Powered By Blogger

Thursday 24 November 2011

PDRM berjaya turunkan kadar jenayah di N9



SEREMBAN 23 Nov. - Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berjaya menurunkan kadar jenayah di negeri ini sebanyak 20 peratus berdasarkan indeks pada tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, secara umumnya negeri ini tidak termasuk dalam senarai kawasan panas jenayah.

Beliau berkata, daripada keseluruhan indeks jenayah, sebanyak 70 peratus adalah jenayah ringan dengan bandar ini, Nilai dan Rahang mencatatkan kadar jenayah yang tinggi.

"Pelbagai usaha telah dilakukan oleh PDRM bagi menurunkan kadar jenayah di negeri ini dan kerajaan mengucapkan terima kasih atas usaha tersebut," katanya menjawab pertanyaan P. Gunasekaran (DAP-Senawang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Mohamad  mahu supaya balai polis bergerak dan rondaan bermotosikal dibuat di kawasan yang belum mempunyai balai polis seperti di Rasah Jaya.

Katanya, kerajaan negeri akan mengajukan cadangan itu kepada Kementerian Dalam Negeri dan berharap ia akan diberi pertimbangan yang serius.

"Kita mohon supaya kawasan yang mempunyai ramai penduduk diberi keutamaan dalam hal ini," katanya.

Wednesday 23 November 2011

PERSIDANGAN DUN – PEMBENTANGAN RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2012



UCAPAN YANG AMAT BERHORMAT
MENTERI BESAR NEGERI SEMBILAN
KETIKA MEMBENTANGKAN
RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2012
BACAAN KALI KEDUA



