Powered By Blogger

Tuesday 24 February 2015

Satu Perubahan Yang Holistik Demi Kesejahteraan Rakyat



SEREMBAN 22 Feb. - Negeri Sembilan menuju pembangunan yang rancak bermula tahun ini sehinggalah tempoh empat tahun akan datang apabila berada dalam jalinan pembesaran wilayah ‘Lembah Klang Yang Besar’. 


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) berkata, dalam memacu pembangunan berkenaan kerjasama pintar telah dilakukan termasuklah mendapat restu Kerajaan Persekutuan untuk menyaksikan satu perubahan yang holistik demi kesejahteraan rakyat.


“Dalam tempoh pembangunan itu kelak, Negeri Sembilan akan menerima pelbagai infrastruktur termasuklah jalan raya yang baharu.


“Kawasan Lembah Klang pada waktu ini sudah terlalu padat dengan pembangunan dan sebab itulah adanya jalinan pembangunan wilayah Lembah Klang Yang Besar ini,” katanya di sini hari ini.


Justeru kata beliau, akan wujud juga nanti sebuah kawasan pertumbuhan yang baharu dari Nilai hinggalah ke Port Dickson dengan melibatkan keluasan tanah yang besar.


“Apabila pembangunan itu melata kelak, beberapa lebuh raya baharu akan dibina termasuklah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Seremban dan dihubungkan pula ke Le­buhraya Kajang-Seremban (Lekas), manakala lebuh raya baharu akan dibina dari KLIA ke Port Dickson,” katanya.


Pada masa yang sama juga, Mohamad menegaskan perkhidmatan kereta api elektrik dari Gemas ke Kuala Lumpur akan beroperasi seawal tahun hadapan.


Untuk itu katanya, akan dibangunkan sebuah stesen kereta api di bawah konsep Pembangunan Berorientasikan Pengangkutan (TOD) di satu kawasan baharu. Turut dirancang kelak ialah memanjangkan laluan kereta api laju Express Rail Link (ERL) ke KLIA dari stesen baharu itu.


“Apabila itu berlaku kelak, orang ramai yang hendak menggunakan perkhidmatan kereta api boleh melalui stesen di situ, di mana akan ada perkhidmatan kereta api laju, kereta api elektrik selain perkhidmatan komuter. Pembangunan itu kelak akan lebih kurang sama seperti pembinaan stesen kereta api Seremban Sentral,” katanya.


Mengenai pelaburan terkini, Mohamad menjelaskan, beberapa kawasan industri di Nilai, Sendayan dan Enstek hampir diisi pelabur, terutama dalam industri bertek-nologi tinggi.


“Kawasan industri sekitar Sendayan dan Bandar Enstek di Nilai, telah dilabelkan sebagai kawasan industri berkategori ‘A’.
“Ini kerana, kerajaan mahu menyaksikan impak teknologi tinggi itu dapat membuka peluang baharu kepada anak tempatan bekerja dalam industri berkemahiran tinggi ini,” katanya.


Sementara itu, kata Mohamad pembangunan di daerah Kuala Pilah, Jempol, Rembau dan Tampin pula akan dibuat secara berinstitusi, iaitu membawa mana-mana institusi kerajaan membuka pejabat, kompleks atau pendidikan di kawasan terbabit.


“Umpamanya, membuka universiti atau institusi pendidikan. Akan ada nanti pelajar atau kakitangan yang tinggal di luar.


“Maka kita amat berharap akan berlaku pembangunan pesat se­perti perumahan, kompleks membeli-belah dibangunkan pihak swasta, selain ekonomi penduduk setempat yang dapat dilonjakkan,” ujarnya

Tuesday 10 February 2015

Peraturan Baru



SEREMBAN - Peraturan baharu dikenakan terhadap mualaf di Negeri Sembilan perlu dilihat dalam kerangka yang lebih besar iaitu menjaga kesucian Islam dan mempertahankan agama itu daripada dikutuk dan dihina hanya kerana perbuatan bersifat individu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perbuatan bersifat individu telah menimbulkan kontroversi hingga mendorong kepada kehinaan terhadap undang-undang (legal disgrace) di negara ini.

Beliau yang juga Pengerusi Maj­lis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berkata, kelemahan pentadbiran dalam perkara berkaitan mualaf telah menyebabkan imej Islam tercemar akibat perbuatan oleh individu.

“Bukan kita tidak mahu mengalakkan individu memeluk Islam tetapi kita harus mempertahankan imej Islam dalam kerangka yang lebih besar,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Taklimat MAINS kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di sini hari ini.

