Powered By Blogger

Monday, 7 July 2014

Bantuan RM500 kepada penjawat awam sempena syawal



SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan mengikut langkah Kerajaan Pusat melaksanakan Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada penjawat awam negeri pada bulan ini.

"Kalau Kerajaan Pusat beri bayaran bantuan khas itu, kita pun akan bagi sebagaimana jumlah yang dibayar kepada penjawat awam," kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 sebagai persiapan Aidil Fitri kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.

Perdana Menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 684,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa, bakti dan perkhidmatan mereka.

Pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat pada 15 Julai ini.

Monday, 30 June 2014

Satu Lembaga Masjid dan Surau peringkat negeri akan ditubuhkan




SEREMBAN 28 Jun – Satu Lembaga Masjid dan Surau peringkat negeri akan ditubuhkan dalam waktu terdekat bagi menyelaraskan aktiviti dan keperluan institusi itu, seiring dengan usaha mengharmonikan umat Islam keseluruhannya.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, di bawah lembaga berkenaan akan ada jawatankuasa dengan beliau menjadi pengerusi peringkat negeri, manakala semua Pegawai Daerah menganggotai jawatankuasa berkenaan, selain beberapa Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

“Lembaga yang akan diwujudkan ini akan menjadi pusat pemantau dan pengurusan masjid. Selain itu, ada penyelaras masjid dan surau yang kita bawa daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), di bawah pemantauan ataupun di bawah kuasa MAINS,” katanya di sini, hari ini.
Mohamad memberitahu, di peringkat daerah pula akan diwujudkan jawatankuasa masjid dan surau dengan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah serta dibantu timbalan pengerusi oleh Pegawai Agama Islam daerah masing-masing.

“Setiausaha di peringkat daerah ini ialah pegawai-pegawai penyelaras masjid dan surau. Kalau boleh, kita akan lantik jawatankuasa yang besar untuk memastikan turutan proses pentadbiran ini dapat dilangsungkan dengan berkesan,” jelasnya.

“Sebanyak 18 orang pegawai muda yang mempunyai ijazah dalam bidang agama Islam dari Mesir dan beberapa universiti lain telah diberikan jawatan dan menjalani kursus selama enam bulan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) antaranya berkaitan pengurusan dan kewangan.

“Mereka akan ditempatkan di masjid yang diperlukan dahulu dan ada dalam kalangan mereka terdiri daripada hafiz al-Quran,” katanya.

Justeru, kata beliau, adalah perlu pengurusan masjid memberikan kerjasama kepada pegawai muda ini dan memberikan sokongan dalam mereka melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

“Mereka akan datang ke masjid sebagai pentadbir dan setiausaha serta pengerusi masjid perlu bekerjasama agar masjid dapat diurus dengan baik.
“Apa yang penting kita mahu lihat masyarakat Islam di negeri ini terus kukuh, bersatu padu dan jangan berpecah-belah,” kata beliau.

Adik Muhammad Firdaus



Kesibukan tidak menghalang dan rasa perihatin serta kasih sayang seorang menteri besar , Dato Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dan isteri Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin yang telah meluangkan masa untuk melawat adik Muhammad Firdaus Dullah di hospital Tuanku Jaafar Seremban.pada jam 12.30 malam.

Friday, 27 June 2014

Lawatan Kerja ke Masjid Kariah Sikamat


SEREMBAN, 26 Jun – YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan pada tengah hari tadi telah membuat lawatan kerja ke Masjid Kariah Sikamat untuk melihat pembinaan bumbung baru yang dibina dikawasan ruang legar pintu masuk utama masjid.
Beliau yang membuat lawatan dan tinjauan kerja pembinaan di masjid ini melahirkan rasa puas hati dengan kualiti pembinaan yang hampir siap dan menjangkakan ianya dapat digunakan sebelum Ramadhan ini.
Menurut beliau, kos pembinaan bumbung baru yang bernilai lebih RM200,000 ini mempunyai keistimewaan kalis bunyi ketika hujan dan terdiri dari bahan yang tahan haba selain dapat digunakan secara optima oleh masyarakat setempat.
“Pembinaan bumbung baru ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat untuk menjalankan segala aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.
“Sempena Ramadhan Al-Mubarak yang menjelang tiba ini, saya menyarankan agar semua Jawatankuasa Masjid meneruskan agenda yang boleh mengimarahkan kunjungan ke masjid”, tambahnya lagi.
Menteri Besar turut menyatakan bahawa Majlis Agama Islam Negeri Sembilan telah memberikan bantuan tahunan 50 peratus yang dinaikkan kepada RM5,000 kepada seluruh masjid di Negeri Sembilan untuk digunakan bagi penyediaan juadah berbuka puasa kepada musafir mahupun masyarakat yang datang mengunjung.
Turut hadir, Pengerusi Masjid Kariah Sikamat, Tuan Haji Jamil Bin Abd Wahab, Imam Masjid Kariah Sikamat, Ustaz Haji Saleh Bin Japis dan Pegawai-pegawai Masjid Kariah Sikamat.

