Tuesday, 26 June 2012

Elak Jadi Mangsa Manipulasi,Rebut Peluang DiSedia Risda



Elak Jadi Mangsa Manipulasi



Rebut Peluang DiSedia Risda

Pengunjung MAHA NS 2012 teruja



 MOHAMAD Hasan bersalaman dengan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat ketika menerima buah-buahan dan sayur-sayuran menggunakan motosikal tiga roda selepas merasmikan MAHA NS 2012 di bekas tapak Kem Paroi, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.


 PAROI, 25 Jun – Kerajaan Negeri Sembilan masih belum berpuashati dengan penghasilan pengeluaran makanan di negeri ini kerana masih belum mencapai tahap pengeluaran makanan sara diri.
Dijangka pada tahun 2015, negeri ini akan menghasilkan makanan utama iaitu beras sebanyak 40 peratus dan sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan makanan dari negeri lain.
Demikian kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan pada sidang media selepas merasmikan MAHA Negeri Sembilan 2012 sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sembilan (HPPNNS) serta sambutan minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Sembilan, Dato’ Haji Yunus Bin Rahmat, Speaker Undangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Bin Mansor, Ketua Pengarah Pertanian Malaysia, Tuan Haji Mustafa Kamal Bin Baharuddin dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia, Dato’ Zainal Bin Dahlan.

Menurut Menteri Besar, pelbagai usaha yang dilakukan bagi meningkatkan kadar penghasilan bahan makanan di negeri ini seperti memulihkan sawah-sawah terbiar bagi penghasilan padi, ladang rakyat untuk penanaman sayur, manakala ternakan lembu,kambing, dan tenusu diuruskan oleh veterinar.

Jelas beliau, MAHA NS ini diadakan bagi menghargai dan memberi pengiktirafan kepada para peladang, penternak dan nelayan kerana berjaya meningkatkan taraf ekonomi dalam negara.

“Ini merupakan satu platform untuk menjadi pertemuan di antara pembeli dan pengeluar.  Pengusaha juga berpeluang untuk memperkenalkan produk-produk yang dihasilkan manakala pembeli pula dapat melihat pelbagai keluaran produk jenis tempatan,” kata beliau.
Majlis yang dianjurkan oleh kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ini telah diadakan di Bekas Tapak Kem Paroi, Seremban bermula hari ini sehingga 1 Julai ini.

Manakala, pihak penaja bagi MAHA NS 2012 adalah FELDA, SIRIM dan TM dan sebanyak 365 buah lot kedai yang menjual produk penghasilan masing-masing.

Dalam majlis tersebut, Menteri Besar telah menyampaikan hadiah pertandingan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sembilan (HPPNNS) 2012 dan Bantuan Azam Niaga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau turut berkesempatan melawat ke gerai-gerai pameran peladang, penternak, pertanian, perusahaan dan veterinar.








Thursday, 21 June 2012

Kutipan Hasil Tanah Negeri Sembilan Terus meningkat




SEREMBAN, 20 Jun – Sidang Media Mesyuarat EXCO mingguan Kerajaan Negeri Sembilan hari ini telah membentangkan laporan kutipan hasil tanah sehingga 15 Jun 2012 seperti jadual di bawah.
BIL
PERKARA
MEI 2011 (RM)
MEI 2012 (RM)
1
CUKAI TANAH
Cukai Semasa
Cukai Tunggakan
Cukai Tahun Pertama
58,381,491.63
4,535,800.31
644,039.60
97,371,497.74
5,164,534.16
970,972.60
Jumlah Kecil
63,561,331.54
103,507,004.50
2
PREMIUM
Premium Tukar Syarat
Premium Pemberimilikan
2,686,715.17
2,300,377.10
19,482,169.60
11,123,003.50
Jumlah Kecil
4,987,092.27
30,605,173.10
3
BAHAN BATUAN
5,571,953.01
8,165,535.80
4
ROYALTI MINERAL
0.00
683,964.00
5
HASIL TANAH LAIN
Hasil Pemilikan Sementara
Bayaran Ikhtisas Yang Lain
Bayaran Perkhidmatan Yang Lain
Jualan Pelan
Jualan Bahan Bercetak
Notis & Denda Lewat Bayar Cukai
Denda dan hukuman yang lain
445,941,36
4,212,975.05
89,371.00
16,487.00
693,479.00
887,319.31
88,507.02
347,952.00
7,295,746.58
88,708.00
46,727.00
1,245,057.00
737,226.95
86,462.00
Jumlah Kecil
6,434,079.74
9,847,879.53
6
BAYARAN TAHUNAN YANG DI SATUKAN
  1. Rancangan Tanah Pinggir
447,561.67
112,304.86
JUMLAH KESELURUHAN
81,002,018.23
152,921,861.79

Menurut Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, peningkatan pendapatan melalui pungutan cukai menunjukkan bahawa ekonomi Negeri Sembilan berada dalam keadaan baik dan begitu cemerlang sekali.

