Powered By Blogger

Friday, 29 March 2013

Membangunkan Pusat Perdagangan



Seremban, 06 Jan – Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan mengucapkan tahniah kepada Dato’ William Tan, Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Negeri Sembilan (NSCCCI) kerana kejayaan menganjurkan Ekspo Negeri Sembilan buat kali kedua.

Jika tahun lalu, hanya menerima penglibatan daripada 80 industri perniagaan sahaja, namun tahun ini telah bertambah sebanyak 180 buah gerai. Penambahan begitu banyak ini melibatkan industri perbankan, perhotelan, perkilangan, hardware dan sebagainya.

Menteri Besar turut mempelawa NSCCCI bekerjasama dengan Kerajaan Negeri di masa akan datang untuk dijadikan acara tahunan serta memperbanyakkan peluang perniagaan dibuka dan ianya turut melibatkan agensi kerajaan seperti PKNNS, JKM, SPR dan Pusat Zakat.

Kerajaan Negeri telah merezabkan tanah di Sendayan lebih kurang 15 ekar untuk dibangunkan pusat Ekspo dan perdagangan untuk jangka waktu yang panjang.

Meskipun bukan  perancangan dalam masa terdekat, ianya bakal kita jadikan sebagai pusat perdagangan didalam satu-satu masa dan kawasan tersebut amat strategik dengan insfrastruktur yang sedang membangun.

“Bila siapnya kelak, kita boleh mengadakan Ekspo Buku, Pendidikan, Perindustrian, komputer dan sebagainya. Kedudukan di kawasan tersebut amat strategik dengan insfrastruktur yang sedang membangun.” Kata Menteri Besar.

Terdahulu, beliau diiringi Dato’ William Tan, Pengerusi NSCCCI, Encik Lau Boon Soon, Setiausaha NSCCCI, Pengelola Ekspo, Encik Raymond Chew dan Encik Peter Lock, AJK NSCCI melawat gerai yang terlibat sepanjang Ekspo ini dijalankan.

Bantuan RM800,000 untuk baikpulih


Bantuan RM800,000 untuk baikpulih


Senawang. 27 Mac – Jalan menghubungkan antara Taman Seri Bayu, Taman Seri Pagi, Taman Orked, Senawang  ke Giant, bandar Seremban dan sekitarnya, yang runtuh akibat hujan lebat pada December 2012.

Tanah runtuh semakin curam dan merbahaya itu mendapat perhatian Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan sejak Disember tahun lalu.

Menteri Besar berkata “Sehingga kini, segala urusan mengikut prosider antaranya menyiasat tempat kejadian, meneliti laporan yang dibuat oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS) serta membincangkannya di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi tindakan yang perlu di ambil.

Kerajaan Negeri bersetuju untuk menghulurkan bantuan sebanyak RM800,000 untuk kerja-kerja baik pulih dan dijangka siap dalam jangkamasa tiga bulan.

Menurut Menteri Besar di dalam ucapannya, bermohon agar masyarakat yang menggunakan laluan ini bersabar, bukan Kerajaan Negeri tidak berusaha mengambil tindakan, tetapi memandangkan kerosakan yang amat teruk dan memerlukan perbelanjaan yang besar.

Dalam majlis sama, beliau turut bersetuju permohonan padang futsal yang dipohon oleh Encik Mohd Ali, Pengerusi KRT Taman Seri Bayu untuk belia taman ini.Selain, beliau mengambil peluang ini untuk beramah mesra dengan penduduk taman ini.

Hadir sama, Dato’ T. Rajagopalu, Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Dato’ Abdul Halim Abdul Latif, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS)/ Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Dato’ Yip, Tuan Dr. Harris Abdullah, wakil PPP Negeri Sembilan.

Monday, 11 March 2013

Guru KAFA Negeri Sembilan Terima Sagu Hati



Mohamad Hasan bergambar bersama sebahagian guru selepas Majlis Penyerahan Saguhati Bagi Guru-Guru Kelas Agama Fardu Ain Negeri Sembilan di Klana Resort, Seremban, semalam.


Seremban, 10 Mac : Guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri  ini menerima sagu hati daripada kerajaan negeri sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan bakti mereka dalam memastikan pendidikan Islam kanak – kanak  terus subur.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan berkata pemberian sagu hati itu juga merupakan salah satu langkah bagi mencapai matlamat memastikan semua kanak-kanak Islam di negeri ini mendapat pendidikan Islam secara sistematik serta menguasai tuntutan Fardu Ain.

