Powered By Blogger

Saturday 15 December 2012

TEKS Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 – ‘Memakmurkan Negeri dan Mensejahterakan Rakyat : Janji Ditepati’


                                                               Teks Ucapan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan
Ketika Membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 (Bacaan Kali Kedua)
Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kelima
Dewan Undangan Negeri Yang ke-12
(14 Disember 2012) 


Bismillah hirrahmanirrahim,
Yang Berhormat Dato’ Yang DiPertua,
Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah izinNya, dapat saya membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan bagi tahun 2013 di Dewan yang mulia ini. Marilah sama-sama kita merafakkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurniaNya jua Negeri Sembilan terus dianugerahkan suasana yang aman dan makmur membolehkan rakyat negeri ini meneruskan kehidupan seharian dengan selesa. Insya Allah dengan suasana negeri yang aman dan makmur Kerajaan Negeri akan memastikan ekonomi negeri teruws kukuh bagi membolehkan semua pihak khususnya kerajaan dapat membina kekuatan, teguh bersatu bergerak mencapai matlamat negeri maju serta berupaya memenuhi harapan masa depan rakyat.
Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 yang disediakan berpaksikan kepada matlamat untuk ‘Memakmurkan Negeri dan Mensejahterakan Rakyat : Janji Ditepati.’
Sebelum saya mencadangkan bacaan kali kedua terhadap Rang Undang-Undang ini, izinkan saya memberi penerangan ringkas mengenai senario ekonomi dan pengurusan kewangan Negeri Sembilan serta mengenai maksud dan tujuan Rang Undang-undang ini dibentangkan.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
Senario Ekonomi Negeri Sembilan
Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan ekonomi Negeri Sembilan terus berkembang meskipun dalam persekitaran global yang tidak menentu. Pada tahun 2011, Ekonomi Negeri Sembilan mengalami pertumbuhan yang memberangsangkan walaupun mengharungi pelbagai cabaran khususnya kesan kelembapan ekonomi global. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Sembilan terus mencatatkan peningkatan pada kadar yang lebih tinggi pada tahun 2011 kepada 22.047 bilion ringgit iaitu pertumbuhan sebanyak 5.9% berbanding 5.3% pada tahun 2010.
Sektor pembuatan dan perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama kepada KDNK Negeri Sembilan. Dalam tahun 2011, sumbangan sektor pembuatan dan perkhidmatan masing-masing adalah sebanyak 46.0% atau 10.148 bilion ringgit dan 44.6% atau 9.834 bilion ringgit. Berhubung dengan kemasukan pelabur ke Negeri Sembilan pula, jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan telah meningkat dengan ketara kepada sebanyak 5.9 bilion ringgit pada tahun 2011. Selain dari itu, Kerajaan Negeri juga menerima pelaburan berjumlah 1.23 bilion ringgit dari lain-lain sektor seperti pelancongan, perkhidmatan dan pembinaan. Ini menunjukkan bahawa usaha kerajaan untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan yang menarik kepada pelabur asing dengan menyediakan kawasan perindustrian yang strategik, di samping mengamalkan dasar mesra pelabur telah membuahkan hasil.
Sektor pertanian pula merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi Negeri Sembilan iaitu sebanyak 6.5% atau 1.426 bilion ringgit. Walaupun sumbanganya kepada KDNK Negeri agak kecil berbanding sektor pembuatan dan perkhidmatan, namun sektor ini kekal penting dan terus menjadi tumpuan utama Kerajaan Negeri kerana ianya melibatkan kepentingan pembangunan rakyat di luar bandar di samping mencapai matlamat tahap sara diri.
Kekuatan-kekuatan yang dimiliki oleh negeri ini menjadikan kita mampu mengharungi pelbagai cabaran ekonomi dan berjaya meningkatkan KDNK negeri pada tahun mendatang. Kekuatan ini juga perlu disokong dengan transformasi perkhidmatan awam di negeri ini bagi menjana kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan terus berada di tahap terbaik.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
Kerajaan Negeri berkeyakinan bahawa prestasi pertumbuhan KDNK Negeri pada tahun 2012 dijangka akan terus berkembang padqa kadar 4.5% hingga 5.0%. Antara faktor yang meningkatkan keyakinan kerajaan termasuklaj pencapaian jumlah pelaburan yang diluluskan dalam tempoh Januari hingga Ogos 2012 telah mencapai sebanyak 2.29 bilion ringgit.
Jumlah tersebut telahpun berjaya memenuhi sasaran nilai pelaburan tahunan iaitu 1.0 bilion ringgit.
Kedudukan Negeri Sembilan yang berada dalam konurbasi Kuala Lumpur, berhampiran Pusat Pentadbiran Putrajaya, KLIA, Koridor Raya Multimedia, Lembah Bio, Cyberjaya dan pelabuhan utama, ditambah pula dengan kemudahan insfrastruktur yang sangat baik dan jaringan perhubungan darat yang efisien, menjadikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan yang strategik untuk pelabur tempatan dan asing. Penglibatan sektor swasta akan terus dipertingkatkan sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi negeri. Manakala sektor awam membantu merealisasikan hasrat mencapai status negeri maju menjelang tahun 2020.
Transformasi pembangunan ekonomi Negeri Sembilan akan dilonjakkan pada tahun 2013 berteraskan kepada Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Negeri Sembilan 2011-2020 yang mana antara matlamatnya adalah:
  • Meningkatkan tumpuan kepada tiga (3) sektor utama yang telah dikenalpasti sebagai penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negeri;
  • Meningkatkan produktiviti dan hasil subsektor yang berpotensi, dan
  • Mengukuhkan mekanisme perlaksanaan bagi memastikan setiap pihak yang berkaitan, sama-sama bertanggungjawab ke arah melonjakkan ekonomi negeri.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
PENGURUSAN KEWANGAN
Prestasi kewangan Kerajaan Negeri berada dalam kedudukan yang kukuh hasil dari pengurusan kewangan yang berhemah menyebabkan baki Kumpulan Wang Disatukan Negeri telah meningkat daripada 319.98 juta ringgit pada tahun 2010 kepada 350.77 juta ringgit pada tahun 2011.
Bagi tahun berakhir 31 Disember 2011, kedudukan Akaun Hasil Disatukan Negeri menunjukkan lebihan sebanyak 69.17 juta ringgit berbanding 62.36 juta ringgit pada tahun 2010. Manakala sehingga 30 November 2012, 51.33 juta ringgit lebihan bagi Akaun Hasil Disatukan Negeri.
