Powered By Blogger

Thursday, 24 April 2014

Kerja Pembinaan Semula Medan Selera Ampangan


AMPANGAN, 21 April – Kerja-kerja pembinaan semula Medan Selera Ampangan yang bermula sejak tahun 2011 dengan tujuan menaik taraf tapak perniagaan ini adalah untuk meningkatkan struktur kawasan serta menawarkan keselesaan yang lebih baik kepada para pengunjung.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan mengadakan satu lawatan kerja tengah hari tadi bagi membuat tinjauan kerja-kerja pembinaan terakhir sebelum dijadualkan semula pelancaran operasinya yang dijangka pada bulan Ramadhan tahun ini.
Lawatan beliau diiringi ADUN Kawasan Labu, YB. Dato’ Hasim Bin Rusdi, Setiausaha Majlis Perbandaran Seremban, Tuan Haji Ali Bin Luman dan Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Seremban, Encik Sabaruddin Bin Sulaiman.
Menurut beliau, kos projek pembinaan semula yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri ini adalah sebanyak RM8.7 juta mengikut spesifikasi yang amat baik serta bersesuaian untuk dijadikan sebagai mercu tanda dan juga medan pelancongan masyarakat tempatan mahupun luar negara yang datang berkunjung ke Negeri Sembilan kelak.
“Hasil usaha menaik taraf akan menjadikan medan selera ini cantik sekali gus menarik kedatangan pengunjung dengan jaminan kualiti dan kebersihan yang lebih baik”, katanya.
“Justeru, semua pihak khususnya operator penjual dan masyarakat yang berkunjung kelak haruslah memberi kerjasama yang baik agar mengutamakan kebersihan kawasan disamping mempromosi produk pelancongan yang dimiliki,” tegas beliau lagi.
Beliau menambah, Kerajaan Negeri mengalakkan perniagaan seumpama ini dengan pemberian permit percuma selama dua tahun bermula tahun 2014 sebagai satu cara mensejahterakan rakyat bagi meringankan beban mereka dalam keadaan semasa.

Monday, 21 April 2014

Pusat Rekreasi Jeram Serting Ulu


Serting Ulu, 20 April -  YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan meluangkan masa meninjau Pusat Rekreasi Jeram Serting Ulu, Jempol selepas menyempurnakan Majlis Kompleks Rekreasi Jeram Serting Ulu, Jempol.
Mengiringi beliau, Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Dato’ Hj Mat Ali Hj Hasan, ADUN Kawasan Serting, Dato’ Shamsulkahar Mat Deli, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Pelancongan, Tuan Tun Hairudin Abu Bakar, Pengerusi Perbadanan Pelancongan Negeri Sembilan, Dato’ Hj Mohamad Razi Hj Kail dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Dato’ Hj Mohd Salim Shariff.
Di dalam tinjauan dan lawatan ringkas beliau, beliau mahu Taman Rekreasi ini dipelihara keasliaannya, di jaga kebersihan di samping panoramanya tidak di sentuh untuk mengekalkan ketulenan bukan sahaja sebagai taman rekreasi tetapi sebagai hutan simpan.
Beliau juga menggesa Pejabat Daerah Jempol dan Jabatan Hutan memikirkan inisiatif kesedaran sivik kepada pengunjung agar sama-sama memelihara keindahan dan kebersihan taman rekreasi ini.
Menurut beliau lagi, Pusat Rekreasi Jeram Serting Ulu, Jempol merupakan antara prospek pelancongan di negeri ini.

