SEREMBAN, 9 Sept – Sebanyak 3 ribu unit rumah dibawah projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) akan dibina di tengah-tengah bandar Seremban. Ini secara tidak langsung akan merubah bentuk fizikal Bandar Seremban melalui satu projek mensejahterakan rakyat dari kerajaan Barisan Nasional.
Projek perumahan yang dibangunkan melalui 3 fasa secara berperingkat itu bakal diduduki pada 30 bulan akan datang dimana Majlis Pecah Tanah Projek PR1MA @ Seremban Sentral telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Utama Mohd Najib Tun Abdul Razak, di Seremban Sentral, hari ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, menjelaskan bahawa projek perumahan PR1MA @ Seremban Sentral merupakan satu projek komprehensif dengan kerjasama Perbadanan PR1MA Malaysia dan KTM Berhad bagi pembangunan Stesen Seremban Sentral yang bakal menjanjikan kediaman unik dengan pelbagai fasiliti lengkap untuk kemudahan penghuni kelak.
“Disinilah lahirnya sebuah projek penambah-baikan bandar Seremban yang bakal merubah lanskap Seremban sebagai hub bersepadu bagi aktiviti perniagaan, komersil dan kediaman dalam masa akan datang,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga akan mengusulkan satu pembangunan konprehensif dalam masa 10 tahun akan datang agar meletakkan Negeri Sembilan sebagai Lembah Klang berikutan kawasan Lembah Klang kini semakin padat dan tidak mampu menampung pembangunan yang kian pesat hasil usaha kerajaan Barisan Nasional.
Sementara itu, YAB Perdana Menteri turut menyatakan bahawa PR1MA merupakan keperluan utama bagi rakyat di negara ini yang memerlukan rumah sebagai harta dan tempat perlindungan.
Tambahnya, PR1MA juga merupakan salah satu agenda kerajaan dalam mensejahterakan rakyat dimana ianya membuka peluang kepada golongan sasar untuk memiliki sebuah rumah.
“Setiap unit rumah PR1MA diberi 20% lebih murah berbanding harga rumah semasa dimana ianya menggunakan sistem sewa-beli antara penyewa dan PR1MA sehinggalah akhirnya menjadi hak milik kekal seseorang itu,” jelasnya.
Turut hadir dalam majlis itu, Pengerusi Perbadanan PR1MA, YB Tan Sri Dr. Ir. Jamaludin Jarjis, Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Abdul Mutalib Alias, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato’ Seri Shahidan Kassim, Menteri KPDNKK, YB Dato’ Seri Hassan Malik, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan, YB Dato’ Dr. Awaluddin Said serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato’ Mat Ali Hassan.
PR1MA video http://youtu.be/llJk6IEtWJM
ReplyDelete