Thursday, 11 July 2013

Pelajar Timur Tengah Menyesuaikan Diri Dengan Latihan Insentif


Seremban, 09 Julai – Penyampaian ini disempurnakan oleh Menteri Besar merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan di Majlis Penutupan Program Intensif Timur Tengah 2013 & Penyampaian Dermasiswa Pelajar SMAN & SABK Negeri Sembilan Tahun 2013 berlangsung di Klana Resort, Seremban.

 Seramai enam (6) orang pelajar Diploma Pengajian Islam (Qiraat) Universiti Al-Azhar, Mesir, tigabelas (13) orang pelajar STAM Pengajian Islam ke Universiti Al-Azhar, Mesir, sebelas (11) orang pelajar bidang perubatan di Mesir, dua (2) orang pelajar dalam bidang pergigian di Mesir, lima (5) orang pelajar Pengajian Islam di Jordan dan empat (4) orang pelajar Pengajian Islam di Maghribi menerima dermasiswa dan pinjaman untuk melanjutkan pelajaran masing-masing.

Semua pelajar terpilih telah mengikuti Program Intensif Timur Tengah (PITT) 2013 selama sebulan di Pusat Dakwah Islamiyyah, Paroi sebelum melanjutkan pelajaran mereka ke Timur Tengah.

Menteri Besar di dalam ucapannya menyatakan bahawa latihan intensif ini merupakan persediaan awal dan rapi di peringkat MAINS bagi melengkapkan diri mereka di pusat pengajian masing-masing.

Beliau turut menasihatkan para pelajar yang terpilih oleh MAINS ini supaya fokus di dalam pelajaran dan meletakkan satu matlamat untuk berjaya di dalam bidang masing-masing kerana  ilmu yang dipelajari di sana amat bermanfaat di tambah pula sebagai sumber rujukan di kemudian hari.

Jelasnya lagi, dengan sistem pendidikan yang pelbagai dari negara Mesir, Morocco dan Maghribi, pelajar seharusnya meningkatkan disiplin diri dan tidak terikut dengan gaya hidup sesetengah fahaman di sana yang akhirnya merugikan diri sendiri.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, Dato’ Dr. Awaluddin Hj Said, Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Hj Mohd Yusof Hj Ahmad, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Kahar Sudin, Dato’ Johani Hj Hasan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan.

Tuesday, 2 July 2013

RM 1,001,543.00 zakat dari Bank Rakyat kepada PZNS



Seremban, 01 Julai – Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat)  diwakili oleh Dato’ Hj Mustafa Hj Abdul Razak mempersembahkan bayaran zakat pernigaan ke Bawah DYMM Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, sebentar tadi.

Majlis persembahan berlangsung di Istana Hinggap, Seremban.

Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) mewakili Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menyaksikan majlis persembahan bayaran zakat tersebut berjumlah, RM1,001,543.00 bagi tahun perniagaan 2012.

Kemudiannya, zakat tersebut diserahkan oleh DYMM Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi MAINS.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah PZNS, Dato’ Hj Razak Mansor, Setiausaha MAINS, Encik Kamal Amran Kamaruddin dan Pengurus Besar PZNS, Ustaz Nor Azmi Hj Musa.

Mewakili Bank Rakyat, Ketua Wilayah Selatan, Encik Mohd Shaifuddin Abdullah, Ketua Syariah, Ustaz Fazli Masri dan Pengurus Cawangan Seremban, Encik Abdul Yazid Yaacob.

Monday, 1 July 2013

RM11 juta Bina Bangunan IKS




Rantau, 30 Jun – Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan hadir di majlis jamuan bersama pemimpin dan masyarakat Ladang Sagga.

Menteri Besar  di dalam ucapannya, beliau akan memastikan kehidupan masyarakat berbilang kaum dibantu dan mendapat pembelaan yang sewajarnya. Tambah beliau, rakyat di negeri ini perlu bersatu padu dan saling hormat menghormati diantara satu sama lain.

Selain itu, beliau mengingatkan masyarakat India di sini bahawa Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri sering berkerjasama dan mengiatkan aktiviti ekonomi diperkasa agar rakyat tanpa mengira kaum menikmati peluang pekerjaan seperti mana hasrat Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mahu meningkatkan pendapatan negara.

PKNS bersetuju memperuntukkan RM11 juta untuk membeli tanah milik Sime Darby yang terletak di simpang Siliau untuk didirikan bangunan IKS secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada penduduk disini.

Juga, di dalam memastikan kedua-dua faktor itu seiring dengan tuntutan masa, kerajaan turut menitikberatkan kemudahan insfrastruktur agar ianya memberi kemudahan yang terbaik kepada semua.
Malah, agenda pendidikan dinaiktaraf, SRJ(T) mendapat peruntukan RM 1 juta bagi pembangunan pendidikan di sekolah.

Turut hadir, Dato’ T. Rajagopalu, Pengerusi Perhubungan MIC Negeri, Negeri Sembilan, Dato’ VS Mogan, EXCO MIC Kebangsaan, Tn L. Manicham, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.