Wednesday, 17 December 2014

Gerak Kerja Mesra Jalinan Rakyat



Seremban – Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berdepan generasi kedua dan ketiga selepas kemerdekaan di mana golongan ini merupakan golangan yang tidak merasai kesukaran dan kesusahan secara semulajadi generasi pertama beroleh kemerdekaan.

Malah dengan situasi dan suasana negara ketika ini menjadikan generasi kedua dan ketiga berasa nikmat, ada kala alpa dengan situasi yang pernah berlaku sebelum merdeka.

Menyedari situasi dan perubahan iklim negara ini, Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan mengambil pendekatan dan pendirian yang amat jelas iaitu mendekati masyarakat dengan gerak kerja mesra jalinan rakyat yang menjadi titik sentuh yang impati seterusnya masyarakat merasa dekat dengan parti memerintah.

Tidak menoleh kebelakang, Perhubungan UMNO Negeri Sembilan konsisten mengatur gerak kerja dan kesiapsiagaan jentera pilihanraya UMNO berada pada tahap baik, tempoh berdepan PRU14 masih jauh.

Tegas beliau di dalam ucapan di hadapan peserta Seminar Jalinan Rakyat dan Gerak Kerja Pergerakan Wanita dan Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan di Wisma UMNO, Seremban hari ini.

Sebagai sebuah parti yang mendominasi sebuah kerajaan sebelum merdeka sehingga kini, melibatkan diri dalam parti itu hakikatnya untuk memenangkan parti di pilihanraya umum.

Berparti untuk menjadi sebuah kerajaan yang mentadbir negara dan negeri yang di beri mandat oleh DYMM Yang DiPertuan Agung, DYMM Sultan Negeri-Negeri, Yang DiPertua Negeri dan juga DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Malah jentera parti ketika ini bertanggungjawab pada amanah memastikan masyarakat di luar tidak keliru dengan adab dan peradaban isu yang dibangkitkan oleh parti pembangkang yang memerlukan jawapan diberi dengan cepat, tepat dan betul.

Jika ini tidak dilakukan oleh jentera parti sebuah kerajaan yang mentadbir, maka masyarakat akan mudah percaya isu yang dibangkitkan tersebut. Maka yang benar diyakini tidak benar, yang diisukan menjadi maklumat tepat dan benar.

Wednesday, 10 December 2014

Pusat Baitulmal



Seremban – Tidak ada lagi Nazir Masjid di seluruh masjid di Negeri Sembilan, namun ianya digantikan dengan Pengerusi Kariah Masjid yang akan bertanggungjawab hal ehwal kariah di kawasannya.

Pengerusi Kariah Masjid berperanan mengambil tahu hal-ehwal kariahnya dan menyediakan profile golongan yang memerlukan terutamanya warga emas, fakir miskin, ibu tunggal atau bapa tunggal.

Dengan adanya profile tersebut, maka masjid juga akan menjadi Pusat Baitulmal setempat yang akan menguruskan hal-ehwal kariahnya dari masa ke semasa.

YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan (Rantau-BN) menjawab soalan lisan YB. Dato’ Hj Mohamad Razi Hj Kail (Juasseh-BN) di Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-13.

113 lot untuk 113 pemilik



Seremban – Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-13 bersidang di Dewan Undangan Negeri Seremban.

Ketika ini berlangsungnya sesi menjawab soalan lisan di antara wakil rakyat bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.

YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan (Rantau-BN) memulakan sesi dengan menjawab soalan lisan dari Dato’ Yunus Rahmat (Klawang-BN) berkaitan Projek Perumahan Rakyat Kg. Simpang Durian.

Menurut YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, lokasi sebidang tanah berhampiran Simpang Durian tersebut merupakan satu lokasi strategik dan cantik malah terdapat banyak permohonan oleh orang ramai dan syarikat-syarikat.

Namun, Kerajaan Negeri tidak memberi kepada orang perseorangan atau syarikat-syarikat kerana lot tanah tersebut direzabkan untuk kediaman mampu milik dan kepada mereka yang benar-benar layak.