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah berkenan berangkat ke majlis taklimat itu yang me­nyentuh mengenai prestasi Mains dan perkembangan semasa.

Mohamad memberitahu, peraturan baharu itu mengkehendaki seseorang mualaf membubarkan perkahwinannya yang terdahulu sebelum dibenarkan mendaftar sebagai seorang Islam.

Katanya, pembubaran itu perlu dilakukan sekiranya pasangan mualaf berkenaan tidak mahu sama-sama memeluk Islam yang menjadikan institusi perkahwinan itu tidak lagi mempunyai sebarang makna kepada mereka.

“Mengikut hukum Islam mereka tidak boleh lagi hidup bersama. Mahu tidak mahu terpaksa bubar. Jika dia sudah masuk agama Islam baru hendak bubarkan, itu yang kadang-kadang timbul masalah. Lebih baik dia bubarkan sebelum didaftarkan sebagai mualaf,” ujar­nya.

Katanya, seorang saudara baharu juga perlu membuat akuan berkanun yang menyatakan bahawa dia adalah seorang Islam.

“Langkah ini penting kerana dapat mengelak daripada perbuatan berebut jenazah apabila seorang mualaf meninggal dunia,” katanya.

Tambahnya, peraturan baharu itu telah mendapat perkenan daripada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan ia tidak perlu dibentangkan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi hanya memerlukan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Mohamad menarik perhatian, langkah mengukuhkan peraturan berkaitan mualaf akan dilakukan sehingga sampai ke satu peringkat yang mana sekiranya peraturan itu dicabar di mahkamah sivil sekali pun, ia tidak akan berhadapan dengan masalah.

Kualiti kerja MAINS cekap




Seremban – DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir perkenan mendengar sesi pembentangan prestasi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bagi tahun 2014 berlangsung di Royale Bintang, Seremban.


Pembentangan meliputi pelbagai aspek kejayaan mendapat maklum balas positif dan sebagai Ketua Agama Islam Negeri Sembilan, baginda amat berpuas hati dengan perkembangan dan kualiti kerja MAINS khususnya di dalam menjaga hal ehwal rakyat beragama Islam melalui pelbagai agensi yang berada di bawah MAINS terutamanya Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) dan Pengurusan Baitulmal di dalam mengagihkan bantuan kepada asnaf yang lapan.


Di sessi pembentangan prestasi MAINS yang berlangsung selama hampir tiga jam di hadapan DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, MAINS yang merupakan badan induk pengurusan hal ehwal agama Islam di negeri ini turut membentangkan taklimat menubuhkan Perbadanan Pengurusan Baitulmal Negeri Sembilan (PPBNS).


Cadangan penubuhan PPBNS amat wajar jika dilihat kepada kejayaan pengurusan dan pentadbiran badan tersebut selama ini dimana berlaku peningkatan ketara sejak 2005, di mana kadar permohonan asnaf hanya seramai 5,000 orang berbanding 40,000 permohonan bantuan asnaf, tahun lalu melibatkan 90% kelulusan bantuan.


Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi MAINS, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan di sidang media ringkas menambah, ianya tidak termasuk bantuan melalui program-program yang dianjurkan baitulmal.


Beliau di sidang media juga menegaskan bahawa baitulmal memerlukan jentera dan pengurusan yang mantap. Mengekalkan prestasi perkhidmatan yang cemerlang ketika ini, maka keperluan PPBNS amat perlu kerana tidak mahu melihat pengurusan sedia ada kini bakal terperangkap di dalam ketidakcekapan permohonan yang semakin meningkat di saat kejayaan yang diperolehi ketika ini.


Jelasnya lagi, pengurusan yang baik ialah untuk melonjakkan mutu perkhidmatan MAINS dan orang ramai dinasihatkan tidak bimbang kewujduan perbadanan ini, kerana MAINS merupakan badan induk yang membuat dasar.

Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sembilan 1436H / 2015M



Seremban,  – Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sembilan 1436H / 2015M yang berlangsung di Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan, Paroi berlangsung selama dua hari sejak 03 Februari menghimpunkan seramai hampir 700 orang peserta yang terdiri dikalangan para pelajar seawal usia 7 tahun.

Perkenan menyempurnakan majlis ini, DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Turut perkenan hadir, DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud. Mengiringi baginda, isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, YM Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin.

Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan di dalam ucapan, “usaha ini bukan sahaja memenuhi tuntutan agama, malah lebih jauh lagi dari itu, mengumpulkan sunah-sunah yang terkandung di dalam hafazan.