Bismillahirrahmanirrahim.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpag izinNya, dapat saya membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan bagi tahun 2012 di Dewan yang  mulia ini. Marilah sama-sama kita merafakkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpan kurniaNya jua negeri kita ini terus terpelihara dari sebarang bencana dan dianugerahkan suasana yang aman makmur membolehkan rakyat negeri ini meneruskan kehidupan seharian dengan selesa, sambil memainkan peranan masing-masing kearah mencapai matlamat pembangunan negeri dan negara.
Sebelum saya mencadangkan bacaan kali kedua terhadap Rang Undang-undang ini, izinkan saya memberi penerangan ringkas mengenai maksud dan tujuan Rang Undang-undang ini dibentangkan.
Rang Undang-undang Perbekalan 2012 dibentangkan berasaskan kepada semangat dan matlamat untuk Kesejahteraan Rakyat dan Pembangunan Negeri, seiring dengan matlamat dan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk Membela Rakyat dan Mensejahterakan Negara. Kerajaan Negeri akan member penekanan kepada tujuh (7) focus utama iaitu:
i.        Menyediakan pembangunan infrastuktur yang seimbang antara bandar dan luar bandar;
ii.        Melengkapkan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jaringan telekomunikasi dan ameniti sosial;
iii.        Memantapkan Dasar Jaringan Keselamatan sosial;
iv.        Meningkatkan keperihatinan terhadap keperluan dan permasalahan rakyat;
v.        Meningkatkan produktiviti sektor perkhidmatan dan pertanian ; dan
vi.        Memantapkan perkhidmatan pengangkutan bas awam.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
Senario Ekonomi Negeri
Kelembapan ekonomi Negara maju, secara tidak lansung akan mendatangkan kesan kepada pertumbuhan ekonomi Negara kita. Namun begitu, ekonomi Negara tetap berkembang pada paras yang baik. Dalam tempoh suku pertama tahun 2011, Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 4.4 peratus (4.4 %) dan m eningkat kepada 5.8 peratus (5.8 %) pada suku ketiga tahun 2011. Prestasi ekonomi global yang lembap dan gangguan rantaian bekalan dunia berikutan krisis bencana alam turut memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi.
Bagi Negeri Sembilan, dalam tempoh 2008 hingga 2010, kite telah Berjaya meneruskan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Pada tahun 2008 KDNK adalah berjumlah 19.55 billion ringgit, meningkat kepada 19.76 billion ringgit pada tahun 2009 dan mencecah kepada 20.812 billion ringgit dalam tahun 2010. Seterusnya pada tahun 2011, KDNK Negeri Sembilan diunjurkan terus meningkat kepada 22.047 billion ringgit. Dengan peningkatan ketara KDNK tersebut, Negeri Sembilan telah Berjaya mencatatkan kadar pertumbuhan yang positif pada setiap tahun di mana kadar pertumbuhan pada tahun 2010 ialah 5.3 peratus (5.3 %) berbanding pada tahun 2009, 1.1 peratus (1.1 %) dan kadar pertumbuhan ini diunjurkan akan terus meningkat pada tahun 2011 iaitu kepada 5.9 peratus (5.9 %).
Struktur ekonomi Negeri Sembilan diterajui oleh tiga sektor utama iaitu pembuatan, perkhidmatan dan pertanian. Sektor pembuatan telah mencatatkan peningkatan yang ketara iaitu 9.654 billion ringgit pada tahun 2009, kepada 10.124 billion ringgit pada tahun 2010 dan diunjurkan terus meningkat kepada 10.148 billion ringgit bagi tahun 2011. Sektor perkhidmatan pula, terus memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri. Pada tahun 2009, sumbangan sektor ini ialah sebanyak 8.197 billion ringgit dan terus meningkat pada tahun 2010 kepada 8.683 billion ringgit. Sumbangan sektor perkhidmatan ini diunjurkan terus meningkat kepada 9.834 billion ringgir bagi tahun 2011.
Sektor pertanian terus mengekalkan momentum pertumbuuhan positif kesan daripada peningkatan harga komoditi getah dan kelapa sawit yang merupakan antara penyumbang utama kepada pertumbuhan KDNK Negeri Sembilan. Sumbangan aktiviti pertanian lain seperti ternakan, tanaman dan perikanan juga terus menyokong pertumbuhan dalam sektor pertanian. Sumbangan sektor ini adalah sebanyak 1.338 billion ringgit pada tahun 2009, 1.383 billion ringgit pada tahun 2010 dan diunjurkan meningkat kepada 1.426 billion ringgit pada tahun 2011.
Peningkatan berterusan KDNK Negeri Sembilan telah meletakkan kedudukan Negeri Sembilan antara negeri yang tinggi KDNK per kapita iaitu yang ke-6 daripada 14 negeri di Malaysia pada tahun 2010. KDNK per kapita Negeri Sembilan meningkat dari RM23,600 pada tahun 2009 kepada RM 27, 485 pada tahun 2010. KDNK per kapita Negeri Sembilan diunjurkan akan terus meningkat pada tahun 2011.
Pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan pada tahun 2012 dijangka akan terus berkembang dengan menggalakkan penglibatan sektor swasta sebagai pemacu pembangunan ekonomi. Dalam masa yang sama awam akan bertindak sebagai pemudahcara. Pada masa ini, Kerajaan Negeri sedang melaksanakan Kajian Semula Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Negeri Sembilan bagi mengenalpasti komponen, teras dan strategi ekonomi tepat untuk merealisasikan hasrat mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Sektor pembuatan terus kekal sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri. Mengambilkira factor ini, Kerajaan akan meneruskan strategi untuk menggalakkan kemasukan pelaburan ke negeri ini. Alhamdulillah sehingga Ogos 2011, sejumlah 3.4 billion ringgit nilai pekaburan telah diluluskan di negeri ini berbanding 1.292 billion ringgit nilai pelaburan yang diluluskan pada tahun 2010. Ini merupakan satu perkembangan yang memberangsangkan serta menjadi bukti bahawa kemudahan infrastuktur yang baik, tenaga kerja dan lokasi yang strategic telah menjadi factor tarikan kepada pelabur untuk melabur di sini. Namun begitu usaha usaha perlu dilipatgandakan supaya kita sentiasa sedia berhadapan dengan berbagai kemungkinan berikutan dengan keadaan ekonomi dunia yang semakin tidak menentu. Justeru pihak insudtri disaran supaya menggandakan usaha untuk member keutamaan kepada produktiviti, nilai tambah, inovasi dan penggunaan teknologi moden.
Pengurusan Kewangan dan Hutang
Hasil dari pengurusan kewangan dan perakaunan yang mantap, baki Kumpulan Wang disatukan Negeri telah meningkat daripada 289.10juta ringgit pada tahun 2009 kepada 319.98 juta ringgit pada tahun 2010. Bagi tahun berakhir 31 Disember 2010, kedudukan Akaun Hasil DiSatukan Negeri menunjukkan surplus sebanyak 62.36 juta ringgit berbanding deficit sebanyak 4.453 juta ringgit pada 2009. Rizab terkumpul Akaun Hasil DiSatukan pada 31 Disember 2010 ialah sebanyak 137.32 juta ringgit berbanding 74.96 juta ringgit pada tahun 2009, iaitu peningkatan sebanyak 62.36 juta ringgit bersamaan 83.19 peratus (83.19 %).
Sehingga 18 November 2011, kedudukan Rizab terkumpul Akaun Hasil DiSatukan Negeri ialah sebanyak 267.19 juta ringgit iaitu meningkat sebanyak 129.87 juta ringgit berbanding 137.32 juta ringgit pada 31 Disember 2010.
Rizab terkumpul sebanyak 267.19 juta ringgit ini boleh menampung pembayaran gaji kakitangan awam Kerajaan Negeri selama 25.44 bulan berbanding 16.15 bulan pada tahun 2010.
Kesan daripada peningkatan dana Kumpulan Wang DiSatukan Negeri pada tahun 2010, kedudukan aliran tunai Kerajaan Negeri Sembilan meningkat sebanyak 30.88 juta ringgit kepada 296.70 juta ringgit pada tahun 2010 berbanding 265.70 juta ringgit pada tahun 2009. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 215 juta ringgit adalah dalam bentuk Simpanan Tetap iaitu meningkat sebanyak 47 juta ringgit berbanding 168.00 juta ringgit pada tahun 2009. Sehingga 18 November 2011, kedudukan aliran tunai Kerajaan Negeri terus meningkat sebanyak 41.20 juta ringgit atau 13.88 peratus (13.88 %) kepada 337.90 juta ringgit. Daripada jumlah ini, sebanyak 313.00 juta ringgit adalah dalam bentuk Simpanan Tetap
Bagi memantapkan lagi pengurusan kewangan di jabatan dan agensi, mulai Oktober 2010 Kerajaan Negeri telah memperkenalkan satu program Pengauditan Kendiri Pengurusan Kewangan (Self-Auditing). Di samping itu bagi meningkatkan tahap akauntabiliti dan pematuhan tehadap prosedur kewangan pula, kerajaan telah mewujudkan beberapa pasukan naziran seperti Naziran SPEKS (Sistem Perakaunan Berkomputer Standard Kerajaan Negeri), Naziran Deposit, Naziran Unit Akaun dan Naziran unit Audit Tunai.
Kerajaan Negeri mempunyai hutang dengan Kerajaan Persekutuan sebanyak 3.006 billion ringgit iaitu 2.405 billion ringgit untuk projek Bekalan Air sejak RMKe-6, 157.77 juta ringgit untuk Perumahan Awam Harga Rendah, 48.64 juta ringgit untuk Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) dan 395.9 juta ringgit adalah hutang pelbagai. Kedudukan terkini sehingga 17 November 2011, hutang telah berkurangan kepada 778.1 juta ringgit.
Sejumlah 1.128 billion ringgit hutang air telah selesai diserah hak kepada Pengurusan Aset Air Berhad ( PAAB) pada Disember 2010. Sebanyak 584.5 juta ringgit lagi hutang air dalam peringkat akhir diserah hak kepada PAAB dan insyallah akan selesai pada akhir Disember 2011 atau awal tahun 2012. Ini bermakna baki hutang air kini adalah berjumlah 525.8 juta ringgit. Baki ini akan diserah hak kepada PAAB secara berperingkat apabila Projek Bekalan Air RMKe-10 siap sepenuhnya. Manakala hutang Rumah Awam Harga Rendah kini tinggal 101.1 juta ringgit. Hutang PKNNS kini tinggal 28.7 juta ringgit dan hutang pelbagai kini tinggal 122.4 juta ringgit.