Kerajaan Negeri turut memperuntukkan keluasan 20 ekar (8.07 hektar) di Pekan Simpang Durian, Mukim Triang Ilir, Daerah Jelebu. Sebanyak 11 unit rumah sesebuah dapat didirikan dengan keluasan lebih kurang 300 meter persegi setiap lot.

Setiap permohonan ini telah melalui proses saringan yang ketat dan boleh di terima pakai. Simpang Durian merupakan kawasan yang memiliki pertumbuhan penduduk yang padat malah menjadi hasrat Kerajaan Negeri agar generasi kedua dan ketiga kekal menumpukan di kawasan tersebut malah mendiami kediaman berhampiran ibu bapa mereka.

Menurut YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan turut menjelaskan bahawa keluasannya telah dibahagikan kepada 113 lot untuk 113 pemilik, walaupun mempunyai permohonan yang ramai.

Setelah permohonan ini diluluska kelak dan lot tersebut telah dimiliki, maka urusan pemilik bersama pihak SPNB untuk membina rumah mesra rakyat.

Perkara ini juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan pekan-pekan kecil.

‘NS Matrix’



Seremban – Pasukan Bola Sepak Negeri Sembilan memulakan misi penswastaan setahun lebih awal, apabila FAM meletakkan sasaran penswastaan kepada pasukan bola sepak negeri-negeri bermula pada tahun 2016.

Memulakan penswastaan kepada pasukan bola sepak Negeri Sembilan, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) mula mengaturkan strategi dan langkah awal menjadikan pasukan ini diswastakan sepenuhnya dengan pengambilan dan mengekalkan barisan kumpulan pengurusan, jurulatih berkemahiran tinggi dan pemain-pemain profesioanal dalam pasukan.

Setelah segalanya berjalan dengan terbaik mungkin ke arena penswastaan dan pasukan dikendalikan oleh syarikat atau agensi korporat yang berminat, ketika itu PBNS akan menjadi persatuan yang fokus kepada pembangunan dan menjaga dasar sedia ada.

Berdepan musim 2015, pasukan bola sepak negeri ini akan dikenali dengan jolokan ‘NS Matrix’ bersempena penajaan utama oleh Matrix Concept. Di sebalik nama yang mungkin menimbulkan kegusaran peminat negeri ini, Matrix itu sendiri menunjukkan dan melambangkan semangat perjuangan yang tinggi berdepan pasukan lawan.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Presiden PBNS, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan selepas Menyempurnakan Majlis Memperkenalkan Pasukan Liga Premier 2015, “walaupun prestasi dua tahun kebelakangan ini tidak baik, namun matlamatnya kekal sama iaitu kelayakan ke Liga Super 2016. Di samping mampu bersaing di Piala Malaysia 2015 dan Piala FA 2015.

Beliau berkesempatan menyentuh pasukan pada 2012 dan 2013 merupakan satu pasukan yang mantap juga, tetapi tidak memahami ketirisan dan kegagalan pemain menunjukkan aksi cemerlang, bukan sahaja peminat bola negeri ini kecewa, tetapi sebagai presiden dan sebagai peminat bola tanahair, perkara ini dilihat tidak seharusnya berlaku.

Menurut Menteri Besar juga, NS Matrix 2015 di taja oleh Kappa Malaysia, Matrix Concept, SAINS dan Hospital Salam.

Hadir sama, Timbalan Presiden PBNS, Dato’ Hj Mat Ali Hj Hasan, Pengurus NS Matrix, Dato’ Ab. Ghani Hj Hasan dan Ketua Jurulatih NS Matrix, Devan a/l Kupusamy.

ASEAN Folklore 2014




SEREMBAN - Penganjuran pesta kebudayaan dan perlancongan sempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2014 dengan tujuan untuk mempromosikan Negeri Sembilan sebagai destinasi perlancongan unik yang dikenali juga sebagai Unique Culture Popular Destination atau Keunikan Budaya Destinasi popular, berjaya menarik hampir 10 ribu rakyat membanjiri sepanjang Jalan YamTuan bagi memeriahkan acara Negeri Sembilan ASEAN Folklore 2014, dimana ianya sebuah acara perlancongan yang berkonsepkan street performance.

