Powered By Blogger

Wednesday, 15 January 2014

Majlis Pecah Tanah Kilang Kellogg’s Malaysia


NILAI, 10 Jan. – “Kerajaan Negeri Sembilan mengambil langkah cepat dan tepat untuk meyakinkan pelabur asing terutamanya di dalam sektor perindustrian.
“Selain pengurusan yang cekap malah pentadbiran yang berhemah menjadikan ianya satu strategi yang berjaya menarik minat pelabur untuk melabur di Negeri Sembilan, Malaysia.” ujar Presiden Kelogg Asia Pasific, Encik Amit Banati.
Beliau turut melafazkan keyakinan bahawa keadaan politik dan ekonomi stabil negara ini turut menjadi faktor penyumbang kepada pengeluaran produk keluarannya di masa akan datang.
Majlis Pecah Tanah Kilang Kellogg’s Malaysia dirasmikan dengan pelancaran gimik pecah tanah oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB. Dato’ Seri Utama Mohd. Najib Bin Tun Haji Abdul Razak di Bandar Enstek, Nilai.
Terdahulu di dalam ucapan, Perdana Menteri menyatakan bahawa kejayaan industri pengeluaran makanan ini membuktikan bahawa Negeri Sembilan merupakan sebuah kawasan yang mampu menjana pendapatan dalam perniagaan.
Masyarakat di Negeri Sembilan seharusnya berasa bangga kerana jenama global yang terkenal telah memilih tapak di sini dengan jumlah pelaburan sebanyak RM400 million.
Katanya, pelaburan ini akan melahirkan kira-kira 300 pekerjaan baru serta lebih 100 lagi pekerjaan tidak langsung dalam bidang perkhidmatan.
“Selari dengan dunia tanpa sempadan dan kerjasama antarabangsa, faedah yang bakal diperoleh adalah besar. Bukan sekadar meningkatkan peluang pekerjaan dan kekayaan, tetapi faedahnya turut melimpah kepada ekonomi dan negara keseluruhannya.
Mengiringi Perdana Menteri, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan dan barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri Sembilan.
Antara yang hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, Presiden Kellogg Asia Pacific, Encik Amit Banati dan Duta Amerika Syarikat di Malaysia, Encik Joseph Y. Yun.

Sunday, 12 January 2014

Majlis Bacaan Yassin, Tahlil dan Doa Selamat sempena hari keputeraan ke-66 DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir


SEREMBAN, 9 Jan. – Majlis Bacaan Yassin, Tahlil dan Doa Selamat sempena hari keputeraan ke-66 DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berlangsung di Masjid Negeri, Seremban.
DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir berserta DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud mencemar duli di majlis tersebut.
Dianggarkan 3,500 orang jemaah sekitar bandar Seremban turut hadir bagi sama-sama mengimarahkan majlis ini.
Majlis bersempena keputeraan DYMM Yang Di-Pertuan Besar dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama jawatankuasa Masjid Negeri, Seremban.
Turut mengiringi DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan juga DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan dan isteri YM Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumuddin.
Majlis dimulai dengan solat Maghrib berjemaah diimamkan oleh Imam Masjid Negeri, Seremban disusuli dengan bacaan Yassin, tahlil dan doa selamat yang dipimpin oleh Mufti Negeri Sembilan, Sahibus Samahah Dato’ Hj Mohd Yusof Hj Ahmad.
Hadir sama, putera baginda DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, YM Tunku Ali Rethauddin ibni Tuanku Muhriz, YM Tunku Zain Al-’Abidin ibni Tuanku Muhriz Tunku Besar Tampin, YTM Tunku Syed Razman bin Tunku Syed Idrus Al-Qadri, Undang Luak Sg. Ujong Dato’ Kelana Putra Mubarak Bin Thohak.

Saturday, 11 January 2014

Kerajaan Negeri : Langkah Penjimatan


Seremban, 08 Jan. – Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah diarahkan mengeluar arahan kepada agensi-agensi dan jabatan kerajaan agar mengambil inisiatif penjimatan 30% kos operasi (penggunaan elektrik, air dan perkakasan pejabat) bagi langkah penjimatan.
Penjimatan ini berikutan kos guna tenaga yang meningkat dan semua kakitangan di minta untuk memikirkan langkah penjimatan tersebut.
Jelas Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan di sidang media mingguan di Wisma Negeri, Seremban.
Arahan tersebut bersifat umum dan beliau memberi hak berfikir kepada kakitangan-kakitangan terbabit apakah langkah dan kaedah sesuai di agensi dan jabatan tempat mereka bertugas.
Kerjasama dan keprihatinan oleh penjawat awam dalam menangani penjimatan ini akan diberikan ganjaran pada akhir tahun sebagai menghargai usaha mereka dan jabatan mereka.
 Selain itu, Menteri Besar memutuskan tidak akan sesekali memotong elaun penjawat awam di atas usaha mereka melaksanakan tanggungjawab mereka selama ini.
Ujar beliau, “perkara ini adalah tidak wajar dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat. Kerajaan Negeri sentiasa mencari jalan untuk menyelesaikan bebanan tersebut.”