Ini juga berikutan daripada hasil peningkatan industri atau pelaburan yang masuk di negeri ini yang menyumbang kepada peningkatan GTP iaitu sebanyak 5.9%, tahun lepas.
Beliau juga menyarankan kepada pentadbir tanah mengiatkan lagi program untuk mengalakkan membayar cukai tanah.

 Walaupun pembayaran cukai tahunan di tutup setiap 31 Mei, namun Kerajaan Negeri memberi kelonggaran kepada pembayar cukai melunaskan pembayaran sehingga 31 Oktober 2012. Sekiranya masih tidak melunaskan pembayaran cukai, maka borang 6A sebagai peringatan dan selepas itu borang 8A pula akan dikeluarkan sebelum tanah tersebut diurus tadbir oleh Pejabat Tanah.


Wednesday, 20 June 2012

PUSAT PENJAJA AMPANGAN DINAIK TARAF,3 DEWAN BARU SENAWANG DAN SIKAMAT




PUSAT PENJAJA AMPANGAN DINAIK TARAF,3 DEWAN BARU SENAWANG DAN SIKAMAT.



ILMU LONJAKAN TRANSFORMASI




ILMU LONJAKAN TRANSFORMASI.

Jambatan Kuala Klawang – Titi bakal siap Mac 2013



TITI, 19 Jun – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM6.3 juta bagi membiayai Projek Mengantikan Jambatan No. N32/08/00, Jalan Kuala Klawang – Pekan Titi (N32) Daerah Jelebu, Negeri Sembilan, di mana Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan sebagai agensi dan pemantau projek bagi mengantikan jambatan lama yang wujud sejak dari tahun 1020-an.
Jambatan ini terletak di Km 8 Jalan Kuala Klawang – Titi dengan 50 meter panjang yang menggunakan kaedah pembinaan Duracreate, high strength concrete.
Majlis Pelancaran Projek Menggantikan Jambatan Kuala Klawang – Pekan Titi (N32) di sempurnakan oleh Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan, petang tadi.

Kontaraktor yang dilantik melalui tender terbuka, Teratak Aeden (JK) Development Sdn. Bhd. telah dipertanggungjawabkan menyiapkan projek ini dalam tempoh 12 bulan yang bermula 15 Mac 2012 sehingga 15 Mac 2013.
Turut hadir, En Zaidi Johari, Pegawai Daerah Jelebu, Dato’ Zainal Abidin Ahmad, ADUN Kawasan Sungai Lui, Dato’ Siaw Chan Pen, ADUN Kawasan Chennah, Dato’ Razak Mansor, Yang diPertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Yunus Rahmat, ADUN Klawang dan Dato’ Ir. Roslan Md Taha.

Menurut Menteri Besar di dalam ucapannya, Kerajaan Negeri sentiasa memastikan kemudahan asas masyarakat menjadi keutamaan.
Sejak dari tahun 1920-an, jambatan Kuala Klawang – Titi merupakan  laluan penting antara Kuala Klawang, Titi dan Hulu Langat. Ianya menjadi semakin penting kepada masyarakat yang menggunakan jalan ini setiap hari untuk bekerja dan melakukan aktiviti harian.

Malah ianya turut dipengaruhi oleh kawasan sekitar yang kian pesat membangun.
Melalui rekod JKR pula, terdapat sebanyak 287 buah jambatan di negeri ini merangkumi 152 buah jambatan di Jalan Persekutuan dan 135 buah jambatan di jalan negeri.

Katanya lagi, “hasil pemeriksaan yang dijalankan, pihak JKR juga telah mengenalpasti 4 buah jambatan yang perlu diganti iaitu dua di Jalan Persekutuan, di Johol, Jalan Tampin – Kuala Pilah dan di Site A Port Dickson sementara dua buah lagi di Jalan Negeri iaitu di Jalan Rantau – Siliau dan Projek Kuala Klawang – Titi yang dilancarkan hari ini.


