Powered By Blogger

Friday, 5 December 2014

Pembukaan Kawasan Tadahan Air




PORT DICKSON, 2 Dis – Kerajaan Negeri Sembilan akan mengkaji setiap pembukaan kawasan tadahan air di seluruh kawasan hutan simpan kekal di negeri ini, mendapat persetujuan dalam Dewan Undangan Negeri mahupun Mesyuarat Exco Negeri, bagi memastikan alam sekitar terus terpelihara.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkata, bagi mencapai usaha kerajaan yang ingin melihat Hutan Simpan Kekal, terus terpelihara sebagai khazanah negara yang berharga bagi dinikmati generasi masa hadapan, perhatian terhadap isu hutan perlu diambil kira dalam memperkasakan sektor perhutanan.

“Bagi Kerajaan Negeri Sembilan, sebarang pembukaan kawasan tadahan air di hutan tidak boleh dilakukan sewenangnya dan ianya perlu mendapat kelulusan dalam Dewan Undangan Negeri,” jelasnya ketika berucap merasmikan Persidangan Pengarah-Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia kali ke-34, di Hotel Grand Lexis.

Menurut beliau, Negeri Sembilan bersedia untuk bersama pihak Jabatan Perhutanan dalam isu memelihara hutan demi melihat masa depan alam sekitar negara terus terjamin.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Sri Dr. Abd Rahman Abd Rahim menjelaskan, persidangan kali ini lebih fokus untuk membincang, meneliti dan membuat keputusan dasar bagi pelbagai isu berkaitan perhutanan demi memperkasakan amalan penguruan dan pembangunan hutan.

“Saya amat yakin melalui persidangan ini, akan dapat mencapai hasrat kerajaan seterusnya menyampaikan mesej bahawa Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia begitu komited dalam memastikan hutan negara dimanfaatkan oleh generasi hari ini dan akan datang,” jelasnya.

Dalam majlis yang sama, YAB Menteri Besar turut berharap agar Majlis Perhutanan Negara dihidupkan semula dan menjadikannya sebagai pusat utama perihal hutan dan punca kuasa pembangunan hutan, untuk mencapai aspirasi pemantapan, perlaksanaan, pengurusan dan pembangunan hutan yang lebih cekap dan berkesan menjelang tahun 2020.

Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan 2014




SEREMBAN – Perkembangan globalisasi semasa menyaksikan perubahan berlaku sangat pantas dan memberi kesan secara tidak langsung terhadap isu-isu berkaitan Orang Kurang Upaya (OKU), yang mengalami anjakan paradigma daripada pendekatan berasaskan kebajikan kepada pendekatan berasaskan hak.

Justeru, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang potensi dan nilai diri OKU serta penghormatan kepada mereka yang turut berjasa kepada pembangunan negara, penghargaan dan pengiktirafan kerajaan kepada golongan OKU ini ditafsirkan melalui Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan 2014, yang telah diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

Sambutan yang diadakan buat kali ke-21 itu, merangkumi aspek untuk mengetengahkan usaha kerajaan dalam memenuhi hak dan keperluan OKU, agar menjadi pemangkin dan faktor perangsang kepada semua pihak untuk lebih prihatin serta peka dengan keperluan OKU, selain membolehkan OKU bergembira bersama keluarga dan masyarakat dalam sebarang aktiviti yang dianjurkan.

Apa yang menarik, DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni al-Marhum Tuanku Munawir, turut perkenan mencemar duli berangkat ke majlis sambutan itu, untuk bersama-sama rakyat meraikan golongan istimewa dalam masyarakat ini dan menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Orang Kurang Upaya.

Turut sama mencemar duli, DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aisyah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Mengiringi baginda, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dan isteri, YM Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Sembilan, YB Dato’ Dr. Awaluddin Said, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Senator Datin Paduka Chew Mei Fun, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato’ Mat Ali Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, YB Dato’ Norhayati Omar serta Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sabariah Hassan.

Seiring dengan tema sambutan, ‘Pembangunan Lestari, Aksesibiliti Diutamakan’ menjadi fokus kerajaan untuk sentiasa komited dalam usaha meningkatkan kesejahteraan OKU berteraskan falsafah bahawa golongan ini juga mempunyai hak yang sama dengan orang lain.

Oleh itu, bagi merealisasikan hasrat dan aspirasi tersebut, setiap rakyat di negara ini harus memberi peluang yang sewajarnya untuk golongan OKU ini, bagi mereka merealisasikan potensi diri mereka ke tahap paling optimum, untuk membina masyarakat yang progresif, inklusif dan penyayang.

