Powered By Blogger

Tuesday, 29 April 2014

Kelab Rotary (Rotary International)


Seremban, 26 Apr – Kelab Rotary (Rotary International) merupakan pertubuhan kelab yang mempunyai perkhidmatan di seluruh dunia dan ia terbuka kepada semua orang tanpa mengira kaum, warna, kepercayaan, atau kecenderungan politik.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, kelab ini turut memastikan usaha-usaha yang di bawa oleh kerajaan di dunia melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan serta satu contoh yang baik untuk dijadikan panduan oleh kelab kebajikan yang lain.
Terdapat lebih 32,000 kelab dan 1.2 juta ahli di seluruh dunia, membawa matlamat dan misi yang satu iaitu, menjaga keamanan dan kesejahteraan penduduk dunia.
Bercakap di sidang media, banyak pertubuhan yang makin menurun peranan mereka, tetapi berbeza dengan Kelab Rotary yang meningkat prestasinya dari tahun ke tahun.
Ahli-ahli seluruh dunia amat komited dan diterjemahkan dengan semangat dan sikap kemanusiaan yang tinggi.
Menteri Besar turut melahirkan kekecewaan apabila masyarakat dunia tidak lagi memikirkan keamanan; masing-masing mementingkan diri sendiri, mementingkan kaum masing-masing dan negara masing-masing, sedangkan hamparan dunia amat luas, dan ada tempat bagi semua memainkan peranan masing-masing.
Tegas beliau, perkara ini perlu ditegur dan dihentikan kerana terdapat masyarakat dunia yang tertindas memerlukan pertolongan kemanusiaan seperti yang ditawarkan oleh Kelab Rotary yang wujud di seluruh dunia ini.
Terdahulu, Menteri Besar menyempurnakan “Rotary International District 3300 Training Assembly PETS/SETS/TETS Program di Royale Bintang, Seremban, di sini.
Hadir sama, Bekas Gabenor Rotary, PDG Lim Kok Beng, Presiden Rotary Kajang, Presiden Robert Seenivasan dan Joyes, Pengarah Kelab Rotary, PT Prabhakar dan Gabenor Daerah, Datuk Dr. Mohinder Singh, Puan Kirenjit Kaur dan Satvinder Singh.

Thursday, 24 April 2014

Rejimen 508 Askar Wataniah


SENAWANG, 21 April – Rejimen 508 Askar Wataniah yang bernaung dibawah Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) telah mengadakan Latihan Menembak Senjata Tahunan di Lapang Sasar 15 RAMD, Kem Senawang.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan didalam program Hi-Tea JAKPAW bersama Media menyaksikan latihan ini bagi menyokong usaha gigih dalam membantu mendedahkan aktiviti pengendalian senjata kecil kepada masyarakat.
Latihan inin terbahagi kepada dua iaitu Centre Fire Target dan Jatuh Piring serta adalah untuk meningakatkan kemahiran mengendalikan senjata kecil disamping mengukuhkan jatidiri dari segi kepimpinan.

Sebelum latihan bermula, kesemua pelatih diberikan percubaan latihan asas mengenai persenjataan terlebih dahulu menggunakan peluru hidup 9×19 S&B oleh Panglima 1 Briged, Datuk Adnan Bin Abu Bakar.
“Bagi aspek keselamatan dan kedaulatan negara, kita tidak akan kompromi sama sekali. Ia penting bagi menjamin keselamatan para pelatih dan tidak meragukan mereka sepanjang latihan berlangsung,” jelasnya sewaktu sidang media diadakan.
Menteri Besar turut berharap, kesinambungan aktiviti seumpama ini perlu diteruskan bagi mempersiapkan setiap lapisan masyarakat dalam menghadapi cabaran serta berperanan untuk menjaga kedaulatan tanah air.
Turut hadir, Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Sembilan, YB. Dato’ Dr. Haji Awaludin Bin Said, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB. Dato’ Haji Mat Ali Bin Hassan, ADUN Kawasan Chembong, YB. Dato’ Zhaifulbahri Bin Idris, ADUN Kawasan Labu, YB. Dato’ Hasim Bin Rusdi.