Setelah jambatan ini siap kelak, ianya akan memberi keselesaan dan kemudahan yang amat penting penduduk sekitar dan pengguna yang melalui jalan ini.

Friday, 15 June 2012

Kerajaan kecewa bukit diteroka


SEREMBAN 13 Jun - Kerajaan negeri kesal dan dukacita apabila melihat bukit di jajaran Gunung Angsi, dekat Senawang diteroka sebuah syarikat sejak beberapa bulan lalu sehingga mencacatkan keindahan alam sekitar.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tanah seluas 404.685 hektar itu bukan tanah milik kerajaan, tetapi adalah tanah milik syarikat atau koperasi dari Selangor yang dibeli daripada lelongan awam yang dibuat pihak Pengurusan Danaharta Nasional Berhad, beberapa tahun lalu.

''Kawasan itu sebenarnya yang telah diberi milik lama dulu sebelum saya menjadi Menteri Besar lagi dan telah bertukar milik banyak kali sehinggalah akhirnya dibuat lelongan awam oleh Danaharta dan diberikan kepada satu syarikat atau koperasi dari Selangor.

''Kita telah cuba dengan serius beberapa kali untuk tidak membenarkan mereka mengusahakan tanah itu untuk penanaman semula kelapa sawit, tetapi tidak berhasil," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Kata Mohamad, apabila tanah itu sudah dibeli, pengusahanya mahu meneroka hutan di jajaran tersebut kerana mahu mengeluarkan hasil kayuan dan pada masa yang sama menanam kelapa sawit.

''Tuduhan mengatakan kerajaan mengeluarkan hasil balak di tanah kerajaan adalah tidak benar kerana itu adalah tanah milik persendirian," tegasnya.

Namun, kata beliau, disebabkan ada usaha mengeluarkan hasil kayu di kawasan persendirian itu maka kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan negeri mengeluarkan arahan supaya pengusaha ini memohon permit, di mana hasil kayu berkenaan boleh dipantau dan royalti dipulangkan kepada kerajaan negeri.

''Kita sedar, mereka tetap akan menebang pokok kerana tanah itu milik mereka. Jadi daripada mereka melakukan sewenang-wenangnya, mengeluarkan secara senyap, membuat pembakaran terbuka atau melonggokkan kayu di merata tempat, kita terpaksa mengeluarkan permit untuk memantau perkembangan ini," tegasnya.

Mohamad kesal dengan tuduhan kerajaan tidak prihatin isu alam sekitar dan menjelaskan, ia adalah tidak benar.
''Kerajaan tidak pernah membuka kawasan untuk membenarkan hasil kayuan dikeluarkan sesuka hati, tanpa menghiraukan alam sekitar.

''Jika dibuat sekali pun, kita akan mengenakan syarat yang ketat. Begitu juga tanah yang dipohon Kerajaan Persekutuan untuk dibangunkan, di mana kita kenakan syarat tempoh berbuat demikian selama tiga tahun dan jika gagal, ia akan diambil semula," tegasnya.

Dalam kes di kawasan jajaran Gunung Angsi ini, apabila fail dibuka, pihaknya mendapati tiada syarat yang kukuh untuk membolehkan kuat kuasa berkaitannya dibuat, namun, kerajaan meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri memantau perkembangan itu khususnya aspek alam sekitar agar tidak menjejaskan kawasan sekitarnya.


Sumber-UtusanMalaysia-

Thursday, 14 June 2012

Jambatan terpanjang pertama UHPdC bakal dibina


RANTAU, 24 Mei – Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan berkata, projek menggantikan jambatan Jalan Rantau – Siliau (N6) adalah salah satu usaha untuk mencegah masalah banjir yang berlaku awal tahun lalu dan ianya juga bertujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan di kawasan tersebut.
Menurut beliau, projek ini akan dilaksanakan bermula 1 Jun ini dengan kos pembinaan berjumlah RM6, 498, 399.90 dan projek jambatan ini akan siap dalam tempoh 12 bulan.
“Jambatan ini akan dibina sepanjang 51 meter dan direkabentuk tanpa tiang dengan ketinggian setiap rasuk 1.75 meter menggunakan konkrit berkeluli fiber berprestasi tinggi (UHPdC),” jelas beliau kepada sidang media selepas merasmikan pelancaran Projek Menggantikan Jambatan Jalan Rantau – Siliau (N6) daerah Seremban di Tapak Projek Jalan Rantau – Siliau.
Beliau berharap dengan wujudnya jambatan ini akan memberi keselesaan kepada penduduk dan pengguna jalanraya utama ini yang menghubungkan Rantau ke Port Dickson dan Linggi.

