Monday, 6 January 2014

Penyempurnaan Kejadian Penghulu Luak Inas : Adat Perpatih


Seri Menanti,04 Jan : D.Y.M.M Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pagi ini  telah perkenan mencemar duli menerima waris pusaka adat Luak Inas, Tuan Mohammad Ariff bin Sidek untuk menghadap sembah.
Majlis istiadat tersebut turut disaksikan oleh DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud berlangsung di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti.
Turut mengiringi Tuanku, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berserta isteri, YM Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumuddin.
Waris pusaka adat Luak Inas, Tuan Mohammad Ariff bin Sidek menghadap sembah ke atas DYMM Tuanku Besar Negeri Sembilan bagi tujuan kejadian Penghulu Luak Inas merujuk kepada tuntutan adat, ‘yang patah tumbuh hilang berganti.’
Pemasyuran kejadian Penghulu Luak Inas ini membawa gelaran Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Walad Kuala Dioh Mohammad Ariff bin Sidek.
Terdahulu,mengiringi Penghulu Luak Inas, Dato’ Dato’ Lembaga Luak Inas, Ibu Soko, Pembawa isi adat, juak-juak hulubalang yang membawa alat kebesaran adat serta ahli waris dan anak buah yang disambut oleh Dato Akhir Zaman dan Dato’ Penghulu Dagang Orang Empat Istana.
Turut hadir, Tunku Besar Seri Menanti, YM Tunku Ali Rethauddin ibni Tuanku Muhriz.

No comments:

Post a Comment