Powered By Blogger

Tuesday 17 March 2015

Pusat Internet 1 Malaysia (PI1M)


Linggi, – Penduduk sekitar Mukim Linggi, Port Dickson kini dapat menikmati kemudahan jalur lebar setelah siapnya Pusat Internet 1 Malaysia (PI1M) yang dijayakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Pusat Internet 1 Malaysia Linggi.

PI1M yang dilaksanakan oleh SKMM di bawah Program Perkhidmatan Sejagat atau lebih dikenali sebagai USP. Fokus utama PI1M adalah untuk memberikan perkhidmatan capaian internet secara kolektif kepada masyarakat setempat di kawasan yang kurang liputan perkhidmatannya.

PI1M di Mukim Linggir merupakan pusat pertama dibangunkan di Daerah Port Dickson, dan ke 28 seluruh Negeri Sembilan yang wujud sejak 15 Februari 2015. Namun begitu, SKMM akan terus memantau pusat yang masih dalam pembinaan dan memastikan rakyat di negara dan negeri ini dapat berkomunikasi melalui kemudahan jalur lebar.

PI1M Linggi disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan.

Menteri Besar di dalam ucapan menyatakan bahawa internet merupakan dunia tanpa sempadan yang mana semua orang boleh terokainya setiap masa bagi mengetahui segala maklumat tanpa tapisan.
Namun begitu, beliau menasihatkan kepada semua pengguna internet agar memahami dan bijak menerima sesuatu berita yang disampaikan kerana tidak semua berita dan maklumat yang disampaikan tersebut adalah benar.

Beliau turut menegur pengguna internet tidak menyebarkan sesuatu berita yang tidak disahihkan benar dan tepat sehingga penerima maklumat menganggap maklumat yang diterimanya betul.
Kemudahan internet yang diterima ini perlu digunakan secara betul dan berdisiplin, sebolehnya elakkan penyebaran maklumat fitnah kerana itu akan mengundang kepada perselisihan faham, perpecahan dan kesepakatan menjadi retak menanti belah.

Menyambut kehadiran beliau, Ketua Pembangunan Industri SKMM, Tuan Mohd Ali Hanafiah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Linggi, YB Tuan Hj Abd Rahman Mohd Redza dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Bagan Pinang, Dato’ Tun Hairudin Abu Bakar

Friday 6 March 2015

Majlis Keselamatan Negeri (MKN)



Seremban,  – Majlis Keselamatan Negeri (MKN), Negeri Sembilan sentiasa memantau setiap aktiviti yang boleh mengancam kesejahteraan dan keselamatan orang ramai terutamanya penduduk di Negeri Sembilan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menegaskan demikian ketika menjawab soalan wartawan di sidang media mingguan selepas beliau mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Negeri, Seremban.
Beliau menjelaskan, laporan yang diterima dari MKN Negeri Sembilan juga mendapati tidak ada ancaman IS atau berkaitan denganya yang boleh mengancam keselamatan dalam negeri.
Walaupun terdapat satu ke dua kes melibatkan individu yang berasal dari negeri ini, namun tiada sebarang aktiviti yang berpusat di negeri ini.
Tegas Menteri Besar lagi, bukan sahaja aktiviti IS, MKN Negeri Sembilan sentiasa memantau setiap aktiviti yang boleh merosakkan aqidah orang Islam, merosakkan ketenteraman awam, yang boleh meyebabkan keresahan awam.
Beliau tidak mahu melihat negeri ini menjadi sarang yang condong kepada keganasan sehingga mencetuskan keresahan dan penduduk negeri ini berhak hidup dalam keadaan aman dan makmur.
Di sidang media tersebut, Menteri Besar menyeru orang awam turut memantau, menjadi mata dan telinga dan melaporkan aktiviti yang mencurigakan yang boleh menjadi ancaman kepada keselamatan negeri.
Nasihat beliau, “kita jangan sampai dah terjadi perkara tidak diingini baru nak bertindak, ketika itu semuanya telah terlambat.

