Powered By Blogger

Friday, 7 December 2012

Masjid Hussain bernilai RM15 juta dan di jangka siap dalam tempoh 14 bulan.


SEREMBAN, 03 Dis. – “Setelah terbinanya masjid ini nanti diharapkan penduduk Islam dapat hadir untuk solat berjemaah bersama-sama. Masjid ini juga adalah simbolik kepada usaha yang ditunjukkan oleh kerajaan bagi meneruskan dan meningkatkan syiar Islam dengan jayanya,”
Demikian kata Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan yang hadir di Majlis Kesyukuran Sempena Projek Pembinaan Masjid Hussain, Seremban 2 di Tapak Letak Kereta City Park, Seremban 2 pagi tadi.
Masjid yang diwakafkan oleh Tan Sri Abdul Rashid bin Hussain itu menelan belanja lebih kurang RM15 juta dan di jangka siap dalam tempoh 14 bulan. Masjid yang bakal disiapkan ini boleh memuatkan sehingga 3000 orang jemaah diatas tanah seluas 5 ekar. Konsep yang diterapkan adalah konsep masjid dalam taman.
Dalam ucapan Menteri Besar, beliau berkata, “Setakat ini enam masjid yang hampir siap dan masih dalam pembinaan sekitar Negeri Sembilan. Begitu juga dengan Wisma Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang dalam proses pembinaan. Selain itu, pihak kerajaan negeri juga telah mengadakan kelas-kelas agama bagi peringkat sekolah rendah dan menengah. Segala usaha ini dibuat adalah untuk memastikan agenda mempertingkatkan syiar Islam dapat diteruskan dengan jayanya,”
Menteri Besar menyatakan bahawa agenda menjadikan Negeri Sembilan sebagai lembah ilmu juga berjalan dengan lancar. Ini dibuktikan dengan keputusan-keputusan peperiksaan cemerlang yang dicatatkan oleh anak-anak Negeri Sembilan. Beliau juga mahu kedua-dua agenda ini bergerak seiring agar dapat melahirkan pemimpin yang berilmu dan berakhlak tinggi.
Sebelum mengakhiri ucapan, beliau berkata, “Sebagai tanda penghargaan pihak Kerajaan Negeri dan MAINS kepada Tan Sri Rashid yang telah mewakafkan masjid ini, masjid ini akan dinamakan sebagai Masjid Hussain, sempena nama Allahyarham bapa Tan Sri Rashid sendiri. Semoga lebih ramai lagi yang akan mengimarahkan konsep wakaf seperti ini.”
Tan Sri Rashid dan kepimpinan kerajaan negeri telah mengiringi Menteri Besar melawat tapak projek.
Hadir sama, Dato’ Hj. Razak bin Mansor, Speaker DUN, Dato’ Hj. Mat Ali bin Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Tuan Jihani bin Hassan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

Kilang Pemprosesan Bijirin Sarapan di Chembong yang Ketiga di Asia



Chembong, 03 Dis – Kilang pemprosesan bijirin sarapan di Malaysia telah di buka dengan rasminya di kawasan perindustrian Chembong, petang tadi.
Majlis dirasmi dan diperkenankan oleh DYMM Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir disaksikan oleh Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan.
Turut mencemar duli, DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan,Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Kilang pemprosesan ini bagi memenuhi permintaan bijirin sarapan yang semakin meningkat untuk pasaran rakyat Malaysia dan juga negara serantau.
Kilang pemprosesan di Chembong, merupakan kilang ketiga di Asia manakala yang ke-17  CPW beroperasi seluruh dunia dan menjadikan Malaysia sebagai pengeluar dan pengeksport bijirin sarapan bijian penuh rantau ini.
Pengeluaran di kilang ini akan dieksport ke negara luar seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Hong Kong, Taiwan, Pakistan, Bangladesh dan Vietnam.
Ia adalah usahasama Cereal Partners Worldwide (CPW) bersama Nestle S.A dan General Mills Inc.
Turut hadir, YTM Dato’ Lela Maharaja Dato’ Muhamad Sharip Hj Othman, Undang Luak Rembau.
Hadir sama, Dato’ Sri Mustapha Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Jamalullail, Pengerusi Nestle Malaysia, Wen-Wen Paquette Wang, Pengarah Serantau Cereal Partners Worldwide Asia (CPW) serta Peter R. Vogt, Pengarah Urusan Nestle Malaysia.
Turut kelihatan, Tuan Hj Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ahli Parlimen Rembau, Tuan Saifulbahri Idris, ADUN Chembong dan Dato’ Dr. Awaluddin Hj Said, ADUN Kota.

