Powered By Blogger

Thursday 20 November 2014

Khazanah Generasi Akan Datang



Seremban, 19 Nov. – Semua negeri di dalam Malaysia akan menjadi anggota tetap Majlis Tanah Negara (MTN) seperti termaktub di dalam perlembagaannya yang diputuskan di dalam mesyuarat bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri yang berlangsung di Putrajaya, semalam.


Perkara ini telah diputuskan bagi MTN merancang dan mengurus pembangunan tanah dalam negara ini terutamanya pada status tanah baru, tanah hutan dan pengurusan pantai.


Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menjawab pertanyaan media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan ( Negeri Sembilan Womens Organisation – NSWO) di Dewan NSWO, Seremban, hari ini.


Menurut Menteri Besar, hasil dari perbincangan dua hala tersebut, MTN tidak mahu lagi melihat pembangunan yang pelbagai ini mendatangkan masalah di kemudian hari.


Tegasnya, “bila berdepan masalah di negeri-negeri tertentu, Kerajaan Pusat juga yang akan dipertanggungjawabkan.
“Di Negeri Sembilan, gazet hutan tadahan air tidak boleh diusik dan terpelihara demi kelangsungan generasi akan datang. Sumber air minuman kita datangnya dari tadahan tersebut.


Jangan disebabkan terlampau mengutamakan keuntungan, maka khazanah negara terancam. Kerajaan Negeri juga tidak membenarkan aktiviti pembangunan dan penerokaan di kawasan itu.” tegas beliau lagi.


Dalam perkembangan sama, beliau turut menjelaskan peranan Kertas Unit Perancangan Ekonomi iaitu pengumpulan data penggunaan tanah. Walaupun dari sudut perlembagaan negeri ianya wujud, namun di peringkat pusat juga perlu ada data berpusat agar semua perancangan pembangunan lebih holistik.

No comments:

Post a Comment