Rantau, 23 Mac – Fitnah menjadi lumrah manusia yang berlumba-lumba mahu menjadikan diri mereka dipandang mulia oleh orang lain, namun mangsa fitnah pula akan terus-terusan ditohmah oleh golongan yang mempercayainya.
Hakikat sebenar, fitnah berleluasa sejak zaman berzaman malah ketika zaman Rasulullah,Nabi Muhammad SAW, budaya fitnah juga sukar dibendung dan manusia sering berbalah-balah disebabkan faktor mendengar dari satu pihak sahaja.
Budaya ini dapat kita hindarkan jika kemantapan kendiri sebagai ummat Islam dituruti dan tidak membiarkan ianya membelenggu dalam sebuah kehidupan.
Ujar Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Kompleks Pusat Islam Rantau, YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan ketika berucap di Majlis Sambutan Maulidur Rasul Bagi Tahun 2014/1435H Masjid Kompleks Pusat Islam Rantau.
Beliau hadir menyempurnakan majlis tersebut menyatakan dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini, terdapat dua kaedah fitnah yang berleluasa iaitu berlaku fitnah di alam nyata, malah turut berlaku di alam maya.
Situasi ini amat membimbangkan kerana fitnah maya yang berleluasa menjadikan perkara tersebut dilihat sebagai satu kebenaran.
Paling membimbangkan lagi, apabila sesuatu perkara benar tidak lagi diyakini oleh segolongan masyarakat di negara ini.
Bagi menghadapi dan menangkis budaya ini, masyarakat perlu berjiwa besar dan pertingkatkan jati diri bagi perjelaskan perkara sebenar untuk membetulkan perkara fitnah yang dianggap benar.
Terdahulu, Penceramah bebas, Al-Fadil Ustaz Hj Badli Shah Alauddin menyampaikan ceramah bertajuk “Bahayanya fitnah dalam masyarakat kita.”
Turut hadir, isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, YM Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumuddin.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, Dato’ Dr. Awaluddin bin Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Dato’ Hj Mat Ali Hj Hasan.
No comments:
Post a Comment