Thursday, 28 August 2014

Peranan Hino Motors Pacu Ekonomi Negeri Sembilan



SENDAYAN, 26 Ogos – Hino Motors Ltd. membuka lembaran baru dalam sejarah empat dekad di Malaysia dengan pembukaan rasmi kilang pengeluaran pertama di Malaysia dimana sebuah kilang moden telah di dirikan di tapak seluas 170 ribu meter persegi di Lembah Teknologi di Sendayan.
Majlis perasmian kilang yang dinamakan Hino Motors Manufacturing (Malaysia) Sdn Bhd itu, telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan.
Beliau yang berucap sewaktu merasmikan kilang tersebut melahirkan rasa bangga dengan pembukaan kilang itu sekaligus membuka banyak peluang pekerjaan khususnya kepada masyarakat setempat di negeri ini.
Selain dari itu, beliau turut menasihatkan kepada pengusaha agar sentiasa mematuhi peraturan untuk  memelihara alam sekitar dalam mengejar pembangunan yang kian pesat, disamping mengalu-alukan syarikat pengeluaran besar di Jepun membuka kilang mereka di Negeri Sembilan.
“Diharap operasi yang dijalankan di kilang Hino Motors ini akan dapat memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi Negeri Sembilan dan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Hino Motors Ltd., Encik Masakazu Ichikawa turut mengumumkan bahawa fasa pembangunan seterusnya di kilang tersebut sudahpun dimulakan dimana ianya termasuk pembinaan sebuah bangunan baru dengan 12 petak ruang pemeriksaan, 12 petak ruang pemasangan aksesori, sebuah petak ruang mengecat dan sebuah petak ruang penyerahan trak dan bas Hino di kawasan berkeluasan 57,240 meter persegi.
Tambah beliau, pembukaan rasmi kilang Hino Motors Manufacturing (Malaysia) Sdn Bhd merupakan satu kemudahan bagi pengeluaran terbaru Hino Motors di dunia dan sekaligus mencerminkan pentingnya pasaran Malaysia sebagai tunggak ketiga operasi Hino di Asia Tenggara.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato’ Mat Ali Hassan, Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa, Pengerusi Hino Motors Ltd., Masakazu Ichikawa, serta Pengerusi Hino Motors Malaysia, Aqil Ahmad Azizudin.
Umumnya, Hino Motors telah menjadi pemimpin pasaran dalam segmen kenderaan komersial secara keseluruhan (4 ribu kg dan ke atas) di Malaysia. Kelebihan daya saing utama Hino adalah keupayaannya untuk menawarkan rangkaian kenderaan komersial yang lengkap seperti pacuan empat roda (LCV, HINO 300 Series) kenderaan komersial sederhana-berat (MCV, HINO 500 Series), penggerak utama (HINO 700 Series) hingga bas yang terkenal dengan kualiti, kukuh dan boleh dipercayai.

Jangan Biar Perjuangan UMNO Lenyap


SEREMBAN 25 Ogos – Perjua­ngan UMNO yang dibanggakan oleh ahlinya selama ini akan menemui noktah menyedihkan sekiranya kuasa politik Melayu lenyap dalam pilihan raya umum akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, krisis perpecahan Melayu hanya disebabkan perbezaan ideologi politik dan ini bukan sahaja merugikan bangsa sendiri bahkan dijadikan sebagai ‘peluru’ besar yang menguntungkan musuh politik.
Kebimbangan itu kata beliau, mempunyai asasnya kerana pelbagai usaha sedang dilakukan oleh pakatan pembangkang menerusi fitnah, tohmahan dan paling dibimbanginya usaha memasukkan Si­ngapura ke dalam negara ini.
“Bayangkanlah kalau Singapura kembali semula ke negara ini de­ngan 89 kerusi yang terang-tera­ngan tidak menyokong Melayu pas­tinya riwayat ketamadunan kuasa politik Melayu akan berakhir.
“Usaha ini tidak perlu dibawa ke parlimen, cukup kalau barisan pe­mimpin Kabinet baharu yang dibentuk pembangkang ketika ini meluluskan usul itu, maka itulah noktah menyedihkan buat kuasa politik UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sewaktu merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rembau di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi di sini hari ini yang turut diha­diri Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin.
Dalam ucapan penggulungannya, Mohamad yang juga Ketua UMNO bahagian itu turut membidas Majlis Peguam yang dilihat cen­derung dan memihak kepada pembangkang.
Secara sinis beliau mencadangkan kepada pertubuhan itu ditukar menjadi parti politik kerana sebahagian besar daripada ahlinya merupakan pro pembangkang.
“Majlis Peguam tidak beretika dan dipenuhi ahli pembangkang. Kita sarankan kepada mereka untuk ditukar kepada parti. Lihatlah kepada bekas presiden dan presiden mereka semuanya memihak kepada pembangkang,” katanya.

