Powered By Blogger

Saturday 15 December 2012

TEKS Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 – ‘Memakmurkan Negeri dan Mensejahterakan Rakyat : Janji Ditepati’


                                                               Teks Ucapan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan
Ketika Membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 (Bacaan Kali Kedua)
Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kelima
Dewan Undangan Negeri Yang ke-12
(14 Disember 2012) 


Bismillah hirrahmanirrahim,
Yang Berhormat Dato’ Yang DiPertua,
Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah izinNya, dapat saya membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan bagi tahun 2013 di Dewan yang mulia ini. Marilah sama-sama kita merafakkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurniaNya jua Negeri Sembilan terus dianugerahkan suasana yang aman dan makmur membolehkan rakyat negeri ini meneruskan kehidupan seharian dengan selesa. Insya Allah dengan suasana negeri yang aman dan makmur Kerajaan Negeri akan memastikan ekonomi negeri teruws kukuh bagi membolehkan semua pihak khususnya kerajaan dapat membina kekuatan, teguh bersatu bergerak mencapai matlamat negeri maju serta berupaya memenuhi harapan masa depan rakyat.
Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 yang disediakan berpaksikan kepada matlamat untuk ‘Memakmurkan Negeri dan Mensejahterakan Rakyat : Janji Ditepati.’
Sebelum saya mencadangkan bacaan kali kedua terhadap Rang Undang-Undang ini, izinkan saya memberi penerangan ringkas mengenai senario ekonomi dan pengurusan kewangan Negeri Sembilan serta mengenai maksud dan tujuan Rang Undang-undang ini dibentangkan.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
Senario Ekonomi Negeri Sembilan
Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan ekonomi Negeri Sembilan terus berkembang meskipun dalam persekitaran global yang tidak menentu. Pada tahun 2011, Ekonomi Negeri Sembilan mengalami pertumbuhan yang memberangsangkan walaupun mengharungi pelbagai cabaran khususnya kesan kelembapan ekonomi global. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Sembilan terus mencatatkan peningkatan pada kadar yang lebih tinggi pada tahun 2011 kepada 22.047 bilion ringgit iaitu pertumbuhan sebanyak 5.9% berbanding 5.3% pada tahun 2010.
Sektor pembuatan dan perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama kepada KDNK Negeri Sembilan. Dalam tahun 2011, sumbangan sektor pembuatan dan perkhidmatan masing-masing adalah sebanyak 46.0% atau 10.148 bilion ringgit dan 44.6% atau 9.834 bilion ringgit. Berhubung dengan kemasukan pelabur ke Negeri Sembilan pula, jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan telah meningkat dengan ketara kepada sebanyak 5.9 bilion ringgit pada tahun 2011. Selain dari itu, Kerajaan Negeri juga menerima pelaburan berjumlah 1.23 bilion ringgit dari lain-lain sektor seperti pelancongan, perkhidmatan dan pembinaan. Ini menunjukkan bahawa usaha kerajaan untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan yang menarik kepada pelabur asing dengan menyediakan kawasan perindustrian yang strategik, di samping mengamalkan dasar mesra pelabur telah membuahkan hasil.
Sektor pertanian pula merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi Negeri Sembilan iaitu sebanyak 6.5% atau 1.426 bilion ringgit. Walaupun sumbanganya kepada KDNK Negeri agak kecil berbanding sektor pembuatan dan perkhidmatan, namun sektor ini kekal penting dan terus menjadi tumpuan utama Kerajaan Negeri kerana ianya melibatkan kepentingan pembangunan rakyat di luar bandar di samping mencapai matlamat tahap sara diri.
Kekuatan-kekuatan yang dimiliki oleh negeri ini menjadikan kita mampu mengharungi pelbagai cabaran ekonomi dan berjaya meningkatkan KDNK negeri pada tahun mendatang. Kekuatan ini juga perlu disokong dengan transformasi perkhidmatan awam di negeri ini bagi menjana kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan terus berada di tahap terbaik.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
Kerajaan Negeri berkeyakinan bahawa prestasi pertumbuhan KDNK Negeri pada tahun 2012 dijangka akan terus berkembang padqa kadar 4.5% hingga 5.0%. Antara faktor yang meningkatkan keyakinan kerajaan termasuklaj pencapaian jumlah pelaburan yang diluluskan dalam tempoh Januari hingga Ogos 2012 telah mencapai sebanyak 2.29 bilion ringgit.
Jumlah tersebut telahpun berjaya memenuhi sasaran nilai pelaburan tahunan iaitu 1.0 bilion ringgit.
Kedudukan Negeri Sembilan yang berada dalam konurbasi Kuala Lumpur, berhampiran Pusat Pentadbiran Putrajaya, KLIA, Koridor Raya Multimedia, Lembah Bio, Cyberjaya dan pelabuhan utama, ditambah pula dengan kemudahan insfrastruktur yang sangat baik dan jaringan perhubungan darat yang efisien, menjadikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan yang strategik untuk pelabur tempatan dan asing. Penglibatan sektor swasta akan terus dipertingkatkan sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi negeri. Manakala sektor awam membantu merealisasikan hasrat mencapai status negeri maju menjelang tahun 2020.
Transformasi pembangunan ekonomi Negeri Sembilan akan dilonjakkan pada tahun 2013 berteraskan kepada Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Negeri Sembilan 2011-2020 yang mana antara matlamatnya adalah:
  • Meningkatkan tumpuan kepada tiga (3) sektor utama yang telah dikenalpasti sebagai penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negeri;
  • Meningkatkan produktiviti dan hasil subsektor yang berpotensi, dan
  • Mengukuhkan mekanisme perlaksanaan bagi memastikan setiap pihak yang berkaitan, sama-sama bertanggungjawab ke arah melonjakkan ekonomi negeri.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
PENGURUSAN KEWANGAN
Prestasi kewangan Kerajaan Negeri berada dalam kedudukan yang kukuh hasil dari pengurusan kewangan yang berhemah menyebabkan baki Kumpulan Wang Disatukan Negeri telah meningkat daripada 319.98 juta ringgit pada tahun 2010 kepada 350.77 juta ringgit pada tahun 2011.
Bagi tahun berakhir 31 Disember 2011, kedudukan Akaun Hasil Disatukan Negeri menunjukkan lebihan sebanyak 69.17 juta ringgit berbanding 62.36 juta ringgit pada tahun 2010. Manakala sehingga 30 November 2012, 51.33 juta ringgit lebihan bagi Akaun Hasil Disatukan Negeri.
Jumlah terkumpul dalam Akaun Hasil Disatukan pada 31 Disember 2011 adlah sebanyak 206.49 juta ringgit berbanding 137.32 juta ringgit pada tarikh yang sama 2010, menunjukkan peningkatan sebanyak 50.37%. Sehingga 30 November 2012, jumlah terkumpul Akaun Hasil Disatukan Negeri ialah sebanyak257.822 juta ringgit di mana boleh menampung perbelanjaan emolumen Kerajaan Negeri selama 24 bulan.
Tahun 2013 merupakan belanjawan tahun ketiga pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10), di mana Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada aspek-aspek pembangunan dan pengurusan yang dapat meningkatkan Indeks Kesejahteraan Rakyat. Melalui pendekatan ini komponen yang berkait dengan kualiti hidupo rakyat akan terus di beri tumpuan.  Antaranya termasuklah pendapatan dan pengagihan, persekitaran kerja, pengangkutan dan komunikasi, kesihatan, pendidikan, perumahan, alam sekitar, penyertaan sosial dan keselamatan awam.
Justeru dalam belanjawan kali ini, Kerajaan Negeri akan memberi penekanan kepada empat (4) fokus utama iaitu;
  1. Mensejahterakan Rakyat
  2. Menarik Pelaburan Baru dan Memperkukuhkan Pelaburan Sedia Ada
  3. Memantapkan Modal Insan dan Kerohanian dan
  4. Mempercekap Penyampaian Perkhidmatan Awam
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
BELANJAWAN TAHUN 2013
Pengurusan belanjawan Negeri Sembilan perlu dilaksanakan secara berhemah berasaskan kepada sumber-sumber hasil dan kemampuan kewangan Kerajaan Negeri. Kewangan Kerajaan Negeri yang terhad tentunya membataskan keupayaan kerajaan untuk memenuhi semua keperluan dan hasrat daripada pelbagai pihak. Dalam keadaan ini, pastinya terdapat sektor-sektor yang lain, usaha-usaha perlu dipergiatkan supaya bantuan dan sokongan dari pelbagai pihak di sekeliling kita digembelingkan bersama.
Kerajaan Negeri sentiasa memastikan pengurusan kewangan di jabatan dan agensi negeri berada pada tahap yang terbaik. Selaras dengan itum pelbagai program meningkatkan tahap kecekapan kakitangan dan penambahbaikan sistem Pengauditan Kendiri Pengurusan Kewangan (Self Auditing) telah dilaksanakan. Kesan dari program yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri telah menyaksikan bilangan agensi yang mendapat pengiktirafab Anugerah 4 Bintang Indeks Akauntabiliti Jabatan Audit Negara  telah meningkat dari dua (2) agensi pada tahun 2010 kepada enam (6) agensi dalam tahun 2011 iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Kewangan Negeri, Jabatan Kerja Raya Negeri, Jabatan Perhutanan Negeri, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan terhadap usaha-usaha untuk meningkatkan tahap akauntabiliti dan pematuhan terhadap prosuder kewangan bagi memastikan intergriti pengurusan kewangan terus terpelihara.
Pengurusan sumber kewangan yang berhemah, telus, cekap amanah dan berintegriti merupakan syarat utama bagi menjamin kedudukan kewangan kerajaan terus kekal kukuh. Justeru, Kerajaan dan semua penjawat awam negeri ini komited untuk mempertingkatkan kemahiran dalam pengurusan kewangan, mengamalkan perbelanjaan berhemah dan berjimat cermat serta berusaha meningkatkan hasil Kerajaan Negeri.
Alhamdulillah, kerajaan sekali lagi dapat membentangkan cadangan belanjawan berimbang bagi tahun 2013. Saya ingin menghuraikan secara ringkas Belanjawan tahun 2013 dari tiga (3) aspek utama seperti berikut:-
  • Anggaran Hasil
  • Anggaran Mengurus dan
  • Anggaran Pembangunan
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
ANGGARAN HASIL
Hasil Kerajaan Negeri dibahagikan kepada tiga (3) komponen, iaitu Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil. Pada tahun 2013, hasil Kerajaan Negeri dianggarkan berjumlah 331.2 juta ringgit.
Hasil Cukai dianggarkan sebanyak 152.783 juta ringgit berbanding dengan tahun 2012 sebanyak 146.464 juta ringgit. Peningkatan sebanyak 6.32 juta ringgit disebabkan peningkatan hasil tanah semasa dan cukai-cukai lain.
Hasil Bukan Cukai dianggarkan bertambah sebanyak 1.008 juta ringgit atau 1.2% kepada 88.158 juta ringgit pada tahun 2013 berbanding 87.15 juta ringgit pada tahun 2012. Pertambahan ini antaranya adalah kerana peningkatan kutipan permit tanah dan galian serta caj air mentah.
Terimaan Bukan Hasil pula pada tahun 2013 dianggarkan berjumlah 90.259 juta ringgit berbanding 196.556 juta ringgit pada tahun 2012. Pengurangan ini disebabkan terimaan bukan hasil sebanyak 106.297 juta ringgit atau -54.7% daripada bayaran balik perbelanjaan pembangunan capital expenditure (CAPEX)  dengan izin, bekalan air oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang berjumlah 102.052 juta ringgit tidak lagi dimasukkan sebagai terimaan bayaran perkhidmatan 10% bagi pelaksanaan projek pembangunan persekutuan yang dijangka menurun dalam tahun 2013.
Cukai tanah berulang adalah merupakan sumber hasil utama Kerajaan Negeri. Menyedari keadaan ini, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha membuat penambahbaikan bagi memudahkan urusan pembayaran cukai tanah oleh orang ramai. Selain dari itu tindakan-tindakan yang tegas dan proaktif terus dilaksanakan bagi mempertingkatkan kutipan hasil negeri. Usaha ini telah membuahkan hasil, apabila kutipan cukai tanah semasa sehingga 30 November 2012 telah mencapai 90.34% berbanding 83.54% pada tahun 2011.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
ANGGARAN BELANJAWAN MENGURUS
Anggaran Belanjawan Mengurus bagi tahun 2013 adalah berjumlah 331.2 juta ringgit yang mencatatkan pengurangan sebanyak 98.97 juta ringgit atau -23.0 peratus (-23.0%) jika dibandingkan pada tahun 2012.
Pada tahun 2013, dibawah butiran Emolumen diperuntukkan sejumlah 123.0 juta ringgit berbanding peruntukan tahun 2012 berjumlah 112.492 juta ringgit iaitu pertambahan sebanyak 10.508 juta ringgit atau 9.3%.
Di bawah butiran Perkhidmatan dan Bekalan pada tahun 2013 diperuntukkan sejumlah 73.759 juta ringgitberbanding sejumlah 75.188 juta ringgit pada tahun 2012. Pengurangan perbelanjaan ini disebabkan penjimatan ke atas pengurusan perbelanjaan perjalanan, pembelian bekalan dan penyelenggaraan pejabat.
Di bawah butiran Aset sejumlah 0.466 juta ringgit diperuntukkan pada tahun 2013 di mana sebanyak 0.441 juta ringgit melibatkan pembelian aset untuk Kompleks Baru Mahkamah Syari’ah Negeri.
Di bawah butiran Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap diperuntukkan sejumlah 131.766 juta ringgit. Jumlah ini menurun sebanyak 105.490 juta ringgit atau -44.5% berbanding peruntukan tahun 2012 berjumlah 237.256 juta ringgit. Pengurangan sebanyak 102.052 juta ringgit disebabkan peruntukan untuk penutupan Kumpulan Wang Amanah Bekalan Air (KWABA) tidak disediakan pada tahun 2013.
Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah 12.321 juta ringgit bagi perbelanjaan tanggungan untuk Peruntukan DiRaja, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Bayaran Hutang Kerajaan, Perintah Mahkamah, Pencen dan Ganjaran, dan Peruntukan Undang Yang Empat serta Tengku Besar Tampin.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
ANGGARAN BELANJAWAN PEMBANGUNAN
Bagi memastikan pembangunan di negeri ini terus berkembang dengan mapan, saya mencadangkan sejumlah 95.75 juta ringgit diperuntukkan dalam 2013 merangkumi Vot P50 hingga P63. Kerajaan Negeri memberikan keutamaan dalam sektor pembangunan infrastruktur awam, sosial, pentadbiran, pertanian dan kerohanian mengikut pecahan seperti berikut :
Sektor                                               Peruntukan 2013                                    Pecahan
                                                                  (RM Juta)                                 Peratusan 2013 (%)
Insfrastruktur                                      33.362                                                       34.8
Sosial                                                       25.950                                                       27.1
Pentadbiran                                          15.808                                                       16.5
Pertanian                                               11.599                                                        12.1
Kerohanian                                             9.031                                                           9.4
JUMLAH                                              95.750                                                        100.0
Sektor Infrastruktur
Rangkaian infrastruktur dan kemudahan awam yang lengkap dan bersepadu adalah menjadi pra syarat penting bagi perkembangan ekonomi sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar.
Sejumlah 33.362 juta ringgit diperuntukkan di bawah sektor infrastuktur untuk melaksanakan projek-projek menaiktaraf jalan raya negeri seperti Jalan Tok Ungku, Jalan Sungai Jai, Jalan Kg. Kayu Ara dan Jalan Kg Linsum. Disamping itu Kerajaan Negeri juga mendapat pemberian daripada Kerajaan Perseketuan setiap tahun di bawah Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri (MARRIS), bagi membiayai aktiviti / program penyelenggaraan jalan raya negeri. Dengan pemberian daripada Kerajaan Persekutuan ini, usaha untuk menyediakan infrastruktur jalan yang terbaik dapat dicapai.
Permasalahan yang timbul ekoran dari kejadian banjir akan terus diberi perhatian oleh kerajaan. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak 3.0 juta ringgit bagi projek Rancangan Tebatan Banjir yang akan dijalankan de daerah-daerah di Negeri ini dan 2.4 juta ringgit untuk Rancangan Pengurusan Sungai di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran.
Usaha-usaha akan terus dipergiatkan bagi penyediaan prasarana yang terbaik dan persekitaran yang kondusif di kawasan-kawasan perindustrian tujuan menarik minat pelabur dalam dan luar negara. Untuk melaksanakan hasrat ini, dalam tahun 2013, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak 2.0 juta ringgituntu tujuan penyelenggaraan dan menaiktaraf kawasan-kawasan berkenaan.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
Sektor Sosial
Di bawah sektor sosial sejumlah 25.95 juta ringgit diperuntukkan dalam tahun 2013 untuk kerja-kerja kecil luar bandar, perkhidmatan masyarakat, pembangunan kawasan dan produk pelancongan serta kerja penyelenggaraan Rumah Awam Harga Rendah.
Kerajaan Negeri sentiasa peka akan keperluan rakyat yang mendiami Rumah Awam Harga Rendah (RAHR) dan Rumah Pangsa Kerajaan Negeri untuk menikmati persekitaran kehidupan yang selesa dan selamat. Bagi tujuan ini Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak 0.853 juta ringgit untuk penyelenggaraan dan pembaikan infrastruktur di kawasan berkenaan.
Pelancongan adalah merupakan subsektor kepada industri perkhidmatam dan dilihat sebagai berpotensi tinggi untuk dibangunkan. Sehubungan dengan itu sebanyak 2.0 juta ringgit diperuntukkan bagi membangun dan menaiktaraf kawasan dan produk-produk pelancongan di negeri ini seperti menyelenggara Muzium DiRaja Istana Lama Seri Menanti, menaiktaraf galeri pameran di Muzium Negeri dan kerja-kerja menaiktaraf galeri pameran di Muzium Negeri dan kerja-kerja menaiktaraf kawasan riadah di Jeram Toi khusus kepada para pengunjung yang mencintai khazanah alam dan flora di Negeri ini.
Sempena Tahun Melaway Malaysia 2013/2014, Kerajaan Negeri akan bersama-sama Kementerian Pelancongan mempromosi dan mengetengahkan produk-produk dan program-program yang menjadi keunikan keunikan negeri ini. Produk pelancongan negeri ini boleh dikategorikan kepada pelancongan pantai, pelancongan eko dan rekreasi, pelancongan homestay serta pelancongan sejarah dan budaya. Dengan kepelbagaian ini kita seharusnya merebut setiap peluang yang mendatang sebagai salah satu kekuatan untuk meningkatkan industri pelancongan negeri dan negara.
Sektor Pentadbiran
Pada tahun 2013, sejumlah 15.808 juta ringgit disediakan di bawah sektor pentadbiran. Daripada jumlah ini, sebanyak 5.698 juta ringgit untuk kerja-kerja penyelenggaraan kuarters serta menaiktaraf kompleks-lompleks Kerajaan di seluruh Negeri.
Sebanyak 3.50 juta ringgit diperuntukkan untuk pembangunan Sistem Komputer Kerajaan Negeri, sejajar ke arah e-goverment, dengan izin, dalam menyediakan sistem penyampaian yang cekap kepada pelanggan. Peruntukan yang disediakan ini antaranya untuk perolehan perkakasan ICT, meningkatkan sistem NS Net dan menambahbaik jaringan sistem di pejabat-pejabat daerah dan tanah di negeri ini. Kerajaan juga komited untuk mengurangkan jurang digital di kalangan masyarakat terutamanya di kawasan luarbandar. Dalam hal ini jalinan kerjasama yang erat dengan pihak swasta, badan berkanun dan Kerajaan Persekutuan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir dari arus pembangunan teknologi maklumat.
Disamping itu, sebanyak 6.0 juta ringgit diperuntukkan untuk menyediakan kemudahan komuniti setempat sama ada di luar bandar atau bandar melalui pembinaan dewan orang ramai, penyelenggaraan balai raya dan kemudahan kompleks sukan negeri. Peruntukan yang disediakan ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan untuk memastikan seluruh rakyat Negeri ini dapat menjalankan aktiviti sosial dan riadah hasil pembangunan yang terancang.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
Sektor Pertanian
Sumbangan sektor pertanian kekal penting dan masih lagi signifikan dalam meningkatkan sekuriti makanan ddan pembangunan luar bandar. Berbagai pendekatan telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha untuk menjadikan sektor ini lebih dinamik, berdaya saing dan ditingkatkan nilai tambah melaluii pembangunan teknologi moden. Sektor pertanian memerlukan transformasi untuk menjadi sektor yang moden, bernilai komersil dan berdaya tahan
Untuk mencapai hasrat ini, Kerajaan Negeri meningkatkan peruntukan dalam sektor pertanian setiap tahun di mana pada tahun 2011 sebanyak 8.980 juta ringgit, pada tahun 2012 sebanyak 11.224 juta ringgit dan pada tahun 2013 dijangkakan sebanyak 11.599 juta ringgit.
Di bawah Jabatan Pertanian sebanyak 5.347 juta ringgit diperuntukkan untuk memperkukuhkan pusat perkhidmatan pengembangan dan perundingan pertanian, membangunkan industri padi dan industri sokongan, industri buah-buahan dan sayuran, projek ladang rakyat serta pembangunan taman teknologi pertanian.
