Powered By Blogger

Thursday 10 October 2013

Istiadat Pembukaan Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-XIII


Seremban, 30 Sept – Istiadat Pembukaan Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-XIII Negeri Sembilan disempurnakan oleh D.Y.M.M Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir di Dewan Undangan Negeri Sembilan, Seremban.

Persidangan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 02 Oktober (Rabu), dan kesemua wakil rakyat mewakili Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) hadir bagi memulakan persidangan hari ini turut mendengar titah ucapan D.Y.M.M. Tuanku Muhriz di Dewan Persidangan.

Terdahulu, Tuanku Muhriz diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan pekenan memeriksa perbarisan kawalan kehormatan di hadapan Dewan Undangan Negeri.

Di dalam titah ucapan baginda, baginda menyeru agar kerajaan (BN) yang dipilih dan diberi mandat oleh rakyat ini menumpukan tugas kepada kesejahteraan rakyat tanpa memilih latar belakang mereka.

Malah, baginda turut menyeru kepada wakil rakyat di dalam barisan PR bersama-sama membantu dan mengenepikan sentimen politik bagi memastikan kesejahteraan rakyat diberi keutamaan mutlak.

Baginda di dalam titah turut, berasa berpuas hati dengan perkembangan dan pentadbiran negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar yang telah membawa pelaburan dan pembangunan mampan di dalam negeri ini.

Menyentuh berkaitan prestasi ekonomi, kewangan dan pembangunan di dalam titah Tuanku, baginda berpuas hati dengan pencapaian yang diperolehi oleh Negeri Sembilan kerana  prestasi tersebut telah merangsang pertumbuhan ekonomi sekaligus mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

Selain itu, beliau turut berbesar hati kerana prestasi pengurusan kewangan negeri mengutamakan pengurusan kewangan berhemah, disamping berjaya meningkatkan hasil pada setiap tahun dan amalan perbelanjaan berhemah.

Baginda seterusnya berbangga dengan prestasi pengurusan kewangan di mana kerajaan negeri telah mencatat surplus dalam Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM21.96 juta pada tahun 2012.

Ujar baginda lagi, ” prestasi tersebut telah meningkatkan rizab Kumpulan Wang Disatukan kepada RM347.47 juta pada 31 Disember 2012.

Kecemerlangan pengurusan kewangan terus dipamerkan melalui keupayaan membayar balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan.

Bagi tahun 2013 iaitu sehingga 15 Julai 2013, Kerajaan Negeri Sembilan merupakan salah satu daripada dua buah negeri di Malaysia yang telah membayar balik hutang secara tunai.

No comments:

Post a Comment