Powered By Blogger

Monday 18 May 2015

'Kerana rotan, saya jadi orang'
“SAYA pernah dirotan guru besar di khalayak ramai. Ketika itu saya tingkatan 4, lencana pengawas saya ditarik dan tangan saya dirotan empat kali hingga berdarah,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
 
Itulah kenangan zaman kenakalan Mohamad sebagai pelajar di Sekolah Menengah Rantau, selepas ditanya tentang kenangan zaman persekolahannya dahulu.
Mohamad berkata dia dirotan Guru Besar, Hardial Singh atas kesalahan orang lain.
 
“Bukan saya yang buat salah tapi orang lain. Saya dituduh tapi saya tahu siapa yang buat cuma saya tak nak beritahu. Disebabkan rotan itulah saya menjadi orang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
 
Menurutnya, dia berterima kasih kepada Guru Besar itu kerana mendidiknya dengan penuh sabar sehingga menjadi orang berjaya kini.
 
“Walaupun pendidikan tidak tinggi dan bukan guru berijazah tetapi semangat dia kuat kerana mahu lihat semua pelajar Sekolah Menengah Rantau berjaya,” katanya.
 
Ketika ditanya siapa guru kesayangannya, Mohamad menjawab, isterinya, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.
 
“Isteri saya seorang guru, dia tidak masuk universiti kerana saya suruh jadi cikgu. Sepatutnya dia masuk universiti bersama saya tapi I said no, you jadi cikgu and don’t worry I will marry you,” katanya berseloroh.
 
Mohamad berkata, isterinya seorang guru Bahasa Inggeris di Sekolah Seri Puteri di Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur, sejak tahun 1979 hingga 1987.
 
“Selepas mengajar beberapa tahun, isteri saya berhenti kerana perlu mengikut saya ke London dan pulang semula ke Malaysia pada 1992.
 
“Ketika itu sudah ada tiga orang anak dan isteri mahu menjadi suri rumah sepenuh masa,” katanya.
 
Mohamad berkata, kerjaya seorang guru banyak menyumbang bakti kepada anak bangsa dan negara.
 
“Guru adalah hero yang tidak diraikan, Unsung Heroes. Tetapi guru janganlah berkecil hati kerana jasa mereka amat besar sejak dulu lagi.
 
“Kita berharap guru-guru berjiwa besar dan terus berbakti kepada tanah air dengan mendidik anak bangsa untuk membela negara,” katanya.

Monday 11 May 2015



N9 laksana program kenalpasti bakat


PORT DICKSON - Negeri Sembilan bakal menjadi negeri pertama melaksanakan Program Pengenalpastian Bakat, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata ini selaras dengan hasrat Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang ingin memperkasakan bidang sukan di kalangan belia negeri ini.

"Peruntukan kita dah ada. Saya akan bekerjasama dengan Exco Jawatankuasa Modal Insan, Belia dan Sukan Datuk Zaifulbahri Idris, untuk kita melihat bagaimana kita dapat menjayakan program pengenalpastian bakat atau talent identification ini di peringkat sekolah-sekolah.

"Kita telah mula mengenalpasti sekolah, tetapi saya rasa kita boleh 'fast track' dengan bantuan kerajaan negeri.

"Saya akan aturkan majlis dan kita boleh lancarkan di sini," katanya kepada media selepas menghadiri Festival Belia Negeri Sembilan 2015 di sini hari ini.

Bertemakan "Showcase of Talent", festival tersebut telah dirasmikan oleh Mohamad dan dihadiri oleh belia dari seluruh negeri ini. - Bernama

Thursday 7 May 2015




        Pusat Internet Rakyat hanya bayar RM1

SEREMBAN - Berbekalkan hanya RM1, penghuni Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi, di sini, berpeluang melayari internet disediakan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) melalui Pusat Internet Rakyat dilancarkan secara rasmi, semalam.

Yang Dipertua MPS, Datuk Abd Halim Abd Latif berkata, bayaran itu bertujuan sebagai pendaftaran keahlian untuk tempoh setahun, bagi membolehkan penduduk menggunakan kemudahan tersebut pada bila-bila masa.

“Pusat internet ini dibuka dari Isnin hingga Jumaat, mulai jam 1 petang hingga 10 malam dan tiada had masa dikenakan kepada pengguna. Bagi Sabtu dan Ahad, kita masih mengkaji waktu operasi yang sesuai.    

“Sebanyak 20 komputer, termasuk dua mesin pencetak disediakan. Kesemuanya disumbangkan oleh Negeri Roadstone Sdn Bhd, di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Abd Halim, pusat internet terbabit merupakan yang kedua seumpamanya dilaksanakan oleh MPS, selepas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lobak, di sini, pada 2006.

“Selepas ini, kita bercadang untuk mewujudkan dua lagi pusat internet rakyat iaitu di Sikamat dan Ampangan. Sasaran kita pada tahun depan,” katanya yang mengalu-alukan syarikat tempatan atau antarabangsa untuk bekerjasama.

