Powered By Blogger

Tuesday 18 March 2014

Solat Hajat Mohon MH370 Selamat


SEREMBAN, 14 Mac – Tragis yang menimpa masyarakat dunia dengan kehilangan pesawat MH370 mendapat perhatian banyak pihak termasuklah masyarakat Islam di Negeri Sembilan, yang turut sama mendoakan keselamatan dan nasib penumpang yang berada dalam pesawat MAS tersebut dengan mengadakan Solat Hajat berjemaah selepas Solat Jumaat di Masjid Negeri, Seremban.
Umumnya, penerbangan MAS) MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA). Kapalterbang Boeing 777-200 itu membawa 239 orang, termasuk dua bayi, dan 12 anak kapal. 38 orang daripadanya dilaporkan adalah rakyat Malaysia.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan turut sama berjemaah bagi memanjangkan doa dan harapan agar pesawat yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemui dalam keadaan selamat.
Turut sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato’ Mat Ali Bin Hassan.

Monday 17 March 2014

Kerjaan NS Pantau "Peniaga Cekik Darah"


SEREMBAN, 12 Mac – Sebuah Persatuan Kebajikan Pengguna Islam Negeri Sembilan ditubuhkan bagi  memastikan barangan keperluan harian di kedai-kedai mahupun pasaraya mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan berkata, pemantauan kenaikan harga barang di negeri ini semakin dipergiatkan bagi memastikan harga indeks pengguna mengikut piawaian yang ditetapkan.
” UMNO Negeri Sembilan melalui persatuan pengguna yang ditubuhkan ini akan diberi tanggungjawab bagi memantau peniaga yang dikatakan ‘cekik darah’.
“Pemantau yang ditugaskan akan menjadi penggerak utama dalam persatuan berkenaan dan di samping itu, tenaga dari sukarelawan juga akan turut sama membantu menangani masalah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri.
Tegasnya, tindakan akan diambil sekiranya terdapat peniaga yang cuba mengambil kesempatan terhadap orang awam dan dengan sengaja melanggar indek harga yang ditetapkan oleh pihak kementerian.
Turut hadir, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Sembilan, Dato’ Norhayati Binti Omar.

Monday 10 March 2014

Berita Baik Buat Penduduk Daerah Seremban Dan Port Dickson


Seremban 7 Mac – Kebimbangan penduduk daerah Seremban dan daerah Port Dickson kini reda apabila limpahan air dari sungai Ngoi- Ngoi yang masuk ke sungai Batang Benar berjaya menambah kapasiti air di kolam takungan Bukit Gun Rasah sehingga ke paras maksima dan menstabilkan bekalan air ke kawasan Mambau dan Sendayan.
Lebihan air dari Sungai Batang benar juga menstabilkan paras air di Sungai Linggi bagi kegunaan loji rawatan Air Sungai Linggi yang berkapasiti 25 juta galen sehari  menampung kegunaan air di  kawasan Port Dickson,  Lukut dan Rantau.
Dalam sidang media bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato` Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan ketika mengadakan lawatan ke Loji Air Ngoi- Ngoi, Jalan Pantai, beliau bersyukur masalah air di daerah Seremban dan daerah Port Dickson dapat diatasi melalui Pelan Kecemasan yang turut digunakan bagi Daerah Seremban turut  berhasil.
Loji rawatan Air Baru Ngoi-Ngoi akan beroperasi dalam dua minggu lagi akan dapat mengurangkan 50% kebergantungan kepada loji Sungai Terip yang membekalkan 100% ke daerah Seremban.
Ujar beliau, “dengan pengurangan ini maka punca air dari Empangan Terip daripada Empangan Kelinci dan Empangan Talang dapat dikurangkan kegunaannya. Oleh yang demikian punca Empangan Talang dari Ulu Sungai Muar yang di pam sebanyak 10 juta galen sehari akan diberhentikan.”
Beliau juga memberi cadangan altenatif, sekiranya paras air dari Loji Gemas tidak mencukupi  selepas air Sungai Muar masih rendah selepas pam diberhentikan  ke Empangan Talang.
Sementara air dari EmpanganTalang tersebut akan dilepaskan secara perlahan-lahan ke dalam Sungai Muar.
Beliau berharap Paras air di Ulu Sungai Muar akan naik dan mencukupi untuk kegunaan lima buah loji yang berada di jajaran Sungai Muar termasuk Loji Sungai  Gemas yang menghadapi krisis ketika ini.