Jumlah terkumpul dalam Akaun Hasil Disatukan pada 31 Disember 2011 adlah sebanyak 206.49 juta ringgit berbanding 137.32 juta ringgit pada tarikh yang sama 2010, menunjukkan peningkatan sebanyak 50.37%. Sehingga 30 November 2012, jumlah terkumpul Akaun Hasil Disatukan Negeri ialah sebanyak257.822 juta ringgit di mana boleh menampung perbelanjaan emolumen Kerajaan Negeri selama 24 bulan.
Tahun 2013 merupakan belanjawan tahun ketiga pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10), di mana Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada aspek-aspek pembangunan dan pengurusan yang dapat meningkatkan Indeks Kesejahteraan Rakyat. Melalui pendekatan ini komponen yang berkait dengan kualiti hidupo rakyat akan terus di beri tumpuan.  Antaranya termasuklah pendapatan dan pengagihan, persekitaran kerja, pengangkutan dan komunikasi, kesihatan, pendidikan, perumahan, alam sekitar, penyertaan sosial dan keselamatan awam.
Justeru dalam belanjawan kali ini, Kerajaan Negeri akan memberi penekanan kepada empat (4) fokus utama iaitu;
  1. Mensejahterakan Rakyat
  2. Menarik Pelaburan Baru dan Memperkukuhkan Pelaburan Sedia Ada
  3. Memantapkan Modal Insan dan Kerohanian dan
  4. Mempercekap Penyampaian Perkhidmatan Awam
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
BELANJAWAN TAHUN 2013
Pengurusan belanjawan Negeri Sembilan perlu dilaksanakan secara berhemah berasaskan kepada sumber-sumber hasil dan kemampuan kewangan Kerajaan Negeri. Kewangan Kerajaan Negeri yang terhad tentunya membataskan keupayaan kerajaan untuk memenuhi semua keperluan dan hasrat daripada pelbagai pihak. Dalam keadaan ini, pastinya terdapat sektor-sektor yang lain, usaha-usaha perlu dipergiatkan supaya bantuan dan sokongan dari pelbagai pihak di sekeliling kita digembelingkan bersama.
Kerajaan Negeri sentiasa memastikan pengurusan kewangan di jabatan dan agensi negeri berada pada tahap yang terbaik. Selaras dengan itum pelbagai program meningkatkan tahap kecekapan kakitangan dan penambahbaikan sistem Pengauditan Kendiri Pengurusan Kewangan (Self Auditing) telah dilaksanakan. Kesan dari program yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri telah menyaksikan bilangan agensi yang mendapat pengiktirafab Anugerah 4 Bintang Indeks Akauntabiliti Jabatan Audit Negara  telah meningkat dari dua (2) agensi pada tahun 2010 kepada enam (6) agensi dalam tahun 2011 iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Kewangan Negeri, Jabatan Kerja Raya Negeri, Jabatan Perhutanan Negeri, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan terhadap usaha-usaha untuk meningkatkan tahap akauntabiliti dan pematuhan terhadap prosuder kewangan bagi memastikan intergriti pengurusan kewangan terus terpelihara.
Pengurusan sumber kewangan yang berhemah, telus, cekap amanah dan berintegriti merupakan syarat utama bagi menjamin kedudukan kewangan kerajaan terus kekal kukuh. Justeru, Kerajaan dan semua penjawat awam negeri ini komited untuk mempertingkatkan kemahiran dalam pengurusan kewangan, mengamalkan perbelanjaan berhemah dan berjimat cermat serta berusaha meningkatkan hasil Kerajaan Negeri.
Alhamdulillah, kerajaan sekali lagi dapat membentangkan cadangan belanjawan berimbang bagi tahun 2013. Saya ingin menghuraikan secara ringkas Belanjawan tahun 2013 dari tiga (3) aspek utama seperti berikut:-
  • Anggaran Hasil
  • Anggaran Mengurus dan
  • Anggaran Pembangunan
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
ANGGARAN HASIL
Hasil Kerajaan Negeri dibahagikan kepada tiga (3) komponen, iaitu Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil. Pada tahun 2013, hasil Kerajaan Negeri dianggarkan berjumlah 331.2 juta ringgit.
Hasil Cukai dianggarkan sebanyak 152.783 juta ringgit berbanding dengan tahun 2012 sebanyak 146.464 juta ringgit. Peningkatan sebanyak 6.32 juta ringgit disebabkan peningkatan hasil tanah semasa dan cukai-cukai lain.
Hasil Bukan Cukai dianggarkan bertambah sebanyak 1.008 juta ringgit atau 1.2% kepada 88.158 juta ringgit pada tahun 2013 berbanding 87.15 juta ringgit pada tahun 2012. Pertambahan ini antaranya adalah kerana peningkatan kutipan permit tanah dan galian serta caj air mentah.
Terimaan Bukan Hasil pula pada tahun 2013 dianggarkan berjumlah 90.259 juta ringgit berbanding 196.556 juta ringgit pada tahun 2012. Pengurangan ini disebabkan terimaan bukan hasil sebanyak 106.297 juta ringgit atau -54.7% daripada bayaran balik perbelanjaan pembangunan capital expenditure (CAPEX)  dengan izin, bekalan air oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang berjumlah 102.052 juta ringgit tidak lagi dimasukkan sebagai terimaan bayaran perkhidmatan 10% bagi pelaksanaan projek pembangunan persekutuan yang dijangka menurun dalam tahun 2013.
Cukai tanah berulang adalah merupakan sumber hasil utama Kerajaan Negeri. Menyedari keadaan ini, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha membuat penambahbaikan bagi memudahkan urusan pembayaran cukai tanah oleh orang ramai. Selain dari itu tindakan-tindakan yang tegas dan proaktif terus dilaksanakan bagi mempertingkatkan kutipan hasil negeri. Usaha ini telah membuahkan hasil, apabila kutipan cukai tanah semasa sehingga 30 November 2012 telah mencapai 90.34% berbanding 83.54% pada tahun 2011.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
ANGGARAN BELANJAWAN MENGURUS
Anggaran Belanjawan Mengurus bagi tahun 2013 adalah berjumlah 331.2 juta ringgit yang mencatatkan pengurangan sebanyak 98.97 juta ringgit atau -23.0 peratus (-23.0%) jika dibandingkan pada tahun 2012.
Pada tahun 2013, dibawah butiran Emolumen diperuntukkan sejumlah 123.0 juta ringgit berbanding peruntukan tahun 2012 berjumlah 112.492 juta ringgit iaitu pertambahan sebanyak 10.508 juta ringgit atau 9.3%.
Di bawah butiran Perkhidmatan dan Bekalan pada tahun 2013 diperuntukkan sejumlah 73.759 juta ringgitberbanding sejumlah 75.188 juta ringgit pada tahun 2012. Pengurangan perbelanjaan ini disebabkan penjimatan ke atas pengurusan perbelanjaan perjalanan, pembelian bekalan dan penyelenggaraan pejabat.
