Powered By Blogger

Friday, 20 December 2013

"Come Back" - Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS)


Seremban, 18 Dis. – Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan komited dan fokus mengembalikan maruah pasukan Bola Sepak Negeri Sembilan ke persada tertinggi selepas mengharungi musim sukar di tahun 2013.
Selaku Presiden PBNS dan Pengurus Pasukan 2014, beliau akan melonjakkan semula prestasi pasukan NS ke Liga Super 2015.
Pasukan negeri yang sebelum ini mempamerkan prestasi cemerlang beberapa tahun terdahulu, akan membuat ‘come back’ dengan fokus memburu tempat Johan atau Naib Johan Liga Perdana 2014. Malah beliau mahu pasukan meraih kemenangan Piala FA dan Piala Malaysia 2014.
Ujar beliau, pemilihan import kali ini amat dititikberatkan, pemain senior yang tidak menunjukkan persembahan cemerlang digugurkan, dan PBNS menyerapkan pemain Piala Presiden untuk bergandingan bersama pemain senior yang kekal.
Beliau yang ditemuramah wartawan selepas sesi pengenalan pemain di Klana Resort, Seremban, berharap semua pegawai dan pemain melaksanakan peranan masing-masing bagi memastikan kejayaan milik pasukan NS musim depan.
Senarai pegawai dan pemain pasukan Liga Perdana Negeri Sembilan 2014
Pengurus Pasukan : YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan
Penolong Pengurus : Dato’ Haji Abd. Halim Haji Latif, Dato’ Ab. Ghani Hj Hasan dan Dato’ Hj Mohammed Najeeb Abdullah.
Ketua Jurulatih :  V. Sundram Moorthy
Penolong Ketua Jurulatih :  Ridzuan Abu Shah
Penolong Jurulatih : Ahmad Osman
Jurulatih Penjaga Gol : Mohd Yazid Mohd Yassin
Jurulatih Kecergasan : K. Balagumaran
Doktor Pasukan : Dr. Rozaiman Ebrahim
Pegawai Media : Abd Malek Hassan
Fisioterapi : Zulkepli Abu Samah
Pembantu Pasukan : Sharizal Mat Sah
Pegawai Keselamatan : Anuar bin Abd Rahman
Senarai nama pemain :
Penyerang : Mohd Firdaus Azizul, Mohd Shoufiq Mohd Kusaini, Josef Kaplan (import-Czechoslovakia), Effa Owona-Jean Emmanuel (import-Cameroon)
Penjaga Gol : Badrulzaman Abd. Halim (Utama), Mohd Kaharuddin Abd Rahman dan Mohamad Yatim Abdullah
Pertahanan Tengah : Fauzi Nan, Jean Marc Alexandre (import – Haiti), Mohd Radzuan Abdullah dan Kim Ji Ryong (import-Korea).
Pertahanan Kanan : Muszaki Abu Bakar, Mohd Nizam Bakar, Mohd Alif Samsudin.
Pertahanan Kiri : Sumardi Hajalan, Mohd Dzaiddin Zainuddin, Tengku Qayyum Ubaidillah Tengku Ahmad, Zulfaizham Kamis.
Pemain Tengah : Norhafiz Zamani Misbah (Kapten), Abdul Halim Zainal, Sivanesan a/l Shanmugam, Nanthakumar a/l Kalliappan, Sivakumar a/l M. Munusamy.
Sayap Kiri : Kavichlvan a/l Vivakandathan
Sayap Kanan : Eddy Helmi Manan, Puaneswaran a/l Gunasekaran