Tuesday, 7 January 2014

Mensejahterakan Aqidah dengan Kaedah ‘Manhaj Sanusi’


SEREMBAN, 05 Jan – Umat Islam hari ini di ingatkan agar tidak lemas dengan revolusi yang wujud dengan pelbagai bentuk dan cara yang boleh mengganggu kesejahteraan akidah seseorang Islam.
Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkata, masyarakat Islam hari ini seperti hilang punca sehingga menganggap saudara sesama Islam sendiri sebagai musuh.
“Rakyat Islam hari ini perlu menyedari hakikat bahawa  akidah umat Islam kini dicabar dan diserang dengan berbagai kaedah yang ingin melihat sesama Islam itu berpecah-belah seterusnya musnah akibat persengketaan sesama sendiri,” jelasnya.
Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Seminar Dakwah dan Pendidikan Antarabangsa, Pemerkasaan Pendidikan dan Dakwah Melalui ‘Manhaj Sanusi’ sempena Pengkhataman Muwatta’ kali ke-2 di Kompleks Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan, dekat sini.
Menurut beliau, kaedah Manhaj Sanusi yang diperkenalkan Kolej Islam As Sofa merupakan pendekatan yang tepat dalam memainkan peranan dan usaha mereka melahirkan generasi ulama’ yang berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Dalam majlis yang sama YAB Menteri Besar turut mengalu-alukan kehadiran 4 orang Ulamak dari Mesir dan Libya.
Turut hadir, Penasihat Kehormat Yayasan Sofa Negeri Sembilan, YABhg. Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi, Pengerusi Akidah Kerajaan Negeri Sembilan, Dato Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al-Sanusi dan Ketua Hakim Syarie Negeri,  Yang Arif, Dato Hj Mohd Syukor Sabudin.

“Pemerkasaan Pendidikan dan Dakwah Melalui Manhaj Sanusi’


Seremban, 05 Jan. – Usaha Dato’ Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Sanusi, Pengerusi Sofa Education, Ahli MAINS dan Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Aqidah Kerajaan Negeri Sembilan membawa kaedah ‘Manhaj Sanusi’ di dalam kehidupan umat Islam kini amat dialu-alukan.
Kaedah ini amat sesuai dan  bertepatan dengan tingkahlaku manusia hari ini seterusnya memantapkan aqidah umat Islam menurut ajaran al-Quran dan Hadis sahih.
Ujar Menteri Besar Negeri Sembilan juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan ketika di sidang media ringkas selepas menyempurnakan seminar dakwah dan pendidikan antarabangsa “Pemerkasaan Pendidikan dan Dakwah Melalui Manhaj Sanusi’ sempena Pengkhataman Muwatta’  kali ke-2.
Beliau turut khuatir karenah umat Islam hari ini yang banyak berguru dari pelbagai cabang ajaran sehingga tidak mengambarkan rujukan sahih.
Malah, ada dikalangan umat Islam yang berani mengaku Tuhan, antaranya Tuhan Harun, Tuhan Kahar. Begitu juga ada yang mengaku Nabi Melayu dan Nabi Jawa sehingga ada yang percaya dan jumlahnya amat ramai.
Beliau menyokong usaha yang dilakukan oleh Yayasan As-Sofa melalui kaedah Manhaj Sanusi dengan membawa ulamak-ulamak yang terkemuka dari Madrasah As-Sanusi seterusnya membawa silibus tersebut untuk difahami.
Tujuannya adalah tidak lain dan tidak bukan untuk memulihkan penyakit aqidah yang melanda umat Islam negara ini.

Monday, 6 January 2014

Penyempurnaan Kejadian Penghulu Luak Inas : Adat Perpatih


Seri Menanti,04 Jan : D.Y.M.M Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pagi ini  telah perkenan mencemar duli menerima waris pusaka adat Luak Inas, Tuan Mohammad Ariff bin Sidek untuk menghadap sembah.
Majlis istiadat tersebut turut disaksikan oleh DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud berlangsung di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti.
Turut mengiringi Tuanku, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berserta isteri, YM Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumuddin.
Waris pusaka adat Luak Inas, Tuan Mohammad Ariff bin Sidek menghadap sembah ke atas DYMM Tuanku Besar Negeri Sembilan bagi tujuan kejadian Penghulu Luak Inas merujuk kepada tuntutan adat, ‘yang patah tumbuh hilang berganti.’
Pemasyuran kejadian Penghulu Luak Inas ini membawa gelaran Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Walad Kuala Dioh Mohammad Ariff bin Sidek.
Terdahulu,mengiringi Penghulu Luak Inas, Dato’ Dato’ Lembaga Luak Inas, Ibu Soko, Pembawa isi adat, juak-juak hulubalang yang membawa alat kebesaran adat serta ahli waris dan anak buah yang disambut oleh Dato Akhir Zaman dan Dato’ Penghulu Dagang Orang Empat Istana.
Turut hadir, Tunku Besar Seri Menanti, YM Tunku Ali Rethauddin ibni Tuanku Muhriz.