RM987,129.00 Bayaran Zakat Perniagaan


Seremban, 17 Apr. – Bank Rakyat mempersembahkan bayaran zakat perniagaan berjumlah RM987,129.00 di Istana Hinggap, Seremban.
Majlis mempersembahkan bayaran zakat perniagaan diwakili oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), YB Dato’ Seri Hj Hasan Malek di hadapan DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Mengiringi DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan.
YB Dato’ Hasan Malek kemudiannya menyerahkan pembayaran zakat tersebut kepada DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Kemudiannya, baginda menyerahkan zakat tersebut kepada Pengerusi MAINS, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan.
Bank Rakyat merupakan bank di bawah pengurusan Koperasi di Kementerian KPDNKK, dan setiap tahun tidak lepas melunaskan zakat perniagaan di setiap negeri.
Menurut Dato’ Seri Hasan Malek ketika sidang media, Bank Rakyat memperoleh keuntungan setiap tahun dan memberi dividen kepada pemegang akaun sebanyak 15% iaitu kira-kira RM460 juta.
Pengerusi MAINS, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan pula melafazkan kesyukuran kerana pungutan zakat suku tahun pertama 2014 meningkat berbanding suku tahun pertama 2013 kepada RM24 juta tidak termasuk zakat yang baru diterima dari Bank Rakyat.
Beliau berharap, Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) terus komited menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat buat rakyat di negeri ini dengan pelbagai cara mudah, umpamanya menyediakan Skim Pemotongan Zakat Secara On-line.
Sebagai Pengerusi MAINS juga, beliau meletakkan  sasaran sebanyak RM80 juta tahun ini memandangkan, PZNS sentiasa melepasi target pungutan di tahun-tahun sebelumnya.
Hadir sama, Pengarah Urusan Presiden Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd Razak, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Sahibus Samahah Dato’ Hj Mohd Yusof Hj Ahmad, Setiausaha MAINS, Tuan Kamal Amran Kamaruddin dan Pengerusi Pusat Zakat Negeri Sembilan, Tuan Hj Nur Azmi Hj Musa dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, YBhg. Ustaz Selamat Bin Paigo

Wednesday, 16 April 2014

Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri


Seremban, 14 Apr. – Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan sedang berlangsung di Dewan Undangan Negeri, Seremban.
Kertas Dewan Bil 1/2014, Anggaran Perbelanjaan Mengurus Tambahan Kedua Tahun 2013 dan Kertas Dewan Bil 2/2014, Pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri, yang dibentangkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan (BN-Rantau) mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bersidang.
Sidang Dewan, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan dikemudikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, YB. Dato’ Dr. Awaluddin Hj Said.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan (BN-Rantau) ketika ini sedang menjawab soalan lisan dari wakil rakyat.
Seramai 20 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) hadir manakala 15 wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) bersidang kali ini.
Menjawab soalan lisan dari YB. Dato’ Lillah Hj Yassin (BN-Palong), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menjelaskan Kerajaan Negeri  sentiasa memikirkan kadar pulangan yang memuaskan bagi setiap ringgit pelaburan yang difikir dalam pelbagai bentuk terutamanya dalam mengurusakan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Langkah-langkah penjimatan yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi tahun 2014 adalah berdasarkan Surat Pekeliling yang diedarkan oleh Pejabat Kewangan Negeri Bil. 1/2014 “Garis Panduan Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan 2014″ serta pekeliling dan peraturan lain yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan PErsekutuan dari masa ke semasa.
Pengurusan perlu berhemah agar tidak mendatang masalah di peringkat operasi. Selama lima (5) tahun Kerajaan Negeri melaksanakan perbelanjaan berimbang dan paling membanggakan melalui belanjawan berimbang memperoleh surplus (lebihan).
Menteri Besar turut menjelaskan bahawa agensi-agensi telah bekerjasama dan mereka telah faham dan bekerja dengan baik dan memberi manfaat kepada rakyat.
Selain itu, pendapatan turut diperolehi melalui Hasil Bukan Cukai iaitu dari premium tanah yang berjaya di kutip melalui Pejabat-Pejabat Daerah di negeri ini.

Gotong-Royong Perdana Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2014



SIKAMAT, 12 April – Penyakit demam denggi diseluruh Negeri Sembilan semakin menular dengan pembiakan nyamuk Aedes yang semakin merebak sehingga mendatangkan masalah kepada masyarakat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan dalam ucapan menyatakan, sikap masyarakat yang tidak menjaga kebersihan kawasan tempat tinggal menyebabkan kadar pembiakan nyamuk Aedes meningkat tinggi lantas mengakibatkan jangkitan denggi terus berlaku dalam kalangan penduduk.
Menurut beliau, program Gotong Royong Perdana Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2014 yang diadakan di Padang Taman Desa Rhu, Sikamat pagi ini memberi impak yang amat baik dalam menjaga kebersihan kawasan.
Kolaborasi Tiga Penjuru diantara PBT, KRT dan COMBI menyumbang bakti melaksanakan program ini bersama-sama pasukan Askar Wataniah, PLKN Rembau dan juga PLKN Kuala Pilah.
“Kita pasti akan dapat membina kehidupan murni, tenteram dan bahagia dengan terus memberi komitmen bersama masyarakat setempat bagi bekerjasama menyelia kawasan tempat tinggal”, katanya sewaktu menyempurnakan perasmian program.
Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan masyarakat supaya terus berwaspada dan mengambil langkah pencegahan awal bagi mencegah pembiakan Aedes yang mengundang demam denggi.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB. Dato’ Haji Mat Ali Bin Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, YB. Dato’ Haji Jalaluddin Bin Haji Alias.