Katanya lagi, kerajaan sedang berusaha untuk membina jambatan baru bagi menggantikan jambatan lama di Negeri Sembilan kerana usia jambatan lama ini hampir mencecah 60 tahun dan disebabkan oleh penggunaan kenderaan yang besar mengakibatkan beban tidak mampu ditanggung oleh jambatan.
“Usaha ini akan kita lakukan mengikut ciri-ciri utama dari kerajaan negeri kepada pihak JKR iaitu ketahanan jambatan, kesesuaiannya dan untuk mengurangkan kadar kemalangan bagi menjamin keselamatan masyarakat,” ujar beliau.

Sementara itu, menurut Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan, Dato’ Ir. Dr. Roslan Bin Md. Taha, masalah yang dihadapi di Jambatan Rantau-Linggi ini adalah disebabkan oleh masalah struktur di mana salah satu tiang telah patah pada tahun 2009 dan ianya telah dibaiki.
Namun, sebagai langkah jangka masa panjang, JKR  telah mencadangkan kepada kerajaan Negeri Sembilan untuk menggantikan jambatan tersebut.
Dengan terbinanya jambatan baru ini akan mencatat satu lagi sejarah di mana ianya akan menjadi jambatan terpanjang pertama UHPdC satu rentang dibina menggunakan konkrit berprestasi tinggi.
Dalam majlis tersebut, Pengarah JKR Negeri Sembilan turut memberi penerangan kepada Menteri Besar mengenai pelan keseluruhan projek tersebut.
Turut hadir, EXCO Bertindak Infrastruktur, Air, Tenaga dan Telekomunikasi, Dato’ Haji Ismail Bin Lasim dan Pegawai Daerah Seremban, En. Hasnul Bin Mohamed.


Universiti As Sofa N9 Laksana Wasattiyyah


SEREMBAN 5 April - Kejayaan Universiti As-Sofa (UAS) yang akan dimasyhurkan penubuhannya di sini(DI Seremban Sentral),  akan dipacu dengan pelaksanaan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan oleh universiti swasta terbaru itu.

Pengerusi Majlis Universiti yang juga Pengasas Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki berkata, konsep itu juga bertepatan dengan fahaman ahli sunah yang menjadi pegangan universiti tersebut.

Beliau berkata, konsep wasatiyyah menjadi pilihan kerana sifat dan sikap sederhana adalah tonggak kejayaan serta mampu menolak ekstremisme.


"UAS berhasrat menjadi pelengkap kepada universiti yang ada di negara ini dan kita tidak berhasrat untuk menjadi pesaing kepada mana-mana universiti,"

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Mohamed Radzif Datuk Mohamed Shamsudin dan Pengarah Gerbang As Sofa Sdn. Bhd., Malizan Mahmood.


Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang juga Canselor UAS dijadualkan berangkat menyempurnakan majlis tersebut.


Menurut Muhammad Fuad, sebanyak 15 ulama terkemuka dari seluruh dunia telah mengesahkan kehadiran pada majlis tersebut antaranya dari Emiriyah Arab Bersatu, Abu Dhabi, Yaman, Lebanon dan Maghribi.

Beliau menyifatkan penubuhan UAS akan memberi impak yang sangat besar kepada dunia Islam berdasarkan maklum balas yang diberikan sarjana terkemuka di dunia yang gembira dengan kewujudan universiti tersebut.

"Kami percaya penubuhan UAS mampu menarik kedatangan para sarjana dunia Islam ke negara ini sekali gus menjayakan usaha negeri ini menjadi lembah ilmu seperti yang dicita-citakan.


"Dengan kedatangan para sarjana itu, negara ini juga akan menjadi tumpuan orang ramai dari seluruh pelosok dunia yang mahu menimba ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang," katanya.



6 jabatan catat prestasi cemerlang


SEREMBAN 11 Jun - Enam daripada 12 jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini mencatatkan prestasi cemerlang apabila diberi penarafan empat bintang oleh Jabatan Audit Negara baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, lebih membanggakan dua dari enam agensi yang diberikan penarafan empat bintang itu meliputi Jabatan Kerja Raya negeri (JKR) dan Jabatan Perhutanan negeri telah menjadi contoh jabatan di negara ini.

