Powered By Blogger

Tuesday 27 May 2014

"Kejayaan Setiap Insan Bergantung Kepada Asas Pendidikan"


SEREMBAN, 23 Mei – Kehadiran ibu bapa yang bagi Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) Kali Ke-21 Tahun 2014 Sekolah Rendah Islam As-Sa’idiyyah (SRIAS) dapat memperlihatkan komitmen yang tinggi dalam memainkan peranan utama proses pembelajaran anak-anak.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan menyifatkan, faktor utama kejayaan setiap insan bergantung kepada asas pendidikan yang disertakan bersama daya usaha yang gigih dan penuh semangat jati diri.
“Kita perlu bersaing dalam arus globalisasi yang penuh dengan cabaran untuk melahirkan masyarakat profesional”, katanya sewaktu menyampaikan ucapan perasmian di Dewan Terbuka SRIAS.
Beliau menyifatkan bahawa kejayaan hari ini amat mudah untuk dicapai sekiranya dorongan berterusan diberikan oleh warga pendidik serta ibu bapa disamping mengurus kejayaan setelah diperoleh.
“Kelestarian falsafah pendidikan dapat kita capai melalui perkongsian pintar bersama Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menjadikan SRIAS ini sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.
Menteri Besar turut menyeru agar rakyat sentiasa bersama-sama dengan Kerajaan kerana Kerajaan kini sentiasa memberi penekanan terhadap kesejahteraan hidup rakyat dengan dasar untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai Lembah Ilmu.
Majlis berakhir dengan sesi penyampaian cenderamata penghargaan kepada Menteri Besar yang sudi hadir menyempurnakan majlis.
Turut hadir, ADUN Kawasan Ampangan, YB. Dato’ Haji Abu Ubaidah Bin Dato’ Haji Redza, ADUN Kawasan Paroi, YB. Mohd Ghazali Bin Abdul Wahid, Pengerusi Lembaran Pengelola Sekolah SRIAS, Prof. Madya Dr. Badlishah Sham Bin Baharin, Pengerusi PIBG SRIAS, Tuan Haji Hasri Bin Wazir  dan Guru Besar SRIAS, Puan Norhayati Binti Bahrum.

Tuesday 20 May 2014

‘Belio Sayang Nogori, Nogori Sayang Belio’


PORT DICKSON, 17 Mei –  Program yang bertemakan ‘Belio Sayang Nogori, Nogori Sayang Belio’ ini dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan dan turut hadir tetamu kehormat, Menteri Belia Dan Sukan Malaysia, YB. Tuan Khairy Jamaluddin Bin Abu Bakar di Pantai Batu 1, Port Dickson.
Menurut beliau kepentingan golongan dalam proses pembangunan negara dapat digambarkan melalui penganjuran Festival Belia Negeri Sembilan 2014 kerana ini bertujuan untuk memaparkan pembaharuan serta kelainan dengan memberi fokus kepada penglibatan dan penyertaan belia diperingkat akar umbi.
Serta seiring dengan aspirasi Kerajaan Negeri yang mahu mengukuhkan jalinan ukhuwah dan kasih sayang dalam mewujudkan simbol kebersamaan belia dan Kerajaan Negeri.
“Belia-belia kini memerlukan ruang dan peluang serta dorongan yang jitu bagi melakukan sesuatu yang digemari.
“Golongan muda ini pasti akan dilihat sebagai ‘catalyst’ yang berupaya untuk membuat perubahan kepada Negara jika kita saling lengkap melengkapi antara satu sama lain”, tambah beliau lagi.
Menteri Besar turut memberi ucapan penghargaan yang tidak terhingga kepada belia-belia yang hadir dari segenap pelusuk Negeri Sembilan untuk berhimpun bersama-sama meraikan sambutan Hari Belia peringkat Negeri Sembilan.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB. Dato’ Haji Mat Ali Bin Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan, YB. Dato’ Zaifulbahri Bin Idris, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Cik Azura Binti Haji Sarbin dan Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan, Puan Wan Salwati Binti Haji Abdullah.