Pembangunan Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi (ICT)
Pembangunan ICT terus berkembang dan membangun berdasarkan perancangan dan pelaksanaan program yang telah dibuat bersama oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Diantara kejayaan yang telah menyumbang kepada peningkatan perkembangan ICT di Negeri Sembilan adalah:
i.        28 sistem dan aplikasi telah dibangunkan dan digunakan di dalam agensi dan jabatan Kerajaan;
ii.        89 buah e-community/telecentre di seluruh Negeri Sembilan dan menjadi pusat rujukan serta latihan ICT;
iii.        98 peratus (98%) liputan telekomunikasi di kawasan berpenduduk;
iv.        75 peratus (75%) kadar penembusan jalur lebar;
v.        14,794 agihan Netbook 1Malaysia;
vi.        113 buah kampong telah dijadikan sebagai kampong Wifi ; dan
vii.        8 lokasi tumpuan 1NS Wireless City
Berdasarkan kajian, penggunaan ICT mula mendapat tempat dalam rutin harian masyarakat di Negeri Sembilan. Ini berikutan 64.7 peratus (64.7%) penduduk Negeri Sembilan, menggunakan perkhidmatan internet bagi tujuan emailing, rangkaian sosial dan surfing.
Dasar Jaringan Keselamatan Sosial
Di bawah Dasar Jaringan Keselamata Sosial, tumpuan akan terus diberikan kepada keluarga atau individi yang tergolong dalam kategori miskin dan miskin tegar agar mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan. Melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat sahaja pada tahun 2008 seramai 10,158 orang telah menerima bantuan. Jumlah ini telah meningkat kepada 15,266 pada tahun 2009, seterusnya pada tahun 2010 telah bertambah kepada 21,433 orang. Sehingga bulan Oktober 2011, seramai 24,114 orang telah dijaringkan di bawah dasar ini. Di samping itu lain-lain agensi seperti Majlis Agama Islam, Jabatan Kemajuan Orang Asli dan PIhak Berkuasa Tempatan turut memainkan peranan dalam menjayakan dasar ini.
Pada tahun 2012, Kerajaan akan terus memantapkan lagi perlaksanaan Dasar Jaringan Keselamatan Sosial ini dengan tumpuan khusus akan diberikan kepada perkampungan Orang Asli dan kawasan-kawasan lading melalui kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Kementerian Sumber Manusia.

Infrastruktur dan Utiliti
Kerajaan sedar dan prihatin akan masalah berkaitan perkhidmatan bekalan air yang dihadapi oleh rakyat terutamanya bekalan yang sering terputus dan tidak konsisten. Keadaan ini disebabkan oleh tekanan air yang rendah dan lokasi pengguna yang jaraknya jauh dari punca utama khususnya kawasan seperti di Palong. Sehubungan dengan itu, pada suku ketiga Tahun 2011, Kerajaan Negeri bersama Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) telah mengenalpasti langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini. Beberapa program penambahbaikan telah dikenalpasti oleh pihak SAINS antaranya:-

i.        Pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan berkala bagi infrastruktur-infrastruktur bekalan air di kawasan Palong;
ii.        Penggunaan Injap Kawalan Tekanan (Pressure Reduction Valve) di Palong 3, 7, 8 dan 12 untuk mengawal tekanan air bagi mengurangkan kejadian paip pecah;
iii.        Perlaksanaan pemasangan Pam Penggalak (Booster Pump) di Palong 7 dan 8 bagi kawasan-kawasan yang mengalami tekanan air rendah; dan
iv.        Penambahan dan penggantian paip penghantaran

Prestasi Pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10)
Tahun 2011 merupakan tahun pertama pelaksanaan 1st Rolling dengan izin, Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10). Sehingga November 2011, Negeri Sembilan telah Berjaya mencapai prestasi perbelanjaan sebanyak 83.80 peratus (83.80%) di mana 87 projek telah Berjaya disiapkan dan 180 projek masih lagi dalam peringkat pelaksanaan. Untuk makluman Dewan yang muli, kedudukan ini meletakkan Negeri Sembilan adalah antara negeri yang mencatatkan prestasi perbelanjaan terbaik dalam 1st Rolling Plan RMKe-10 di negara ini.

