Powered By Blogger

Monday 10 March 2014

Tenaga Pengajar Aset Negara


SIKAMAT, 06 Mac – Warga pendidik khususnya tenaga pengajar menjadi aset kepada negara dalam memastikan transformasi pendidikan melonjak ke arah lebih cemerlang.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan berkata, transformasi pendidikan negara dapat dijayakan dengan kecemerlangan pendidik dalam membentuk para pelatih mahupun para pelajar menjadi insan yang mampu menyumbang bakti terhadap negara.
Menurut beliau, dasar pelajaran juga perlu dikembangkan oleh warga pendidik untuk disalurkan kepada pelatih-pelatih guru sebagai jentera pelaksanaan kepentingan transformasi pendidikan,
“Pelajaran merupakan salah satu landasan bagi pelajar untuk menuju ke arah kecemerlangan akademik dan kokurikulum, sekali  gus mereka dapat keluar dari kelompok kemiskinan,” katanya ketika berucap dalam  majlis penutup pelancaran Ekspo Pendidikan di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar di Balai Kerapatan institusi berkenaan.
Dalam ekspo tersebut, pelbagai perkongsian pengalaman, ilmu dan maklumat mengenai ilmu perguruan dan kepenggunaan bahan sumber secara optimum  serta para pelatih guru mempamerkan pelbagai bakat serta keterampilan dalam mempromosi keupayaan sebelum melangkah kearah proses pengajaran.
Terdahulu, majlis diserikan dengan persembahan nyanyian dan tarian oleh pelatih-pelatih guru beserta bunyian alat muzik tradisional.
Menteri Besar turut berkesempatan melawat ke tapak ekspo dan juga bilik-bilik pameran yang disediakan oleh pensyarah dan pelatih guru.
Turut hadir dalam majlis ini, Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Tuan Haji Abu Bakar Bin Sahari, Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Dr. Mehander Singh A/L Nahar Singh dan Ketua Unit Pengajian Inggeris, Puan Hajah Ashidah Binti Asnan.

No comments:

Post a Comment