Powered By Blogger

Tuesday 28 January 2014

Taman Tenaga Boleh Diperbaharui (SOLAR)


RANTAU, 27 Jan – Majlis Pelancaran Taman Tenaga Boleh Diperbaharui (Solar) telah diadakan di bekas tapak pelupusan sampah Kg. Sega, Kuala Sawah hari ini. Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan.
Bekas tapak seluas 20 ekar ini telah dijadikan kawasan baru bagi menjana tenaga solar dan juga biogas. Ia bertujuan bagi memastikan dasar hijau diguna pakai dalam setiap pembangunan.
Menteri Besar berkata, teknologi umum pelupusan sampah harus digunakan kerana kapasiti sedia ada tidak boleh lagi menampung sisa pepejal.
Modal sebanyak RM65 juta dilabur untuk menempatkan 20 ribu panel solar di tapak baru ini yang mampu menghasilkan 5.3 Mega Watt.
Terdahulu, Pengerusi Eksekutif, Cypark Resources Berhad, YBhg. Tan Sri Razali Ismail menjelaskan projek ketiga taman solar bagi Cypark di Negeri Sembilan selepas Pajam dan Bukit Palong.
Antara yang hadir, Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri merangkap DUN Kota, YB. Dato’ Dr. Haji Awaludin Bin Said, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB. Dato’ Haji Mat Ali Bin Hassan, Yang Di-Pertua Majlis Perbandaran Nilai, YBhg. Dato’ Abd Halim Bin Haji Abd. Latif, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cypark Resources Berhad, YBhg. Dato’ Daud Ahmad, dan Pengarah Selasih Mentari Sdn. Bhd., Encik Husin Bin Md. Diah.

Friday 24 January 2014

Bantuan Awal Persekolahan


RANTAU, 23 Jan – “Kejayaan adalah milik semua orang”, demikian kata-kata semangat daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan dalam Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan RM 100 Tahun 2014 DUN Rantau.
Beliau hadir menyempurnakan majlis tersebut  di Dewan Orang Ramai, Rantau.
Sebagai sebuah negeri yang aman dan harmoni, kesejahteraan rakyat amat dititikberatkan supaya bebas melakukan kerja harian tanpa ada rasa takut mahupun curiga.
Menteri Besar di dalam ucapan turut berhasrat mahu rakyat keluar dari kelompok kemiskinan melalui pelajaran dan usaha ini telah bermula sejak 2005 lagi.
Terdahulu, Menteri Besar  menyerahkan sumbangan berjumlah RM712,700 keseluruhan kepada 19 buah sekolah.
Selain itu, beliau juga menyampaikan hadiah kecemerlangan kepada pelajar cemerlang UPSR dan PMR bagi tahun 2013.
Seramai 63 orang pelajar cemerlang UPSR dan 20 orang pelajar cemerlang PMR hadir untuk menerima penghargaan tersebut.
Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Dato’ Hajah Kalsom Binti Khalid dan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Encik Azmi Bin Basir.

Thursday 23 January 2014

Usaha MAINS Dan USIM


Seremban, 21 Jan. - Kewujudan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) satu rahmat dalam negara apabila mempunyai cabang ilmu untuk umat Islam seluruh negara mempelajari pelbagai bidang ilmu.
Di atas usaha dan inisiatif Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, MAINS menemui formula kolaburasi bersama USIM.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan di dalam ucapan, dengan prestasi dan perkhidmatan MAINS kepada masyarakat ditambah pula “dengan kepakaran yang dimiliki USIM, maka usaha untuk sama-sama membantu menyempurnakan satu sistem yang dapat di manfaatkan kepada orang ramai dapat direalisasikan.
Jelas Menteri Besar, Kerajaan Negeri telah berunding dengan majlis fatwa  negeri dan mendapat persetujuan menggunakan pembiayaan RM2 juta bagi membina sebuah Klinik Pakar Kesihatan milik MAINS di Nilai di mana USIM akan membekalkan kepakaran untuk berkhidmat pada masyarakat.
Manakakala, sebanyak RM1.5 juta pula untuk klinik hemodilisis dan perkhidmatan.
Usaha ini turut di sambut baik oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail dan dijangka beroperasi dalam masa tiga bulan iaitu pada April 2014.
Menteri Besar juga Pengerusi MAINS beriltizam bahawa agensi itu perlu mempunyai klinik dan pusat hemodilis di setiap daerah dan berkolaburasi bersama USIM.
Beliau turut mengalakkan klinik mobile yang diusahakan oleh USIM di mana pembiyaan akan ditanggung sepenuhnya oleh MAINS.
Di majlis sama, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani MoU antara USIM dengan MAINS juga melancarkan Smart Zakat Tablet Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) di Allson Klana.
Ini berikutan perkembangan dan pencapaian Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) amat positif di samping memudahkan pembayar zakat mengira pembayaran yang perlu dilakukan saban tahun.
Hadir sama, Pengerusi USIM, Professor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin, Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail dan Sohibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Hj Mohd Yusof Hj Ahmad.