Memantapkan Perkhidmatan Pengangkutan Bas Awam
Saya amat maklum bahawa pengguna perkhidmatan penangkutan awam khususnya bas, samada di bandar atau luar bandar sering menghadapi masalah perkhidmatan bas yang kurang memuaskan. Bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan berkualiti ianya memerlukan peruntukan yang besar. Terdapat banyak laluan perkhidmatan bas di negeri ini terutamanya di kawasan luar bandar yang tidak viable, dengan izin,  untuk pengusaha meneruskan perkhidmatan mereka. Menyedari hakikat ini Kerajaan Negeri adalah dalam peringkat akhir untuk mentransformasikan penhurusan perkhidmatan pengangkutan bas awam di Negeri Sembilan. Kerajaan Negeri berkemungkinan akan mewujudkan satu Dana Khas dalam bentuk Kumpulan Wang Amanah untuk tujuan ini.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
Belanjawan tahun 2012 adalah dirangka berteraskan kepada matlamat mensejahterakan rakyat dan melestarikan pembangunan negeri. Bagi merealisasikan hasrat ini, kerjasama, tolenrasi, muafakat dan semangat berdaya tahan di kalangan segenap lapisan masyarakat, tanpa dibatasi sempadan kaum dan fahaman politik adalah kunci untuk memastikan keharmonian dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara seterusnya akan memudahkan pelaksanaan agenda pembangunan negeri.
Sehubungan itu, Belanjawan tahun 2012 bagi Negeri Sembilan Darul Khusus disediakan dengan mengambilkira beberapa faktor seperti sumber-sumber hasil negeri yang terhad, mengukuh dan memantapkan pengurusan kewangan negeri, perbelanjaan berhemah, pengurusan perolehan yang mengutamakan value for money dan outcome yang optimum. Kerajaan Negeri juga akan mempergiatkan lagi usaha untuk meningkatkan kutipan hasil semasa negeri di samping mengurangkan tunggakan. Usaha ini bukanlah sesuatu yang mudah, namun dengan semangat, iltizam dan kerjasama semua pihak, saya yakin ianya akan membuahkan kejayaan.
Kerajaan berazam untuk terus meningkatkan kemahiran pengurusan kewangan semua Pegawai Pengawal dan penjawat awam Negeri Sembilan agar amalan perbelanjaan berhemat dan nilai integrity terpelihara. Testimony kepada amalan pengurusan kewangan yang baik telah membawa kepada kejayaan Kerajaan Negeri menerima Sijil Audit Bersih daripada Ketua Audit Negara selama sepuluh (10) tahun berturut-turut mulai tahun 2001 hingga 2010. Pada kesempatan ini juga, saya merakamkan ucapan tahniah kepada Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di atas kejayaan mendapat pengiktirafan empat (4) bintang dalam Indeks Akauntabiliti oleh Ketua Audit Negara. Tahniah juga kepada semua Badan Berkanun Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan yang telah mendapat Sijil Audit Bersih. Kecekapan pentadbiran dan pengurusan kewangan adalah elemen penting yang boleh mendorong kepada peningkatan produktiviti. Kite tidak boleh leka dan terus berada dalam zon selesa sebaliknya kita perlu terus berusaha menarik peluang-peluang yang ada yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
Cadangan Belanjawan 2012 yang dibentangkan pada hari ini adalah Belanjawan Berimbang. Seterusnya saya ingin menghuraikan secara ringkas Belanjawan 2012 dari tiga (3) aspek utama seperti berikut:
  • Anggaran Hasil;
  • Anggaran Mengurus; dan
  • Anggaran Pembangunan