Jelas Mohamad, dengan pengiktirafan diberikan itu sudah pastinya merupakan satu kebanggaan, malah memperlihatkan usaha berterusan jabatan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

''Ini jelas membuktikan bahawa jabatan serta agensi yang diberikan penarafan tersebut telah melaksanakan kerja-kerja diamanahkan dengan baik sekali dan kerajaan negeri berasa amat sukacita hasil pencapaian mereka.

''Malah, ini jugalah hasrat kerajaan supaya perkhidmatan awam di negeri ini terus cemerlang dan memberikan yang baik tanpa melupakan peraturan dalaman dan perintah-perintah am lain," katanya.

Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Wisma Negeri.

Dalam pada itu beliau menjelaskan lonjakan prestasi penjawat awam di negeri ini bagi tempoh setengah tahun pertama amat baik terutama sekali bagi jabatan yang diberikan tugas-tugas khusus.

Katanya, pencapaian itu diperoleh melalui kesepakatan dalam menjalankan tugas di kesemua jabatan kerajaan, selain peningkatan prestasi kerja penjawat awam itu sendiri biarpun terdapat kekurangan serta kemudahan.

''Apa yang dapat dilihat semua jabatan peringkat negeri dan Persekutuan di Negeri Sembilan menunjukkan prestasi amat baik dan ini dibuktikan melalui maklum balas rakyat terhadap perkhidmatan yang diberikan.

''Jabatan diberikan tugas khusus pula telah melaksanakan misi mereka dengan jayanya, sebagaimana yang kerajaan negeri tuntut bagi memastikan rakyat terus mendapat pembelaan," katanya.

Tuesday, 12 June 2012

Majlis Penyampaian Tauliah bagi sesi 2012 - 2015 kepada, 1. Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan 2. Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan 3. Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan 4. Hakim Mahkamah Tinggi Syariah 5. Hakim Mahkamah Rendah Syariah 6. Penolong Pendaftar Mahkamah Syariah 7. Ketua Pendakwa Syarie 8. Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk 9. Timbalan Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk






SERI MENANTI, 12 Jun – YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan menerima pentauliahan semula sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bagi sesi 2012 – 2015 yang di sempurnakan oleh DYMM Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawair.
Beliau mengetuai penerima pentauliahan yang disempunakan di Balairong Seri, Istana Seri Menanti, Kuala Pilah tengahari tadi.

Titah DYMM Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan, baginda berharap agar semua yang diberikan tauliah ini menjalankan amanah berlandaskan hukum Islam yang syarie.
“Di dalam melaksanakan syiar Islam di negeri ini, apa yang perlu ada ialah keikhlasan, kejujuran dan amanah menjalankan tanggungjawab.”
“Malah, ahli Majlis turut dituntut agar memberi dan mencambah idea bagi menambah baik badan yang memelihara syiar Islam seterusnya meluaskan pengetahuan ilmu agama.” Tambah baginda lagi.

Penerima tauliah juga di nasihatkan agar saling membantu dan menyokong di antara satu sama lain ketika melaksanakan tanggungjawab dan amanah . Baginda turut menyeru agar amanah yang diberikan tidak disalahgunakan dalam masa yang sama perlu menjaga kesucian diri.
Majlis Penyampaian Tauliah bagi sesi 2012 – 2015 melibatkan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan  dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan.

Turut menerima tauliah ini ialah Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah.
Penolong Pendaftar Mahkamah Syariah, Ketua Pendakwa Syarie, Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk serta Timbalan Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk turut menerima tauliah dari DYMM Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Selain dari penyandang Ahli Majlis Agama Islam lalu, beberapa tokoh berwibawa turut dilantik oleh DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, iaitu Dato’ Hj Baharom Hasbullah, Dato’ Hj Muhammad Fuad Kamaludin Al-Maliki dan Dr. Adnan Mohamed Yusoff sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Negeri Sembilan bagi sesi 2012 – 2015.

Sementara, Sahibus Samahah Dato’ Hj Mohd Yusof Hj Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan dan Sahibus Fadhilah Tuan Hj Nor Azamir Hj Alias, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan turut dilantik semula bagi sesi yang sama.
Turut hadir, YTM Tunku Besar Tampin dan YTM Dato’-Dato’ Undang Yang Empat.