Di bawah butiran Aset sejumlah 0.466 juta ringgit diperuntukkan pada tahun 2013 di mana sebanyak 0.441 juta ringgit melibatkan pembelian aset untuk Kompleks Baru Mahkamah Syari’ah Negeri.
Di bawah butiran Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap diperuntukkan sejumlah 131.766 juta ringgit. Jumlah ini menurun sebanyak 105.490 juta ringgit atau -44.5% berbanding peruntukan tahun 2012 berjumlah 237.256 juta ringgit. Pengurangan sebanyak 102.052 juta ringgit disebabkan peruntukan untuk penutupan Kumpulan Wang Amanah Bekalan Air (KWABA) tidak disediakan pada tahun 2013.
Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah 12.321 juta ringgit bagi perbelanjaan tanggungan untuk Peruntukan DiRaja, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Bayaran Hutang Kerajaan, Perintah Mahkamah, Pencen dan Ganjaran, dan Peruntukan Undang Yang Empat serta Tengku Besar Tampin.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
ANGGARAN BELANJAWAN PEMBANGUNAN
Bagi memastikan pembangunan di negeri ini terus berkembang dengan mapan, saya mencadangkan sejumlah 95.75 juta ringgit diperuntukkan dalam 2013 merangkumi Vot P50 hingga P63. Kerajaan Negeri memberikan keutamaan dalam sektor pembangunan infrastruktur awam, sosial, pentadbiran, pertanian dan kerohanian mengikut pecahan seperti berikut :
Sektor                                               Peruntukan 2013                                    Pecahan
                                                                  (RM Juta)                                 Peratusan 2013 (%)
Insfrastruktur                                      33.362                                                       34.8
Sosial                                                       25.950                                                       27.1
Pentadbiran                                          15.808                                                       16.5
Pertanian                                               11.599                                                        12.1
Kerohanian                                             9.031                                                           9.4
JUMLAH                                              95.750                                                        100.0
Sektor Infrastruktur
Rangkaian infrastruktur dan kemudahan awam yang lengkap dan bersepadu adalah menjadi pra syarat penting bagi perkembangan ekonomi sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar.
Sejumlah 33.362 juta ringgit diperuntukkan di bawah sektor infrastuktur untuk melaksanakan projek-projek menaiktaraf jalan raya negeri seperti Jalan Tok Ungku, Jalan Sungai Jai, Jalan Kg. Kayu Ara dan Jalan Kg Linsum. Disamping itu Kerajaan Negeri juga mendapat pemberian daripada Kerajaan Perseketuan setiap tahun di bawah Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri (MARRIS), bagi membiayai aktiviti / program penyelenggaraan jalan raya negeri. Dengan pemberian daripada Kerajaan Persekutuan ini, usaha untuk menyediakan infrastruktur jalan yang terbaik dapat dicapai.
Permasalahan yang timbul ekoran dari kejadian banjir akan terus diberi perhatian oleh kerajaan. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak 3.0 juta ringgit bagi projek Rancangan Tebatan Banjir yang akan dijalankan de daerah-daerah di Negeri ini dan 2.4 juta ringgit untuk Rancangan Pengurusan Sungai di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran.
Usaha-usaha akan terus dipergiatkan bagi penyediaan prasarana yang terbaik dan persekitaran yang kondusif di kawasan-kawasan perindustrian tujuan menarik minat pelabur dalam dan luar negara. Untuk melaksanakan hasrat ini, dalam tahun 2013, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak 2.0 juta ringgituntu tujuan penyelenggaraan dan menaiktaraf kawasan-kawasan berkenaan.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
Sektor Sosial
Di bawah sektor sosial sejumlah 25.95 juta ringgit diperuntukkan dalam tahun 2013 untuk kerja-kerja kecil luar bandar, perkhidmatan masyarakat, pembangunan kawasan dan produk pelancongan serta kerja penyelenggaraan Rumah Awam Harga Rendah.
Kerajaan Negeri sentiasa peka akan keperluan rakyat yang mendiami Rumah Awam Harga Rendah (RAHR) dan Rumah Pangsa Kerajaan Negeri untuk menikmati persekitaran kehidupan yang selesa dan selamat. Bagi tujuan ini Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak 0.853 juta ringgit untuk penyelenggaraan dan pembaikan infrastruktur di kawasan berkenaan.
Pelancongan adalah merupakan subsektor kepada industri perkhidmatam dan dilihat sebagai berpotensi tinggi untuk dibangunkan. Sehubungan dengan itu sebanyak 2.0 juta ringgit diperuntukkan bagi membangun dan menaiktaraf kawasan dan produk-produk pelancongan di negeri ini seperti menyelenggara Muzium DiRaja Istana Lama Seri Menanti, menaiktaraf galeri pameran di Muzium Negeri dan kerja-kerja menaiktaraf galeri pameran di Muzium Negeri dan kerja-kerja menaiktaraf kawasan riadah di Jeram Toi khusus kepada para pengunjung yang mencintai khazanah alam dan flora di Negeri ini.
Sempena Tahun Melaway Malaysia 2013/2014, Kerajaan Negeri akan bersama-sama Kementerian Pelancongan mempromosi dan mengetengahkan produk-produk dan program-program yang menjadi keunikan keunikan negeri ini. Produk pelancongan negeri ini boleh dikategorikan kepada pelancongan pantai, pelancongan eko dan rekreasi, pelancongan homestay serta pelancongan sejarah dan budaya. Dengan kepelbagaian ini kita seharusnya merebut setiap peluang yang mendatang sebagai salah satu kekuatan untuk meningkatkan industri pelancongan negeri dan negara.
Sektor Pentadbiran
Pada tahun 2013, sejumlah 15.808 juta ringgit disediakan di bawah sektor pentadbiran. Daripada jumlah ini, sebanyak 5.698 juta ringgit untuk kerja-kerja penyelenggaraan kuarters serta menaiktaraf kompleks-lompleks Kerajaan di seluruh Negeri.
Sebanyak 3.50 juta ringgit diperuntukkan untuk pembangunan Sistem Komputer Kerajaan Negeri, sejajar ke arah e-goverment, dengan izin, dalam menyediakan sistem penyampaian yang cekap kepada pelanggan. Peruntukan yang disediakan ini antaranya untuk perolehan perkakasan ICT, meningkatkan sistem NS Net dan menambahbaik jaringan sistem di pejabat-pejabat daerah dan tanah di negeri ini. Kerajaan juga komited untuk mengurangkan jurang digital di kalangan masyarakat terutamanya di kawasan luarbandar. Dalam hal ini jalinan kerjasama yang erat dengan pihak swasta, badan berkanun dan Kerajaan Persekutuan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir dari arus pembangunan teknologi maklumat.