ANGGARAN HASIL
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
Hasil Kerajaan dibahagikan kepada tiga (3) komponen, iaitu Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil. Hasil Kerajaan Negeri pada tahun 2012 dianggarkan sebanyak 430.170 juta ringgit iaitu peningkatan sebanyak 131.986 juta ringgit atau 44.26 peratus (44.26%) berbanding dengan anggaran tahun 2011. Peningkatan ini disumbangkan oleh Terimaan Bukan Hasil yang diperolehi daripada bayaran balik perbelanjaan pembangunan bekalan air oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) berjumlah 102.052 juta ringgit.
Terimaan Bukan Hasil juga diperolehi daripada pemberian Kerajaan Persekutuan seperti Pemberian Hitung Kepala, Pemberian Pertambahan Hasil, Pemberian 50 peratus (50%) Perbelanjaan Mengurus Program atau Aktiviti Bersama seperti yang ditetapkan dalam Senarai Ketiga (3), Jadual Kesembilan (9), Perlembagaan Persekutuan untuk Kebajikan Masyarakat, Pengairan dan Saliran, Perkhidmatan Veterinar dan Sukan serta Pemberian 10 peratus (10%) Bayaran Perkhidmatan bagi Pelaksanaan Projek Persekutuan oleh Jabatan/Agensi Negeri.
Cukai tanah berulang masih lagi merupakan penyumbang utama kepada hasil Kerajaan Negeri. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha untuk mempermudahkan dan membuat penambahbaikan dalam urusan pembayaran bil-bil cukai tanah supaya lebih ramai lagi pemilik tanah tampil menunaikan tanggungjawab mereka. Pada masa ini, pemilik tanah boleh membuat bayaran di Pejabat-Pejabat Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negeri, Pusat Zakat Negeri Sembilan atau bayaran secara on-line melalui kaedah Financial Process Exchange (FPX), dengan izin, bagi bank-bank terpilih menerusi laman sesawang Pejabat Tanah dan Galian Negeri Sembilan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
ANGGARAN BELANJAWAN MENGURUS
Saya mencadangkan sejumlah 430.170 juta ringgit diperuntukkan dalam Belanjawan Mengurus 2012 yang mana sebanyak 114.097 juta ringgit atau 26.52 peratus adalah untuk emolumen yang terdiri daripada bayaran gaji, elaun-elaun termasuk elaun lebih masa, bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan yuran kursus. Berbanding dengan Belanjawan tahun 2011, peruntukan emolumen bagi tahun 2012 meningkat sebanyak 7.82 peratus (7.82%). Peningkatan emolument ini adalah selaras dengan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SAAM) seperti mana diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2012 tempoh hari. Di antara elemen SBPA ialah struktur gaji penjawat awam ditambahbaik melalui pembentukan gaji sebaris iaitu lebih banyak mata gaji diwujudkan supaya penjawat awam terus mendapat kenaikan gaji tahunan bagi tempoh yang lama. Dalam hal ini adalah diharapkan pelaksanaan SBPA akan dapat menjadi alat kea rah mentranformasikan perkhidmatan perkhidmatan awam negeri supaya menjadi institusi yang lebih peka dan responsive kepada permasalahan rakyat, lebih dinamik dan berorientasikan prestasi.
Bagi peruntukan Perkhidmatan dan Bekalan, dicadangkan sebanyak 75.188 juta ringgit diperuntukkan dalam tahun 2012. Jumlah ini mencatatkan pertambahan sebanyak 2.843 juta ringgit atau 3.93 peratus (3.93%) berbanding dengan peruntukkan tahun 2011. Perbelanjaan ini termasuk perbelanjaan perjalanan, sewaan, bayaran elektrik, air, telefon, bahan api, bekalan dan penyelenggaraan pejabat dan bayaran gaji kakitangan kontrak dan sambilan.
Sebagai langkah kea rah perbelanjaan berhemat dan berjimat cermat, Kerajaan Negeri hanya memperuntukkan token 1,000 ringgit untuk pembelian asset sejak tahun 2010. Walau bagaimanapun, memandangkan kutipan hasil yang memberangsangkan pada tahun ini iaitu 336.182 juta ringgit telah dikutip sehingga 31 Oktober 2011 berbanding sasaran kutipan sebanyak 298.184 juta ringgit bagi tahun 2011, maka pada tahun 2012 sebanyak 2.526 juta ringgit diperuntukkan untuk pembelian kenderaan dan harta modal jabatan-jabatan.
Di bawah Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, peruntukkan yang disediakan ialah sebanyak 237.256 juta ringgit yang antaranya merangkumi caruman gentian cukai kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan sebanyak 4.979 juta ringgit dan caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan dan Berkanun sebanyak 188.431  juta ringgit dan bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak 8.930 juta ringgit. Pada tahun 2007 peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri  bagi tujuan ini hanyalah sebanyak 4.10 juta ringgit, namun demi kebajikan untuk golongan yang kurang bernasib baik ini, Kerajaan Negeri telah menambah jumlah peruntukan bagi tujuan ini pada setiap tahun kepada 5.25 juta ringgit pada tahun 2008, 7.51 juta ringgit pada tahun 2009, 8.75 juta ringgit pada tahun 2010 dan 8.806 juta ringgit pada tahun 2011. Amalan ini akan diteruskan dengan jumlah peruntukan ditambah kepada 8.930 juta ringgit pada tahun 2012.