Imarahkan masjid dan jadikan sebagai pusat komuniti – MBNS


SEREMBAN, 04 Dis. – Dato’ Seri Utama Hj. Mohamad bin Hj. Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan hadir ke Majlis Sepetang Bersama  Imam dan Ahli JawatanKuasa (AJK) masjid-masjid sekitar Negeri Sembilan di Klana Resort Seremban petang tadi.
Majlis ini bertujuan untuk menyampaikan penganugerahan kepada masjid-masjid yang terpilih dan juga kepada tokoh-tokoh imam selain beramah mesra bersama Imam dan AJK masjid-masjid.
Dalam majlis itu, Menteri Besar berkata, “Imam dan AJK masjid perlu diberi pendedahan supaya dapat menjadi pemimpin yang boleh menimbang tara antara yang baik dan buruk agar sentiasa hidup dalam keadaan aman dan tenteram.”
Beliau menyatakan bahawa hasrat beliau adalah untuk melihat rakyat hidup dalam keadaan aman agar pihak kepimpinan dapat memajukan negeri tanpa menyingkirkan agama.
“Kita sudah pun mempunyai pelan pembangunan yang berstruktur baik dan ianya terbukti apabila diiktiraf sendiri oleh negara luar. Pembangunan ini akan diteruskan dan kerajaan akan sentiasa membangunkan negara dan menjangkau kemajuan tanpa mensasarkan agama Islam,”tambah beliau lagi.
Menteri Besar juga berharap agar masjid-masjid yang ada ini sentiasa diutamakan dan dijadikan sebagai pusat komuniti untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.
Beliau berkata,“Masjid adalah satu institusi yang baik, maka pihak pentadbiran masjid perlulah menguruskan setiap masjid dengan baik. Anjurkan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan agar masjid dapat diimarahkan lagi dan dijadikan sebagai tempat tumpuan. Aktiviti kemasyarakatan juga dapat membentuk perpaduan antara umat Islam supaya kita akan menjadi lebih kuat.”
Menteri Besar turut menyampaikan empat anugerah kepada  masjid-masjid yang terbaik dan anugerah khas tokoh Imam kepada tiga orang Imam terpilih yang telah memberi khidmat selama lebih 20 tahun.
Selain itu, beliau turut menyumbangkan sumbangan khas dalam bentuk projek kepada setiap masjid terbaik yang mendapat anugerah.
Hadir sama, Dato’ Hj. Mat Ali bin Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Tuan Johani bin Hassan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

Group Relamping TNB seiring usaha Dasar Pencahayaan Kerajaan Negeri


Senawang, 04 Dis – Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan melancarkan Group Relamping (Kumpulan Penyelengaraan Lampu Berkelompok) TNB di Dewan Orang Ramai Taman Tuanku Jaafar, Seremban, petang tadi.
Majlis dianjurkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Kerajaan Negeri.
Ujar beliau ketika berucap, “Program ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang telah melaksanakan Dasar Pencahayaan yang diperkenalkan pada tahun 2008. Saya dukacita membaca berita, seorang bilal meninggal dunia di Johol, ketika dalam perjalanan ke masjid ketika waktu subuh. Keadaan ini tidak seharusnya berlaku di kala zaman semakin maju dengan pesat.”

Beliau turut meletakkan sasaran masalah berkaitan lampu jalan ini dapat diselesaikan penghujung 2013 dan memastikan tiada lagi kawasan di bandar, taman-taman perumahan, jalan kampung dan perkampungan bergelap. Projek ini turut mendapat kerjasama JKR.
Hasil kerjasama pintar Kerajaan Negeri dan TNB dalam menangani isu ini akan menyelamatkan lebih banyak nyawa lagi. Projek ini merupakan sesuatu yang unik, kerana menggunakan kaedah jangka hayat, iaitu ‘belum rosak sudah diperbaiki.
Beliau turut menyeru kepada penduduk Taman Tuanku Jaafar dan taman sekitar agar bersyukur kerana Taman Tuanku Jaafar,  merupakan lokasi pertama dan Negeri Sembilan merupakan negeri yang diberi keutamaan oleh TNB.
Menurut beliau lagi, “Di Taman Tuanku Jaafar sahaja, TNB telah membelanjakan RM500 ribu. Ianya akan dilaksanakan selama dua tahun di seluruh Negeri Sembilan yang akan menelan belanja RM14 juta.”
Bukan sahaja ia meningkatkan faktor keselamatan, ia turut membantu mengurangkan kes jenayah dan boleh dikira program serampang dua mata.
Menurut Datuk Wira Ir. Azman Mohd, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, “lampu jalan merupakan antara aduan yang tertinggi diterima oleh Pusat Pengurusan Panggilan Kami atau TNB CareLine. Walaupun ianya bukan sumber pendapatan utama, tetapi ia adalah salah satu pengukur utama prestasi TNB di mata masyarakat.”
Turut hadir, Dato’ Hj Mat Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Hj Ismail Lasim, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Insfrastruktur Air, Tenaga dan Telekomunikasi dan Encik Kamal Arifin Abdul Rahman, Pengurus Besar Negeri (Negeri Sembilan) Bahagian Pembahagian TNB.