Disamping itu, sebanyak 6.0 juta ringgit diperuntukkan untuk menyediakan kemudahan komuniti setempat sama ada di luar bandar atau bandar melalui pembinaan dewan orang ramai, penyelenggaraan balai raya dan kemudahan kompleks sukan negeri. Peruntukan yang disediakan ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan untuk memastikan seluruh rakyat Negeri ini dapat menjalankan aktiviti sosial dan riadah hasil pembangunan yang terancang.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
Sektor Pertanian
Sumbangan sektor pertanian kekal penting dan masih lagi signifikan dalam meningkatkan sekuriti makanan ddan pembangunan luar bandar. Berbagai pendekatan telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha untuk menjadikan sektor ini lebih dinamik, berdaya saing dan ditingkatkan nilai tambah melaluii pembangunan teknologi moden. Sektor pertanian memerlukan transformasi untuk menjadi sektor yang moden, bernilai komersil dan berdaya tahan
Untuk mencapai hasrat ini, Kerajaan Negeri meningkatkan peruntukan dalam sektor pertanian setiap tahun di mana pada tahun 2011 sebanyak 8.980 juta ringgit, pada tahun 2012 sebanyak 11.224 juta ringgit dan pada tahun 2013 dijangkakan sebanyak 11.599 juta ringgit.
Di bawah Jabatan Pertanian sebanyak 5.347 juta ringgit diperuntukkan untuk memperkukuhkan pusat perkhidmatan pengembangan dan perundingan pertanian, membangunkan industri padi dan industri sokongan, industri buah-buahan dan sayuran, projek ladang rakyat serta pembangunan taman teknologi pertanian.
Di bawah Perkhidmatan Veterinar, pengeluaran komoditi ternakan terus dipelopori oleh ayam daging dengan jumlah pengeluarannya pada tahun 2011 sebanyak 103,340 metrik tan (MT) berbanding tahun 2010 sebanyak 100,332 MT. Pengeluaran daging lembu dan kerbau masing-masing juga meningkat sebanyak 13% dan 15% pada tahun 2011. Bagi melonjakkan lagi pengeluaran di sektor ini sebanyak 5.376 juta ringgit telah diperuntukkan dalam tahun 2013 dengan tumpuaikan utama akan terus diberikan kepada pembangunan industri ternakan lembu daging / kerbau, ternakan kambing / bebiri dan rusa dengan penyediaan baka-baka yang terpilih melalui pembinaan pusat pembiakan dan perkhidmatan genetik, serta membangunkan usahawan tempatan di bawah Skim Bimbingann dan Transformasi Penternak di negeri ini.
Sektor Kerohanian
Dalam usaha Kerajaan untuk memastikan Negeri Sembilan menuju sebagai negeri maju menjelang tahun 2020, keseimbangan di antara kekuatan ekonomi dan kesedaran kerohanian tidak akan dilupakan. Maka pada tahun 2013, sejumlah 9.031 juta ringgit diperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan untuk melaksankan projek-projek pembangunan infrastruktur, ekonomi dan sosial di negeri ini segala tekad dan azam kerajaan Negeri dapat dilaksanakan sepenuhnya dengan adanya bantuan dan sokongan dari Kerajaan Persekutuan. Sehubungan dengan itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Mohd Najib Tun Abdul Razak yang begitu prihatin dan sensetif dengan keperluan-keperluan pembangunan di negeri ini. Bantuan dan peruntukan yang disalurkan telah membolehkan rakyat negeri ini terus menikmanti kehidupan lebih sejahtera dan selesa.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
Saya berharap Belanjawan 2013 yang baharu sahaja dijelaskan tadi akan memberikan manfaat kepada rakyat Negeri Sembilan dan seterusnya meningkatkan kemajuan ekonomi negeri. Sehubungan itu saya menyeru seluruh rakyat negeri ini untuk terus bersama-sama memelihara keamanan dan keharmonian bagi menjamin perlaksanaan program pembangunan berjalan lancar.
Perbezaan pendapat, idea dan pandangan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menafikan manfaat dan faedah dari program-program pembangunan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan. Seluruh rakyat, khususnya di negeri ini perlulah sama-sama ikhlas dan jujur melaksanakan peranan ddalam membangunkan negeri yang kita sayangi ini. Negeri kita tidak akan terus melangkah maju hanya dengan peranan yang dimainkan oleh kerajaan semata-mata. Sebaliknya menjadi tanggungjawab semua pihak, tanpa mengira latarbelakang agama, bangsa mahupun fahaman politik, untuk membentuk persefahaman dan peranan konstruktif bagi menghadapi pelbagai cabaran dari ddalam mahupun luar.
Momentum pertumbuhan yang ada sekarang perlu ditambahbaik ataupun sekurang-kurangnya dikekalkan bagi menjamin setiap perancangan demi kesejahteraan rakyat ddapat direalisasikan. Peranan penjawat awam amat penting bagi melaksanakan proghram, projek dan aktiviti yang dirancang dalam Belanjawan tahun 2013, supaya ianya dapat dilaksanakan dengan terbaik demi memaksimakan manfaat kepada kumpulan sasar.
Sebagai menghargai sumbangan penjawat awam di negeri ini, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberikan bayaran bonus satu setengah bulan gaji kepada semua penjawat awam di negeri ini. Bayaran pertama setengah bulan gaji telah dijelaskan pada bulan September yang lalu dan bayaran kedua sebulan gaji akan menyusul padda bulan Disember ini. Saya amat berharap prestasi kakitangan awam negeri ini akan terus dipertingkatkan di samping memegang teguh prinsip intergriti dalam setiap gerakkerja.
Marilah kita berdoa kepada Allah Subhana Wata’ala supaya segala usaha, khidmat bakti, kesungguhan dan keikhlasan yang kita curahkan demi negeri tercinta ini mendapat rahmat dan keredhaannNya.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
Sekian saja penjelasan saya mengenai Rang Undang-undang Perbekalan Tahun 2013. Dengan ini saya mencadangkan Rang Undang-undang ini di baca kali kedua. Saya juga mencadangkan supaya usul Anggaran Pembangunan Negeri tahun 2013 yang terkandung sekali dalam pembentangan Rang Undang-undang ini diterima dan diluluskan oleh Dewan yang bersidang hari ini.
Sekian, terima kasih.
Saya mohon mencadangkan
Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh.