Adun Paroi, Mohd Ghazali Abd Wahid yang ditemui pada majlis perasmian itu nyata berpuas hati dan gembira dengan kewujudan pusat internet berkenaan.

“Difahamkan kapasiti untuk mengakses internet buat masa ini hanya 2Mbps, berikutan kekangan aspek infrastruktur di fasiliti tersebut.

“Kita harap Telekom Malaysia Berhad (TM) dapat mengambil langkah sewajarnya untuk meningkatkan kelajuan kepada 4Mbps, termasuk menyediakan kemudahan wifi,” katanya. 

Thursday 30 April 2015

Lebih 10 Peratus Penuntut Tajaan Mains Berjaya Tamatkan Pengajian


KAHERAH, 27 April (Bernama) -- Hasil pelbagai inisiatif yang diambil oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk meningkatkan pencapaian akademik para penuntut tajaannya di Asia Barat, seramai 85 peratus penuntut tajaannya berjaya menamatkan pengajian pada 2014.

"Kini MAINS menyasarkan 90 peratus pelajar tajaannya di Timur Tengah lulus dalam pengajian mereka," kata Pengerusi MAINS Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama pelajar tajaan MAINS di Mesir, di sini pada Ahad.

Ini satu yang membanggakan memandangkan pada 2006 tidak sampai 50 peratus penuntut yang ditaja MAINS di Asia Barat lulus dalam pengajian masing-masing.

Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berada di Mesir untuk lawatan kerja tiga hari yang berakhir hari ini bagi bagi meninjau pelajar-pelajar tajaan MAINS yang mengikuti pengajian di Mesir.

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan oleh MAINS bagi meningkatkan peratusan kelulusan pelajar tajaannya di Timur Tengah adalah dengan menyediakan kelas persediaan Bahasa Arab di Malaysia sebelum menghantar mereka ke negara-negara Asia Barat.

Langkah itu bagi mengatasi masalah bahasa di Asia Barat terutama di Mesir yang menjadi punca utama pelajar gagal mencapai kecemerlangan.

Selain itu, katanya, MAINS dan kerajaan negeri telah menaik taraf Rumah Negeri Sembilan di Kaherah yang menjadi kediaman dan pusat interaksi pelajar.

"Rumah Negeri Sembilan di sini kini lebih selesa dan kali ini saya luluskan peruntukkan 50 unit kipas dan bahan bacaan untuk rumah itu terutama dalam bidang perubatan bagi memudahkan penuntut kita membuat rujukan," katanya.

Kira-kira 400 pelajar dari Negeri Sembilan melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di Asia Barat dengan lebih separuh daripada jumlah itu adalah penuntut tajaan MAINS.



Maghribi setuju tambah kuota pelajar.


RABAT - MAGHRIBI. Maghribi bersetuju untuk menyediakan lebih banyak kuota khas bagi pelajar dari Negeri Sembilan melanjutkan pengajian di universiti terkemuka di negara itu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, persetujuan itu dinyatakan sendiri Menteri Pengajian Tinggi Maghribi, Dr Lahcen Daoudi.

Menurut Mohamad, sebelum ini kerajaan Maghribi menyediakan 20 tempat setiap tahun kepada Malaysia untuk menghantar pelajar bagi melanjutkan pelajaran ke negara itu dan Negeri Sembilan hanya mendapat lima tempat.

"Namun bermula tahun ini, Negeri Sembilan telah mendapat kuota khas yang diberikan kerajaan Maghribi iaitu sebanyak 20 lagi tempat menjadikan 25 tempat  kesemuanya.

"Sebentar tadi, Dr Lahcen telah menyatakan persetujuan untuk meningkatkan jumlah kuota khas tersebut khusus untuk Negeri Sembilan," katanya semasa berucap pada jamuan malam bersama pelajar Negeri Sembilan sempena lawatan tiga hari ke Maghribi, pada Rabu.

Majlis turut dihadiri Dr Lahcen Daoudi dan pemangku Datuk Bandar Rabat, Ibrahim Al Jumari.

Mohamad berkata, persetujuan itu sekali gus membantu Negeri Sembilan meningkatkan penghantar pelajar ke negara berkenaan dan mengurangkan penghantaran ke Mesir dan Jordan yang dilihat tidak kondusif untuk pembelajaran.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi Maghribi Dr Lahcen kerana menyediakan kuota khas ini dan diharapkan dengan langkah ini,
lebih ramai pelajar Negeri Sembilan belajar di negara ini," katanya.

Pada majlis tersebut Mohamad turut menerima replika kunci yang disampaikan Ibrahim sebagai tanda persahabatan.

Mohamad berkata, menerusi persahabatan yang baru terjalin itu, pemangku Datuk Bandar Rabat telah menyatakan persetujuan untuk memastikan kebajikan pelajar  Negeri Sembilan yang menetap di bandar itu, terjamin.

