Thursday, 17 July 2014

1289 Orang Asnaf



KUALA PILAH, 16 Julai – Seramai 1289 orang asnaf fakir dan miskin daripada empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parlimen Kuala Pilah dirai dengan pemberian bantuan khas sempena hari raya yang bakal menjelang tiba.

Program yang diadakan sempena bulan Ramadhan ini bertempat di Dewan Dato’ Bahaman Shamsudin, Kuala Pilah.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan berkata, sebanyak RM385,000 diberikan khas kepada semua penerima asnaf daripada DUN Kawasan Kuala Pilah, Seri Menanti, Juaseh dan Senaling.
“Bantuan yang diberikan ini jelas membuktikan kesungguhan mengenai agihan zakat secara telus disamping memperlihatkan kecekapan pengurusan pentadbiran.

“Saya selaku Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menyasarkan kutipan zakat pada tahun ini sebanyak RM80 juta untuk diagihkan kepada yang layak menerima,” katanya sewaktu menyempurnakan majlis Program Penyampaian Bantuan Ramadhan Kepada Asnaf Daerah Kuala Pilah.

Beliau juga menambah, MAINS telah diiktiraf oleh Ketua Audit Negara sebagai agensi sijil bertaraf empat bintang selama 6 tahun dan telah diberi kepercayaan untuk meneruskan amanah serta tanggungjawab dengan cemerlang.

Majlis berakhir dengan penyampaian bantuan kepada asnaf oleh YAB. Menteri Besar Negeri Sembilan.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuala Pilah YB. Dato’ Norhayati Binti Omar, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Seri Menanti, YB. Dato’ Abdul Samad Bin Ibrahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Senaling, YB. Dato’ Haji Ismail bin Lasim, Setiausaha MAINS, Tuan Kamal Amran Bin Kamarudin, dan Ketua Pegawai Daerah Kuala Pilah, Tuan Zulkifli Bin Baharan.

No comments:

Post a Comment