IBM Corporation iktiraf Negeri Sembilan sebagai bandaraya pintar



SEREMBAN, 05 Dis. – Negeri Sembilan melalui agensi sehenti ICT, Rangkaian Minang (NS) Sdn. Bhd (RMNS), telah terpilih sebagai salah satu daripada 30 bandar di dunia untuk menerima geran program ini dan satu-satunya di Malaysia dalam persaingan global yang dianjurkan oleh International Business Machines (IBM) Corporation iaitu program ‘Smarter Cities Challenge.’
Sebanyak 500 bandaraya telah disenarai pendek oleh IBM Corporation (IBM) dan di Malaysia terdapat dua lagi negeri lain yang telah bersaing untuk mendapat geran ini iaitu Wilayah Iskandar dan Cyberjaya.
Pemberian geran bernilai US$400,000 ini adalah meliputi akses kepada beberapa pakar terkemuka IBM yang akan menganalisis dan mencadangkan cara-cara untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan oleh pentadbiran negeri.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkata, pengiktirafan yang diberikan oleh IBM ini menjadikan Negeri Sembilan sebagai bandaraya yang mempunyai potensi besar dan struktur pembangunan dilihat berkonsepkan teknologi hijau dan perhubungan media yang baik.
Jelas beliau lagi, terdapat beberapa langkah dalam pembangunan ICT ini yang diambil supaya Negeri Sembilan dibangunkan dengan ICT yang mampan. Pembangunan fizikal juga akan mengikut pelan yang dirancang.
“Penganugerahan Geran Smarter Cities Challenge oleh IBM Corporation ini akan memberi kesan positif untuk melaksanakan pelan tindakan Negeri Sembilan ICT Strategic Plan (NSISP). Ianya amat membanggakan dan pengiktirafan pemberian geran ini adalah di atas inisiatif ICT yang disediakan Negeri Sembilan,” ujar beliau kepada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, hari ini.

MB luangkan masa melawat kawasan terlibat banjir


PORT DICKSON, 06 Dis. – Penduduk yang terlibat banjir di kedua-dua kawasan adalah antara penerima Bantuan Ihsan Bencana Alam daripada Tabung Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diwujudkan oleh kerajaan melalui Majlis keselamatan Negara (MKN), petang tadi.
Sejurus selepas program tersebut, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan  turun padang bersama dengan beberapa pemimpin kerajaan negeri yang lain bagi melihat kawasan yang terlibat banjir di Bandar Springhill dan Kampung Jimah, Port Dickson.
Beliau meluangkan masa sejam melawat dua tempat iaitu  kawasan Bandar Baru Springhill lokasi terjadinya kejadian tanah runtuh yang melibatkan jambatan sebagai penghubung utama kawasan taman dan jalan utama.
Disebabkan kejadian tersebut, beliau telah mengambil tindakan serta merta dan mengarahkan kontraktor agar memulakan kerja membaik pulih dengan kadar segera dengan anggaran peruntukan sebanyak RM240,000.

Beliau kemudiannya membuat lawatan ke Kampung Jimah Lama dan melalui kawasan sungai, jalan raya yang rosak, tebing tanah runtuh untuk melihat dan menziarah beberapa rumah penduduk yang dilanda banjir.
Tindakan melebar dan mendalamkan kawasan sungai juga diarahkan dengan segera sebagai satu cara bagi mengelakkan air sungai melimpah.
Turut di dalam lawatan Menteri Besar, Datuk Hj Mat Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ S. Sothinathan, Mantan Ahli Parlimen Telok Kemang dan Senator Datuk Dr Yeow Chai Thiam.

Sunday, 18 November 2012

Negeri Sembilan Menjadi Negeri Maju & Seremban Bandaraya Satelit -YAB Dato' Seri Utama Hj Mohamad B. Hj Hasan -


Seremban Bandaraya Satelit (Part 1)

Semoga Negeri Sembilan Terus Maju DiBawah Kepimpinan YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan Dgn IzinNYA....InsyaAllah...




Seremban Bandaraya Satelit (Part 2)

Negeri Sembilan akan terus Berkembang Pesat DiBawah PentadbiranYAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan Dgn Pelan Pembangunan Tersusun Tanpa Pinggirkan Rakyat yg Memerlukan...InsyaAllah...





Seremban Bandaraya Satelit (Part 3)

Negeri Sembilan akan terus Berkembang Pesat DiBawah PentadbiranYAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan Dgn Pelan Pembangunan Tersusun Tanpa Pinggirkan Rakyat yg Memerlukan Serta Menjadikan Sektor Teknologi Tinggi Memacu Ekonomi Domestik...InsyaAllah...



Negeri Sembilan Menjadi Negeri Maju & Seremban Bandaraya Satelit -YAB Dato' Seri Utama Hj Mohamad B. Hj Hasan -