AMPANGAN, 21 April – Kerja-kerja pembinaan semula Medan Selera Ampangan yang bermula sejak tahun 2011 dengan tujuan menaik taraf tapak perniagaan ini adalah untuk meningkatkan struktur kawasan serta menawarkan keselesaan yang lebih baik kepada para pengunjung.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan mengadakan satu lawatan kerja tengah hari tadi bagi membuat tinjauan kerja-kerja pembinaan terakhir sebelum dijadualkan semula pelancaran operasinya yang dijangka pada bulan Ramadhan tahun ini.
Lawatan beliau diiringi ADUN Kawasan Labu, YB. Dato’ Hasim Bin Rusdi, Setiausaha Majlis Perbandaran Seremban, Tuan Haji Ali Bin Luman dan Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Seremban, Encik Sabaruddin Bin Sulaiman.
Menurut beliau, kos projek pembinaan semula yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri ini adalah sebanyak RM8.7 juta mengikut spesifikasi yang amat baik serta bersesuaian untuk dijadikan sebagai mercu tanda dan juga medan pelancongan masyarakat tempatan mahupun luar negara yang datang berkunjung ke Negeri Sembilan kelak.
“Hasil usaha menaik taraf akan menjadikan medan selera ini cantik sekali gus menarik kedatangan pengunjung dengan jaminan kualiti dan kebersihan yang lebih baik”, katanya.
“Justeru, semua pihak khususnya operator penjual dan masyarakat yang berkunjung kelak haruslah memberi kerjasama yang baik agar mengutamakan kebersihan kawasan disamping mempromosi produk pelancongan yang dimiliki,” tegas beliau lagi.
Beliau menambah, Kerajaan Negeri mengalakkan perniagaan seumpama ini dengan pemberian permit percuma selama dua tahun bermula tahun 2014 sebagai satu cara mensejahterakan rakyat bagi meringankan beban mereka dalam keadaan semasa.
No comments:
Post a Comment