Mari kibarkan bendera NS dengan semangat pendeta Za’aba






BAYAN LEPAS, 31 Mei 2012 – Anak-anak Negeri Sembilan yang sedang menimba ilmu di universiti tempatan di seru agar fokus dan menumpukan perhatian kepada pelajaran masing-masing dan menjadi orang penting di dalam sektor pekerjaan suatu hari nanti. Biarpun bukan menjawat jawatan penting di Negeri Sembilan, sekurang-kurangnya menjawat jawatan tertinggi dalam Negara mahupun luar negara.
Hasrat Kerajaan Negeri mahu meniup semangat pendeta Za’aba tidak pernah berakhir dan sejak semangat tersebut ditiupkan pada tahun 2005, mahasiswa tidak lagi menoleh kebelakang di mana masing-masing bersaing untuk lulus dengan cemerlang.
Menurut Menteri Besar di dalam ucapannya, “untuk mencapai status Negara maju terdapat beberapa kriteria yang perlu di capai  oleh kita, di mana ianya merangkumi aspek pendidikan, kesihatan, kadar pengangguran yang rendah, insflasi yang rendah juga moral yang tinggi.”
Di dalam pelajaran misalnya, rakyat Negara ini perlu mempunyai tahap pendidikan sehingga Phd atau Dr. Falsafah. Dari segi ekonomi yang berkembang pula, pendapatan per kapita dalam Negara perlulah mencapai sehingga USD15,000/setahun dan ekonomi Malaysia sedang berkembang ke arah itu di bawah kepimpinan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri.
Mahasiswa Negeri Sembilan yang belajar di kebanyakan universiti di dalam Negara dan luar Negara perlu mengharumkan nama negeri kelahiran mereka agar semakin banyak bendera negeri berkibar, maka semakin cepat negeri ini melahirkan pendeta Za’aba alaf baru
Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, turut menyerahkan sumbangan RM5,000 kepada 35 orang lepasan mahasiswa yang berjaya mendapat keputusan ijazah kelas pertama di dalam bidang masing-masing sekaligus pinjaman daripada YNS itu menjadi biasiswa.
Beliau turut menasihatkan mahasiswa yang berjaya di dalam pelajaran agar tidak lupa asal usul keluarga dan perbaiki taraf kehidupan tersebut menjadi lebih baik lagi.
Turut di temuramah beberapa individu antaranya, saudara Mohamad Faizal Sethuridin, kelulusan Ijazah Kimia di UiTM Shah Alam dan mendapat keputusan Ijazah Kelas Pertama, berasal dari Kuala Pilah mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri  dan YNS kerana berusaha menaikan semangat setiap mahasiswa sehingga bergelar sebagai jurutera di Petronas Carigali Kerteh.
Tanpa doa ibu bapa, sudah pasti kejayaan ini sukar di capai dan akan membalas jasa ibu bapa dengan kejayaan ini.
Bagi En. Sethuridin, 54, sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa melakukan terbaik untuk anak-anak dan kehadiran di majlis seumpama ini merupakan kali kedua selepas anak pertama menerimanya tahun lalu. Dia turut bersetuju dengan matlamat Menteri Besar mahu melahirkan seramai mungkin Pendeta Za’aba alaf baru sekaligus, ianya akan mengharumkan nama Negeri Sembilan di persada dunia.
Adik Azrin Huraira Irwan, 20, pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan dengan Kepujian, pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah berkata, peluang beramah mesra dengan pemimpin utama negeri seperti jamuan makan malam ini mendekatkan lagi golongan mahasiswa dengan kerajaan.
Dia berkata, golongan mahasiswa hari ini juga merupakan golongan transform yang mahu melihat Negara terus membangun di masa akan datang dan menyokong penuh usaha yang dibuat oleh Perdana Menteri. Sumbangan YNS kepada abang-abang dan kakak-kakak malam ini turut memberi inspirasi kepada dirinya untuk membawa kedua ibu bapa di majlis sama ketika habis belajar kelak
Majlis yang di anjurkan oleh PEMANIS USM itu mendapat kerjasama dari Yayasan Negeri Sembilan (YNS), bukan sahaja di hadiri oleh mahasiswa anak negeri yang belajar di USM, malah majlis ini turut di hadiri oleh mahasiswa dari UPM, UKM, UUM, UM dan UNIMAP. Pertemuan di kalangan mahasiswa ini turut mengeratkan silaturrahim dan bertukar-tukar fikiran di kalangan mereka.
Turut hadir, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, Naib Canselor USM, Profesor Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor (HEPP), Profesor Norizan Mohd Noor, Penasihat Perkumpulan Mahasiswa Anak Negeri Sembilan (PEMANIS), USM, barisan EXCO Kerajaan Negeri Sembilan.