Usaha memartabatkan majlis seumpama ini merupakan usaha kerajaan negeri yang mahu melahirkan seramai mungkin para hufaz di negeri ini.

Beliau juga berharap agar majlis seumpama ini menjadi pemangkin akhlak mulia dalam masyarakat agar berada dalam keadaan kesejahteraan dan harmoni.

Jelas beliau di dalam ucapan, “saya mempercayai ilmu hafazan dan menghayati al-Quran ini perlu diperluaskan lagi dan boleh diiktiraf sebagai satu cabang ilmu yang penting di dalam pembangunan peradaban manusia khususnya umat Islam.

“Selain mampu meningkatkan ketaqwaan kepada yang Maha Esa, ia turut mampu membangunkan sebuah negara berjaya apabila ianya bermula di usia muda dan kesannya di masa akan datang.

Hadir sama, Undang Luak Sungei Ujong, Y.T.M. Dato’ Klana Petra Sri Jaya, Dato’ Haji Mubarak bin Dohak, Tunku Besar Tampin, YTM Tunku Syed Razman ibni Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Dato’ Syahbandar, YAM Dato’ Seri Utama Hj Baharuddin Badarudin Khalid.

RM49,900 kepada Tabung Bencana NSTP



Seremban – Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) menyerahkan kutipan sumbangan 3 perlawanan persahabatan pra musim NS Matrix berjumlah RM49,900 kepada Tabung Bencana NSTP – Media Prima di Wisma Negeri, Seremban, hari ini.


Perlawanan persahabatan amal berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi melibatkan tiga pasukan Perak, Terengganu dan Sarawak tersebut menerima maklum balas positif selepas diwar-warkan di facebook Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan – Rasmi, di mana purata kutipan dianggarkan sebanyak RM15,000.


Penyerahan sumbangan tersebut diserahkan oleh Presiden PBNS, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan kepada wakil Media Prima, Dato’ Amrin, di sini.


Beliau di sidang media mengucapkan penghargaan kepada para penyokong yang hadir sepanjang tiga perlawanan tersebut dan kutipan amal ini diputuskan di peringkat persatuan, di mana persatuan mahu terlibat secara bersama di dalam usaha meringankan beban kepada mangsa banjir Pantai Timur, sedikit di Perak, Sabah dan Sarawak.


Maklum balas diterima dikalangan penyokong di facebook rasmi PBNS amat mengalakkan dan usaha ini akhirnya berjaya dilaksanakan.


Beliau menjelaskan keseluruhan kutipan ini diserahkan terus kepada Media Prima tanpa persatuan menolak kos utiliti stadium.


Beliau juga Menteri Besar Negeri Sembilan mengucapkan tahniah kepada warga Media Prima sebagai organisasi pertama sentiasa mendahului setiap kali bencana menimpa dan sabagai perantara untuk rakyat Malaysia sama-sama membantu segala aral yang melanda.

Monday 2 February 2015

Sukan rakyat dan sepak takraw tertutup JKK Kg Kundur Hilir



Rembau, 1 Feb – Sukan rakyat dan sepak takraw tertutup JKK Kg Kundur Hilir telah berlangsung di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Rembau. Sebanyak 43 buah pasukan menyertai pertandingan sepak takraw yang menawarkan hadiah yang lumayan.
Perasmian penutup telah dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan pada jam 4.30 petang. Beliau turut menyampaikan hadiah kepada setiap pemenang yang mengambil bahagian.
Dalam ucapan perasmian penutup, beliau menegaskan bahawa agenda kerajaan iaitu kesejahteraan rakyat adalah menjadi keutamaan kepada kerajaan negari. Tegas beliau lagi, pembangunan dalam negeri tidak akan tercapai sekiranya tiada kesejahteraan di kalangan rakyatnya.
Beliau turut mengumumkan bahawa pembinaan masjid baru dan balai raya penduduk tempatan akan dijalankan dalam masa terdekat.
Turut hadir sama, ADUN Kawasan Chembong YB Dato’ Zaifulbahri Idris, Ketua UMNO Cawangan Saudara Mihat Tahir.