Di samping itu, Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan sebanyak 5.602 juta ringgit untuk program pembagunan sukan dan atlet, bantuan kepada persatuan-persatuan belia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan. Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan bolasepak Negeri Sembilan yang telah sekali lagi Berjaya menjadi juara Piala Malaysia baru-baru ini. Teruskanlah momentum ini bagi pertandingan-pertandingan yang akan dating. Negeri Sembilan juga telah menunjukkan peningkatan yang memberansangkan dalam pungutan pingat bagi Sukan Malaysia (SUKMA) Tahun 2010 dengan pungutan 30 pingat emas berbanding 11 emas pada SUKMA Tahun 2008. Sesungguhnya sukan adalah sebagai salah satu medium yang dapat menyatupadukan seluruh rakyat negeri dan Negara ini selain dari dapat melahirkan generasi yang sihat, cergas dan aktif.
Selain dari itu, Kerajaan Negeri juga serius dalam memastikan golongan belia di negeri ini terus berada di landasan yang betul terutamanya dalam berhadapan dengan ledakan maklumat dunia tanpa sempadan, serta perlu berdaya tahan dan mempunyai semangat jati diri yang jitu dalam mengharungi cabaran yang mendatang. Kerajaan Negeri sedia mendengar suara belia bagi mempastikan setiap perancangan program mahupun projek sosio-ekonomi serta aktiviti yang dijalankan dapat dimanfaatkan oleh golongan yang mewakili hamper 50 peratus (50%) penduduk negeri ini.
Kerajaan Negri turut memperuntukkan sebanyak 19.842 juta ringgit bagi perbelanjaan di bawah maksud Tanggungan T01, T03, T04, T05, T06 dan T07 iaitu peruntukan Diraja, Yang Dipertua Dewan Undang Negeri, Bayaran Hutang Kerajaan, Bayaran Perintah Mahkamah, Bayaran Pencen dan Ganjaran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan peruntukkan Undang Yang Empat serta Tengku Besar Tampin.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
Kerajaan Negeri berasa amat bersyukur kerana bukan sahaja kemelut penjualan tanah penduduk di Felda Sendayan telah dapat diselesaikan, malahan Kerajaan Negeri juga telah Berjaya menunaikan janji untuk menjelaskan hutang bagi penyelesaian isu tanah tersebut dengan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP, dalam tempoh da formula yang dipersetujui. Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa berpegang pada janji meskipun berdepan dengan berbagai dugaan dan cabaran yang terpaksa diharungi demi membantu rakyat negeri ini.
Pada tahun 2012, sebanyak 12 juta ringgit diperuntukkan bagi membayar hutang Kerajaan Negeri. Jumlah yang diperuntukkan ini berkurang sebanyak 6.163 juta ringgit berbanding 18.163 juta ringgit pada tahun 2011 disebabkan pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah Berjaya menyelesaikan sepenuhnya tiga hutang Ladang Hutan Kompensatori yang berjumlah 5.621 juta ringgit dan Sembilan hutang Rumah Awam Harga Rendah yang berjumlah 7.462 juta ringgit dengan Kerajaan Persekutuan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
ANGGARAN BELANJAWAN PEMBANGUNAN
Dalam usaha mencapai status negeri maju, pelaksanaan projek-projek pembagunan di negri ini adalah berlandaskan kepada prinsip Pembangunan Lestari dan mengutamakan Kesejahteraan Rakyat. Dalam Belanjawan Pembangunan tahun 2012, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak 92.328 juta ringgit bagi memastikan sebahagian dari projek-projek yang dirancang dalam RMKe-10 dapat direalisasikan. Anggaran peruntukan pembangunan yang dicadangkan ini berkurangan sebanyak 2.623 juta ringgit berbanding 94.951 juta ringgit pada tahun 2011.
Anggaran Belanjawan Pembangunan tahun 2012 menyaksikan pengagihan kepada beberapa sektor iaitu infrastruktur, sosial, pentadbiran dan pertanian dengan agihan seperti berikut:
Sektor
Peruntukan 2012 (RM juta)Peratusan (%)
Infrastruktur34.673 juta ringgit37.55 peratus
Sosial27.383 juta ringgit29.55 peratus
Pertanian11.224 juta ringgit12.16 peratus
Pentadbiran
19.048 juta ringgit20.63 peratus
92.328 juta ringgit100 peratus
Meskipun Kerajaan Negeri mempunyai peruntukan yang terhad dalam melaksanakan projek-projek pembangunan namun komitmen yang bersungguh-sungguh untuk melaksanakan agenda pembangunan negeri sering mendapat bantuan dan perhatian dari Kerajaan Persekutuan. Penyediaan infrastruktur asas seperti jaringan jalan raya, system perparitan, bekalan air dan kemudahan utility menjadi pemangkin kepada usaha-usaha untuk membangunkan Negeri Sembilan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
Sektor Infrastruktur
Bagi pembangunan kemudahan infrastruktur, tumpuan Kerajaan Negeri adalah di kawasan luar bandar dengan matlamat untuk mewujudkan pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar melalui penyediaan infrastruktur jalanraya kemudahan asas yang berkualiti. Kemudahan ini diharap akan dapat merancakkan aktiviti ekonomi di kalangan penduduk luar bandar bagi membolehkan mereka meningkatkan pendapatan dan tahap ekonomi. Pada tahun 2012 sebanyak 13.650 juta ringgit diperuntukkan kepada Jabatan Kerja Raya bagi melaksanakan projek-projek yang menjadi keutamaan kepada rakyat, antaranya ialah menaiktaraf Jalan Tok Ungku dan Jalan Sg. Jai di Seremban. Selain itu 2 projek menggantikan jambatan negeri akan dilaksanakan pada tahun hadapan iaitu jambatan di Jalan Kuala Klawang-Pekan Titi dan jambatan di Jalan Rantau-Siliau. Bagi memastikan pengguna jalan-jalan di negeri ini tidak terdedah kepada persimpangan dan selekoh-selekoh merbahaya, sejumlah 1.40 juta ringgit telah diperuntukkan bagi tujuan ini. Di samping itu sebanyak 7.724 juta ringgit diperuntukkan bagi tujuan pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan masked-masjid seluruh negeri.