RM222 juta bina kilang EAT


SEREMBAN 7 Mac 2012 - Pemegang saham dan rakan teknologi serta teknikal Perodua, Daihatsu Motor Company (Daihatsu) akan memulakan pembinaan kilang Transmisi Automatik Elektronik (EAT) yang pertama di rantau ini di sini.


Daihatsu melalui anak syarikatnya, Akashi Kikai Industry (M) Sdn. Bhd. (Akashi Kikai) memperuntukkan modal sebanyak RM222 juta untuk tujuan itu dan akan memulakan kerja-kerja pembinaan di Bandar Baru Seri Sendayan, dekat sini mulai bulan ini.


Kilang itu dijangka beroperasi menjelang November 2013 dengan pekerja sebanyak 120 orang.


Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, kilang EAT itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Daihatsu untuk melabur di negara ini serta detik penting terhadap pelan strategik 5 tahun Perodua.


"Kami gembira Malaysia telah dipilih untuk projek ini kerana ia menunjukkan negara ini masih menjadi destinasi pilihan pelabur," katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian jual beli tanah antara Perbadanan Menteri Besar Negeri Sembilan (MBI), pemaju, BSS Development Sdn. Bhd dan Akashi Kikai.


Majlis itu dihadiri oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan, Pengarah Urusan Akashi-Kikai Industri (M) Sdn Bhd, Hideki Nomura, Presiden Akashi-Kikai Industri (M) Sdn Bhd, Noriyoshi Matsushita (tiga dari kiri), Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, Pengarah Urusan BSS Development Sdn Bhd, Datuk Lee Tian Hock dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Datuk Mohamad Haslah Amin.


Akashi Kikai terlibat dalam pengeluaran dan penjualan unit transmisi automatik yang dikawal secara elektronik.
Tanah yang dibeli bagi pembinaan kilang itu adalah seluas 13,000 meter persegi dengan keluasan awal kilang adalah kira-kira 13,000 meter persegi.

Bekalan air bersih dipertingkatkan seluruh Negeri Sembilan


SEREMBAN 23 Mei 2012- Kerajaan negeri tidak akan menutup Loji Rawatan Air di Sungai Linggi dekat Port Dickson sebaliknya mengurangkan pengeluaran air terawat di situ selepas Loji Rawatan Air Sawah Raja dirasmikan pada 15 Julai 2010 lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, loji rawatan air di Sawah Raja, dekat Port Dickson itu kini mampu mengeluarkan air terawat sebanyak 15 juta gelen sehari iaitu 50 peratus keperluan penduduk di sekitar daerah peranginan tersebut.

"Loji Rawatan Air Sungai Linggi boleh mengeluarkan air terawat sebanyak 20 juta gelen sehari, bagaimanapun kos rawatannya kini terlalu tinggi dan cara yang digunakan masih konvensional," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Kata Mohamad, loji di Sungai Linggi itu menggunakan kaedah tapisan yang mana banyak bahan kimia digunakan kerana air dari Sungai Linggi terus memasuki kawasan loji sebelum ia dirawat dan disalurkan kepada penduduk.
"Dulu dari loji inilah seluruh daerah Port Dickson mendapat bekalan air. Tetapi kini dengan adanya loji di Sawah Raja, kos pengeluaran itu dapat dikurangkan," katanya.

Menurut Mohamad, loji di Sungai Linggi itu kini membekalkan air terawat kepada penduduk di kawasan Port Dickson utara iaitu Springhill, Lukut, Tanah Merah dan bandar peranginan sehingga Batu 4 manakala loji Sawah Raja pula membekalkan air ke kawasan dari Batu 4, Sungai Raya dan Linggi.

Katanya, kerajaan negeri juga sedang meneliti untuk membina sebuah lagi loji di Sawah Raja yang boleh menyumbang sebanyak 15 juta gelen air sehari ke kawasan Port Dickson.

Tambah beliau, loji di Sungai Linggi pula akan kekal dan menjadi sokongan pada bila-bila masa jika berlaku krisis air di Port Dickson.

Mengenai loji di Ngoi-Ngoi dekat sini, Mohamad memberitahu, paip telah disambung dari Mendum, Lenggeng, Nilai dan Bandar Enstek dengan keluasan diameter 1.75 meter sebelum ia diteruskan dari Enstek, Sendayan dan Seremban untuk menampung keperluan penduduk di situ.