Friday 7 December 2012

MBNS cetus idea wujudkan Okestra Simfoni Muda YNS




Sungai Gadut, 09 Nov – Hiburan bukan sesuatu yang melalaikan, malah ia merupakan satu seni kehidupan yang memberi kesan baik terhadap emosi, erti kata lain ianya mengambarkan satu motivasi terhadap manusia.
Malam tadi berlangsungnya Konsert Jalinan Budi 2012 (Sonata Sukma) yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) dengan kerjasama Kerajaan Negeri  dan Kementerian Pelajaran Malaysia.
Konsert ini berlangsung di Auditorium Tunku Puan Chik Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad Sungai Gadut, Seremban.
Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan, menjadi tetamu kehormat konsert tersebut. Beliau hadir bersama isteri, Raja Datin Hjh Salbiah Tengku Nujumuddin.
Persembahan okestra dikalangan pelajar sekolah berlangsung selama sejam tiga puluh minit dan mendapat pujian Menteri Besar yang kagum dengan kebolehan dan bakat yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar ini.
Beliau difahamkan baru lima belas hari kumpulan okestra ini di latih di Kompleks Rakan Muda Jempol, namun 85%  markah diberikan pada persembahan yang menghiburkan dan amat cemerlang.
Beliau turut memuji semua tenaga produksi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi konsert malam ini dan mencungkil bakat-bakat baru di dalam bidang seni.
“Konsert malam ini merupakan konsert untuk kita menutup buku tahunan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan setelah semua pihak bertungkus lumus meletakkan taraf pendidikan negeri ini berada di dalam keadaan baik. Alhamdulillah, negeri semakin maju di dalam pendidikan serta pembangunan yang sedang rancak.”
“Hari ini juga kita sedang menuai hasilnya. Anak-anak telah melalui proses keseimbangan dan semulajadi. Mereka telah membuktikan cemerlang di dalam pelajaran, bidang yang diminati umpama sukan, berpesatuan malah berbakat seni. Paling penting, jangan kita lupa pembentukan jati diri.” Katanya.
“Tahun depan, saya mencadangkan untuk meletakkan satu bajet di Yayasan Negeri Sembilan (YNS) bagi menubuhkan Okestra Simfoni Muda YNS. Melihat pada persembahan yang cemerlang malam ini, sudah sampai masanya negeri ini mempunyai okestra sendiri agar dapat kita persembahkan di majlis-majlis.”
“Melalui Okestra Simfoni Muda YNS, akan melahirkan seramai mungkin bakat seni dan mengasah bakat semulajadi mereka.” ujar beliau lagi.
Turut hadir, Dato’ Razak Mansor, YDP Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Shamsulkahar Mohd Deli, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi Negeri Sembilan.
Hadir sama, Dato’ Abdul Halim Abdul Razak, Mantan Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, Pn Hjh Kalsom Khalid, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.

Peserta Homestay terima sumbangan RM2,500


RANTAU, 17 Nov. – Seramai 20 peserta yang memenuhi kriteria ditetapkan Kementerian Pelancongan terpilih mengendalikan Homestay Kampung Sogo (HKS) yang berlatar belakang kampung tradisional hari ini menerima sumbangan sebanyak RM2,500 setiap seorang.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan hadir di Majlis Santai Bersama Pemimpin bagi menyampaikan sumbangan tersebut di Perkarangan Pusat Daerah Mengundi Kampung Sega, petang tadi.
Dalam ucapan Menteri Besar, beliau menyarankan penduduk khususnya peserta homestay supaya menjaga kebersihan kampung agar dapat menarik minat pelancong asing menginap di perkampungan ini sekaligus mengelakkan sebarang penyakit yang mudah berjangkit.
Menurut beliau, sumbangan ini merupakan peruntukan yang telah dijanjikan ketika beliau hadir bagi menyampaikan sijil pendaftaran kepada 20 orang peserta homestay yang diadakan di perkarangan rumah Puan Salmah Bt. Zainal, April lalu.
“Diharap dengan sedikit sebanyak sumbangan itu peserta homestay dapat membaiki sebarang kerosakan, mengecat rumah, dan kerja-kerja yang berkaitan untuk penambahbaikan rumah induk agar pelancong di dalam mahupun luar negara berada dalam keadaan selesa,” ujar beliau.
Beliau yakin dengan aktiviti pelancongan inap desa membawa banyak faedah kepada penduduk negeri ini apabila sepanjang tahun lalu, seramai 11,000 pengunjung datang dan menginap di beberapa inap desa serta menjana pendapatan tahunan lebih RM1 juta.
Dalam majlis tersebut, Menteri Besar turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang dalam pertandingan memasak kuih dan lauk, serta cenderahati kepada kanak-kanak yang akan bakal memasuki darjah satu pada tahun depan.
Selain itu, Kampung Sega Hulu Plantation telah menyumbangkan hadiah berupa basikal kepada lima orang pelajar cemerlang dari Kg. Sega Hulu, Kg. Sega Hilir dan Kg. Sega Tengah.

MBNS terima Ijazah Doktor Falsafah (Kehormat) Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat


NILAI, 23 Nov – Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud selaku Tuanku Canselor Universiti berangkat mencemar duli ke Majlis Konvokesyen yang ke-10 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Stadium Tertutup Nilai, pagi tadi.
Turut hadir mencemar duli, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Mukhriz yang dilantik sebagai Pro- Canselor USIM dan Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Mukhriz.
DYMM Tuanku Ampuan Besar telah  berkenan   menyampaikan Anugerah Ijazah Doktor Falsafah (Kehormat) Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hasan, anugerah Gelaran Profesor Emeritus kepada Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Hj Hussin.
Dalam ucapan Menteri Besar, beliau menyatakan bahawa penganugerahan yang diterima sangat bernilai kerana sebagai pentadbir negeri tidak hanya bertanggungjawab ke atas pembangunan infrastruktur tetapi berkembang maju dari sudut ekonomi, ilmu, budaya, sosial dan pembangunan modal insan.
Beliau berkata, umat Islam perlu mempertingkatkan usaha melahirkan masyarakat yang soleh dan seimbang dari segi jasmani dan rohani.
“Disinilah peranan USIM sebagai gedung ilmu bagi melahirkan para graduan yang tidak hanya hebat dari segi akademik tetapi unggul dari sudut ilmu dan akhlaknya. Cabaran ini tidak hanya dipikul oleh para pentadbir dan pensyarah tetapi menjadi tanggungjawab kepada mahasiswa dan mahasiswi ,”ucap beliau.
Beliau mengingatkan mahasiswa dan mahasiswi agar menghargai dan menggunakan kesempatan semasa berada di universiti supaya menimba ilmu demi bagi memastikan diri masing-masing bersedia dalam menempuh arus globalisasi yang tidak mengenal sempadan kini.
Sebelum menangguhkan konvokesyen, DYMM Tuanku Ampuan Besar turut  menyampaikan Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada dua orang mahasiswi USIM Amirah binti Ahmad Ajazi dan Nurul Hayati binti Chamcuri, termasuk dua lagi mahasiswi yang masing-masing mendapat Anugerah Canselor dan Pingat Emas Naib Canselor.
Hadir sama, Raja Datin Seri Hjh Salbiah Tengku Nujumuddin, isteri Menteri Besar, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, Naib Canselor USIM, Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri Sembilan, Naib-naib Canselor dan rektor IPTA/IPTS,ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti.

