Powered By Blogger

Wednesday 9 July 2014

RM2,276,121.42 - Zakat Lima Syarikat



Seremban, 08 Julai – Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menerima pembayaran zakat perniagaan bagi tahun 2013 daripada lima syarikat berjumlah RM2,276,121.42 di Kediaman Rasmi beliau.
Lima syarikat tersebut ialah Maybank Islamic Bank Berhad, yang diwakili Ketua Jabatan Syariahnya, Encik Mohd Ramadhan Fitri Alias menyerahkan zakat berjumlah RM1,000,000.00.
Manakala Kumpulan Syarikat Plus Malaysia Berhad pertama kali melunaskan zakat di negeri ini menyerahkan zakat berjumlah RM766,040.00 yang diwakili oleh Dato’ Noorizah Abd Hamid sementara Tenaga Nasional Berhad (TNB) menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM396,685.26 yang diserahkan oleh Pengurus Besar Negeri, Negeri Sembilan, Encik Kamal Ariffin A. Rahman.
Dua lagi syarikat iaitu Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS)  diwakili oleh Pengerusi Ahli Jemaah Pengarahnya, YB. Dato’ Seri Saipolbahari Hj Suib melunaskan zakat perniagaan berjumlah RM92,396.16 serta Perbadanan Nasional Berhad (PNS) diwakili Pengarah Urusannya, Dato’ Hj Syed Kamarulzaman Dato’ Syed Zainol Khodkhi Shahabudin menyerahkan zakat berjumlah RM21,000.00.
Ini membuktikan suasana ekonomi negara berjalan amat sempurna dan baik di mana semua pernigaan berkembang maju dengan barakah.Menteri Besar mengucapkan penghargaan dan tahniah di atas kejayaan perniagaan yang mendapat keuntungan di tahun 2013.
Pengurusan dan pentadbiran yang baik ia diterjemahkan melalui keuntungan yang dikongsi bersama, sesuai dengan konsep perniagaan ‘keuntungan dicari, dirancang dan dijana melalui hasil kecekapan.’
Menurut beliau juga Pengerusi MAINS, satu sen duit zakat yang diterima melalui agensi perniagaan akan diserahkan kepada yang hak iaitu asnaf yang lapan.
Pengagihan zakat sempena bulan Ramadhan 1435H di negeri ini pula melibatkan asnaf fakir miskin dan fisabilillah, dijangka mencapai  sehingga RM8-RM9 juta, di mana setakat ini sahaja MAINS telah meluluskan pengagihan sebanyak RM6.2 juta.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi MAINS, Dato’ Dr. Awaluddin Hj Said, dan Pengurus Pusat Zakat Negeri Sembilan, Ustaz Nor Azmi Hj Musa.

No comments:

Post a Comment