Telok Kemang, 06 Sept. – Negeri Sembilan menjadi destinasi ke-8 Majlis ‘Road To MAHA’ sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPNNS) Tahun 2014 yang dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang berlangsung di Dataran Seri Kemang, Telok Kemang hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, di sini hari ini.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran para peladang, penternak dan nelayan dari seluruh negara dalam mempromosikan produk mereka di karnival seumpama ini.
Menteri Besar di dalam ucapan menyarankan agar sektor pertanian dan industri asas tani ini tidak dipinggirkan malah diberi kepentingan seumpama industri pembuatan, teknologi maklumat dan sebagainya.
Ujar beliau di dalam ucapan, di saat negara sedang berusaha ke aras status negara maju, sektor pertanian dan industri asas tani merupakan industri yang teramat penting terutamanya membekalkan sumber makanan kepada rakyat dalam negara tanpa bergantung kepada sumber bekalan dari luar negara.
Perkara ini amat penting terutamanya dari segi keselamatan di mana sekiranya negara terlalu bergantung kepada sumber bekalan dari luar, di takuti sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini di negara pembekal seperti rusuhan dan pergaduhan akan memberi kesan buruk dan kemudaratan pula kepada negara.
“Makanya, mahu tidak mahu, negara kita yang bersedia menjadi sebuah negara maju, semua sektor tidak boleh dibiarkan ketinggalan, malah jangan ada satu pun sektor yang tercicir. Di khuatiri pembangunan dan usaha kita kan menjadi senget dan tempang.
Hadir sama, Ketua Setiausaha,Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Mohd Arif Abdul Rahman, Speaker Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, Dato’ Dr. Awaluddin Hj Said, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Hj Mat Ali Hj Hasan dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Dato’ Hasim Rusdi.
No comments:
Post a Comment