Monday, 18 August 2014

Tanggungjawab memasyarakatkan UMNO



Rembau, 17 Ogos – Ahli UMNO, ahli Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Negeri Sembilan perlu lebih berusaha dan bekerja lebih kuat lagi bagi menarik minat dan sokongan masyarakat yang kini berbelah bahagi membuat pilihan parti mereka.

Tanggungjawab memasyarakatkan UMNO ini perlu dilaksanakan oleh Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri melalui aktiviti dan peranan masing-masing.

Semua ahli juga dinasihatkan tidak terlampau eksklusif, tidak bergerak secara berkumpulan dan berkelompok sehingga masyarakat merasakan diri mereka tidak bersama dan merasa terpinggir.

Perlu bersama-sama masyarakat dan memahami mereka, jika tidak mereka akan hilang kepercayaan ke atas parti UMNO seterusnya parti kehilangan sokongan mereka yang selama ini menganggap UMNO sebuah parti tempat bergantung harapan.

Menteri Besar Negeri Sembilan juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan bercakap demikian di hadapan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Serentak Persidangan Mesyuarat Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau Tahun 2014 di Dewan Sri Rembau, hari ini.

Tambah beliau di dalam ucapan, “kebersamaan ini amat penting di dalam masyarakat kerana mereka menilai siapa yang mampu membantu mensejahterakan dan mengharmonikan kehidupan mereka.”
Menteri Besar seterusnya mengingatkan semua ahli meneruskan perjuangan dan menstabilkan parti kerana melalui kestabilan itu ianya akan menjadi teras kepada penubuhan kerajaan yang baik.

Kerajaan yang ditubuhkan melalui kestabilan parti mampu mengurus dan mentadbir masyarakat dengan baik melalui dasar-dasar yang berkesan.
Jika tidak stabil, kerajaan tidak mampu menumpukan sepenuh perhatian kepada sesebuah pentadbiran yang akhirnya menjadi liabiliti kepada kelompok masyarakat.

Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau merangkap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Tuan Hj Khairy Jamaludin Abu Bakar, Naib Ketua UMNO Bahagian Rembau, Dato’ Dr. Awaluddin Hj Said, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Rembau, Puan Arpah Md Dom, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rembau, Encik Ardana Mohd Noor dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rembau merangkap Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan, Puan Zuliana Mohd Ridzuan.

Wednesday, 13 August 2014

Kerajaan Negeri Tidak Berkompromi




NILAI, 12 Ogos – Kepadatan warganegara asing yang bekerja dan tinggal di kawasan Nilai kini menjadi suatu isu yang perlu diberi perhatian dari aspek keselamatan penduduk tempatan memandangkan pelbagai laporan dan rungutan masyarakat setempat akan kegiatan sosial mereka yang sedikit sebanyak menganggu ketenteraman komuniti di kawasan Nilai ini.

Berikutan itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hj Hasan, menggesa agar pihak berkuasa tempatan khususnya Polis DiRaja Malaysia agar sentiasa memantau kegiatan mereka demi memastikan keselesaan penduduk tempatan yang merasakan diri mereka selamat bila adanya kelompok warganegara asing di kawasan mereka.



“Perlu adanya pemantauan agar kawasan Nilai ini terkawal dan tidak seperti yang kita katanya ianya Pekan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu),” jelas beliau ketika ditanya pemberita selepas meghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Majlis Perbandaran Nilai.

Beliau menambah, satu sistem kawalan yang kukuh dan berkesan di kawasan yang berlatarbelakangkan pelbagai bangsa dan budaya ini perlu diwujudkan kerana pihak PBT sudah tidak boleh lagi mengaplikasikan sistem pemantauan yang digunakan untuk rakyat Malaysia sahaja kerana di Nilai ini umpama bandar antarabangsa yang perlu diberi perhatian wajar demi keselamatan awam.

Justeru, beliau mahu PBT, Polis, Imigresen dan yang lain untuk sentiasa bersiap-siaga untuk memantau dan menjalankan penguatkuasaan setiap masa supaya mereka yang bekerja di negara ini sedar bahawa pihak berkuasa kerajaan Malaysia sentiasa memerhatikan mereka agar tidak melakukan sebarang perkara dengan sewenang-wenangnya.

Mengenai isu judi siber yang dikatakan masih wujud di Nilai khasnya dan Negeri Sembilan amnya, Datuk Seri Mohamad menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Sembilan amat serius membendung gejala yang tidak sihat ini. 