Thursday 5 March 2015

Pelajar yang merupakan modal insan



Seremban, – Pelajar yang merupakan modal insan di masa akan datang di dalam negara dan negeri ini diingatkan agar mengenali diri dengan mengingati pengalaman-pengalaman ketika menimba ilmu di peringkat awal sehingga beroleh kejayaan.
“Kejayaan merupakan satu ukuran yang boleh dicapai, tetapi untuk mengekalkan kejayaan amat sukar dilakukan kerana ia memerlukan lonjakan demi lonjakan dalam usaha untuk kita mengekalkan kecemerlangan tersebut.” ujar Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan.
Beliau hadir di Majlis Makan Malam Amal SASER 2015 berlangsung di Klana Resort, Seremban, malam tadi.
Berucap di majlis tersebut, “orang lain juga melihat dan memerhatikan kejayaan kita dan mereka mahu mengatasi kita. Maka, dengan prestasi yang amat baik dan memberangsangkan sejak kewujudan SASER, saya yakin dan percaya bahawa sekolah ini akan terus menjadi sekolah berasrama penuh dalam negara yang boleh di banggakan, seterusnya melonjakkan prestasi sektor pendidikan di negeri ini.”
Nasihat Menteri Besar, “apa yang perlu dilakukan oleh pelajar dan bekas pelajar iaitu mengekalkan semangat kejayaan yang dicapai serta melihat titian pengalaman yang pernah di lalui. Titian-titian yang penuh cabaran itu jangan dilupakan kerana itulah saat setiap pelajar dididik dan didewasakan.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita dan besar maknanya apabila kita telah berjaya untuk kembali semula melihat keadaan titian yang pernah dilalui. Jika ia memerlukan pengorbanan kita untuk mengukuhkan titian tersebut, saya menyeru semua pelajar di dalam negara dan negeri ini agar memainkan peranan bersama menabur bakti kepada titian iaitu institusi pendidikan yang pernah membantu kecemerlangan masa hadapan kita.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Hj Mat Ali Hj Hasan, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan, Dato’ Hajah Kalsom Hj Mohd Khalid, Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER), Tuan Hj Sabudin Hj Sani dan Yang Di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Pelajar SASER, Prof. MAdya Sr. Abdul Wahid Kamarulzaman.

Belia perlu bersedia untuk menjadi anggota masyarakat



Seremban, – “Belia perlu bersedia untuk menjadi anggota masyarakat kepada negara berstatus negara maju menjelang tahun 2020,” kata Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan.
Beliau yang ditemui pihak media selepas Majlis Perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri Belia Negeri Sembilan Sidang Pertama Penggal Kedua menjelaskan betapa pentingnya golongan belia untuk bersama-sama membantu mencorakkan identiti negara di masa hadapan.
“Hasrat saya adalah untuk melihat belia Negeri Sembilan bersama-sama di dalam arus perdana dan memainkan peranan dengan baik bagi mendatangkan manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.
Selain daripada itu, beliau juga berpuas hati dengan peranan yang dimainkan belia Negeri Sembilan ketika ini yang pada pendapat beliau mempunyai kecekalan dan keyakinan diri yang tinggi untuk bergerak bersama kerajaan bagi membantu menjayakan dasar-dasar kerajaan khususnya bagi merancakkan pembangunan di Negeri Sembilan.
Mengakhiri sidang media, beliau melahirkan kebimbangannya mengenai kekurangan penglibatan golongan belia bukan bumiputera terutamanya dari kaum cina dalam aktiviti berpersatuan. Beliau meminta agar para belia dari kaum cina supaya lebih aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan memainkan peranan mereka untuk menjadi tonggak kepada komuniti.