Kini, terdapat 34 pelajar dari Negeri Sembilan melanjutkan pengajian tinggi dalam pelbagai bidang di Maghribi. - Bernama

Tuesday 28 April 2015

Mahasiswa mesti bijak dapatkan maklumat - Mohamad


KAHERAH: Penuntut Malaysia di luar negara perlu bijak dalam mendapatkan maklumat sahih mengenai isu-isu semasa dan perkembangan yang berlaku di tanah air, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan. Beliau berkata, mereka tidak boleh hanya bergantung kepada laman sosial seperti blog, Twitter dan Facebook semata-mata kerana maklumat di medium berkenaan tidak mengamalkan etika penulisan dan kewartawanan. 

"Dunia zaman teknologi maklumat ini tidak macam dulu. Maklumat dan berita boleh diperoleh di hujung jari dalam pelbagai cara seperti di laman-laman sosial. "Tetapi penulis di laman sosial mereka bukan berlesen dan tidak mempunyai etika atau garis panduan seperti wartawan yang sepatutnya dan mereka boleh tulis apa sahaja," katanya kepada pemberita Malaysia selepas beramah mesra dengan anggota Kelab UMNO Luar Negara Mesir di sini Sabtu. 

Mohamad berada di sini untuk lawatan kerja tiga hari bagi meninjau perkembangan mahasiswa dan mahasiswi Negeri Sembilan yang mengikuti pengajian di Mesir. Beliau berkata, selain membaca maklumat atau berita yang dipaparkan di laman sosial, para penuntut perlu membaca maklumat atau berita sama daripada sumber lain dan membuat perbandingan. Katanya, dengan cara ini mereka boleh mendapatkan maklumat lebih tepat dan tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan anasir yang boleh melemahkan jati diri terhadap negara. 

Terdahulu, semasa berucap pada majlis itu, Mohamad yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata, kerajaan perlu menggunakan pendekatan strategi lautan biru dalam memantau pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan termasuk menggunakan khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

 Langkah itu bertujuan membantu petugas Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melaksanakan tanggungjawab pemantauan dan penguatkuasaan dengan lebih berkesan. "Pada masa ini, Kastam dan KPDNKK sahaja tidak mampu untuk mengawal peniaga dan peruncit seluruh negara yang terlalu besar jumlahnya, jadi kita perlu menggerakkan seperti anggota Rela atau anggota UMNO sendiri untuk membantu," katanya. 

Monday 27 April 2015

MAINS Naikkan Insentif Untuk Pelajar Negeri Sembilan 

Di Jordan



AMMAN (Jordan), 25 April – Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) akan menaikkan kadar insentif kecemerlangan bagi pelajar Negeri Sembilan yang melanjutkan pengajian di Jordan daripada RM1,000 hingga RM3,000.
Pengerusi MAINS Datuk Seri Mohamad Hasan berkata insentif itu diberi kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
“Jadi kalau pelajar mahu wang saku lebih, mereka perlu belajar rajin-rajin kerana inilah cara untuk memastikan pelajar akan belajar lebih cemerlang dan hadiah ini akan menaikkan semangat mereka,” katanya.
Selain itu, ia juga bagi membantu mereka menampung kos sara hidup di Jordan yang sangat tinggi terutama apabila berlakunya krisis di negara jirannya Syria, selain peningkatan nilai mata wang dinar Jordan.
“Banyak rungutan diterima jadi kita telah bertindak memberi kenaikan insentif ini kepada para pelajar agar mereka boleh menggunakannya untuk membantu meneruskan pengajian mereka,” katanya kepada media Malaysia selepas majlis ramah mesra bersama pelajar Negeri Sembilan di Jordan, di sini Khamis malam.
Mohamad, yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, mengadakan lawatan kerja dua hari yang berakhir hari ini ke Jordan, untuk meninjau perkembangan pengajian pelajar Malaysia dari Negeri Sembilan.
Kenaikan insentif diberi mengikut kelulusan iaitu Mumtaz (Cemerlang) daripada RM2,000 kepada RM5,000; Jayyid Jiddan (Sangat Baik) daripada RM1,000 dinaikkan kepada RM3,500 dan keputusan Jayyid (Baik) diberi RM1,000.
Sebelum ini MAINS turut mengumumkan kenaikan elaun sara hidup daripada dana zakat iaitu daripada RM4,000 kepada RM7,000 sebulan bagi penuntut semua jurusan bagi membantu mereka menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Dalam pada itu, Mohamad berkata berdasarkan maklum balas yang diterimanya, para pelajar Malaysia di Jordan tidak terancam walaupun negara itu dikelilingi negara yang menghadapi krisis seperti Syria dan Iraq.
Terdahulu pada majlis itu, Mohamad turut menyampaikan bantuan MAINS yang keseluruhannya berjumlah lebih RM200,000 bagi tujuan pengurusan pengajian pelajar Negeri Sembilan di Jordan.
Lebih 3,200 pelajar dari Malaysia mengikuti pengajian di Jordan dengan 148 orang daripada jumlah itu adalah pelajar dari Negeri Sembilan.
— BERNAMA