Wednesday 22 January 2014

Majlis Perasmian Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2014


Senawang, 18 Jan. – Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak meluluskan pertambahan pinjaman kepada penjaja dan peniaga kecil negara ini dengan syarat para peniaga melunaskan pinjaman mereka dalam jangka masa di tetapkan dengan penuh disiplin.
Dasar kerajaan yang baik selama ini banyak membantu penjaja dan peniaga kecil (micro enterprise) dengan jumlah pekerja sekitar lima orang  sehingga mereka menjadi peniaga yang benar-benar berjaya.
Namun begitu, Perdana Menteri di dalam ucapan menegur para peniaga yang bersikap ali baba dan menyerahkan tapak perniagaannya kepada warga asing untuk diuruskan seperti yang berlaku ketika ini.
Beliau menyempurnakan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2014 di Dataran Senawang.
Tegas beliau di dalam ucapan, kerajaan memandang serius situasi yang berlaku dan berharap peniaga yang telah diberi peluang dan ruang berniaga agar mengusahakan sendiri perniagaan mereka sehingga benar-benar berjaya.
Perdana Menteri turut mempertimbangkan pembiayaan kepada peniaga Bazaar Ramadhan yang dilihat berpotensi untuk mempertingkatkan ekonomi mereka, walaupun perniagaan itu hanya sebulan sahaja.
Sementara, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, menyambut ketibaan Perdana Menteri turut menyeru penjaja dan peniaga agar berdaya saing agar dapat menambah pendapatan keluarga dari perniagaan.
Beliau di dalam ucapan menyeru Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Majlis Perbandaran melonggarkan syarat perlesenan dan membatalkan yuran lesen kepada penjaja dan peniaga yang berniaga di hadapan rumah selama tiga tahun.
“Beri peluang kepada mereka menambah pendapatan keluarga mereka. Biar mereka membantu suami dan menambah pendapatan keluarga untuk pendapatan RM20 ke RM30 sehari.” katanya.
Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Hasan Malek, Presiden, Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Rosmah Mansor dan YM Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumuddin.

Thursday 16 January 2014

‘Transformasi Kecemerlangan Pengurusan Pendidikan’.


SEREMBAN, 13 Jan – Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan menyarankan rakyat memasyarakatkan institusi pelajaran khususnya di sekolah-sekolah agar berperanan menjadi satu ledakan peningkatan buat warga pendidik untuk merealisasikan lonjakan pencapaian dalam setiap pendidikan.
Beliau berkata demikian dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan berlangsung di Dewan Theatrette Wisma Negeri, Seremban yang bertemakan ‘Transformasi Kecemerlangan Pengurusan Pendidikan’.
Perhimpunan ini bertujuan untuk menjelaskan kaedah-kaedah dalam menghasilkan corak pola pembangunan pendidikan agar bersatu kearah visi dan misi. Pihak yang terlibat dinamakan kelompok segi tiga terdiri daripada sekolah-sekolah, ibu bapa dan murid-murid, memainkan peranan yang penting dalam transformasi pendidikan.
Beliau dalam ucapan turut menjelaskan, kerajaan perlu ada dasar seiring dalam pembangunan fizikal dan modal insan seperti dasar lembah ilmu yang ingin dijalankan di Negeri Sembilan.
Terdahulu, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, YBhg. Puan Hajah Kalsom Binti Khalid membentangkan faktor-faktor dalam menyempurnakan tema program ini.
Antara yang hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, YB. Dato’ Dr. Awaluddin Bin Haji Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, YB. Dato’ Haji Mat Ali Bin Haji Hasan dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan Dan Kesihatan Negeri Sembilan, Dato’ Shamsulkahar Bin Haji Md. Deli.