Tenaga Pengajar Aset Negara


SIKAMAT, 06 Mac – Warga pendidik khususnya tenaga pengajar menjadi aset kepada negara dalam memastikan transformasi pendidikan melonjak ke arah lebih cemerlang.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan berkata, transformasi pendidikan negara dapat dijayakan dengan kecemerlangan pendidik dalam membentuk para pelatih mahupun para pelajar menjadi insan yang mampu menyumbang bakti terhadap negara.
Menurut beliau, dasar pelajaran juga perlu dikembangkan oleh warga pendidik untuk disalurkan kepada pelatih-pelatih guru sebagai jentera pelaksanaan kepentingan transformasi pendidikan,
“Pelajaran merupakan salah satu landasan bagi pelajar untuk menuju ke arah kecemerlangan akademik dan kokurikulum, sekali  gus mereka dapat keluar dari kelompok kemiskinan,” katanya ketika berucap dalam  majlis penutup pelancaran Ekspo Pendidikan di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar di Balai Kerapatan institusi berkenaan.
Dalam ekspo tersebut, pelbagai perkongsian pengalaman, ilmu dan maklumat mengenai ilmu perguruan dan kepenggunaan bahan sumber secara optimum  serta para pelatih guru mempamerkan pelbagai bakat serta keterampilan dalam mempromosi keupayaan sebelum melangkah kearah proses pengajaran.
Terdahulu, majlis diserikan dengan persembahan nyanyian dan tarian oleh pelatih-pelatih guru beserta bunyian alat muzik tradisional.
Menteri Besar turut berkesempatan melawat ke tapak ekspo dan juga bilik-bilik pameran yang disediakan oleh pensyarah dan pelatih guru.
Turut hadir dalam majlis ini, Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Tuan Haji Abu Bakar Bin Sahari, Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Dr. Mehander Singh A/L Nahar Singh dan Ketua Unit Pengajian Inggeris, Puan Hajah Ashidah Binti Asnan.

Wednesday 5 March 2014

Meningkatan Tahap Latihan Bagi Memperkasakan ATM


Port Dickson, 02 Mac – Demonstrasi keupayaan tentera darat sempena perbarisan memperingati peristiwa lahad datu dan acara derma darah telah diadakan di Pantai Saujana, Batu 4, Port Dickson atau lebih dikenali sebagai Bandar Tentera Darat, pagi tadi.
Lebih 10,000 orang awam berserta anggota tentera datang mengunjungi demonstrasi yang dirasmikan oleh Panglima Angkatan Tentera, YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Haji Zulkifli Bin Haji Zainal Abidin itu tadi.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan dalam sidang media memberitahu, sambutan hari ini lebih merupakan latihan kesiapsiagaan angkatan bersenjata anggota tentera dalam usaha mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.
Tambah Menteri Besar, angkatan tentera negara tidak akan bertolak ansur jika terdapat sesiapa yang cuba mengganggu gugat kedaulatan negara. Angkatan tentera bersenjata akan sentiasa bersedia untuk menangani apa jua situasi yang akan berlaku.
“Orang awam akan sentiasa menanti program-program seperti ini agar dapat keyakinan kelangsungan aspek keselamatan dan kedaulatan negara untuk terus dikekalkan oleh angkatan tentera negara”, katanya lagi.
Upacara kemuncak bagi program ini, upacara Penyerahan Pennant kepada 14 orang Pegawai Pasukan Tentera dan 200 Pingat Kedaulatan Negara kepada anggota tentera yang telah berjaya menamatkan Latihan Asas Komando.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Bin Raja Mohamed Noor, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Haji Roslan Bin Saad dan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Laksamana Madya Dato’ Nasaruddin Bin Othman.

Monday 3 March 2014

Seminar Kerjaya Sempena Program “Membara” Membantu Rakyat


REMBAU, 23 Feb –  Kira 1,000 pelajar institusi latihan seluruh Negeri Sembilan menyertai Seminar Kerjaya Sempena Program “Membara” Membantu Rakyat bertujuan membuka minda mereka dalam menentukan hala tuju selepas tamat persekolahan dan seterusnya memilih kursus bersesuaian serta mempunyai peluang kerjaya yang lebih luas.
Program sehari anjuran UMNO Bahagian Rembau yang bertempat di Dewan Auditorium, Insitusi Latihan Perindustrian, Rembau, disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan.
Penganjuran seperti ini merupakan medium utama parti UMNO untuk membantu rakyat yang susah dan yang memerlukan bantuan.
Melalui program ini juga, para pelajar yang akan menamatkan persekolahan digalak bertukar-tukar fikiran dan pengalaman bagi memberi peluang agar dapat mencari pendekatan terbaik dalam menentukan bidang kerjaya yang bakal diceburi.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, perspektif diri perlu dibentuk supaya dapat membina kerjaya yang baik. Antara kaedah-kaedah yang berkesan adalah kepentingan aspek pembelajaran dimana ia menentukan keputusan peperiksaan yang akan dihadapi.
“Pilih kerjaya dalam bidang yang diminati dan hendaklah kita membuat pilihan yang terbaik”, katanya lagi.
Dalam sidang media, beliau juga mengatakan bahawa tindakan akan diambil oleh ahli UMNO bagi sesiapa yang membuat salah laku terhadap parti berdasarkan hasil daripada siasatan dan peranan jawatankuasa disiplin UMNO. Hal-hal seperti ini amat bertentangan dengan perlembagaan parti dan setiap tindakan disiplin adalah pengajaran kepada yang lain.
Turut hadir, Setiausaha UMNO Bahagian Rembau, Dato’ Haji Azman Bin Haji Hasan, Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri, YB. Dato’ Dr. Awaluddin Bin Said dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Chembong, Dato’ Zaifulbahri Bin Idris.