Kembalikan Maruah Orang Melayu



Tanjung Ipoh – Bersatu padu merupakan kunci kesepakatan dan kekuatan orang Melayu untuk terus memelihara kesejahteraannya di bumi sendiri.
Pada situasi dan ketika orang Melayu kuat dan tidak di pandang hina oleh bangsa lain ialah ketika hubungan baik dan kesepakatan mereka terpelihara satu ketika dahulu, di mana bangsa lain berasa hormat dan segan.
Namun begitu sejak tiga pilihanraya umum yang lalu, berdasarkan kepada keputusan PRU yang diperolehi mendapati keputusan kemenangan dan keselesaan orang Melayu semakin susut dan terancam. Oleh yang demikian, orang Melayu perlu kembali bersatu padu.
Tegas Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan di Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah Sukan 3 DUN di Bahagian Kuala Pilah di Dewan Orang Ramai Tanjung Ipoh, semalam.
Menurut beliau di dalam ucapan, keputusan drastik yang tidak pernah di duga oleh sebuah negara yang sedang dibina hasil kesukaran dan kepayahan pejuang terdahulu, menunjukkan bangsa lain telah menunjukkan pola pengundian yang tidak berselindung lagi.
Mereka tidak segan silu menunjukkan perubahan sokongan mereka apabila berlakunya masalah dalaman dan perpecahan orang Melayu yang sering bersengketa dan berbalah.
Menteri Besar berkata lagi, “dulu siapa berani mengusir dan mengadu domba, siapa yang berani menyentuh berkaitan hal ehwal Islam. Siapa pula yang berani menyentuh hak-hak ketuanan orang Melayu dan perlembagaan? Di tambah pula siapa yang berani menyentuh tentang institusi Raja-Raja Melayu?
“Dulu siapa yang berani menghina agama dan mempersoalkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar dalam negara?
Keadaan semasa politik tanahair, semua dinasihatkan perlu peka, prihatin dan memikirkan nasib orang Melayu di masa akan datang. Jika terlalu leka, berselisihan faham sesama sendiri tidak mustahil agenda tersembunyi yang sedang di lakukan oleh mereka akan berjaya akhirnya.
Menteri Besar juga menegur, “jangan ingat orang Melayu tidak akan kalah, tidak boleh ditewaskan kerana jika terus alpa dan leka dengan perselisihan, orang Melayu akan tewas di bumi sendiri.”
Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Dato’ Seri Hj Hasan Malek, Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Dato’ Ismail Lasim, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Seri Menanti, Dato’ Abdul Samad Ibrahim, ADUN Kawasan Pilah, Dato’ Norhayati Omar, ADUN Kawasan Juasseh, Dato’ Mohamad Razi Hj Kail dan ADUN Kawasan Johol, Tuan Hj Abu Samah Mahat.

Kerajaan negeri tidak akan ‘lepas tangan’



TAMPIN . - Kerajaan negeri tidak akan ‘lepas tangan’ dalam memastikan tanah milik bumiputera khususnya di kawasan pinggir bandar tergadai begitu sahaja.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hal itu perlu dipastikan supaya tidak ada pemilik tanah khususnya warga emas yang ditipu pihak broker tidak bertanggungjawab, yang mementingkan keuntungan berlipat ganda dalam usaha mendapatkan tanah berharga berkenaan.
“Bukan saya antipenjualan tanah, tetapi kerajaan negeri tidak mahu melihat berlakunya urusan yang tidak betul, selain mahu memastikan tanah milik bumiputera itu tidak tergadai begitu sahaja,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan surat hak milik tanah Felcra Ulu Yuh Mukim Repah dan pemberian lot-lot Felcra Pondoi Mukim Tebong di Balai Raya Kampung Ulu Yuh, dekat sini hari ni.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Abd. Razak Ab. Said; Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Ramlee Abu Bakar dan Pegawai Daerah Tampin, Mohamed Roduan Ujang.
Kata Mohamad, kerajaan akan bertegas dalam hal itu termasuk mensyaratkan mana-mana pihak yang didatangi broker berkenaan supaya merujuk kes itu terlebih dahulu kepada kerajaan negeri untuk diperhalusi.
“Jika ada pihak yang mahu menjualnya juga, kerajaan akan meneliti pihak yang berminat itu supaya benar-benar ada sumber kewangan yang kukuh sebelum kelulusan diberikan,'' katanya sambil merujuk kawasan tumpuan adalah di sekitar Seremban dan Port Dickson.
Dalam perkembangan lain, Mohamad turut menyarankan supaya pemilik tanah adat yang sudah lewat usia segera menurunkan kuasa kepada waris terdekat.
“Ada pemilik tanah adat ini yang telah meninggal dunia dan tanah itu pula terdapat banyak nama. Itu amat rumit apabila ada yang berhajat menuntut sesuatu seperti dividen. Saya sarankan supaya segerakanlah mengambil kuasa tanah dan bicara di pejabat tanah berdekatan.
“Apabila sudah diputuskan dan dipersetujui, maka berikanlah kuasa kepada waris yang dipilih itu sebagai pemilik baharu. Di Felcra umpamanya, dividen tidak dapat diberikan kerana pemilik tiada dan waris pula tidak ambil peduli untuk memillih pemilik baharu,” ujarnya.
Dalam majlis yang berlangsung hari ini, seramai 140 peserta Felcra Ulu Yuh menerima surat hak milik ke atas tanah yang dimilikinya sejak 1983 itu.
Seramai 90 peserta lain, melakukan undian plot-plot Felcra Pondoi Mukim Tebong, dekat sini.