Tambah acara sukan rakyat dan kebudayaan – MBNS



Paroi, 24 Nov – Negeri Sembilan tuan rumah ketiga Pesta Sukan dan Kebudayaan Belia Malaysia tahun ini. Kali pertama dilangsungkan di Perak dan kali kedua pula di Pulau Pinang.
Pesta sukan yang menggabungkan 40 buah persatuan  belia seluruh negara ini telah berkampung sejak Khamis lalu.
Majlis ini disempurnakan oleh Dato’ Seri Utama Dr. Hj Mohamad Hj. Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan, di Centre Court, Paroi Negeri Sembilan.
 Di dalam ucapan, beliau mengucapkan tahniah kepada Presiden Majlis Belia Negeri, Negeri Sembilan, Puan Wan Salwati kerana telah mencabar diri sendiri dengan menerima tawaran menjadi tuan rumah kepada acara sukan bagi belia di negeri ini.
Beliau turut menawarkan Negeri Sembilan sebagai pilihan venue kali keempat kepada Persatuan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung  yang dipertanggungjawabkan menjadi tuan rumah sekiranya bersetuju.
Malah menjadi perkara yang amat penting sekali ialah, majlis seumpama ini mampu menghimpunkan golongan belia dari pelbagai latar belakang dan budaya.
Menteri Besar turut mencadangkan supaya ditambahkan acara pertandingan agar menarik lebih ramai penglibatan para belia di seluruh negara.
Terutamanya acara sukan rakyat dan kebudayaan pelbagai bangsa agar semua belia dapat berkongsi kebudayaan di bawah satu bumbung Malaysia.
Beliau turut menyeru semua pemimpin belia agar bersatu hati dan bekerja kuat serta bersungguh-sungguh.
Ini bagi memastikan kelangsungan dan peranan belia membentuk ahlinya bersemangat setiakawan dan jati diri yang tinggi. Berusaha tanpa penat dan jemu akan melahirkan belia yang aktif, inovatif dan proaktif.
Dato’ Seri Utama Dr. Hj Mohamad Hj Hasan, turut berpuas hati hasil usaha gigih jawatankuasa Pesta Sukan dan Kebudayaan Belia Malaysia di negeri ini.
Beliau turut mendoakan agar pemimpin belia dan ahlinya mampu mengubah stigma negatif  masyarakat terhadap belia. Agar ketrampilan belia bersemangat waja seiring dengan peredaran zaman.
Turut hadir, Saudara Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Presiden Majlis Belia Malaysia, Puan Wan Salwati Hj Abdullah, Presiden Majlis Belia Negeri, Negeri Sembilan, Dato’ Abdul Samad Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan.

PBB di gesa terima Palestin sebagai negara berdaulat



Kuala Lumpur, 30 Nov – Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, Negeri Sembilan semakin pulih dan berada dalam sokongan terbaik serta bersedia memenangi 2/3 kerusi yang dipertandingkan pada PRU13 kelak.
Beliau berkata demikian ketika di wawancara di TV Al-Hijrah, siaran Astro channel 114.
Dalam wawancara ringkas itu juga beliau menyatakan, PRU12 atau pada tahun 2008 tersebut, benar kita dilanda tsunami politik, tetapi angin perubahan juga menunjukkan sokongan tersebut telah pulih ketika ini.
Beliau turut menjelaskan kepada umum bahawa Negeri Sembilan kian giat membangun dengan strategi pelan pembangunan yang terancang serta tersusun.
Ujar beliau, “kita tidak mahu terburu-buru, merancang tetapi tidak memikirkan kesan yang berlaku kelak. Di Negeri Sembilan, kita menjaga dari segi pembangunan modal insan yang menyentuh pendidikan sekular dan pendidikan agama. Kita juga giat membina jaringan jalan raya untuk tujuan pasaran terbuka. Negeri Sembilan ketika ini kian membangun dari segi pelaburan luar negara.
Beliau menyokong 100% ucapan dan amanat Presiden yang menyentuh persedian BN untuk memenangi PRU13.
“Presiden UMNO juga Perdana Menteri Malaysia ketika ini, menyarankan tiga perkara. Jangan sabotaj parti jika tidak dipilih, seluruh jentera UMNO perlu bersiapsiaga untuk berperang juga sokong calon yang difikirkan boleh menang. Perkara ini sangat jelas, perkara yang perlu diperjuangkan ialah perjuangan parti” katanya.
Menyentuh ucapan dasar Presiden, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak semalam, berkaitan isu Palestin, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menegaskan, Isu berkaitan Palestin, jika tidak diselesaikan sampai bila pun tidak akan selesai.
Ujar beliau, “kita berdoa agar Palestin menjadi anggota tetap PBB. Dan kita amat gembira apabila Perdana Menteri Malaysia, Presiden Parti UMNO, Dato’ Seri Mohd Najib menyatakan secara terbuka pada ucapan dasar beliau semalam bahawa kita adalah negara yang memberi sokongan ke atas pengiktirafan negara Palestin.”
“Beliau mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, tetapi dalam masa yang sama mereka tidak mahu mengiktiraf Palestin sebagai anggota PBB. Jika dilihat kepada Jimmy Carter, PBB, semua negarane yang berdaulat secara automatik diterima menjadi anggota PBB.” katanya lagi.
PBB di lihat ‘double standard’ atau pilih kasih kerana mengiktiraf negara baru sebagai sebuah negara manakala negara lama tidak diiktiraf.
Ujarnya lagi, “Rakyat Palestin akan terus terumbang-ambing tanpa pembelaan. Jika ini terus-terusan berlaku, Palestin akan sentiasa menjadi mangsa kekejaman dan kezaliman Zionis Israel.”
Parti UMNO dan Kerajaan Malaysia konsisten dalam keputusan agar negara Palestin diberi penghormatan sebagai sebuah negara yang berdaulat.
Negara Israel ditubuhkan ketika kedaulatan negara Palestin dicemar dengan kezaliman puak zionis.
“Saya mewakili UMNO Negeri Sembilan menyokong penuh segala usaha yang dibuat pemimpin kita agar Palestin diberi hak sebagai sebuah negara yang berdaulat seterusnya di terima PBB. Apabila mereka diterima menjadi anggota yang sah, mereka boleh bersuara dalam apa juga hasrat.”