"Loji di Ngoi-Ngoi ini menerima air dari Empangan Kenaboi untuk disalurkan kepada penduduk daerah Seremban dan apabila siap kelak, ia juga akan dibina paip sambungan untuk sampai ke Lukut dan Springhil di Port Dickson.
"Projek ini juga bertujuan mengurangkan kebergantungan di loji Sungai Linggi," katanya.

Mohamad menambah, loji di Ngoi-Ngoi boleh menghasilkan air terawat daripada 55 juta gelen kepada 60 juta gelen sehari iaitu bersamaan dengan air terawat yang dihasilkan loji di Sungai Terip.

Ketika ini, katanya, keperluan air bagi penduduk di daerah Seremban ialah kira-kira 75 juta gelen sehari dan mempunyai lebihan untuk disalurkan ke kawasan lain.

Mengenai cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk membeli air daripada kerajaan negeri bagi disalurkan kepada penduduk di Selangor, Mohamad memberitahu, rundingan sedang dibuat, tetapi bergantung kepada lebihan air terawat di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menjelaskan, Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) yang kini diperbadankan perlu membayar royalti kepada kerajaan negeri setiap kali mengeluarkan air terawat di loji-loji seluruh negeri.

"Tahun lalu sahaja kerajaan negeri memperoleh tambahan pendapatan daripada royalti ini sebanyak RM18 juta. Apabila loji-loji yang sedang dibina ini siap, lebih banyak royalti akan kita peroleh daripada Sains," katanya.

Mengenai purata air tanpa hasil (NRW) pula, Mohamad berkata, kerajaan negeri menyasarkan ia boleh dikurangkan kepada 38 peratus pada tahun depan.

Malah, katanya, sejak dua tahun ia beroperasi sebagai sebuah perbadanan, sebanyak RM300 juta telah dibelanjakan untuk menggantikan paip lama jenis asbestos kepada besi.

"Jika kita hendak menukar keseluruhan paip di negeri ini, ia memerlukan RM850 juta hingga RM1 bilion dan mengambil masa lebih 10 tahun kerana kos yang terlalu tinggi," ujarnya.

Negeri Sembilan langsai hutang KWAP RM250 juta


SEREMBAN 28 Julai 2011 - Kerajaan negeri berjaya melangsaikan hutang RM250 juta dengan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dalam tempoh lima tahun ditetapkan sekali gus membuktikan pengurusan kewangannya yang cekap.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, wang pinjaman tersebut telah digunakan bagi menyelesaikan pengambilan tanah seramai 513 peneroka Felda Bandar Seri Sendayan dekat sini 10 tahun lalu.

''Saya amat bersyukur hari ini dan berasa lega kerana kerajaan negeri telah berjaya melangsaikan pinjaman sebanyak RM250 juta termasuk kadar faedahnya sebanyak RM68 juta itu.

''Sewaktu kerajaan negeri berhasrat menyelesaikan masalah itu pada 2005, tiada institusi kewangan dan bank yang sanggup memberikan pinjaman kecuali KWAP," katanya selepas Majlis Penyerahan Cek Pembayaran Pinjaman Kerajaan Negeri Sembilan Kepada KWAP di sini semalam.

Beliau memberitahu, setiap peneroka ketika itu menerima pampasan hampir RM550,000.
''Pinjaman itu bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah peneroka terbabit, malah kerajaan negeri turut dapat melaksanakan beberapa projek pembangunan seperti pembinaan rumah murah dan penempatan baru di kawasan berkenaan," ujarnya.

Mohamad menambah, kejayaan membayar semula pinjaman itu sekali gus menafikan tohmahan serta dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kerajaan negeri sudah bankrap dan tidak mampu membayar gaji kakitangan mereka

Katanya, lebih menggembirakan apabila kawasan tersebut kini semakin maju dan kian berkembang pesat serta menjadi tumpuan pelabur dari dalam dan luar negara termasuk pembangunan institusi pendidikan di sekitarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Azian Mohd. Noh ketika ditemui berkata, kerajaan negeri wajar dipuji kerana berjaya membayar semula pinjaman tersebut tepat pada masa yang ditetapkan.

''Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri yang KWAP memberikan pinjaman dan ketika itu saya yakin dengan kredibiliti kerajaan Negeri Sembilan.

''Kerajaan negeri boleh dianggap sebagai Good Paymaster dan kita tidak akan teragak-agak memberikan pinjaman untuk disalurkan bagi pelaksanaan projek pada masa depan," ujarnya.