Monday 19 May 2014

Majlis Makan Malam Jalinan Kasih 2014


SEREMBAN, 17 Mei – Gabungan tenaga Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG) dengan kerjasama pengurusan serta Alumni SMKA Sheikh Haji Mohd Said (SHAMS) bagi menjayakan penganjuran Majlis Makan Malam Jalinan Kasih 2014 telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan,yang diadakan di Dewan Serbaguna MPS, Seremban.
Menteri Besar dalam ucapan perasmiannya menyatakan, hubungan ukhuwah yang erat dapat dijalin dalam kalangan semua warga SHAMS melalui majlis yang diadakan seperti ini selain memberi peluang dan ruang bagi membantu menaikkan nama SHAMS sebagai sebuah Institusi Pendidikan Islam yang terunggul di Malaysia.
“Perkongsian pintar diantara Jabatan Pendidikan diseluruh Malaysia juga mampu membentuk aliran kecemerlangan pelajar dengan baik dalam usaha memastikan setiap kaedah pelaksanaan pembelajaran kekal berjaya”, tambahnya lagi.
Menurut beliau, dorongan berterusan perlu diberikan khususnya oleh para guru dan juga ibu bapa bagi memastikan budaya kecemerlangan pelajar dapat ditingkatkan.
Beliau turut menyerahkan cek replika berjumlah RM50,000 kepada PIBG SMKA Sheikh Haji Mohd Said dan berkesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua warga pendidik serta ibu bapa yang sentiasa memainkan peranan utama terhadap kejayaan pelajar.
Turut hadir, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, YB. Sohibus Samahah Dato’ Haji Mohd Yusof Bin Haji Ahmad, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, YBhg. Dato’ Hajah Kalsom Binti Khalid, Yang Di-Pertua PIBG SMKA Sheikh Haji Mohd Said, Encik Mohd Hapizi Bin Mohamad Ali dan Pengetua Cemerlang SMKA Sheikh Haji Mohd Said, Puan Hajah Lailawati Binti Ahmad.

Monday 12 May 2014

Anugerah Perkhidmatan Cermerlang (APC) 2013


SEREMBAN, 06 Mei – Majlis Anugerah Perkhidmatan Cermerlang (APC) 2013 telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan di Klana Resort.
Penganugerahan oleh Kerajaan Negeri ini merupakan penghargaan kepada anggota penjawat awam dengan tujuan memartabatkan serta mengekalkan budaya kecemerlangan perkhidmatan awam.
Seramai 529 orang kakitangan awam termasuk 7 orang ketua-ketua jabatan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus yang cemerlang dalam perkhidmatan menerima anugerah .
Setiap penerima anugerah ini akan menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan hadiah prestasi bernilai RM1000.
“Penjawat awam perlu sentiasa bersedia dengan sebarang transformasi supaya sentiasa cemerlang dan berada seiring dengan arus pembangunan negara dalam era global”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013, di sini.
Dalam majlis yang sama, Anugerah Penghargaan Khas dianugerahkan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan diatas segala jasa dan bakti meneraju legasi kepimpinan tertinggi di Negeri Sembilan.
Turut hadir, Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Sembilan, YB. Dato’ Dr. Haji Awaludin Bin Said, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB. Dato’ Haji Mat Ali Bin Hassan, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, YB. Sohibus Samahah Dato’ Haji Mohd Yusof Bin Haji Ahmad dan ADUN Kawasan Labu, YB. Dato’ Hasim Bin Rusdi.