Wednesday, 18 December 2013

Belanjawan NS 2014 Diluluskan



Seremban, 17 Dis. – 22 wakil rakyat Barisan Nasional di Persidangan Ketiga (Belanjawan) Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan yang ke-13 menyokong Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2014) yang dibentangkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan berjumlah RM352.626 juta.
Sidang dewan juga menyokong usul Anggaran Pembangunan Negeri Sembilan 2014 berjumlah RM91.541 juta.
Manakala wakil rakyat PR mengambil ketetapan berkecuali tanpa menyokong atau tidak menyokong.
Merujuk kepada persetujuan dan sokongan persidangan, Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2014) akan dibincang secara Ahlijawatankuasa dan diuruskan secara berfasa-fasa.
Menteri Besar juga ADUN Kawasan Rantau (BN), di dalam sesi pergulungan selepas perbahasan melibatkan semua wakil rakyat di persidangan kali ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua wakil rakyat yang bersidang dalam suasana harmoni.
Malah tidak berlaku perkara yang tidak diingini walaupun beberapa cadangan yang dikemukan mendapat bantahan wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR).
Beliau di dalam ucapan pergulungannya juga menasihatkan wakil rakyat PR agar mengkaji dan meneliti sebaiknya belanjawan yang merujuk kepada aspirasi rakyat ini dan kejayaan melaksanakan belanjawan berimbang sejak 2009 telah menjadikan Negeri Sembilan sebuah negeri berdaya saing.
Di samping hutang kurang berbanding negeri yang dikatakan maju.
Di dalam perbahasan, cadangan popular seperti menaikkan elaun wakil rakyat berdepan dengan tanggungjawab berat ketika ini turut mendapat perhatian beliau.
Ujarnya, “sejak 15 tahun lalu, tidak ada usul kenaikan elaun di Negeri Sembilan. Walaupun kenaikan elaun ini perlu dan dalam keadaan sekarang tanggungjawab dan bebenan tugas wakil rakyat amat berat dan mencabar, namun perkara ini perlu diteliti dan dikaji.
Kita tidak mahu, elaun wakil rakyat dinaikkan, namun tidak meresapi masalah dan beban yang ditanggung oleh rakyat ketika ini. Kos sara hidup semakin tinggi bukan disebabkan kerajaan menaikkan sesuka hati, tetapi perlu mengambil kira perkembangan ekonomi global dan aktiviti ekonomi.” ujar beliau.
“wakil rakyat perlu berkorbanlah untuk rakyat.. kita tidak mahu bila elaun wakil rakyat dinaikkan, kemudiannya rakyat menanggung sakit. Kerajaan Negeri, mahupun Kerajaan Persekutuan sememangnya prihatin terhadap permasalahan rakyat. Ada masanya, yang tersirat tidak perlu kita zahirkan dalam bentuk tersurat.” ujar beliau lagi.

Sunday, 15 December 2013

JKMNS, MAINS dan JAKOA Beri Bantuan RM9,622,630 Sebulan


Seremban, 13 Dis. – Sehingga Oktober 2013, seramai 35,604 orang telah berjaya diberi bantuan melalui tiga (3) agensi iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Di mana melalui agensi JKMNS, seramai 27,920 orang telah menerima bantuan yang melibatkan peruntukan berjumlah RM6,892,130.00, manakala melalui  MAINS pula berjumlah RM1,160,800.00 kepada 5,483 orang penerima. Kerajaan Negeri juga tidak meminggirkan orang asli di mana peruntukan berjumlah RM1,569,700 kepada 2,201 orang menerima bantuan ini setiap bulan.
Peruntukan keseluruhan berjumlah RM9,622,630.00.
Berikut merupakan jawapan lisan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan (BN-Rantau) menjawab soalan dari  Tuan Veerapan a/l Superamaniam (DAP-Repah).

