Powered By Blogger

Thursday 7 May 2015




        Pusat Internet Rakyat hanya bayar RM1

SEREMBAN - Berbekalkan hanya RM1, penghuni Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi, di sini, berpeluang melayari internet disediakan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) melalui Pusat Internet Rakyat dilancarkan secara rasmi, semalam.

Yang Dipertua MPS, Datuk Abd Halim Abd Latif berkata, bayaran itu bertujuan sebagai pendaftaran keahlian untuk tempoh setahun, bagi membolehkan penduduk menggunakan kemudahan tersebut pada bila-bila masa.

“Pusat internet ini dibuka dari Isnin hingga Jumaat, mulai jam 1 petang hingga 10 malam dan tiada had masa dikenakan kepada pengguna. Bagi Sabtu dan Ahad, kita masih mengkaji waktu operasi yang sesuai.    

“Sebanyak 20 komputer, termasuk dua mesin pencetak disediakan. Kesemuanya disumbangkan oleh Negeri Roadstone Sdn Bhd, di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Abd Halim, pusat internet terbabit merupakan yang kedua seumpamanya dilaksanakan oleh MPS, selepas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lobak, di sini, pada 2006.

“Selepas ini, kita bercadang untuk mewujudkan dua lagi pusat internet rakyat iaitu di Sikamat dan Ampangan. Sasaran kita pada tahun depan,” katanya yang mengalu-alukan syarikat tempatan atau antarabangsa untuk bekerjasama.

Adun Paroi, Mohd Ghazali Abd Wahid yang ditemui pada majlis perasmian itu nyata berpuas hati dan gembira dengan kewujudan pusat internet berkenaan.

“Difahamkan kapasiti untuk mengakses internet buat masa ini hanya 2Mbps, berikutan kekangan aspek infrastruktur di fasiliti tersebut.

“Kita harap Telekom Malaysia Berhad (TM) dapat mengambil langkah sewajarnya untuk meningkatkan kelajuan kepada 4Mbps, termasuk menyediakan kemudahan wifi,” katanya. 

No comments:

Post a Comment