Kerja Pembinaan Semula Medan Selera Ampangan


AMPANGAN, 21 April – Kerja-kerja pembinaan semula Medan Selera Ampangan yang bermula sejak tahun 2011 dengan tujuan menaik taraf tapak perniagaan ini adalah untuk meningkatkan struktur kawasan serta menawarkan keselesaan yang lebih baik kepada para pengunjung.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan mengadakan satu lawatan kerja tengah hari tadi bagi membuat tinjauan kerja-kerja pembinaan terakhir sebelum dijadualkan semula pelancaran operasinya yang dijangka pada bulan Ramadhan tahun ini.
Lawatan beliau diiringi ADUN Kawasan Labu, YB. Dato’ Hasim Bin Rusdi, Setiausaha Majlis Perbandaran Seremban, Tuan Haji Ali Bin Luman dan Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Seremban, Encik Sabaruddin Bin Sulaiman.
Menurut beliau, kos projek pembinaan semula yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri ini adalah sebanyak RM8.7 juta mengikut spesifikasi yang amat baik serta bersesuaian untuk dijadikan sebagai mercu tanda dan juga medan pelancongan masyarakat tempatan mahupun luar negara yang datang berkunjung ke Negeri Sembilan kelak.
“Hasil usaha menaik taraf akan menjadikan medan selera ini cantik sekali gus menarik kedatangan pengunjung dengan jaminan kualiti dan kebersihan yang lebih baik”, katanya.
“Justeru, semua pihak khususnya operator penjual dan masyarakat yang berkunjung kelak haruslah memberi kerjasama yang baik agar mengutamakan kebersihan kawasan disamping mempromosi produk pelancongan yang dimiliki,” tegas beliau lagi.
Beliau menambah, Kerajaan Negeri mengalakkan perniagaan seumpama ini dengan pemberian permit percuma selama dua tahun bermula tahun 2014 sebagai satu cara mensejahterakan rakyat bagi meringankan beban mereka dalam keadaan semasa.

Monday, 21 April 2014

Pusat Rekreasi Jeram Serting Ulu


Serting Ulu, 20 April -  YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan meluangkan masa meninjau Pusat Rekreasi Jeram Serting Ulu, Jempol selepas menyempurnakan Majlis Kompleks Rekreasi Jeram Serting Ulu, Jempol.
Mengiringi beliau, Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Dato’ Hj Mat Ali Hj Hasan, ADUN Kawasan Serting, Dato’ Shamsulkahar Mat Deli, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Pelancongan, Tuan Tun Hairudin Abu Bakar, Pengerusi Perbadanan Pelancongan Negeri Sembilan, Dato’ Hj Mohamad Razi Hj Kail dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Dato’ Hj Mohd Salim Shariff.
Di dalam tinjauan dan lawatan ringkas beliau, beliau mahu Taman Rekreasi ini dipelihara keasliaannya, di jaga kebersihan di samping panoramanya tidak di sentuh untuk mengekalkan ketulenan bukan sahaja sebagai taman rekreasi tetapi sebagai hutan simpan.
Beliau juga menggesa Pejabat Daerah Jempol dan Jabatan Hutan memikirkan inisiatif kesedaran sivik kepada pengunjung agar sama-sama memelihara keindahan dan kebersihan taman rekreasi ini.
Menurut beliau lagi, Pusat Rekreasi Jeram Serting Ulu, Jempol merupakan antara prospek pelancongan di negeri ini.

RM987,129.00 Bayaran Zakat Perniagaan


Seremban, 17 Apr. – Bank Rakyat mempersembahkan bayaran zakat perniagaan berjumlah RM987,129.00 di Istana Hinggap, Seremban.
Majlis mempersembahkan bayaran zakat perniagaan diwakili oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), YB Dato’ Seri Hj Hasan Malek di hadapan DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Mengiringi DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan.
YB Dato’ Hasan Malek kemudiannya menyerahkan pembayaran zakat tersebut kepada DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Kemudiannya, baginda menyerahkan zakat tersebut kepada Pengerusi MAINS, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan.
Bank Rakyat merupakan bank di bawah pengurusan Koperasi di Kementerian KPDNKK, dan setiap tahun tidak lepas melunaskan zakat perniagaan di setiap negeri.
Menurut Dato’ Seri Hasan Malek ketika sidang media, Bank Rakyat memperoleh keuntungan setiap tahun dan memberi dividen kepada pemegang akaun sebanyak 15% iaitu kira-kira RM460 juta.
Pengerusi MAINS, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan pula melafazkan kesyukuran kerana pungutan zakat suku tahun pertama 2014 meningkat berbanding suku tahun pertama 2013 kepada RM24 juta tidak termasuk zakat yang baru diterima dari Bank Rakyat.
Beliau berharap, Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) terus komited menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat buat rakyat di negeri ini dengan pelbagai cara mudah, umpamanya menyediakan Skim Pemotongan Zakat Secara On-line.
Sebagai Pengerusi MAINS juga, beliau meletakkan  sasaran sebanyak RM80 juta tahun ini memandangkan, PZNS sentiasa melepasi target pungutan di tahun-tahun sebelumnya.
Hadir sama, Pengarah Urusan Presiden Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd Razak, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Sahibus Samahah Dato’ Hj Mohd Yusof Hj Ahmad, Setiausaha MAINS, Tuan Kamal Amran Kamaruddin dan Pengerusi Pusat Zakat Negeri Sembilan, Tuan Hj Nur Azmi Hj Musa dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, YBhg. Ustaz Selamat Bin Paigo