Gabungan kerjasama antara agensi seperti Polis, Jabatan Agama dan PBT serta Kerajaan Negeri sendiri, melalui operasi yang dinamakan “Ops Harash”, Kerajaan Negeri berjaya mengurangkan aktiviti haram ini secara berperingkat.



“Kita faham mereka akan membuka semula perniagaan judi siber ini kerana pulangannya amat lumayan, seperti pengedar dadah, mereka tahu tentang hukuman yang bakal menimpa mereka namun mereka teruskan juga” jelas Menteri Besar Negeri Sembilan ini lagi.

Untuk mengekang aktiviti haram ini, kerajaan negeri dengan kerjasama pihak polis dan agensi kerajaan yang lain telah menubuhkan satu Jawatan Kuasa Khas yang mana bidang kuasanya adalah setara dengan Jawatan Kuasa Bencana Alam. “Mereka bertugas round the clock” ujar Datuk Mohamad lagi.
Beliau juga turut memohon kerjasama orang ramai untuk memberikan maklumat mengenai kegiatan yang tidak bermoral ini agar tindakan pantas dapat dilaksanakan.

Pemilik premis juga bakal diheret ke muka pengadilan kiranya didapati menyewakan premis mereka kepada sindiket judi ini, tegas Menteri Besar lagi.
Datuk Mohamad juga turut menyentuh isu bantuan Kerajaan Negeri Sembilan di kawasan luar bandar berhubung simpang jalan yang tidak berlampu. Melalui Fasa III, sejumlah RM4 juta diperuntukan untuk prasarana kemudahan rakyat ini.

Kementerian Luar Bandar juga turut membantu projek menaik taraf memasang lampu di simpang jalan yang masih tidak ada lampu jalan.

Thursday, 7 August 2014

Strategi Lautan Biru (NBOS)



Nilai, 05 Ogos – Majlis Pelancaran Strategi Lautan Biru (NBOS), Peringkat Negeri, Negeri Sembilan dilancar dan dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan di padang Kampung Jijan, Nilai.

Di majlis sama, Menteri Besar turut melancarkan kumpulan sukarelawan kesihatan peringkat DUN di seluruh Negeri Sembilan.
Beliau di sidang media menjelaskan bahawa program oleh Jabatan Kesihatan Negeri ini amat berguna kerana ia merupakan cara pemikiran baru dan strategi yang menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai.

Ini juga merupakan transformasi penjawat awam yang tidak lagi duduk di pejabat dan menanti orang ramai menagih perkhidmatan, tetapi mereka keluar dan menghulurkan perkhidmatan kepada orang ramai terutamanya penduduk di luar bandar, pendalaman dan perkampungan orang asli.

Sudah sampai masanya penjawat awam perlu berada di dalam dimensi baru dan menghulurkan bantuan serta keluar dari zon selesa dengan menawarkan perkhidmatan yang ada untuk dinikmati dan dirasai oleh masyarakat negeri ini.
Strategi Lautan Biru (NBOS) yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan ini amat bertepatan dengan dasar kerajaan iaitu ‘Dasar Membangunkan Negeri dan Mensejahterakan Rakyat’.

Di saat kerajaan berusaha membangunkan negeri dari segi percambahan ekonomi dan pembangunan mampan, penduduk di luar bandar dan di perkampungan orang asli mendapat perkhidmatan sewajarnya.
Kumpulan masyarakat ini perlu di bantu kerana Kerajaan Negeri memikirkan keadaan mereka yang tidak mampu, keupayaan yang terhad untuk mendapatkan perkhidmatan di bandar atau kebarangkalian kesukaran mereka untuk bergerak.

Jabatan Kesihatan Negeri turut memperkenalkan lima buah program kesihatan berkonsepkan NBOS iaitu;

i. Program Jom Mama
Program kerjasama diantara Kementerian Kesihatan Malaysia dengan Syarikat Nova Nordisk, sebuah syarikat farmasutikal dari Denmark.

ii. Program Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN)
Merupakan program kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia degan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS)

iii. Program Klip Mobile dan Program Cahaya
Program kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta di sokong oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Jabatan Kesihatan Negeri akan membawa perkhidmatan Pakar Oftalmologi kepada masyarakat luar bandar.
Kumpulan sasaran ; warga emas yang mempunyai masalah penglihatan dan memerlukan pembedahan ketarak.

iv. Program Sejahtera
Menyediakan perkhidmatan kesihatan holistik kepada warga emas supaya mempunyai kehidupan lebih berkualiti.

v. Program Makmal Pergigian Bergerak
Satu program perkhidmatan pembuatan gigi palsu kepada warga emas yang berada di institusi penjagaan warga emas atau berada di luar bandar.