Powered By Blogger

Thursday 30 April 2015



Maghribi setuju tambah kuota pelajar.


RABAT - MAGHRIBI. Maghribi bersetuju untuk menyediakan lebih banyak kuota khas bagi pelajar dari Negeri Sembilan melanjutkan pengajian di universiti terkemuka di negara itu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, persetujuan itu dinyatakan sendiri Menteri Pengajian Tinggi Maghribi, Dr Lahcen Daoudi.

Menurut Mohamad, sebelum ini kerajaan Maghribi menyediakan 20 tempat setiap tahun kepada Malaysia untuk menghantar pelajar bagi melanjutkan pelajaran ke negara itu dan Negeri Sembilan hanya mendapat lima tempat.

"Namun bermula tahun ini, Negeri Sembilan telah mendapat kuota khas yang diberikan kerajaan Maghribi iaitu sebanyak 20 lagi tempat menjadikan 25 tempat  kesemuanya.

"Sebentar tadi, Dr Lahcen telah menyatakan persetujuan untuk meningkatkan jumlah kuota khas tersebut khusus untuk Negeri Sembilan," katanya semasa berucap pada jamuan malam bersama pelajar Negeri Sembilan sempena lawatan tiga hari ke Maghribi, pada Rabu.

Majlis turut dihadiri Dr Lahcen Daoudi dan pemangku Datuk Bandar Rabat, Ibrahim Al Jumari.

Mohamad berkata, persetujuan itu sekali gus membantu Negeri Sembilan meningkatkan penghantar pelajar ke negara berkenaan dan mengurangkan penghantaran ke Mesir dan Jordan yang dilihat tidak kondusif untuk pembelajaran.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi Maghribi Dr Lahcen kerana menyediakan kuota khas ini dan diharapkan dengan langkah ini,
lebih ramai pelajar Negeri Sembilan belajar di negara ini," katanya.

Pada majlis tersebut Mohamad turut menerima replika kunci yang disampaikan Ibrahim sebagai tanda persahabatan.

Mohamad berkata, menerusi persahabatan yang baru terjalin itu, pemangku Datuk Bandar Rabat telah menyatakan persetujuan untuk memastikan kebajikan pelajar  Negeri Sembilan yang menetap di bandar itu, terjamin.

Kini, terdapat 34 pelajar dari Negeri Sembilan melanjutkan pengajian tinggi dalam pelbagai bidang di Maghribi. - Bernama

No comments:

Post a Comment