“Sagu hati ini di berikan melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), selain kerajaan negeri memberi perhatian terhadap aspek pembangunan, kerajaan juga menitik beratkan soal kecemerlangan pendidikan di negeri ini.

“Walaupun saiz dan populasi negeri ini kecil berbanding negeri lain di Malaysia, namun adalah menjadi hasrat supaya lebih ramai golongan bijak pandai lahir dan menabur bakti di negeri kelahiran mereka, ” katanya pada majlis penyerahan sagu hati bagi guru – guru KAFA Negeri Sembilan di Klana Resort, Seremban.
Katanya, kerajaan negeri serius mahu menjadikan Negeri Sembilan sebagai lembah ilmu bagi melahirkan modal insan bermutu.

‘Kita mahu taraf pendidikan di negeri ini terus subur dan adalah malang jika segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan telah disia-siakan oleh rakyat.

”Sebab itulah asas di peringkat tadika dan pra sekolah itu juga perlu diberi perhatian semua pihak, begitu juga dengankepentingan pendidikan agama yang menjadi asas dan benteng dalam kehidupan,” kata beliau.



Thursday, 17 January 2013

Geran IBM diterima, cabaran bandar ICT bermula




SEREMBAN, 09 Jan. – Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan hadir di Majlis Penyampaian Geran IBM Smarter Cities Challenge di Klana Resort, Seremban tengahari tadi.
Penganugerahan Geran IBM itu adalah satu-satunya di Malaysia dan penilaian ini dibuat diperingkat antarabangsa. Rangkaian Minang Sdn. Bhd adalah syarikat yang mewakili Negeri Sembilan bersama-sama 500 bandaraya lain diseluruh dunia.

“Ini adalah sebagai penggalak dan pembakar semangat untuk membangunkan Negeri Sembilan untuk menjadi sebuah negeri yang terdahulu berbanding yang lain. Geran yang bernilai RM1.22 juta ini juga akan menyokong dasar ICT Negeri Sembilan,” demikian kata Menteri Besar Negeri Sembilan dalam sidang media ringkas bersama media selepas majlis tamat.

Beliau berkata bahawa ICT pada masa kini adalah keperluan dan untuk mencapai negeri yang maju, perlu memastikan ICT membangun sejajar dengan ledakan teknologi maklumat kini.
Menteri Besar berkata, “ Semua pihak perlu memainkan peranan supaya meransang masyarakat agar dasar ICT ini berkesan kepada semua lapisan masyarakat.”
Menteri Besar berbesar hati menyampaikan geran IBM Smarter Cities Challenge kepada wakil syarikat Rangkaian Minang Sdn.Bhd.
Turut hadir, Dato’ Hj Mat Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Seremban Sentral – projek denyut nadi rakyat



SEREMBAN, 16 Jan. – Pelan Pembangunan Seremban Sentral merangkumi projek perumahan PR1MA.
Projek Seremban Sentral dijangka akan memulakan pembinaan pada awal bulan Mac ini adalah satu pelan pembangunan yang komprehensif oleh kerajaan persekutuan.
Pelan pembangunan tersebut akan membabitkan pembangunan semula stesen keretapi Seremban dan pembinaan sebanyak 4500 rumah rakyat 1 Malaysia (PR1MA) dalam bentuk rumah kondominium.
Manakala, Negeri Sembilan bakal menyediakan sebanyak 15000 rumah PR1MA untuk golongan sasaran yang berpendapatan RM6000 dan kebawah.
Projek ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Utama Mohd Najib Tun Abdul Razak pada Februari akan datang.
Menurut Menteri Besar, perumahan PR1MA ini dimasukkan dalam projek Seremban Sentral bagi memenuhi hasrat Perdana Menteri untuk memastikan pembangunan dirasa oleh semua peringkat masyarakat.
Beliau berpandangan, “Pelan pembangunan semula Stesen Seremban ini perlu kerana stesen ini dijangka menjadi stesen yang mempunyai kapasiti pengunjung yang ramai pada masa akan datang memandangkan lokasi Seremban yang berhampiran dengan ibu kota.”
Pembinaan Seremban Sentral ini dijangkakan mengambil tempoh antara 18  sehingga 24 bulan dan akan dibina mengikut fasa.
Seremban Sentral ini akan dibina diatas tanah seluas 80 ekar dan kos pembinaan dijangkakan sebanyak RM2 bilion.

N9 Jana Pelaburan Lebih RM 2.6 Bilion.




N9 Jana Pelaburan Lebih RM 2.6 Bilion.