Thursday, 5 March 2015

Pelajar yang merupakan modal insan



Seremban, – Pelajar yang merupakan modal insan di masa akan datang di dalam negara dan negeri ini diingatkan agar mengenali diri dengan mengingati pengalaman-pengalaman ketika menimba ilmu di peringkat awal sehingga beroleh kejayaan.
“Kejayaan merupakan satu ukuran yang boleh dicapai, tetapi untuk mengekalkan kejayaan amat sukar dilakukan kerana ia memerlukan lonjakan demi lonjakan dalam usaha untuk kita mengekalkan kecemerlangan tersebut.” ujar Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan.
Beliau hadir di Majlis Makan Malam Amal SASER 2015 berlangsung di Klana Resort, Seremban, malam tadi.
Berucap di majlis tersebut, “orang lain juga melihat dan memerhatikan kejayaan kita dan mereka mahu mengatasi kita. Maka, dengan prestasi yang amat baik dan memberangsangkan sejak kewujudan SASER, saya yakin dan percaya bahawa sekolah ini akan terus menjadi sekolah berasrama penuh dalam negara yang boleh di banggakan, seterusnya melonjakkan prestasi sektor pendidikan di negeri ini.”
Nasihat Menteri Besar, “apa yang perlu dilakukan oleh pelajar dan bekas pelajar iaitu mengekalkan semangat kejayaan yang dicapai serta melihat titian pengalaman yang pernah di lalui. Titian-titian yang penuh cabaran itu jangan dilupakan kerana itulah saat setiap pelajar dididik dan didewasakan.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita dan besar maknanya apabila kita telah berjaya untuk kembali semula melihat keadaan titian yang pernah dilalui. Jika ia memerlukan pengorbanan kita untuk mengukuhkan titian tersebut, saya menyeru semua pelajar di dalam negara dan negeri ini agar memainkan peranan bersama menabur bakti kepada titian iaitu institusi pendidikan yang pernah membantu kecemerlangan masa hadapan kita.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Hj Mat Ali Hj Hasan, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan, Dato’ Hajah Kalsom Hj Mohd Khalid, Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER), Tuan Hj Sabudin Hj Sani dan Yang Di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Pelajar SASER, Prof. MAdya Sr. Abdul Wahid Kamarulzaman.

No comments:

Post a Comment