Powered By Blogger

Monday 27 April 2015

MAINS Naikkan Insentif Untuk Pelajar Negeri Sembilan 

Di Jordan



AMMAN (Jordan), 25 April – Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) akan menaikkan kadar insentif kecemerlangan bagi pelajar Negeri Sembilan yang melanjutkan pengajian di Jordan daripada RM1,000 hingga RM3,000.
Pengerusi MAINS Datuk Seri Mohamad Hasan berkata insentif itu diberi kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
“Jadi kalau pelajar mahu wang saku lebih, mereka perlu belajar rajin-rajin kerana inilah cara untuk memastikan pelajar akan belajar lebih cemerlang dan hadiah ini akan menaikkan semangat mereka,” katanya.
Selain itu, ia juga bagi membantu mereka menampung kos sara hidup di Jordan yang sangat tinggi terutama apabila berlakunya krisis di negara jirannya Syria, selain peningkatan nilai mata wang dinar Jordan.
“Banyak rungutan diterima jadi kita telah bertindak memberi kenaikan insentif ini kepada para pelajar agar mereka boleh menggunakannya untuk membantu meneruskan pengajian mereka,” katanya kepada media Malaysia selepas majlis ramah mesra bersama pelajar Negeri Sembilan di Jordan, di sini Khamis malam.
Mohamad, yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, mengadakan lawatan kerja dua hari yang berakhir hari ini ke Jordan, untuk meninjau perkembangan pengajian pelajar Malaysia dari Negeri Sembilan.
Kenaikan insentif diberi mengikut kelulusan iaitu Mumtaz (Cemerlang) daripada RM2,000 kepada RM5,000; Jayyid Jiddan (Sangat Baik) daripada RM1,000 dinaikkan kepada RM3,500 dan keputusan Jayyid (Baik) diberi RM1,000.
Sebelum ini MAINS turut mengumumkan kenaikan elaun sara hidup daripada dana zakat iaitu daripada RM4,000 kepada RM7,000 sebulan bagi penuntut semua jurusan bagi membantu mereka menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Dalam pada itu, Mohamad berkata berdasarkan maklum balas yang diterimanya, para pelajar Malaysia di Jordan tidak terancam walaupun negara itu dikelilingi negara yang menghadapi krisis seperti Syria dan Iraq.
Terdahulu pada majlis itu, Mohamad turut menyampaikan bantuan MAINS yang keseluruhannya berjumlah lebih RM200,000 bagi tujuan pengurusan pengajian pelajar Negeri Sembilan di Jordan.
Lebih 3,200 pelajar dari Malaysia mengikuti pengajian di Jordan dengan 148 orang daripada jumlah itu adalah pelajar dari Negeri Sembilan.
— BERNAMA

No comments:

Post a Comment