Friday 9 May 2014

GST – Good Services Tax (Cukai Barangan dan Perkhidmatan)


Mantin, 04 Mei – Kerajaan Persekutuan hendak menstrukturkan semula sistem percukaian dan bukan bertujuan untuk menambah cukai baru seperti yang ditakuti oleh Pakatan Rakyat (PR) yang telah berdemonstrasi pada Hari Pekerja, 01 Mei yang lalu.
“Bila mereka ditanya, mereka tidak tahu. GST bagi mereka ialah ‘Government Services Tax’ sedangkan GST yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan ialah GST – Good Services Tax (Cukai Barangan dan Perkhidmatan).” ulas Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan.
Menteri Besar di sidang media turut menyuarakan bahawa satu perkara yang perlu dibuat pemahaman dan pencerahan oleh pihak berwajib tentang keraguan dan kemusykilan  orang awam terhadap GST perlu diambil perhatian.
Tegas beliau, “sebenarnya kita menarik dua sistem cukai yang mana dulu cukainya amat tinggi, 10% dan 6% (cukai barangan dan perkhidmatan), kadang-kadang ia melebihi perkara yang sepatutnya dicukai.
GST yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan merupakan satu sistem menyeluruh bagi mengelakkan sistem percukaian yang tidak efisien, pemantauan yang sukar dilakukan dan ada dikalangan perniagaan menambah cukainya sendiri yang langsung tiada kaitan dengan kerajaan, umpamanya ‘Service Charge’.
Menurut laporan dan kajian EPU dan kastam, lebih 40% kegiatan ekonomi yang tidak formal melibatkan RM20.2 billion dan sekiranya tidak dibendung, ianya amat merugikan kerajaan.
Sementelaah dari itu juga, GST di Malaysia yang akan dilaksanakan 01 April 2015 amat berbeza dengan GST beberapa buah negara lain yang semua barangan dikenakan cukai.
90% barangan dan keperluan asas yang dijual di pasar langsung tidak dikenakan cukai. Selain itu, pelajaran, kesihatan, perkhidmatan pengangkutan awam tidak dikenakan cukai.
Tegas beliau, “jika ada yang tidak berpuas hati, mereka perlu memberi cadangan dan pandangan kepada kerajaan, daripada kita memekak-mekak di tepi jalan menunjukkan protes. Ia secara tidak langsung memburukkan imej negara ini.”

Monday 5 May 2014

Anugerah Akademik Terbilang 2014 Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Darul Khusus.


LUKUT, 29 April – Majlis Anugerah Akademik Terbilang 2014 Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Darul Khusus di  Dewan The Grand, Lukut, Port Dickson, telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan
Seramai 51 pelajar cemerlang sekolah menengah seluruh Negeri Sembilan menerima anugerah dalam majlis Anugerah Akademik Terbilang 2014 Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Darul Khusus.
Menteri Besar dalam ucapan perasmiannya menyatakan,kejayaan para pelajar hari ini merupakan hasil Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 hingga 2025 (PPPM) untuk memartabatkan sistem pendidikan negara ke peringkat yang lebih tinggi 
Menurut beliau, dorongan berterusan perlu diberikan khususnya oleh para guru dan juga ibu bapa bagi memastikan budaya kecemerlangan ini dapat melahirkan lebih ramai modal insan yang cemerlang.
“Pelajar juga perlu cemerlang dan cergas dalam bidang kokurikulum supaya mencapai kesempurnaan potensi akal, emosi, jasmani dan rohani disamping bidang akademik bagi mencapai keseimbangan yang baik”, katanya.
Sementara itu, beliau turut berbangga diatas jurang rapat bagi pencapaian prestasi cemerlang institusi luar bandar dan institusi bandar seluruh Negeri Sembilan yang dilaporkan sebanyak 0.56 peratus ketika ini.
“Lonjakan prestasi cemerlang oleh pelajar-pelajar Negeri Sembilan memberi penanda aras yang kukuh dalam meletakkan kedudukan Negeri Sembilan kepada kelompok lima teratas diperingkat kebangsaan”, tambah beliau sewaktu sidang media dijalankan.
Semua pihak diseru agar berganding bahu dalam menjayakan matlamat menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada generasi muda negara, sekaligus mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB. Dato’ Haji Mat Ali Bin Hasan, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan Dan Kesihatan, YB. Dato’ Shamsulkahar Bin Mohd Deli, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, YBhg. Dato’ Hajah Kalsom Binti Khalid dan Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Encik Mohd Isah Bin Ismail.