Wednesday, 16 April 2014

Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri


Seremban, 14 Apr. – Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan sedang berlangsung di Dewan Undangan Negeri, Seremban.
Kertas Dewan Bil 1/2014, Anggaran Perbelanjaan Mengurus Tambahan Kedua Tahun 2013 dan Kertas Dewan Bil 2/2014, Pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri, yang dibentangkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan (BN-Rantau) mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bersidang.
Sidang Dewan, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan dikemudikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, YB. Dato’ Dr. Awaluddin Hj Said.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan (BN-Rantau) ketika ini sedang menjawab soalan lisan dari wakil rakyat.
Seramai 20 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) hadir manakala 15 wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) bersidang kali ini.
Menjawab soalan lisan dari YB. Dato’ Lillah Hj Yassin (BN-Palong), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menjelaskan Kerajaan Negeri  sentiasa memikirkan kadar pulangan yang memuaskan bagi setiap ringgit pelaburan yang difikir dalam pelbagai bentuk terutamanya dalam mengurusakan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Langkah-langkah penjimatan yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi tahun 2014 adalah berdasarkan Surat Pekeliling yang diedarkan oleh Pejabat Kewangan Negeri Bil. 1/2014 “Garis Panduan Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan 2014″ serta pekeliling dan peraturan lain yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan PErsekutuan dari masa ke semasa.
Pengurusan perlu berhemah agar tidak mendatang masalah di peringkat operasi. Selama lima (5) tahun Kerajaan Negeri melaksanakan perbelanjaan berimbang dan paling membanggakan melalui belanjawan berimbang memperoleh surplus (lebihan).
Menteri Besar turut menjelaskan bahawa agensi-agensi telah bekerjasama dan mereka telah faham dan bekerja dengan baik dan memberi manfaat kepada rakyat.
Selain itu, pendapatan turut diperolehi melalui Hasil Bukan Cukai iaitu dari premium tanah yang berjaya di kutip melalui Pejabat-Pejabat Daerah di negeri ini.

Gotong-Royong Perdana Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2014



SIKAMAT, 12 April – Penyakit demam denggi diseluruh Negeri Sembilan semakin menular dengan pembiakan nyamuk Aedes yang semakin merebak sehingga mendatangkan masalah kepada masyarakat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan dalam ucapan menyatakan, sikap masyarakat yang tidak menjaga kebersihan kawasan tempat tinggal menyebabkan kadar pembiakan nyamuk Aedes meningkat tinggi lantas mengakibatkan jangkitan denggi terus berlaku dalam kalangan penduduk.
Menurut beliau, program Gotong Royong Perdana Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2014 yang diadakan di Padang Taman Desa Rhu, Sikamat pagi ini memberi impak yang amat baik dalam menjaga kebersihan kawasan.
Kolaborasi Tiga Penjuru diantara PBT, KRT dan COMBI menyumbang bakti melaksanakan program ini bersama-sama pasukan Askar Wataniah, PLKN Rembau dan juga PLKN Kuala Pilah.
“Kita pasti akan dapat membina kehidupan murni, tenteram dan bahagia dengan terus memberi komitmen bersama masyarakat setempat bagi bekerjasama menyelia kawasan tempat tinggal”, katanya sewaktu menyempurnakan perasmian program.
Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan masyarakat supaya terus berwaspada dan mengambil langkah pencegahan awal bagi mencegah pembiakan Aedes yang mengundang demam denggi.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB. Dato’ Haji Mat Ali Bin Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, YB. Dato’ Haji Jalaluddin Bin Haji Alias.