Friday, 13 December 2013

MAINS Kerjasama USIM Realisasikan Universiti Islam Malaysia


Seremban, 10 Disember 2013 – Kerjasama antara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Kerajaan Negeri Sembilan dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam perlaksanaan bagi mewujudkan Universiti Islam Malaysia bakal direalisasikan setelah mendapat perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja seluruh negeri.
Hal ini dimaklumkan oleh Pengerusi MAINS, YAB Dato Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang ke-222 di Wisma Negeri.
Menurut beliau, universiti yang akan dibina merupakan adaptasi daripada Kolej Islam Malaya sewaktu dahulu.
“Hasrat menubuhkan Universiti Islam Malaysia ini selaras dengan kehendak Perdana Menteri yang mana baru-baru ini sewaktu Perhimpunan Agung Umno yang lalu, menjadikan syiar Islam dimartabatkan dengan aktiviti-aktiviti sebegini,” jelasnya.
Pembentangan usul dalam perlaksanaan Universiti Islam Malaysia telah dihadiri Setiausaha MAINS, En. Kamal Amran Kamarudin, Pengerusi Universiti Islam Malaysia, Tan Sri Dato’ Yusof Noor, Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr Asma Ismail serta barisan pegawai kerajaan yang lain.
Tambah beliau, tapak pembinaan Universiti tersebut telah dikenal pasti di Cyberjaya yang berkeluasan 100 ekar. Universiti itu juga bakal menawarkan Sarjana dan PHD bagi semua subjek.

Thursday, 12 December 2013

Syarikat Swasta Dan Kerajaan Bekerjasama Pelihara Sungai


PORT DICKSON, 9 Dis – Kerajaan Negeri mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak khususnya dari syarikat-syarikat swasta dalam memastikan alam terpelihara terutamanya dalam menjaga kepentingan penyelenggaraan, menaik-taraf serta memelihara sungai di negeri ini.
Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan menyeru kepada pihak swasta agar mengambil inisiatif dan tanggungjawab dalam segala kegiatan industri yang dijalankan khususnya penjagaan sungai yang menjadi kepentingan utama dalam kehidupan kita.
“Jika kita ambil lewa dan tidak peduli dengan pencemaran sungai, kejadian seperti banjir kilat tidak mustahil akan berlaku disebabkan sikap kita yang tidak ambil peduli dengan alam sekitar,” katanya sewaktu berucap merasmikan Majlis Perasmian Pintu Kawalan Pasang Surut ’Gate J’ di  Tapak Pintu Kawalan Pasang Surut, Kg. Chuah, dekat sini.
“Justeru, kerjasama swasta seperti apa yang kita lihat hari ini, amat kita alu-alukan kerana pihak swasta juga memerlukan sebuah negara yang aman dan sebuah tempat yang boleh beroperasi dengan baik tanpa sebarang kesulitan seperti banjir dan sebagainya,” tambahnya.

Monday, 9 December 2013

Generasi Muda & Alam Cyber


Kuala Lumpur, 05 Dis. – Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Ahli Majlis Tertinggi UMNO juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menghargai jasa dan pengorbanan jentera UMNO/BN di PRU13 yang lalu.

Beliau ketika berucap di Majlis Makan Malam Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 melafazkan syukur, kerana kerja keras semua jentera, BN Negeri Sembilan kembali menjadi kerajaan.

Tidak seperti andaian setengah pihak yang mengatakan UMNO/BN negeri ini akan rebah di bawah kepimpinan beliau, ternyata meleset apabila menang majoriti mudah.

Beliau seterusnya menyarankan agar PDM PRU13 dikekalkan sehingga berhadapan PRU14 yang dikategorikan PRU amat getir, di tambah berhadapan dengan dunia global tanpa sempadan.

Fokus kini perlu terarah kepada generasi muda dan pegawai bersara yang tidak cenderung kepada UMNO/BN.

Ujar beliau, UMNO NS akan memulakan gerak kerja secara sepenuh masa mulai tahun hadapan yang merangkumi pelbagai sudut. Bidang kepakaran berperang di alam cyber misalnya akan menjadi elemen penting mendekati generasi muda yang berada di dalamnya.

Generasi muda di media maya amat terdedah dengan perkara tidak betul dan fitnah, dan jika perkara ini tidak dipantau, mereka akan semakin jauh dari kebenaran.

