Powered By Blogger

Thursday 31 October 2013

MBNS bersama pengundi DUN Sungai Limau


Yan, 26 Okt – Menteri Besar Negeri Sembilan juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan meluangkan masa sehari bertemu dan beramah mesra dengan penduduk Kg Kelantan Kuala Dulang Besar dan  Penduduk Dulang Kechil di PDM Dulang Kechil dan Dulang Besar sempena Pilihanraya Kecil (PRK) DUN N20 Sungai Limau.

Beliau  menemui PDM angkat Negeri Sembilan bagi kempen PRK Sungai Limau setelah penyandang terdahulu Allahyarham Tan Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (PAS) meninggal dunia berikutan jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman pada 26 September lalu di  Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

PRK Sungai Limau menyaksikan pertandingan satu lawan satu, di mana Barisan Nasional (BN) mencalonkan Dr. Ahmad Sohaimi Lazim, Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan PAS mencalonkan Ketua Pemuda PAS Jerai, Mohd Azam Abdul Samat.

Dalam pertemuan ringkas bersama pengundi-pengundi di sini, Menteri Besar sempat beramah mesra bersama penduduk kampung dan pengundi yang terdiri dari golongan belia dan warga emas.

Malah beliau turut menyampaikan saguhati buat mereka yang memerlukan di samping menjelaskan halatuju perjuangan BN jika diberi mandat oleh penduduk di sini.

Tarikh membuang undi bagi PRK DUN N20 Sungai Limau pada 04 November 2013.

Thursday 10 October 2013

Majlis Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia


Seremban, 04 Okt – Negeri Sembilan menjadi negeri pertama yang mewujudkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia dalam negara dan satu-satunya negeri yang mempunyai perancangan pembangunan belia untuk lima tahun sekali seumpama Rancangan Malaysia yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan sejak sebelum merdeka lagi.
Melalui perancangan dan penelitian lima tahun sekali tersebut (2005-2010) kejayaan pembangunan belia di negeri ini dengan wujudnya Sekretariat Belia di bawah Yayasan Negeri Sembilan (YNS).
Kini, tertubuhnya DUN Belia Negeri Sembilan merupakan hasrat yang terkandung di dalam pelan pembangunan belia pada fasa pertama juga merupakan aspirasi Kerajaan Negeri terhadap peranan belia kepada pembangunan di negeri ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan ketika menyempurnakan Persidangan DUN Belia Negeri Sembilan di Klana Resort Seremban mengucapkan tahniah di atas inisiatif Sekretariat Belia Negeri Sembilan bersama gandingan Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan di atas usaha mewujudkan DUN Belia Negeri Sembilan.
Ujar beliau di dalam ucapan, 50 peratus atau lebih satu juta penduduk di negeri ini merupakan golongan belia yang merupakan generasi akan datang dan dikalangannya pula akan berada pada institusi kepimpinan yang akan membawa dan memacu pembangunan negeri ini.
Menteri Besar juga mahu melihat, belia di negeri ini mempunyai pemikiran sendiri dan iltizam mahu mencorakkan pembangunan negeri dengan jiwa dan idea yang besar dan tidak bergantung kepada pemikiran orang lain dan disuruh arah seperti robot.
Beliau seterusnya mengingatkan kepada pemimpin belia yang menerima mandat pertama sebagai wakil belia di kawasan DUN masing-masing dan dalam sektorial yang mewakili 70 peratus belia yang tidak terlibat dalam mana-mana persatuan.
Nasihat beliau kepada ADUN Belia kawasan dan ADUN Belia Sektorial, “jadilah pemimpin ukuran bukan pemimpin siaran, di mana masyarakat boleh mengukur keupayaan dari dasar dan perkhidmatan yang kita perkenal dan laksanakan.
“Kita tidak boleh melihat  keupayaan pemimpin siaran kerana mereka hanya boleh mengadu domba dan akhirnya tidak melihat matlamat dan perjuangan sebenarnya.
Ujar beliau lagi, Persidangan DUN Belia Negeri Sembilan bersidang dua kali setahun dan boleh melaksanakan Persidangan tergempar jika perlu.
Di majlis sama, Menteri Besar turut menyampaikan watikah perlantikan selama setahun kepada ADUN Belia Negeri Sembilan
Turut hadir, Yang Di Pertua Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Dr. Awaluddin Hj Said, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan dan Presiden Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan, Puan Wan Salwati Hj Abdullah.

Istiadat Pembukaan Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-XIII


Seremban, 30 Sept – Istiadat Pembukaan Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-XIII Negeri Sembilan disempurnakan oleh D.Y.M.M Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir di Dewan Undangan Negeri Sembilan, Seremban.

Persidangan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 02 Oktober (Rabu), dan kesemua wakil rakyat mewakili Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) hadir bagi memulakan persidangan hari ini turut mendengar titah ucapan D.Y.M.M. Tuanku Muhriz di Dewan Persidangan.

Terdahulu, Tuanku Muhriz diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan pekenan memeriksa perbarisan kawalan kehormatan di hadapan Dewan Undangan Negeri.

Di dalam titah ucapan baginda, baginda menyeru agar kerajaan (BN) yang dipilih dan diberi mandat oleh rakyat ini menumpukan tugas kepada kesejahteraan rakyat tanpa memilih latar belakang mereka.

Malah, baginda turut menyeru kepada wakil rakyat di dalam barisan PR bersama-sama membantu dan mengenepikan sentimen politik bagi memastikan kesejahteraan rakyat diberi keutamaan mutlak.

Baginda di dalam titah turut, berasa berpuas hati dengan perkembangan dan pentadbiran negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar yang telah membawa pelaburan dan pembangunan mampan di dalam negeri ini.

Menyentuh berkaitan prestasi ekonomi, kewangan dan pembangunan di dalam titah Tuanku, baginda berpuas hati dengan pencapaian yang diperolehi oleh Negeri Sembilan kerana  prestasi tersebut telah merangsang pertumbuhan ekonomi sekaligus mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

Selain itu, beliau turut berbesar hati kerana prestasi pengurusan kewangan negeri mengutamakan pengurusan kewangan berhemah, disamping berjaya meningkatkan hasil pada setiap tahun dan amalan perbelanjaan berhemah.

Baginda seterusnya berbangga dengan prestasi pengurusan kewangan di mana kerajaan negeri telah mencatat surplus dalam Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM21.96 juta pada tahun 2012.

Ujar baginda lagi, ” prestasi tersebut telah meningkatkan rizab Kumpulan Wang Disatukan kepada RM347.47 juta pada 31 Disember 2012.

Kecemerlangan pengurusan kewangan terus dipamerkan melalui keupayaan membayar balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan.

Bagi tahun 2013 iaitu sehingga 15 Julai 2013, Kerajaan Negeri Sembilan merupakan salah satu daripada dua buah negeri di Malaysia yang telah membayar balik hutang secara tunai.