Kerajaan Negeri juga amat prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat ekoran daripada bencana alam seperti banjir. Oleh itu, sebanyak 11.259 juta ringgit diperuntukkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran yag mana jumlah ini merangkumi peruntukkan bagi pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir, Rancangan Pengurusan Sungai serta projek Pengurusan Pantai dan Saliran Pertanian. Kerajaan Negeri juga berharap permasalahan banjir di kawasan-kawasan sempadan antara negeri seperti di Gemas dan Rembau seharusnya diselaraskan juga oleh Kerajaan Persekutuan bagi memastikan rancangan pencegahan banjir yang menyeluruh dapat dilaksanakan.
Selaras dengan dasar sektor perindustrian yang dikenalpasti sebagai penyumbang utama kepada KDNK negeri, maka Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk menyediakan prasarana yang sebaik mungkin di kawasan perindustrian seluruh negeri. Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak 1.0 juta ringgit pada tahun 2012. Walaupun jumlah yang diperuntukkan ini agak kecil tetapi Kerajaan Negeri sentiasa mendapat bantuan daripada Kerajaan Perseketuan untuk penyelenggaraan di kawasan perindustrian. Sehingga Ogos tahun 2011, Kerajaan Negeri telah menerima peruntukan sebanyak 1.80 juta ringgit untuk maksud ini.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Sektor Pertanian
Sektor pertanian akan terus menjadi fokus utama kerajaan. Kita tidak boleh terus bergntung kepada Negara-negara lain sebagai sumber makanan kepada rakyat negeri ini. Sekiranya Negara-negara pengeluar produk pertanian dilanda banjir seperti yang berlaku sekarang ini maka Malaysia akan turut menerima kesan kekurangan bahan makanan. Akibatnya rakyat akan dihimpit dengan kenaikan harga produk pertanian, Akibatnya rakyat akan dihimpit dengan kenaikan harga produk pertanian. Untuk itu sejumlah 11.224 juta ringgit diperuntukkan kepada sektor pertanian pada tahun 2012. Daripada jumlah ini, sebanyak 5.370 juta ringgit diperuntukkan di bawah Jabatan Pertanian. Tumpuan utama akan diberikan kepada pembangunan industry buah-buahan, tanaman padi, tanaman industry dan komoditi berpotensi, perkhidmatan pengembangan dan perundingan pertanian, pembangunan perkhidmatan kejuruteraan pertanian, dan pembangunan Taman Teknologi Pertanian.
Di bawah Perkhidmatan Veterinar, penegluaran daging lembu dan kerbau telah menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu pada tahun 2008 pengeluaran adalah pada 1.562 juta metric tan, tahun 2009 meningkat kepada 1.980 juta metric tan, 2010 melonjak kepada 2.376 juta metric tan dan sasaran 2011 adalah untuk mencapai 2.686 juta metric tan. Untuk itu sebanyak 5.601 juta ringgit diperuntukkan dalam tahun 2012 di bawah perkhidmatan ini yang akan difokuskan kepada pembangunan industri ternakan kebau, rusa dan bebiri.
Manakala di bawah Jabatan Hutan, sebanyak 253 ribu ringgit diperuntukkan untuk bioteknologi hutan. Jumlah ini berkurangan sebanyak 1.617 juta ringgit berbanding tahun 2011 kerana Kerajaan Negeri akan lebih menggunakan peruntukan dari Kumpulan Wang Amanah Pemban gunan Hutan Negeri terutamanya bagi aktiviti pembangunan tanaman perhutanan, penyelenggaraan kawasan pemulihan dan pembangunan sumber asli.
Sektor Sosial
Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk memastikan setiap rakyat di negeri ini dapat menikmati kemudahan tempat tinggal yang selesa dan mampu didiami. Untuk itu, dalam RMke-10 Kerajaan Negeri telah mengenalpasti sebanyak 17 projek perumahan terbelangkaian di negeri ini untuk dibaikpulihkan. Setakat ini empat buah projekperumahan terbengklai telah berjaya dibaikpulih yang melibatkan sebanyak 593 unit rumah. Saya dapat merasakan kekecewaan rakyat yang telah mengeluarkan sejumlah wang dari titik peluh mereka tetapi kediaman yang dihajatkan tidak dapat didiami pada tempoh yang sepatutnya. Usaha pemulihan ini juga perlu mendapat kerjasama dan bantuan dari beberapa pihak di peringkat perseketuan terutamanya Jabatan Perumahan Negara. Di bawah P60 Perumahan disediakan peruntukan sebanyak 4.033 juta ringgit untuk pembinaan dan pembaikan infrastruktur dan pelbagai projek Rumah Awam Harga Rendah dan projek sumbangan Rumah Mesra Rakyat Simpang Durian, Jelebu. Jumlah ini juga merangkumi 1.3 juta disediakan untuk pengembalian balik tanah Ladang Tanah Merah, Port Dickson.
Kerajaan Negeri juga telah berjaya merealisasikan pembinaan 150 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat di Ladang Siliau Port Dickson. Dengan siapnya projek ini diharapkan dapat membantu pekerja-pekerja lading sekitar Port Dickson untuk memiliki rumah yang lebih selesa. Menyedari bahawa kesejahteraan rakyat berkait rapat dengan suasana rumah kediaman, sepatutnya tiada lagi keluarga di negeri ini yang mendiami rumah satu bilik. Maka pada tahun hadapan Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak 400 ribu ringgit bagi menggabungkan 2 unit rumah 1 bilik di Senawang 1 menjadi sebuah rumah. Projek ini akan dijalakan secara berperingkat-peringkat berdasarkan kesesuaian dan kemampuan kerajaan.
