Powered By Blogger

Friday 7 December 2012

Masjid Hussain bernilai RM15 juta dan di jangka siap dalam tempoh 14 bulan.


SEREMBAN, 03 Dis. – “Setelah terbinanya masjid ini nanti diharapkan penduduk Islam dapat hadir untuk solat berjemaah bersama-sama. Masjid ini juga adalah simbolik kepada usaha yang ditunjukkan oleh kerajaan bagi meneruskan dan meningkatkan syiar Islam dengan jayanya,”
Demikian kata Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan yang hadir di Majlis Kesyukuran Sempena Projek Pembinaan Masjid Hussain, Seremban 2 di Tapak Letak Kereta City Park, Seremban 2 pagi tadi.
Masjid yang diwakafkan oleh Tan Sri Abdul Rashid bin Hussain itu menelan belanja lebih kurang RM15 juta dan di jangka siap dalam tempoh 14 bulan. Masjid yang bakal disiapkan ini boleh memuatkan sehingga 3000 orang jemaah diatas tanah seluas 5 ekar. Konsep yang diterapkan adalah konsep masjid dalam taman.
Dalam ucapan Menteri Besar, beliau berkata, “Setakat ini enam masjid yang hampir siap dan masih dalam pembinaan sekitar Negeri Sembilan. Begitu juga dengan Wisma Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang dalam proses pembinaan. Selain itu, pihak kerajaan negeri juga telah mengadakan kelas-kelas agama bagi peringkat sekolah rendah dan menengah. Segala usaha ini dibuat adalah untuk memastikan agenda mempertingkatkan syiar Islam dapat diteruskan dengan jayanya,”
Menteri Besar menyatakan bahawa agenda menjadikan Negeri Sembilan sebagai lembah ilmu juga berjalan dengan lancar. Ini dibuktikan dengan keputusan-keputusan peperiksaan cemerlang yang dicatatkan oleh anak-anak Negeri Sembilan. Beliau juga mahu kedua-dua agenda ini bergerak seiring agar dapat melahirkan pemimpin yang berilmu dan berakhlak tinggi.
Sebelum mengakhiri ucapan, beliau berkata, “Sebagai tanda penghargaan pihak Kerajaan Negeri dan MAINS kepada Tan Sri Rashid yang telah mewakafkan masjid ini, masjid ini akan dinamakan sebagai Masjid Hussain, sempena nama Allahyarham bapa Tan Sri Rashid sendiri. Semoga lebih ramai lagi yang akan mengimarahkan konsep wakaf seperti ini.”
Tan Sri Rashid dan kepimpinan kerajaan negeri telah mengiringi Menteri Besar melawat tapak projek.
Hadir sama, Dato’ Hj. Razak bin Mansor, Speaker DUN, Dato’ Hj. Mat Ali bin Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Tuan Jihani bin Hassan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment