Titah baginda, umat Islam perlu memahami nilai dan ajaran sebenar agama Islam agar tidak mudah dipesongkan oleh anasir negatif yang menyalahgunakan istilah jihad secara tidak betul sebagai jalan pintas ke syur­ga.

Tambah baginda, kekeliruan dan kurang kefahaman yang berpunca daripada salah tafsiran ini pasti mencetuskan masalah berkaitan kestabilan dan keselamatan negara.

“Ketika ini terdapat penyertaan rakyat Malaysia dalam kumpulan tertentu seperti kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) atau kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) yang menyalahgunakan istilah jihad sebagai alasan untuk mewajarkan mereka melakukan keganasan, termasuk ke atas umat Islam sendiri.

“Justeru, penyertaan mereka untuk menganggotai kumpulan tersebut yang bertopengkan kepada ge­rakan Islam seharusnya ditangani kerana ternyata perbuatan ganas seperti membunuh orang awam dan memancung kepala tebusan bukanlah ajaran yang terkandung di dalam Islam,” titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah demi­kian dalam majlis sambutan Maulidur Rasul 1436H peringkat negeri di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

Turut berangkat sama, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Baginda berdua diiringi Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Moha­mad Hasan; Speaker Dewan Unda­ngan Negeri (DUN), Datuk Awaludin Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan.

Tambah Tuanku Muhriz, penyelewengan kepada tafsiran jihad mampu menjadi ancaman selain menyemarakkan lagi Islamophobia dikalangan masyarakat bukan Islam menerusi label pengganas pada umat Islam.

Justerus baginda menyeru agar semua pihak berganding bahu untuk memastikan idealogi tersebut dicantas bagi membendung mereka terpengaruh dengan kecelaruan prinsip jihad yang kini menjadi propaganda utama anasir tersebut.

“Hiduplah dengan bersatu padu dalam keadaan yang harmoni bagi memastikan negeri dan negara ini terus cemerlang dan menjadi model kepada sebuah negara majmuk yang unggul.

“Jadilah insan bertanggungjawab serta elakkanlah persengketaan yang boleh menghancurkan negara bangsa yang diwujudkan atas dasar persefahaman di antara masyarakat yang berbilang kaum,” titah baginda.