Acara gilang-gemilang yang diadakan itu, merupakan pendekatan perlancongan Negeri Sembilan dalam mengetengahkan kebudayaan Negeri Sembilan khususnya dan kebudayaan-kebudayaan negeri-negeri di Malaysia serta Negara ASEAN lain seperti Thailand, Indonesia dan Singapura.

Temasya kebudayaan yang diadakan itu, dimeriahkan lagi dengan kehadiran Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan.

Beliau yang melahirkan rasa bangga dengan penganjuran pesta kebudayaan itu, turut merasmikan acara tersebut disamping merasmikan Malaysia Year of Festivals 2015 Peringkat Negeri Sembilan.

Umumnya, penganjuran Negeri Sembilan ASEAN Folklore 2014 ini menghimpunkan 1 ribu orang penari yang terdiri daripada daerah-daerah di Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Johor, Melaka, Terengganu, Borneo dan negara-negara Asean yang lain.

Antara lainnya, acara kebudayaan ini akan dapat memperkenalkan dengan lebih jelas tentang keunikan budaya dan adat resam masyarakat minangkabau di negeri ini selain memberi peluang kepada pelancong untuk merasai kenikmatan budaya di Negeri Sembilan.

Friday, 5 December 2014

Akidah Ini Adalah Perkara Penting




SEREMBAN, 04 Dis – Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) akan mendukung tujuh resolusi yang dibentangkan melalui Konvensyen Akidah Antarabangsa 2014 yang telah diadakan bagi memperkukuhkan institusi Islam.

Pengerusinya, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan selaku Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, tujuh resolusi utama yang dibentangkan hasil konvensyen akidah ini, akan menjadi teras utama pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk terus memperkukuh dan memantapkan akidah umat Islam di negeri ini.

Resolusi yang dibentangkan oleh Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, YB Sohibus Samahah Dato’ Mohd Yusof Ahmad, antaranya membentangkan tentang akidah umat Islam adalah akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berpandukan mazhab syafi’e selain menjamin keselamatan dan kestabilan negara.

Menurut YAB Menteri Besar, akidah suatu perkara penting dalam kehidupan Islam dan jika akidah tidak kuat, ianya jadi bermasalah dan bercelaru disebabkan kekeliruan agama yang boleh mengakibatkan perpecahan dalam agama bahkan melemahkan Islam itu sendiri.

Tambah beliau, melalui konvensyen sebegini juga, akan dapat melahirkan pakar-pakar ilmuan Islam yang mampu memperkukuhkan akidah umat Islam khususnya Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Akidah ini adalah suatu perkara penting, dan jika tidak kuat maka akan terjadilah kehancuran dalam Islam,” katanya sewaktu berucap merasmikan majlis penutup Konvensyen Akidah Antarabangsa 2014, di Auditorium Kebudayaan Negeri Sembilan.

Sementara itu, Konvensyen Akidah Antarabangsa dan Himpunan Daei yang dianjurkan melalui kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan Kumpulan Pendidikan As Sofa, merupakan pendekatan kepada umum mengenai asas ilmu akidah Islam yang kukuh melalui pembentangan kertas kerja hadith-hadith.

Konvensyen itu juga, turut menghidupkan semula tradisi keilmuan Islam yang diwarisi daripada zaman baginda Rasulullah, disamping membentuk keterampilan dan kekuatan ilmiah, sikap wasatiyyah serta mengelakkan sikap ekstrimisme dan kejumudan yang terbit daripada kepincangan dalam memahami agama.

Turut hadir, Ketua Hakim Syari’e Negeri Sembilan, Yang Amat Arif Dato Mohd Syukor Shabudin, Pengerusi Jawatankuasa Akidah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, YBhg. Dato’ Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Tuan Selamat Paigo dan Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Tuan Kamal Amran Kamarudin.

Pembukaan Kawasan Tadahan Air




PORT DICKSON, 2 Dis – Kerajaan Negeri Sembilan akan mengkaji setiap pembukaan kawasan tadahan air di seluruh kawasan hutan simpan kekal di negeri ini, mendapat persetujuan dalam Dewan Undangan Negeri mahupun Mesyuarat Exco Negeri, bagi memastikan alam sekitar terus terpelihara.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkata, bagi mencapai usaha kerajaan yang ingin melihat Hutan Simpan Kekal, terus terpelihara sebagai khazanah negara yang berharga bagi dinikmati generasi masa hadapan, perhatian terhadap isu hutan perlu diambil kira dalam memperkasakan sektor perhutanan.