Masjid Kariah Taman Seremban Jaya


SEREMBAN, 25 Jun – Masjid Kariah Taman Seremban Jaya merupakan masjid baru yang dibina di atas tanah berkeluasan 4.2 hektar. Kos pembinaan sebanyak RM4.2 juta menjadikan masjid ini mempunyai kapasiti untuk menempatkan seramai 1500 orang jemaah pada satu-satu masa.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan menyifatkan masjid yang telah dibina ini sebagai tempat tumpuan dalam mempertingkatkan syiar Islam selain mengukuhkan ikatan ukhuwah dalam kalangan masyarakat Islam.
Menurut beliau, masjid yang dibina ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri kepada jemaah serta masyarakat setempat untuk melakukan aktiviti-aktiviti kerohanian dan kemasyarakatan.
“Saya merasa gembira dengan kesempurnaan struktur bangunan masjid yang dibina ini agar boleh diguna pakai oleh semua umat Islam.
“Dan sebagai umat Islam, kita perlu bersatu padu dan berganding bahu untuk terus berdaya saing malah sentiasa bekerjasama agar syiar Islam dapat diperluaskan”, katanya lagi sewaktu menyampaikan ucapan untuk menyempurnakan majlis.
Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, YB. Sohibus Samahah Dato’ Haji Mohd Yusof Bin Haji Ahmad telah mengisytiharkan Masjid ini secara rasminya boleh diguna pakai untuk menunaikan Solat Jumaat serta pelbagai program keagamaan yang sesuai dengan peranannya.
Terdahulu, majlis turut dimuliakan dengan penyampaian tazkirah dan majlis doa selamat yang dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Yusry Bin Mazlan serta taklimat projek oleh wakil Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan.
Majlis berakhir dengan simbolik penyerahan masjid kepada Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum menunaikan Solat Isyak seara berjemaah.
Turut hadir, Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, YB. Dato’ Dr. Haji Awaludin Bin Said, Exco Kerajaan Negeri Sembilan, YB. Dato’ Hasim Bin Rusdi, Pengarah Kerja Raya Negeri Sembilan, Encik Abdul Karim Bin Mohd Tahir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, YBhg. Ustaz Selamat Bin Paigo dan Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Tuan Kamal Amran Bin Kamarudin.

Wednesday, 25 June 2014

Memperkasa Amalan Sunnah Nabi Menerusi Pembacaan Kitab



SEREMBAN, 24 Jun – Usaha dalam mengembangkan syiar Islam di Negeri Sembilan terus diperhebatkan menerusi penganjuran Majlis Pengkhataman Hafazan Al-Quran Ke-11 yang diadakan di Masjid Negeri, malam tadi.
Hampir 2000 umat Islam hadir memeriahkan majlis anjuran bersama Kumpulan Pendidikan As-Sofa dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan.
Majlis itu turut dihadiri tiga ulama terkenal Mesir dan Maghribi iaitu Syeikh Dr. Sayyid Abdul Mun’im Ibn Abdul Aziz, Syeikh Dr. Mahmud Said Ibn Muhammad Mamduh Al-Syafi’e dan Dr. Al-Sayyid Hassan Ammari.
Objektif utama penganjuran kali ini adalah untuk membuktikan bahawa usaha menyebarkan hadis sebagai rujukan ilmu terus dipergiat selain usaha galakan amalan sunnah Nabi Muhammad SAW menerusi pembacaan kitab-kitab.
Selain itu, program ini bertujuan bagi pengkhataman Kutub Sab’ah Ke-2 dan Sahih Bukhari Ke-3 yang jelas perlu diambil kira sebagai usaha meneliti kandungan yang diamanatkan kepada seluruh umat Islam untuk difahami.
Program ilmiah seperti ini perlu diteruskan serta dibukakan kepada masyarakat agar seluruh institusi khususnya institusi agama di negara ini mempertingkatkan kaedah-kaedah penerapan syiar Islam.
Terlebih dahulu, Menteri Besar turut menyampaikan sijil-sijil pengkhataman kepada pelajar-pelajar As-Sofa yang telah khatam kitab suci Al-Quran.
Majlis berakhir dengan penyampaian anugerah Tokoh Ulama Islam Dunia bagi tahun 2014 oleh Dr. Al-Sayyid Hassan Ammari kepada Pengerusi Akidah MAINS merangkap Pengerusi Kumpulan Pendidikan As-Sofa, Dato’ Syeikh Muhammad Fuad Bin Kamaludin.
Turut hadir, Ketua Hakim Syari’e Negeri Sembilan, Y.A. Dato’ Mohd. Shukor Shabudin dan Setiausaha MAINS, YBhg. Tuan Kamal Amran Bin Kamaruddin.

Wednesday, 18 June 2014

Najib pengerusi mesyuarat menteri besar dan ketua menteri



PUTRAJAYA 17 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempengerusikan Mesyuarat Ke-121 Menteri Besar dan Ketua Menteri di Bilik Mesyuarat Perdana, Bangunan Perdana Putra di sini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan beberapa menteri Kabinet.
Ini merupakan mesyuarat kali kedua diadakan pada tahun ini yang bertujuan menyelaras pentadbiran antara negeri dan membincangkan isu-isu berbangkit.

Mesyuarat kali ini menyaksikan muka baharu iaitu Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman yang dilantik pada 12 Mei lalu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said yang meletak jawatan.

Seorang lagi muka baharu ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang mengambil alih jawatan daripada Tun Abdul Taib Mahmud, kini merupakan Yang Dipertua Negeri, pada 28 Feb tahun ini.
Mesyuarat bermula pada pukul 10 pagi. - BERNAMA