Powered By Blogger

Tuesday 3 September 2013

KRT tarik minat generasi muda


Paroi, 01 Sept –Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menyempurnakan bangunan baharu Kawasan Rukun Tetangga Taman Paroi Jaya ‘A’ Seremban.

Di dalam ucapan, beliau menyatakan bahawa komposisi kependudukan Melayu di bandar telah menyaksikan beberapa perubahan dan jurang kehidupan antara bandar dan luar bandar. Tambah beliau ini kerana kerajaan negeri prihatin serta mengambil berat keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Pelbagai kemudahan dan insfrastruktur di bina menjadikan masyarakat bandar berkembang mengikut arus perdana dalam masa yang sama membawa perkembangan kepada kehidupan di luar bandar.

Begitu di kampung, keselamatan dan kesejahteraan dijaga oleh JKKK di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar begitu juga di bandar di mana KRT di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional,masing-masing memainkan peranan yang sama.

Sedang negara pesat membangun, faktor keselamatan dan kesihatan di ambil perhatian khusus agar rakyat berasa selesa dan sejahtera di kawasan kediaman mereka.

Skim Rondaan Sukarela (SRS) di bawah penyeliaan KRT berjaya memainkan peranan itu juga menjadikan kawasan di bawah skim tersebut berjaya mengurangkan kadar jenayah.

Namun begitu, Menteri Besar menasihatkan SRS di kawasan ini di buka kepada generasi muda dan lebih bertenaga bagi memantau kawasan dan persekitaran yang perlu diambil perhatian.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional, Negeri Sembilan, Pengerusi KRT Taman Patoi Jaya ‘A’,  Dato’ Hj Mohd Mokhtar Hj Mohd Yassin dan Pengasas KRT Taman Paroi Jaya, Dato’ Mohd Firdaus Harun.

Monday 2 September 2013

Penyakit Kencing Tikus Masih Terkawal


Rasah, 29 Ogos – Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan berlangsung di perkarangan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan.Majlis dikunjungi tetamu kehormat, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan berserta isteri, Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumuddin.

Di majlis sama, beliau turut menyampaikan jalur gemilang sempena hari kemerdekaan kepada hospital dan pejabat kesihatan daerah.

Malah beliau turut menghargai sumbangan kuih raya oleh PEKERTI yang diketuai oleh isteri Menteri Besar untuk diagihkan kepada anggota bertugas.

Dalam majlis tersebut Menteri Besar mengulas bahawa tahap penyakit kencing tikus di negeri ini masih terkawal dan tidak sampai tahap terpaksa mengadakan kempen memburu dan membunuh tikus.

Ujar beliau menjadi keutamaan semua orang menjaga dan mengutamakan kebersihan dan kesihatan kerana ianya akan mencegah segala penyakit.

Katanya lagi, sampel kebersihan sentiasa dikaji selidik oleh Jabatan Kesihatan setiap masa dan dimaklumkan kepada Jabatan Pelancongan dan di bawa ke pengetahuan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri sentiasa memantau dan tidak mahu ianya menjadi satu masalah dan ancaman yang melanda negeri ini.

Kawasan eco-pelancongan seperti di Ulu Bendul dan Jeram Toi, walaupun kawasan yang terdedah dan mempunyai aliran sungai yang panjang, setakat ini masih selamat dan tidak terdedah dengan penyakit tersebut.

Menurut Menteri Besar lagi, pengagihan tanggungjawab yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah diberi supaya masalah seumpama penyakit tikus tidak menular di negeri ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Hj Mat Ali Hj Hasan dan isteri, Datin Hajah Paezah Hj Ismail dan Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dato’ Hajah Norzailan Dato’ Adnan.