Di bawah Dasar Pencahayaan, dalam Fasa I sebanyak 3,949 lampu telah dipasang dan disasarkan menjelang akhir tahun 2011 sebanyak 2,00 unit lagi akan dibuat pemasangan. Bagi Fasa II, mulai tahun 2012 hingga 2014, Kerajaan Negeri mensasarkan sebanyak 10,000 bilangan lampu termasuk tiang yang akan dipasang di seluruh jalan negeri dan jalan kampung di negeri ini.
Pada tahun 2012 Kerajaan Negeri telah menetapkan sasaran untuk meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini melebehi 2.2 juta orang iaitu angka semasa jumlah kedatangan pelancong. Sehubungan itu sebanyak 1.990 juta ringgit telah disediakan untuk pembangunan dan penyelenggaraan kawasan-kawasan pelancongan. Jumlah ini tidak termasuk peruntukan yang disediakan di bawah akaun mengurus Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan bagi aktiviti program dan promosi. Selain dari itu Kerajaan Negeri sering berbincang dengan pihak kementerian bagi memastikan peruntukan yang disediakan dapat juga disalurkan dan dimanfaatkan untuk menambahbaik produk-produk pelancongan negeri ini terutamanya di kawasan yang telah diiktiraf sebagai Pantai Peranginan Negara, Wellness dan Bandar Tentera Darat (PWT) di Port Dickson.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
Sektor Pentadbiran
Pada Tahun 2012, peruntukan sebanyak 19.048 juta ringgit disediakan di bawah sektor pentadbiran iaitu merangkumi 20.63 peratus dari keseluruhan belanjawan pembanguna. Peruntukan di bawah sektor ini adalah bagi tujuan penyelenggaraan dan pembaikan kompleks-kompleks pentadbiran kerajaan negeri serta kuarters Kerajaan di daerah-daerah serta pembinaan pejabat Balai Tengku Besar Tampin. Kerja-kerja yang akan dilaksanakan merangkumi menaiktaraf bilik-bilik mesyuarat, system penghawa dingin, lif dan system pendawaian elektrik. Selain dari itu peruntukan ini adalah juga bagi tujuan pembinaan serta pembaikan dewan orang ramai dan balairaya termasuk juga bagi tujuan pengambilan balik tanah. Saya menyeru kepada rakyat negeri ini optimumkanlah penggunaan dewan orang ramai dan balairaya yang telah dibina oleh kerajaan bagi tujuan pembangunan masyarakat setempat, janganlah dibiarkan suram tanpa sebarang aktiviti yang berfaedah.
Dalam era globalisasi ini pembangunan Sistem Teknologi Maklumat adalah menjadi sesuatu yang mandatory untuk ditambahbaik. Justeru itu sejumlah 3.051 juta ringgit disediakan, antaranya adalah bagi tujuan pembangunan system aplikasi, portal dan integrasi, perolehan perkakasan ICT serta pelaksanaan system maklumat GIS 9. Dalam hal ini Kerajaan Negri berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam program-program teknologi maklumat di negeri ini. Kerjasama yang terjalin telah Berjaya merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk meningkatkan kadar penembusan jalur lebar, liputan telefon selular serta perlaksanaan program-program ICT bersama komuniti.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
Marilah kita sama-sama berdoa agar negri kita terus dipelihara dari sebarang bencana agar momentum pertumbuhan yang dirancang dapat dilaksankan demi kesejahteraan rakyat. Oleh yang demikian, Kerajaan Negri memikirkan adalah perlu menyediakan belanjawan berimbang untuk memastikan kedudukan kewangan kerajaan sentiasa kekal kukuh.
Saya berharap semua pihak di negeri ini dapat sama-sama memahami hasrat belanjawan yang dibentangkan ini. Saya mempunyai harapan yang tinggi kepada semua penjawat awam untuk memastikan semua projek, program dan aktiviti yang telah dirancang dalam Belanjawan tahun 2012 dilaksankan dengan sempurna dan mengikut jadual. Buatlah persediaan awal, ini termasuklah bagi projek-projek yang akan diluluskan di bawah Rolling Kedua RMKe-10. Ingatlah bahawa program dan projek yang dirancangkan ini tidak member makna sekiranya rakyat tidak mendapat menafaat daripadanya.
Mantapkanlah system penyampaian melalui pendekatan-pendekatan yang lebih kreatif dan inovatif bagi memastikan aspirasi dan harapan rakyat dapat direalisasikan dan bebaskan perkhidmatan awam negeri ini dari karenah birokrasi. Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pegawai kerajaan, Badan-Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan, Anggota Keselamatan, badan-badan bukan kerajaan dan pihak swasta yang telah memberikan kerjasama, sokongan dan pandangan kepada Kerajaan Negri dalam usaha untuk bergerak seiring memajukan negeri ini.
Sebagai menghargai sokongan dan komitmen penjawat awam di negeri ini, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan pembayaran tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum 500 ratus ringgit sebagaimana yang telah diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan baru-baru ini. Semoga kita semua terus diberi kekuatan, taufik serta hidayahNya dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab terhadap negrei dan Negara kita yang kita cintai.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
Sekian sahaja penjelasan saya mengenai Rang Undan-Undang Perbekalan Tahun 2012. Dengan ini saya mencadangkan Rang Undang-Undang ini dibaca kali kedua. Saya juga mencadangkan supaya usul Anggaran Pembangunan Negri tahun 2012 yang terkandung sekali dalam pembentangan Rang Undang-Undang ini diterima dan diluluskan oleh Dewan yang bersidang pada hari ini.
Sekian, Terima kasih.
Saya mohon mencadangkan.
Assalamualaikumwarahmatullahhiwabarakatuh.