Wednesday 15 January 2014

Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (PENA) Peringkat Negeri Sembilan



SEREMBAN, 12 Jan –  Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (PENA) Peringkat Negeri Sembilan di Auditorium Tunku Puan Cik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad RTM, Sungai Gadut.
Program diisi dengan tiga sesi ceramah oleh Pengarah Kastam Negeri, Negeri Sembilan, YBhg. Tuan Syed Mohri Bin Syed Abu Bakar, Pengarah Stake Holder Management,  YBhg. Encik Samsulkamar Bin Mohamad Ali, Unit TERAJU JPM, YB. Datuk Haji Jalaluddin Bin Haji Alias, dan Timbalan Menteri Kewangan, Malaysia, YB. Dato’ Haji Ahmad Bin Maslan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan menasihati masyarakat khususnya di Negeri Sembilan untuk mengurus dan memahami kegiatan ekonomi dengan lebih baik.
Beliau di dalam ucapan turut  menjelaskan, kefahaman GST kepada pengetahuan umum yang masih keliru ketika ini perlu dipergiatkan.
Sementara subsidi petrol yang dikurang dan subsidi gula diberhentikan oleh kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri turut merisaukan masyarakat umum.
Penjelasan terperinci oleh pihak kerajaan amat perlu dan difahami rakyat supaya mereka faham siapa sebenarnya memperoleh keuntungan sebagai pengguna.
Masyarakat juga diseru untuk mengambil maklumat serta banyak membaca untuk menambahkan ilmu pengetahuan dalam masa yang sama bagi merealisasikan hasrat beliau menjadikan Negeri Sembilan sebagai lembah ilmu.
Peserta program, Nur Hanani Binti Sobri, 21, pelajar jurusan TESL di Maktab Perguruan Raja Melewar ketika ditanya wartawan n9kini berkata, “Kerajaan negeri perlu meneruskan usaha dalam memainkan peranan utama sebagai sumber penerangan yang jelas kepada masyarakat”.
Ini dinyatakan ekoran terdapat penyebaran maklumat yang salah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sementara itu, ahli Persatuan Belia Dinamik Barat, Mohd Haikal Bin Zuhairi18, berkata, “Konsep mesra rakyat dalam menyampaikan maklumat amat dipersetujui dan kerajaan negeri juga perlu menambah sumber kewangan untuk bantuan masyarakat”.

Majlis Pecah Tanah Kilang Kellogg’s Malaysia


NILAI, 10 Jan. – “Kerajaan Negeri Sembilan mengambil langkah cepat dan tepat untuk meyakinkan pelabur asing terutamanya di dalam sektor perindustrian.
“Selain pengurusan yang cekap malah pentadbiran yang berhemah menjadikan ianya satu strategi yang berjaya menarik minat pelabur untuk melabur di Negeri Sembilan, Malaysia.” ujar Presiden Kelogg Asia Pasific, Encik Amit Banati.
Beliau turut melafazkan keyakinan bahawa keadaan politik dan ekonomi stabil negara ini turut menjadi faktor penyumbang kepada pengeluaran produk keluarannya di masa akan datang.
Majlis Pecah Tanah Kilang Kellogg’s Malaysia dirasmikan dengan pelancaran gimik pecah tanah oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB. Dato’ Seri Utama Mohd. Najib Bin Tun Haji Abdul Razak di Bandar Enstek, Nilai.
Terdahulu di dalam ucapan, Perdana Menteri menyatakan bahawa kejayaan industri pengeluaran makanan ini membuktikan bahawa Negeri Sembilan merupakan sebuah kawasan yang mampu menjana pendapatan dalam perniagaan.
Masyarakat di Negeri Sembilan seharusnya berasa bangga kerana jenama global yang terkenal telah memilih tapak di sini dengan jumlah pelaburan sebanyak RM400 million.
Katanya, pelaburan ini akan melahirkan kira-kira 300 pekerjaan baru serta lebih 100 lagi pekerjaan tidak langsung dalam bidang perkhidmatan.
“Selari dengan dunia tanpa sempadan dan kerjasama antarabangsa, faedah yang bakal diperoleh adalah besar. Bukan sekadar meningkatkan peluang pekerjaan dan kekayaan, tetapi faedahnya turut melimpah kepada ekonomi dan negara keseluruhannya.
Mengiringi Perdana Menteri, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan dan barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri Sembilan.
Antara yang hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, Presiden Kellogg Asia Pacific, Encik Amit Banati dan Duta Amerika Syarikat di Malaysia, Encik Joseph Y. Yun.