Thursday, 20 November 2014

Khazanah Generasi Akan Datang



Seremban, 19 Nov. – Semua negeri di dalam Malaysia akan menjadi anggota tetap Majlis Tanah Negara (MTN) seperti termaktub di dalam perlembagaannya yang diputuskan di dalam mesyuarat bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri yang berlangsung di Putrajaya, semalam.


Perkara ini telah diputuskan bagi MTN merancang dan mengurus pembangunan tanah dalam negara ini terutamanya pada status tanah baru, tanah hutan dan pengurusan pantai.


Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menjawab pertanyaan media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan ( Negeri Sembilan Womens Organisation – NSWO) di Dewan NSWO, Seremban, hari ini.


Menurut Menteri Besar, hasil dari perbincangan dua hala tersebut, MTN tidak mahu lagi melihat pembangunan yang pelbagai ini mendatangkan masalah di kemudian hari.


Tegasnya, “bila berdepan masalah di negeri-negeri tertentu, Kerajaan Pusat juga yang akan dipertanggungjawabkan.
“Di Negeri Sembilan, gazet hutan tadahan air tidak boleh diusik dan terpelihara demi kelangsungan generasi akan datang. Sumber air minuman kita datangnya dari tadahan tersebut.


Jangan disebabkan terlampau mengutamakan keuntungan, maka khazanah negara terancam. Kerajaan Negeri juga tidak membenarkan aktiviti pembangunan dan penerokaan di kawasan itu.” tegas beliau lagi.


Dalam perkembangan sama, beliau turut menjelaskan peranan Kertas Unit Perancangan Ekonomi iaitu pengumpulan data penggunaan tanah. Walaupun dari sudut perlembagaan negeri ianya wujud, namun di peringkat pusat juga perlu ada data berpusat agar semua perancangan pembangunan lebih holistik.

Monday, 17 November 2014

Memperbaiki Jati Diri






Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menyeru umat Islam negara dan negeri ini kembali kepada fitrah agama, memperbaiki jati diri dan memelihara akidah yang kian goyang.

Perkara ini perlu di ambil perhatian serius oleh umat Islam setelah dunia Islam di serang bertubi-tubi, kini hanya Malaysia yang tinggal sebagai benteng akhir mempertahankan agama suci Islam.

Menteri Besar hadir di Majlis Sambutan Maal Hijrah 1436H Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Rantau di Masjid Imam Hj Kahar, malam tadi melafazkan perasaan khuatir kepada situasi dan keadaan yang melanda negara ini kerana semakin banyak fahaman dan aliran agama datang tanpa di duga.

Kekhuatiran beliau jelas terpancar dengan pelbagai fahaman dan aliran, sesetengah mereka tidak menyakini hadis (anti hadis) dan hanya berpandukan al-Quran semata.


Di perkembangan mutakhir pula, semakin ramai golongan liberal yang menuntut hak asasi kebebasan melebihi dari perundangan yang termaktub di dalam al-Quran.

Perkara ini menjadi punca kebocoran dan ketirisan, jika tidak diperbaiki dikhuatiri akan melanda umat Islam secara keseluruhannya.

Malah, melalui hak kebebasan yang diperjuangkan tidak kena pada gayanya kerana Al-Quran merupakan mukjizat Allah SWT dan perlu dipertahankan sebagai panduan umat seluruh dunia.

Hadir sama, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, Dato’ Dr. Hj Awaluddin Hj Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembila, Dato’ Hj Mat Ali Hj Hasan, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri merangkap ADUN Kawasan Chembong, Dato’ Zaifulbahari Idris dan ADUN Kawasan Paroi, Tuan Mohd Ghazali Hj Abdul Wahid.

Friday, 14 November 2014

“Selagi kita tidak memfailkan rayuan, maka keputusan penghakiman itu akan berjalan."




Kerajaan negeri telah melantik peguam bagi memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 sebagai tidak sah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rayuan itu akan dibuat dalam tempoh terdekat bagi memastikan keputusan penghakiman Mahkamah Rayuan tersebut ditangguhkan.
“Selagi kita tidak memfailkan rayuan, maka keputusan penghakiman itu akan berjalan.

“Penetapan keputusan itu akan membawa masalah lebih besar kepada kita kerana semua enakmen syariah dibuat mengikut hukum Allah, bukan hukum yang kita buat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri hari ini.