“Melayu akan terus memartabatkan Melayu, agama dan tanahair.” ujar beliau.
Hadir di majlis keluarga UMNO Negeri Sembilan, Vateran UMNO, Dato’ Siti Rahmah Kasim dan Dato’ Yazid Baba, Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Dr. Awaluddin Hj Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Hj Mat Ali Hasan. Pengerusi Pemantau Pemilihan UMNO Negeri Sembilan, Dato’ Khalid Yunus.

Turut sama, isteri Menteri Besar, YM Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumuddin, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan, Puan Zuliana Mohd Ridzuan dan barisan jawatankuasa, Ketua UMNO Bahagian-Bahagian, perwakilan UMNO Negeri Sembilan di Persidangan Agung UMNO  2013.

Monday, 2 December 2013

‘Apa salahnya saya bantu PM’



IPOH 01 Dis. - Pendakwah bebas, Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim kesal apabila pelantikannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO menerima kecaman pelabagai pihak

MOHAMMAD Kazim Elias Al-Hafiz (berdiri depan, tiga dari kiri) bersama Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim (berdiri depan, empat dari kiri) bersama peserta program pada Majlis Penutup Program Kem Tahsin di Ipoh, Perak, semalam. – MINGGUAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN

Menurutnya, kecaman yang dilakukan menerusi media sosial termasuk Facebook itu sememangnya sudah dijangka.
“Penerimaan dan komen negatif ini saya sudah biasa terima dan reaksi seperti ini sememangnya telah dijangka. Bagaimanapun, mereka terlalu cepat (menghentam) tanpa mendengar penjelasan saya. Sepatutnya mereka lebih bertoleransi dan berhemah.
“Tohmahan mereka ini menggambarkan sikap mereka dan ini tidak baik. Alangkah bagusnya jika memandang kepada kebaikan. Saya berlapang dada. Jika Perdana Menteri minta tolong untuk meningkatkan martabat Islam, apa salahnya saya bantu. Sesiapa sahaja yang minta nasihat juga akan saya bantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Program Kem Tahsin di sini hari ini.
Berikut petikan kenyataan Mohammad Kazim dalam Facebook beliau bagi menjawab tohmahan yang dilemparkan berikutan pelantikannya:
“Subhanallah, saya pun terkejut saya dilantik, belum apa-apa dah kena maki…Alhamdulillah, salah ke kalau orang lain minta nasihat? Saya ni sentiasa berlapang dada, janganlah tuduh tanpa melihat secara halus…Apa yang kita sangka tentang orang lain kadang-kadang itulah dalam jiwa kita. Berhati-hatilah dalam berbicara. Apa tuan-tuan ingat saya kemaruk wang, kuasa pangkat? Apa salahnya doakan yang terbaik, bila tak ada orang agama dikatakan teruk bila orang agama dijemput pun dikatakan teruk, saya tak faham. Dalam hal ini sepatutnya bagi pandangan dan nasihat bukan maki-hamun fitnah dan cacian.
Bab lantikan MT UMNO ni, baru sangat saya dijemput diminta bantu apa yang patut untuk Islam…itu pun menjadi masalah, jadi isu? Saya ada prinsip saya, tak pernah dengar ceramah saya tapi nak komen lebih-lebih. Esok saya akan dapatkan apa bentuk lantikan yang diberi pada saya dan saya juga kena jaga banyak perkara daripada keluarga, sekolah, kuliah-kuliah saya, anak murid saya, pengikut kuliah saya dan lain-lain.
Bagi anda yang betul ikhlas dalam memperjuangkan Islam boleh dengar apa saya cakap selepas saya berbincang seperti saya sebutkan tadi.
Semoga Allah merahmati kita semua, terima kasih atas kata-kata yang sangat manis dalam komen anda sebelum ini. Janganlah menilai hati orang, kita tak tahu apa dalam hati orang, Allah yang menilai bukan kita. Wassalam.