Wednesday, 9 April 2014

Pergiatkan Pembangunan Luar Bandar


REMBAU, 04 April – Sebuah Majlis Pelancaran Rumah Contoh Projek Rimbunan Kaseh Mukim Batu Hampar telah dilancarkan di Pusat Komuniti Bersepadu Rimbunan Kaseh Kg. Seberang Batu Hampar, Rembau, Negeri Sembilan.
Keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memajukan pembangunan kawasan luar bandar kini dipergiat bagi memastikan setiap aktiviti khususnya dalam bidang ekonomi dan juga pertanian dipertingkat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan berkata, kawasan luar bandar perlu diberi perhatian dalam keghairahan pembangunan yang amat baik. Ini adalah untuk memastikan masyarakat luar bandar mengenal erti kemajuan.
Menurut beliau, projek Rimbunan Kaseh yang dijalankan ini merupakan percambahan fikiran serta gabungan syarikat yang besar melalui perkongsian pintar dengan tujuan melahirkan para jutawan.
“Kehidupan di kampung mahupun di luar bandar tidak perlu dilabel sebagai kawasan yang kurang kemajuan sebaliknya ia adalah kawasan yang mampu menjana pendapatan”, katanya lagi.
Rumah IRIS KOTO IBS yang dibina sebanyak 100 buah unit dengan keluasan 1175 kps setiap satu, menjadikan kawasan seluas 20 ekar ini sebagai kawasan yang mempunyai kemudahan setempat bagi masyarakat luar bandar.
Seramai 100 orang peserta yang ditempatkan di kawasan baru ini akan bekerja selama 5 tahun bagi mengusahakan industri asas tani. Elaun sebanyak RM1000 akan diberikan pada 6 bulan yang pertama seterusnya akan ditingkatkan kepada RM1500 sehingga akhir 5 tahun.
Turut hadir, Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Sembilan, YB. Dato’ Dr. Haji Awaludin Bin Said, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB. Dato’ Haji Mat Ali Bin Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia Dan Sukan merangkap ADUN Chembong, YB. Dato’ Zhaifulbahri Bin Idris, Ketua Pengarah ICU JPM, YBhg. Tan Sri Shukry Bin Mohd Salleh dan Pengarah Urusan IRIS Corporation Berhad, YBhg. Dato’ Tan Say Jim.

Strategi Rakan Kongsi


Seremban, 02 April- Strategi Rakan Kongsi yang digunapakai kerajaan Negeri Sembilan dalam perkongsian bersama Kerajaan Persekutuan sebagai rakan kongsi yang mantap dan mempunyai kedudukkan kukuh bagi Negeri Sembilan.
Hampir RM664 juta hutang kerajaan berjaya dikurangkan daripada RM2.4 bilion hasil persefahaman bersama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang meliputi hutang kerajaan Negeri bagi membuka tanah- tanah pinggir dan membina rumah- rumah rakyat serta kerja- kerja masyarakat.
Strategi rakan kongsi yang digunakan dapat mengurangkan hampir 75% majoriti hutang yang berkaitan dengan menaik taraf  projek berkaitan pembekalan air di Negeri Sembilan dimana air yang dahulunya menjadi hak mutlak kerajaan negeri kini dilonggarkan pemilik dengan kerjasama kerajaan persekutuan bagi mengurangkan tanggungan hutang.
Menurut beliau, Kerajaan persekutuan juga telah menubuhkan Perbadanan Air Berhad bagi strategi mengurangkan bebanan hutang yang besar ditanggung Kerajaan Negeri.
“Dengan adanya kerjasama begini, kerajaan dapat menstabilkan dan menyeragamkan tarif air yang rendah diseluruh Negara”, jelas beliau ketika sidang media hari ini.
Beliau juga mengulas bahawa apabila kerja- kerja menaik taraf air dan loji selesai, hampir RM450 juta baki akan dipulangkan semula kepada kerajaan persekutuan, manakala kerajaan Negeri akan mengambil semula hutang- hutang lama sebanyak RM214 juta seperti membina rumah murah, membuka tanah pinggir dan kerja- kerja menaik taraf serta lain- lainnya
Didalam sidang media itu juga, beliau turut menasihati kepada rakyat Negeri Sembilan agar sentiasa berhemah dalam menggunakan air serta mengelakkan pembaziran walaupun krisis air di negeri ini  terkawal.