Program FIT Malaysia


Seremban, 1 Feb – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menganjurkan Program FIT Malaysia buat kali pertamanya di Negeri Sembilan yang berlangsung di Padang MPS. Seramai lebih 25,000 orang telah menyertai program kali ini yang berlangsung sejak jam 6.00 pagi lagi.
Selain kehadiran YB Khairy Jamaluddin, turut hadir sama ke program ini ialah Menteri Besar Negeri Sembilan YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan yang turut menyempurnakan majlis perasmian FIT Malaysia pada jam 9.00 pagi. Menurut YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, kerajaan dan rakyat Negeri Sembilan sentiasa mengalukan program seperti FIT Malaysia sentiasa diadakan di negeri ini.
Menurut beliau lagi, dalam menyahut seruan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang rakyatnya bersukan. Beliau telah mencadangkan supaya diadakan hari sukan untuk rakyat Negeri Sembilan pada akan datang.
Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada YB Khairy Jamaluddin di atas kejayaan mengadakan program seperti ini.

Karnival Sukan PDM-PDM UMNO Dun Rantau


Rantau – Karnival Sukan PDM-PDM UMNO Dun Rantau, bahagian Rembau telah berlangsung sejak 25 Januari 2015 dan berakhir petang. Sebanyak tujuh jenis sukan telah dipertandingkan yang melibatkan penyertaan peserta hampir 500 orang.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dan isteri, YM Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumuddin turut hadir memeriahkan Karnival sukan ini dan merasmikan majlis penutup serta menyampaikan hadiah kepada pemenang. Karnival Sukan PDM-PDM UMNO Dun Rantau diakhiri dengan perlawanan akhir bola sepak 9 sebelah yang turut di saksikan oleh menteri besar .
Dalam ucapan menteri besar, beliau menegaskan bahawa karnival ini merupakan salah satu langkah kerajaan negeri bagi menggerakkan jentera pilihanraya di Pusat Daerah Menggundi (PDM).
Beliau mengharap usaha yang berterusan ini dapat mengesan setiap kekurangan dan masalah yang dihadapi oleh penduduk tempatan dapat diselesaikan.
Karnival terbesar peringkat UMNO Negeri Sembilan seterusnya akan berlangsung pada 7 Mac 2015 di Kompleks Belia dan Sukan Paroi dan Center Court Paroi .
Turut hadir, ADUN Kawasan Chembong, YB. Dato’ Saifulbahari Idris, ADUN Kawasan Paroi, YB. Tuan Mohd Ghazali Abd. Wahid, Pengarah Operasi UMNO Bahagian Rembau, Dato’ Azman Hj Hasan.

Samsung Corning Precision Materials USD225 juta



Seremban – Syarikat Zhuzhou Kibing Group Co.Ltd sebuah syarikat kaca yang beroperasi di negara China mengambil alih Samsung Corning Precision Materials dengan pembelian USD225 juta.

Majlis menandatangani perjanjian jual beli ini berlangsung di antara Syarikat Zhuzhou Kibing Group Co.Ltd bersama Samsung Corning Precision Materials dan perjanjian pelaburan bersama Kerajaan Negeri di mana kilang ketujuh syarikat ini luar dari negara China.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan di sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Negeri, Seremban, menjelaskan bahawa syarikat yang mengambil alih Samsung Corning Precision Materials memiliki enam kilang di negara China.

Beliau yang mengadakan lawatan dua hari ke kilang Kibing Glass di Dongshan, China menjelaskan bahawa ianya merupakan kilang terbesar beroperasi secara automatik dan dikendalikan di bilik operasi, sementara tenaga pakar menumpukan tugas-tugas mereka di bilik makmal.

Selaras dengan pertumbuhan pelaburan yang baik di negeri ini, Kerajaan Negeri mengalakkan syarikat yang berprestasi tinggi, menyediakan peluang pekerjaan dan menawarkan pendapatan yang tinggi.

Sebagai Menteri Besar di negeri ini, beliau juga mengariskan ketetapan dan panduan bahawa pelabur yang di bawa masuk perlu mengambil kira jumlah peluang pekerjaan yang boleh disediakan kepada rakyat tempatan dan meminumkan pengambilan pekerja asing.

Beliau menegaskan, “lebih baik membawa syarikat yang berteknologi tinggi dan menggunakan guna tenaga tempatan dan pengarah urusannya di kalangan anak tempatan.

“Pihak syarikat juga bersetuju menghantar ‘Quality Controller’ diperingkat awal sebelum diberi sepenuhnya kepada anak tempatan di negeri ini.

Menurutnya lagi, syarikat ini dijangka mengeluarkan pelbagai jenis produk kaca seberat 116 000 tan metrik sehingga 200 000 tan metrik sebulan untuk pengeluaran import dan eksport.