Di bawah Perkhidmatan Veterinar, pengeluaran komoditi ternakan terus dipelopori oleh ayam daging dengan jumlah pengeluarannya pada tahun 2011 sebanyak 103,340 metrik tan (MT) berbanding tahun 2010 sebanyak 100,332 MT. Pengeluaran daging lembu dan kerbau masing-masing juga meningkat sebanyak 13% dan 15% pada tahun 2011. Bagi melonjakkan lagi pengeluaran di sektor ini sebanyak 5.376 juta ringgit telah diperuntukkan dalam tahun 2013 dengan tumpuaikan utama akan terus diberikan kepada pembangunan industri ternakan lembu daging / kerbau, ternakan kambing / bebiri dan rusa dengan penyediaan baka-baka yang terpilih melalui pembinaan pusat pembiakan dan perkhidmatan genetik, serta membangunkan usahawan tempatan di bawah Skim Bimbingann dan Transformasi Penternak di negeri ini.
Sektor Kerohanian
Dalam usaha Kerajaan untuk memastikan Negeri Sembilan menuju sebagai negeri maju menjelang tahun 2020, keseimbangan di antara kekuatan ekonomi dan kesedaran kerohanian tidak akan dilupakan. Maka pada tahun 2013, sejumlah 9.031 juta ringgit diperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan untuk melaksankan projek-projek pembangunan infrastruktur, ekonomi dan sosial di negeri ini segala tekad dan azam kerajaan Negeri dapat dilaksanakan sepenuhnya dengan adanya bantuan dan sokongan dari Kerajaan Persekutuan. Sehubungan dengan itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Mohd Najib Tun Abdul Razak yang begitu prihatin dan sensetif dengan keperluan-keperluan pembangunan di negeri ini. Bantuan dan peruntukan yang disalurkan telah membolehkan rakyat negeri ini terus menikmanti kehidupan lebih sejahtera dan selesa.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
Saya berharap Belanjawan 2013 yang baharu sahaja dijelaskan tadi akan memberikan manfaat kepada rakyat Negeri Sembilan dan seterusnya meningkatkan kemajuan ekonomi negeri. Sehubungan itu saya menyeru seluruh rakyat negeri ini untuk terus bersama-sama memelihara keamanan dan keharmonian bagi menjamin perlaksanaan program pembangunan berjalan lancar.
Perbezaan pendapat, idea dan pandangan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menafikan manfaat dan faedah dari program-program pembangunan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan. Seluruh rakyat, khususnya di negeri ini perlulah sama-sama ikhlas dan jujur melaksanakan peranan ddalam membangunkan negeri yang kita sayangi ini. Negeri kita tidak akan terus melangkah maju hanya dengan peranan yang dimainkan oleh kerajaan semata-mata. Sebaliknya menjadi tanggungjawab semua pihak, tanpa mengira latarbelakang agama, bangsa mahupun fahaman politik, untuk membentuk persefahaman dan peranan konstruktif bagi menghadapi pelbagai cabaran dari ddalam mahupun luar.
Momentum pertumbuhan yang ada sekarang perlu ditambahbaik ataupun sekurang-kurangnya dikekalkan bagi menjamin setiap perancangan demi kesejahteraan rakyat ddapat direalisasikan. Peranan penjawat awam amat penting bagi melaksanakan proghram, projek dan aktiviti yang dirancang dalam Belanjawan tahun 2013, supaya ianya dapat dilaksanakan dengan terbaik demi memaksimakan manfaat kepada kumpulan sasar.
Sebagai menghargai sumbangan penjawat awam di negeri ini, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberikan bayaran bonus satu setengah bulan gaji kepada semua penjawat awam di negeri ini. Bayaran pertama setengah bulan gaji telah dijelaskan pada bulan September yang lalu dan bayaran kedua sebulan gaji akan menyusul padda bulan Disember ini. Saya amat berharap prestasi kakitangan awam negeri ini akan terus dipertingkatkan di samping memegang teguh prinsip intergriti dalam setiap gerakkerja.
Marilah kita berdoa kepada Allah Subhana Wata’ala supaya segala usaha, khidmat bakti, kesungguhan dan keikhlasan yang kita curahkan demi negeri tercinta ini mendapat rahmat dan keredhaannNya.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
Sekian saja penjelasan saya mengenai Rang Undang-undang Perbekalan Tahun 2013. Dengan ini saya mencadangkan Rang Undang-undang ini di baca kali kedua. Saya juga mencadangkan supaya usul Anggaran Pembangunan Negeri tahun 2013 yang terkandung sekali dalam pembentangan Rang Undang-undang ini diterima dan diluluskan oleh Dewan yang bersidang hari ini.
Sekian, terima kasih.
Saya mohon mencadangkan
Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh.




No comments:

Post a Comment