Sunday 12 January 2014

Majlis Bacaan Yassin, Tahlil dan Doa Selamat sempena hari keputeraan ke-66 DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir


SEREMBAN, 9 Jan. – Majlis Bacaan Yassin, Tahlil dan Doa Selamat sempena hari keputeraan ke-66 DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berlangsung di Masjid Negeri, Seremban.
DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir berserta DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud mencemar duli di majlis tersebut.
Dianggarkan 3,500 orang jemaah sekitar bandar Seremban turut hadir bagi sama-sama mengimarahkan majlis ini.
Majlis bersempena keputeraan DYMM Yang Di-Pertuan Besar dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama jawatankuasa Masjid Negeri, Seremban.
Turut mengiringi DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan juga DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan dan isteri YM Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumuddin.
Majlis dimulai dengan solat Maghrib berjemaah diimamkan oleh Imam Masjid Negeri, Seremban disusuli dengan bacaan Yassin, tahlil dan doa selamat yang dipimpin oleh Mufti Negeri Sembilan, Sahibus Samahah Dato’ Hj Mohd Yusof Hj Ahmad.
Hadir sama, putera baginda DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, YM Tunku Ali Rethauddin ibni Tuanku Muhriz, YM Tunku Zain Al-’Abidin ibni Tuanku Muhriz Tunku Besar Tampin, YTM Tunku Syed Razman bin Tunku Syed Idrus Al-Qadri, Undang Luak Sg. Ujong Dato’ Kelana Putra Mubarak Bin Thohak.

Saturday 11 January 2014

Kerajaan Negeri : Langkah Penjimatan


Seremban, 08 Jan. – Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah diarahkan mengeluar arahan kepada agensi-agensi dan jabatan kerajaan agar mengambil inisiatif penjimatan 30% kos operasi (penggunaan elektrik, air dan perkakasan pejabat) bagi langkah penjimatan.
Penjimatan ini berikutan kos guna tenaga yang meningkat dan semua kakitangan di minta untuk memikirkan langkah penjimatan tersebut.
Jelas Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan di sidang media mingguan di Wisma Negeri, Seremban.
Arahan tersebut bersifat umum dan beliau memberi hak berfikir kepada kakitangan-kakitangan terbabit apakah langkah dan kaedah sesuai di agensi dan jabatan tempat mereka bertugas.
Kerjasama dan keprihatinan oleh penjawat awam dalam menangani penjimatan ini akan diberikan ganjaran pada akhir tahun sebagai menghargai usaha mereka dan jabatan mereka.
 Selain itu, Menteri Besar memutuskan tidak akan sesekali memotong elaun penjawat awam di atas usaha mereka melaksanakan tanggungjawab mereka selama ini.
Ujar beliau, “perkara ini adalah tidak wajar dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat. Kerajaan Negeri sentiasa mencari jalan untuk menyelesaikan bebanan tersebut.”

Tuesday 7 January 2014

Mensejahterakan Aqidah dengan Kaedah ‘Manhaj Sanusi’


