Powered By Blogger

Thursday 2 February 2012

Judi siber 'pengancam' yang perlu dihapuskan



 Judi siber kini menjadi ancaman besar kepada kesejahteraan rakyat di negeri ini, malahan dianggap sebagai krisis yang perlu dibanteras dalam apa cara sekali pun.

Ini kerana ia telah banyak membawa kehancuran rumah tangga, hilang tanggungjawab kepada anak, kelalaian di tempat kerja dan paling teruk lagi terjerumus kepada jenayah lain.

Hal ini telah menyebabkan kerajaan negeri bertindak mewujudkan Pasukan Pengurusan Krisis bagi menangani serangan judi siber, yang didalangi sindiket antarabangsa dengan menempatkan semua agensi bertanggungjawab dalam operasi bersepadu dan gerak kerjanya.

Dalam laporan Ibu Pejabat Polis Kontingen negeri sahaja pada Januari sehingga Disember 2011, sebanyak 662 serbuan dibuat dan daripada jumlah itu bilangan yang berjaya ialah 528 serbuan.

Sebanyak 538 tangkapan telah dibuat dalam tempoh tersebut dan 528 premis didapati mempunyai operasi judi siber, malahan 5,955 komputer telah dirampas.


Pada 1 hingga 28 Januari lalu sahaja, polis telah membuat 19 serbuan dan menahan tujuh orang dengan 285 komputer dirampas.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, orang ramai harus sedar kerajaan sentiasa mengambil tindakan terhadap operasi judi siber ini dan adalah tidak benar kerajaan melepas tangan dalam isu berkenaan.

''Jumlah dinyatakan ini hanya laporan pihak polis. Ini tidak termasuk tindakan yang telah dibuat oleh pihak berkuasa tempatan dan agensi penguat kuasa lain.

''Kita sedang berhadapan satu sindiket antarabangsa dan kaya, di mana servernya bukan di negara ini, sebaliknya di luar negara," tegas selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Hari ini, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) juga telah diarah untuk membuat serbuan dan menahan orang Islam yang berada dalam permis judi siber ini.

Jelas, tindakan lebih tegas wajar dilakukan termasuklah serbu dan terus tahan mereka yang bertanggungjawab selain memotong bekalan elektrik dan air di premis yang disalahgunakan bagi tujuan perjudian ini.


Kata Mohamad lagi, pada tahun lalu sahaja seramai 20,000 orang memohon bantuan daripada Baitulmal berbanding hanya 11,000 orang pada tahun sebelumnya.

Antara permasalahan yang dibangkitkan oleh isteri dan anak- anak ialah kesempitan kewangan akibat suami terlibat dengan fenomena perjudian siber.

Jadi, jangan kata kerajaan tidak banteras sebaliknya tanya diri sendiri mengapa kita menyokong perjudian siber. Ayuh kita banteras dengan kempen 'hapuskan judi siber'.

No comments:

Post a Comment