Powered By Blogger

Wednesday 2 November 2011

MAINS tubuh Perbadanan Wakaf urus tanah wakaf











 Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah mewujudkan Perbadanan Wakaf negeri bertujuan mengurus tadbir semua tanah wakaf untuk tujuan dibangunkan dan ditambah nilai aset berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagi melaksanakan pembangunan tanah-tanah wakaf itu, pihaknya akan meneliti beberapa lokasi yang berpotensi dimajukan sebelum usaha sama dengan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dilakukan.

''Kita hendak melihat supaya harta wakaf ini dapat menjana pendapatan kepada MAINS dan seterusnya pendapatan yang diperoleh nanti dapat digunakan bagi menjalankan kerja-kerja kebajikan menerusi dana am.

''Di negeri ini, kita telah mengenalpasti beberapa lokasi yang strategik di beberapa buah daerah untuk dibangunkan dan tempat berkenaan selepas dibangunkan dijangka dapat menjana pendapatan kepada pihak MAINS," katanya.
Mohamad yang juga Menteri Besar berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Hotel Wakaf daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Jawhar dan MAINS di Kompleks Baitul Hilal di Port Dickson di sini hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abd. Razak Mansor; Ketua Pengarah Jawhar, Datuk Anan C. Mohd.; Pengarah JKR negeri, Ir. Datuk Dr. Roslan Md. Taha dan Setiausaha MAINS, Kamal Amran Kamarudin.
Ditanya mengenai pembangunan kawasan hotel dan Baitul Hilal, Mohamad berkata, projek pembangunan itu menggunakan dana am MAINS selain peruntukan Jawhar melalui Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sebanyak RM30 juta.

''Ia sama sekali tidak menggunakan wang zakat kerana projek ini adalah dana am hasil pelaburan yang dilakukan oleh MAINS.

''Kemudahan ini boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat sama ada untuk bercuti dan aktiviti lain. Pada masa yang sama beberapa projek sampingan akan kita laksanakan selepas ini termasuklah kolam renang dan lain-lain lagi sedang rancak dilakukan," kata beliau.  -sumber Utusan Malaysia-

No comments:

Post a Comment