Masjid Hussain bernilai RM15 juta dan di jangka siap dalam tempoh 14 bulan.


SEREMBAN, 03 Dis. – “Setelah terbinanya masjid ini nanti diharapkan penduduk Islam dapat hadir untuk solat berjemaah bersama-sama. Masjid ini juga adalah simbolik kepada usaha yang ditunjukkan oleh kerajaan bagi meneruskan dan meningkatkan syiar Islam dengan jayanya,”
Demikian kata Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan yang hadir di Majlis Kesyukuran Sempena Projek Pembinaan Masjid Hussain, Seremban 2 di Tapak Letak Kereta City Park, Seremban 2 pagi tadi.
Masjid yang diwakafkan oleh Tan Sri Abdul Rashid bin Hussain itu menelan belanja lebih kurang RM15 juta dan di jangka siap dalam tempoh 14 bulan. Masjid yang bakal disiapkan ini boleh memuatkan sehingga 3000 orang jemaah diatas tanah seluas 5 ekar. Konsep yang diterapkan adalah konsep masjid dalam taman.
Dalam ucapan Menteri Besar, beliau berkata, “Setakat ini enam masjid yang hampir siap dan masih dalam pembinaan sekitar Negeri Sembilan. Begitu juga dengan Wisma Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang dalam proses pembinaan. Selain itu, pihak kerajaan negeri juga telah mengadakan kelas-kelas agama bagi peringkat sekolah rendah dan menengah. Segala usaha ini dibuat adalah untuk memastikan agenda mempertingkatkan syiar Islam dapat diteruskan dengan jayanya,”
Menteri Besar menyatakan bahawa agenda menjadikan Negeri Sembilan sebagai lembah ilmu juga berjalan dengan lancar. Ini dibuktikan dengan keputusan-keputusan peperiksaan cemerlang yang dicatatkan oleh anak-anak Negeri Sembilan. Beliau juga mahu kedua-dua agenda ini bergerak seiring agar dapat melahirkan pemimpin yang berilmu dan berakhlak tinggi.
Sebelum mengakhiri ucapan, beliau berkata, “Sebagai tanda penghargaan pihak Kerajaan Negeri dan MAINS kepada Tan Sri Rashid yang telah mewakafkan masjid ini, masjid ini akan dinamakan sebagai Masjid Hussain, sempena nama Allahyarham bapa Tan Sri Rashid sendiri. Semoga lebih ramai lagi yang akan mengimarahkan konsep wakaf seperti ini.”
Tan Sri Rashid dan kepimpinan kerajaan negeri telah mengiringi Menteri Besar melawat tapak projek.
Hadir sama, Dato’ Hj. Razak bin Mansor, Speaker DUN, Dato’ Hj. Mat Ali bin Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Tuan Jihani bin Hassan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

Kilang Pemprosesan Bijirin Sarapan di Chembong yang Ketiga di Asia



Chembong, 03 Dis – Kilang pemprosesan bijirin sarapan di Malaysia telah di buka dengan rasminya di kawasan perindustrian Chembong, petang tadi.
Majlis dirasmi dan diperkenankan oleh DYMM Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir disaksikan oleh Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan.
Turut mencemar duli, DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan,Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Kilang pemprosesan ini bagi memenuhi permintaan bijirin sarapan yang semakin meningkat untuk pasaran rakyat Malaysia dan juga negara serantau.
Kilang pemprosesan di Chembong, merupakan kilang ketiga di Asia manakala yang ke-17  CPW beroperasi seluruh dunia dan menjadikan Malaysia sebagai pengeluar dan pengeksport bijirin sarapan bijian penuh rantau ini.
Pengeluaran di kilang ini akan dieksport ke negara luar seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Hong Kong, Taiwan, Pakistan, Bangladesh dan Vietnam.
Ia adalah usahasama Cereal Partners Worldwide (CPW) bersama Nestle S.A dan General Mills Inc.
Turut hadir, YTM Dato’ Lela Maharaja Dato’ Muhamad Sharip Hj Othman, Undang Luak Rembau.
Hadir sama, Dato’ Sri Mustapha Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Jamalullail, Pengerusi Nestle Malaysia, Wen-Wen Paquette Wang, Pengarah Serantau Cereal Partners Worldwide Asia (CPW) serta Peter R. Vogt, Pengarah Urusan Nestle Malaysia.
Turut kelihatan, Tuan Hj Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ahli Parlimen Rembau, Tuan Saifulbahri Idris, ADUN Chembong dan Dato’ Dr. Awaluddin Hj Said, ADUN Kota.

Imarahkan masjid dan jadikan sebagai pusat komuniti – MBNS


SEREMBAN, 04 Dis. – Dato’ Seri Utama Hj. Mohamad bin Hj. Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan hadir ke Majlis Sepetang Bersama  Imam dan Ahli JawatanKuasa (AJK) masjid-masjid sekitar Negeri Sembilan di Klana Resort Seremban petang tadi.
Majlis ini bertujuan untuk menyampaikan penganugerahan kepada masjid-masjid yang terpilih dan juga kepada tokoh-tokoh imam selain beramah mesra bersama Imam dan AJK masjid-masjid.
Dalam majlis itu, Menteri Besar berkata, “Imam dan AJK masjid perlu diberi pendedahan supaya dapat menjadi pemimpin yang boleh menimbang tara antara yang baik dan buruk agar sentiasa hidup dalam keadaan aman dan tenteram.”
Beliau menyatakan bahawa hasrat beliau adalah untuk melihat rakyat hidup dalam keadaan aman agar pihak kepimpinan dapat memajukan negeri tanpa menyingkirkan agama.
“Kita sudah pun mempunyai pelan pembangunan yang berstruktur baik dan ianya terbukti apabila diiktiraf sendiri oleh negara luar. Pembangunan ini akan diteruskan dan kerajaan akan sentiasa membangunkan negara dan menjangkau kemajuan tanpa mensasarkan agama Islam,”tambah beliau lagi.
Menteri Besar juga berharap agar masjid-masjid yang ada ini sentiasa diutamakan dan dijadikan sebagai pusat komuniti untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.
Beliau berkata,“Masjid adalah satu institusi yang baik, maka pihak pentadbiran masjid perlulah menguruskan setiap masjid dengan baik. Anjurkan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan agar masjid dapat diimarahkan lagi dan dijadikan sebagai tempat tumpuan. Aktiviti kemasyarakatan juga dapat membentuk perpaduan antara umat Islam supaya kita akan menjadi lebih kuat.”
Menteri Besar turut menyampaikan empat anugerah kepada  masjid-masjid yang terbaik dan anugerah khas tokoh Imam kepada tiga orang Imam terpilih yang telah memberi khidmat selama lebih 20 tahun.
Selain itu, beliau turut menyumbangkan sumbangan khas dalam bentuk projek kepada setiap masjid terbaik yang mendapat anugerah.
Hadir sama, Dato’ Hj. Mat Ali bin Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Tuan Johani bin Hassan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

