Tuesday, 8 July 2014

Bantuan Sambutan Hari Raya




Rembau, 08 Julai – Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) memperuntukkan bantuan sambutan hari raya kepada asnaf sebanyak RM232,000 di 42 kariah di daerah Rembau yang melibatkan 774 orang penerima di mana setiap seorang menerima RM300.

Penyampaian bantuan sambutan hari raya ini disampaikan dan diketuai oleh Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi MAINS, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan di Majlis Penyampaian Bantuan Ramadhan Asnaf dan Sumbangan kepada JKKK Daerah Rembau di Dewan Sri Rembau, hari ini.

Turut menyampaikan bantuan sama, Yang Di-Pertua Speaker Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, Dato’ Dr. Hj Awaluddin Hj Said, ADUN Kawasan Chembong, Dato’ Zaifulbahari Idris.

Menteri Besar turut menyampaikan bantuan pentadbiran kepada setiap 45 buah JKKK daerah Rembau berjumlah RM5,000 di majlis sama.
Menteri Besar di dalam sidang media mengharapkan golongan asnaf menyambut setiap kali bulan Ramadhan penuh makna dan tidak disambut dalam keadaan terhimpit.

Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) menerima pungutan zakat berjumlah RM70 juta tahun lalu dan Baitulmal negeri telah mengaihkan hampir kesemua pungutan kepada semua golongan asnaf di negeri ini.

Katanya, “adakala agihan melebihi pungutan yang disebabkan oleh faktor penerimaan lebihan zakat yang dipungut di hujung tahun.

Namun begitu, MAINS juga telah menerima kebenaran dari Majlis Fatwa pengagihan mesti tidak melebihi dari setengah tahun, apa yang penting kumpulan sasar asnaf yang lapan ini benar-benar menerima bantuan.
Beliau turut memaklumkan bahawa anak-anak yatim di negeri ini turut menerima bantuan hari raya melalui masjid yang diagihkan ketika hari raya kelak.

Hadir sama, Setiausaha MAINS, Encik Kamal Amran Kamaruddin dan Pegawai Daerah Rembau, Encik Zaidi bin Johari.

No comments:

Post a Comment