“Bagi Kerajaan Negeri Sembilan, sebarang pembukaan kawasan tadahan air di hutan tidak boleh dilakukan sewenangnya dan ianya perlu mendapat kelulusan dalam Dewan Undangan Negeri,” jelasnya ketika berucap merasmikan Persidangan Pengarah-Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia kali ke-34, di Hotel Grand Lexis.

Menurut beliau, Negeri Sembilan bersedia untuk bersama pihak Jabatan Perhutanan dalam isu memelihara hutan demi melihat masa depan alam sekitar negara terus terjamin.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Sri Dr. Abd Rahman Abd Rahim menjelaskan, persidangan kali ini lebih fokus untuk membincang, meneliti dan membuat keputusan dasar bagi pelbagai isu berkaitan perhutanan demi memperkasakan amalan penguruan dan pembangunan hutan.

“Saya amat yakin melalui persidangan ini, akan dapat mencapai hasrat kerajaan seterusnya menyampaikan mesej bahawa Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia begitu komited dalam memastikan hutan negara dimanfaatkan oleh generasi hari ini dan akan datang,” jelasnya.

Dalam majlis yang sama, YAB Menteri Besar turut berharap agar Majlis Perhutanan Negara dihidupkan semula dan menjadikannya sebagai pusat utama perihal hutan dan punca kuasa pembangunan hutan, untuk mencapai aspirasi pemantapan, perlaksanaan, pengurusan dan pembangunan hutan yang lebih cekap dan berkesan menjelang tahun 2020.

Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan 2014




SEREMBAN – Perkembangan globalisasi semasa menyaksikan perubahan berlaku sangat pantas dan memberi kesan secara tidak langsung terhadap isu-isu berkaitan Orang Kurang Upaya (OKU), yang mengalami anjakan paradigma daripada pendekatan berasaskan kebajikan kepada pendekatan berasaskan hak.

Justeru, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang potensi dan nilai diri OKU serta penghormatan kepada mereka yang turut berjasa kepada pembangunan negara, penghargaan dan pengiktirafan kerajaan kepada golongan OKU ini ditafsirkan melalui Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan 2014, yang telah diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

Sambutan yang diadakan buat kali ke-21 itu, merangkumi aspek untuk mengetengahkan usaha kerajaan dalam memenuhi hak dan keperluan OKU, agar menjadi pemangkin dan faktor perangsang kepada semua pihak untuk lebih prihatin serta peka dengan keperluan OKU, selain membolehkan OKU bergembira bersama keluarga dan masyarakat dalam sebarang aktiviti yang dianjurkan.

Apa yang menarik, DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni al-Marhum Tuanku Munawir, turut perkenan mencemar duli berangkat ke majlis sambutan itu, untuk bersama-sama rakyat meraikan golongan istimewa dalam masyarakat ini dan menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Orang Kurang Upaya.

Turut sama mencemar duli, DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aisyah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Mengiringi baginda, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dan isteri, YM Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Sembilan, YB Dato’ Dr. Awaluddin Said, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Senator Datin Paduka Chew Mei Fun, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato’ Mat Ali Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, YB Dato’ Norhayati Omar serta Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sabariah Hassan.

Seiring dengan tema sambutan, ‘Pembangunan Lestari, Aksesibiliti Diutamakan’ menjadi fokus kerajaan untuk sentiasa komited dalam usaha meningkatkan kesejahteraan OKU berteraskan falsafah bahawa golongan ini juga mempunyai hak yang sama dengan orang lain.

Oleh itu, bagi merealisasikan hasrat dan aspirasi tersebut, setiap rakyat di negara ini harus memberi peluang yang sewajarnya untuk golongan OKU ini, bagi mereka merealisasikan potensi diri mereka ke tahap paling optimum, untuk membina masyarakat yang progresif, inklusif dan penyayang.