SEREMBAN, 05 Jan – Umat Islam hari ini di ingatkan agar tidak lemas dengan revolusi yang wujud dengan pelbagai bentuk dan cara yang boleh mengganggu kesejahteraan akidah seseorang Islam.
Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkata, masyarakat Islam hari ini seperti hilang punca sehingga menganggap saudara sesama Islam sendiri sebagai musuh.
“Rakyat Islam hari ini perlu menyedari hakikat bahawa  akidah umat Islam kini dicabar dan diserang dengan berbagai kaedah yang ingin melihat sesama Islam itu berpecah-belah seterusnya musnah akibat persengketaan sesama sendiri,” jelasnya.
Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Seminar Dakwah dan Pendidikan Antarabangsa, Pemerkasaan Pendidikan dan Dakwah Melalui ‘Manhaj Sanusi’ sempena Pengkhataman Muwatta’ kali ke-2 di Kompleks Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan, dekat sini.
Menurut beliau, kaedah Manhaj Sanusi yang diperkenalkan Kolej Islam As Sofa merupakan pendekatan yang tepat dalam memainkan peranan dan usaha mereka melahirkan generasi ulama’ yang berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Dalam majlis yang sama YAB Menteri Besar turut mengalu-alukan kehadiran 4 orang Ulamak dari Mesir dan Libya.
Turut hadir, Penasihat Kehormat Yayasan Sofa Negeri Sembilan, YABhg. Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi, Pengerusi Akidah Kerajaan Negeri Sembilan, Dato Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al-Sanusi dan Ketua Hakim Syarie Negeri,  Yang Arif, Dato Hj Mohd Syukor Sabudin.

“Pemerkasaan Pendidikan dan Dakwah Melalui Manhaj Sanusi’


Seremban, 05 Jan. – Usaha Dato’ Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Sanusi, Pengerusi Sofa Education, Ahli MAINS dan Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Aqidah Kerajaan Negeri Sembilan membawa kaedah ‘Manhaj Sanusi’ di dalam kehidupan umat Islam kini amat dialu-alukan.
Kaedah ini amat sesuai dan  bertepatan dengan tingkahlaku manusia hari ini seterusnya memantapkan aqidah umat Islam menurut ajaran al-Quran dan Hadis sahih.
Ujar Menteri Besar Negeri Sembilan juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan ketika di sidang media ringkas selepas menyempurnakan seminar dakwah dan pendidikan antarabangsa “Pemerkasaan Pendidikan dan Dakwah Melalui Manhaj Sanusi’ sempena Pengkhataman Muwatta’  kali ke-2.
Beliau turut khuatir karenah umat Islam hari ini yang banyak berguru dari pelbagai cabang ajaran sehingga tidak mengambarkan rujukan sahih.
Malah, ada dikalangan umat Islam yang berani mengaku Tuhan, antaranya Tuhan Harun, Tuhan Kahar. Begitu juga ada yang mengaku Nabi Melayu dan Nabi Jawa sehingga ada yang percaya dan jumlahnya amat ramai.
Beliau menyokong usaha yang dilakukan oleh Yayasan As-Sofa melalui kaedah Manhaj Sanusi dengan membawa ulamak-ulamak yang terkemuka dari Madrasah As-Sanusi seterusnya membawa silibus tersebut untuk difahami.
Tujuannya adalah tidak lain dan tidak bukan untuk memulihkan penyakit aqidah yang melanda umat Islam negara ini.

Monday 6 January 2014

Penyempurnaan Kejadian Penghulu Luak Inas : Adat Perpatih


Seri Menanti,04 Jan : D.Y.M.M Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pagi ini  telah perkenan mencemar duli menerima waris pusaka adat Luak Inas, Tuan Mohammad Ariff bin Sidek untuk menghadap sembah.
Majlis istiadat tersebut turut disaksikan oleh DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud berlangsung di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti.
Turut mengiringi Tuanku, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berserta isteri, YM Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumuddin.
Waris pusaka adat Luak Inas, Tuan Mohammad Ariff bin Sidek menghadap sembah ke atas DYMM Tuanku Besar Negeri Sembilan bagi tujuan kejadian Penghulu Luak Inas merujuk kepada tuntutan adat, ‘yang patah tumbuh hilang berganti.’
Pemasyuran kejadian Penghulu Luak Inas ini membawa gelaran Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Walad Kuala Dioh Mohammad Ariff bin Sidek.
Terdahulu,mengiringi Penghulu Luak Inas, Dato’ Dato’ Lembaga Luak Inas, Ibu Soko, Pembawa isi adat, juak-juak hulubalang yang membawa alat kebesaran adat serta ahli waris dan anak buah yang disambut oleh Dato Akhir Zaman dan Dato’ Penghulu Dagang Orang Empat Istana.
Turut hadir, Tunku Besar Seri Menanti, YM Tunku Ali Rethauddin ibni Tuanku Muhriz.