Powered By Blogger

Tuesday 25 October 2011

Anaconda Ulu Bendul dan ‘homestay’ di Rantau tarikan baru pelancongan di N9








Melihat akan potensi lokasi Hutan Lipur Ulu Bendul itu sebagai pusat ekopelancongan, kewujudan Taman Ular Sawa di Ulu Bendul itu merupakan satu lagi aset pelancongan di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kawasan yang dipilih ini mempunyai dirian hutan yang terdiri daripada kayu jaras, pokok kecil dan pokok besar serta terdapat sungai yang mengalir sekali gus menggambarkan suasana semula jadi hutan lipur itu.
''Kita melihat kewujudan Taman Ular Sawa Ulu Bendul ini akan menjadikan lokasi ini sebagai kawasan ekopelancongan terkemuka dan popular di negeri ini yang mana orang ramai boleh datang untuk melihat sendiri spesies ular anaconda secara dekat.
''Apa yang saya dimaklumkan, taman ini mempunyai 42 ekor ular terdiri daripada 11 spesies," kata Mohamad pada lawatannya di Taman Ular Sawa Ulu Bendul di sini baru-baru ini.
Mohamad juga memberitahu, Taman Ular ini juga bakal menjadi salah satu lokasi penyelidikan bagi para saintis untuk menyelidik secara dekat mengenai keunikan reptilia berkenaan.
Tambah beliau, antara daya tarikan terbaru di taman ini ialah ular sawa batik yang mempunyai berat 90 kilogram dan panjangnya lebih enam meter.
''Malah kita juga memiliki ular jenis Green Anaconda yang mana ia telah melahirkan sebanyak 17 ekor ekor. Ular ini juga mempunyai berat lebih kurang 20 kilogram dan panjangnya hampir empat meter.
Sementara itu, di Rantau pula, kerajaan negeri sedang merancang beberapa aktiviti selepas tiga buah kampung di kawasan itu digazetkan sebagai kawasan inap desa atau homestay baru-baru ini.
Menteri Besar berkata, tiga kampung yang dipilih oleh Kementerian Pelancongan untuk dijadikan kawasan inap desa adalah Kampung Saga Ulu, Kampung Saga Tengah dan Kampung Saga Hilir dan kawasan ini dipilih berdasarkan nilai komersial selain mempunyai daya tarikan tersendiri untuk menarik lebih ramai pelancong bercuti sambilmenikmati suasana kampong.
''Kita telah mengenal pasti produk pelancongan di kawasan ini bertemakan sukan air dan antara aktiviti yang dirancang termasuklah sukan berkayak dan River Cruise di sepanjang sungai berdekatan sepanjang 3.5 kilometer," katanya.

No comments:

Post a Comment