Group Relamping TNB seiring usaha Dasar Pencahayaan Kerajaan Negeri


Senawang, 04 Dis – Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan melancarkan Group Relamping (Kumpulan Penyelengaraan Lampu Berkelompok) TNB di Dewan Orang Ramai Taman Tuanku Jaafar, Seremban, petang tadi.
Majlis dianjurkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Kerajaan Negeri.
Ujar beliau ketika berucap, “Program ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang telah melaksanakan Dasar Pencahayaan yang diperkenalkan pada tahun 2008. Saya dukacita membaca berita, seorang bilal meninggal dunia di Johol, ketika dalam perjalanan ke masjid ketika waktu subuh. Keadaan ini tidak seharusnya berlaku di kala zaman semakin maju dengan pesat.”

Beliau turut meletakkan sasaran masalah berkaitan lampu jalan ini dapat diselesaikan penghujung 2013 dan memastikan tiada lagi kawasan di bandar, taman-taman perumahan, jalan kampung dan perkampungan bergelap. Projek ini turut mendapat kerjasama JKR.
Hasil kerjasama pintar Kerajaan Negeri dan TNB dalam menangani isu ini akan menyelamatkan lebih banyak nyawa lagi. Projek ini merupakan sesuatu yang unik, kerana menggunakan kaedah jangka hayat, iaitu ‘belum rosak sudah diperbaiki.
Beliau turut menyeru kepada penduduk Taman Tuanku Jaafar dan taman sekitar agar bersyukur kerana Taman Tuanku Jaafar,  merupakan lokasi pertama dan Negeri Sembilan merupakan negeri yang diberi keutamaan oleh TNB.
Menurut beliau lagi, “Di Taman Tuanku Jaafar sahaja, TNB telah membelanjakan RM500 ribu. Ianya akan dilaksanakan selama dua tahun di seluruh Negeri Sembilan yang akan menelan belanja RM14 juta.”
Bukan sahaja ia meningkatkan faktor keselamatan, ia turut membantu mengurangkan kes jenayah dan boleh dikira program serampang dua mata.
Menurut Datuk Wira Ir. Azman Mohd, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, “lampu jalan merupakan antara aduan yang tertinggi diterima oleh Pusat Pengurusan Panggilan Kami atau TNB CareLine. Walaupun ianya bukan sumber pendapatan utama, tetapi ia adalah salah satu pengukur utama prestasi TNB di mata masyarakat.”
Turut hadir, Dato’ Hj Mat Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Hj Ismail Lasim, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Insfrastruktur Air, Tenaga dan Telekomunikasi dan Encik Kamal Arifin Abdul Rahman, Pengurus Besar Negeri (Negeri Sembilan) Bahagian Pembahagian TNB.

IBM Corporation iktiraf Negeri Sembilan sebagai bandaraya pintar



SEREMBAN, 05 Dis. – Negeri Sembilan melalui agensi sehenti ICT, Rangkaian Minang (NS) Sdn. Bhd (RMNS), telah terpilih sebagai salah satu daripada 30 bandar di dunia untuk menerima geran program ini dan satu-satunya di Malaysia dalam persaingan global yang dianjurkan oleh International Business Machines (IBM) Corporation iaitu program ‘Smarter Cities Challenge.’
Sebanyak 500 bandaraya telah disenarai pendek oleh IBM Corporation (IBM) dan di Malaysia terdapat dua lagi negeri lain yang telah bersaing untuk mendapat geran ini iaitu Wilayah Iskandar dan Cyberjaya.
Pemberian geran bernilai US$400,000 ini adalah meliputi akses kepada beberapa pakar terkemuka IBM yang akan menganalisis dan mencadangkan cara-cara untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan oleh pentadbiran negeri.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkata, pengiktirafan yang diberikan oleh IBM ini menjadikan Negeri Sembilan sebagai bandaraya yang mempunyai potensi besar dan struktur pembangunan dilihat berkonsepkan teknologi hijau dan perhubungan media yang baik.
Jelas beliau lagi, terdapat beberapa langkah dalam pembangunan ICT ini yang diambil supaya Negeri Sembilan dibangunkan dengan ICT yang mampan. Pembangunan fizikal juga akan mengikut pelan yang dirancang.
“Penganugerahan Geran Smarter Cities Challenge oleh IBM Corporation ini akan memberi kesan positif untuk melaksanakan pelan tindakan Negeri Sembilan ICT Strategic Plan (NSISP). Ianya amat membanggakan dan pengiktirafan pemberian geran ini adalah di atas inisiatif ICT yang disediakan Negeri Sembilan,” ujar beliau kepada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, hari ini.

MB luangkan masa melawat kawasan terlibat banjir


PORT DICKSON, 06 Dis. – Penduduk yang terlibat banjir di kedua-dua kawasan adalah antara penerima Bantuan Ihsan Bencana Alam daripada Tabung Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diwujudkan oleh kerajaan melalui Majlis keselamatan Negara (MKN), petang tadi.
Sejurus selepas program tersebut, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan  turun padang bersama dengan beberapa pemimpin kerajaan negeri yang lain bagi melihat kawasan yang terlibat banjir di Bandar Springhill dan Kampung Jimah, Port Dickson.
Beliau meluangkan masa sejam melawat dua tempat iaitu  kawasan Bandar Baru Springhill lokasi terjadinya kejadian tanah runtuh yang melibatkan jambatan sebagai penghubung utama kawasan taman dan jalan utama.
Disebabkan kejadian tersebut, beliau telah mengambil tindakan serta merta dan mengarahkan kontraktor agar memulakan kerja membaik pulih dengan kadar segera dengan anggaran peruntukan sebanyak RM240,000.

Beliau kemudiannya membuat lawatan ke Kampung Jimah Lama dan melalui kawasan sungai, jalan raya yang rosak, tebing tanah runtuh untuk melihat dan menziarah beberapa rumah penduduk yang dilanda banjir.
Tindakan melebar dan mendalamkan kawasan sungai juga diarahkan dengan segera sebagai satu cara bagi mengelakkan air sungai melimpah.
Turut di dalam lawatan Menteri Besar, Datuk Hj Mat Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ S. Sothinathan, Mantan Ahli Parlimen Telok Kemang dan Senator Datuk Dr Yeow Chai Thiam.