Jelasnya, enakmen syariah itu perlu dipertahankan demi menjaga martabat, maruah dan kesucian agama Islam.

“Enakmen itu adalah untuk orang beragama Islam dan bukan untuk orang bukan Islam, sebagai orang Islam, kita wajib mempertahankannya,” tegas beliau.

Pada 7 November lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusannya mengisytiharkan sebagai tidak sah ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd Yunus, memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak sah di sisi Perlembagaan kerana mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi keadaan dikenali masalah identiti gender (GID) dari segi perubatan.

Friday, 7 November 2014

Pemaju Tidak Ambil Peduli





SEREMBAN 06 Nov. – Kerajaan negeri akan mengeluarkan arahan pemberhentian kerja jika pemilik projek pembinaan mengingkari amaran pertama pembersihan kawasan yang dikenal pasti menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, kerajaan mendapati ada tapak pembinaan terutama di kawasan rumah kongsi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan perkembangan itu tidak boleh dibiarkan berterusan.

“Saya tegaskan bahawa banyak pemaju tidak ambil peduli hal tersebut malah tidak mengendahkan apa yang berlaku di rumah kongsi dan sekitar tapak pembinaan dengan serius.

“Kadangkala apabila saman diberikan, mereka boleh membayarnya dan itu tidak menjejaskan kewangan mereka,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco.

Tambah Mohamad, melihatkan sikap sambil lewa dalam kalangan pemaju dan pemilik projek, maka satu tindakan drastik dibuat oleh kerajaan iaitu mana-mana tapak pembinaan yang didapati menjadi lokasi pembiakan nyamuk akan diberikan amaran pertama arahan pembersihan kawasan.

“Selepas pemeriksaan kali kedua dibuat dan masih didapati wujud pembiakan nyamuk, kita akan mengemukakan perintah melalui undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan supaya arahan pemberhentian kerja selama seminggu sehingga pemiliknya melakukan pembersihan menyeluruh.

“Jika kali ketiga masih lagi ada pembiakan nyamuk, arahan pemberhentian kerja dan penutupan tapak akan dilakukan selama sebulan, manakala pemilik projek (bukan kontraktor) akan dihadapkan ke mahkamah,” tegas Mohamad.

Katanya, tindakan itu akan terpakai bagi semua pihak berkuasa tempatan dalam negeri ini ke atas mana-mana tapak projek pembinaan dalam kawasan seliaan masing-masing.

“Itu adalah tindakan drastik yang diambil kerajaan negeri bagi memastikan tiada pemaju atau pemilik projek mengambil sikap lepas tangan dan mahu ada pemantauan di tapak pembinaan dan rumah kongsi dilakukan dengan serius.

“Sikap tidak peduli itu akan menyebabkan nyamuk aedes berterbangan di kawasan sekitar mahupun perumahan terdekat, yang kelak akan membawa kepada demam denggi atau kematian,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad mengingatkan semua persatuan perumahan, pemilik kilang, premis perniagaan mahupun kediaman mengambil peranan positif memastikan kawasan pembiakan nyamuk aedes dihapuskan segera.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)



SEREMBAN, 04 Nov – Setiap diri pelajar dari institusi pengajian tinggi aliran agama seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) digesa agar membuang stigma rendah diri dengan beranggapan IPTA aliran agama ini berbeza dengan IPTA yang bukan aliran agama sepenuhnya.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hj Hasan menyeru kepada semua mahasiswa agar menyingkirkan sifat rendah diri terhadap IPTA lain kerana IPTA aliran agama mampu setanding dengan IPT yang lain dan berjaya di persada dunia sebagai sebuah institusi Islam yang disegani.

“Jadikanlah IPTA seperti USIM ini sebuah universiti Islam yang menjadi tarikan semua pihak untuk dijadikan contoh dalam melahirkan generasi yang berbakti kepada agama, bangsa dan negara,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Bersama Pengurusan dan Pelajar USIM di Palm Mall Hotel, hari ini.

Tambah beliau, sebagai pelajar yang berlatar-belakangkan agama, rasa bangga perlu diterap dalam diri kerana mempunyai kelebihan tambahan dengan pembelajaran sudut agama berbanding yang lain.
Sementara itu, dalam majlis yang sama juga beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM300 ribu bagi proses pengurusan USIM kepada wakil IPTA itu, Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor.

Turut hadir, Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato’ Mat Ali Hassan serta Timbalan Naib Canselor dan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah.