaksanakan penuh amanah untuk sama-sama membangunkan negeri ini.

Dalam pada itu, Zaidi berkata, amanah yang diberikan ini akan dilaksanakan dengan tindakan yang baik demi kepentingan rakyat.

''Terima kasih kepada Menteri Besar dan kepercayaan ini akan diterjemahkan dalam tindakan untuk membangunkan kawasan dan rakyat keseluruhannya," ujarnya.

Pelantikan kedua-dua pegawai kanan ini berkuat kuasa 16 April lalu.