Monday, 5 May 2014

Anugerah Akademik Terbilang 2014 Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Darul Khusus.


LUKUT, 29 April – Majlis Anugerah Akademik Terbilang 2014 Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Darul Khusus di  Dewan The Grand, Lukut, Port Dickson, telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan
Seramai 51 pelajar cemerlang sekolah menengah seluruh Negeri Sembilan menerima anugerah dalam majlis Anugerah Akademik Terbilang 2014 Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Darul Khusus.
Menteri Besar dalam ucapan perasmiannya menyatakan,kejayaan para pelajar hari ini merupakan hasil Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 hingga 2025 (PPPM) untuk memartabatkan sistem pendidikan negara ke peringkat yang lebih tinggi 
Menurut beliau, dorongan berterusan perlu diberikan khususnya oleh para guru dan juga ibu bapa bagi memastikan budaya kecemerlangan ini dapat melahirkan lebih ramai modal insan yang cemerlang.
“Pelajar juga perlu cemerlang dan cergas dalam bidang kokurikulum supaya mencapai kesempurnaan potensi akal, emosi, jasmani dan rohani disamping bidang akademik bagi mencapai keseimbangan yang baik”, katanya.
Sementara itu, beliau turut berbangga diatas jurang rapat bagi pencapaian prestasi cemerlang institusi luar bandar dan institusi bandar seluruh Negeri Sembilan yang dilaporkan sebanyak 0.56 peratus ketika ini.
“Lonjakan prestasi cemerlang oleh pelajar-pelajar Negeri Sembilan memberi penanda aras yang kukuh dalam meletakkan kedudukan Negeri Sembilan kepada kelompok lima teratas diperingkat kebangsaan”, tambah beliau sewaktu sidang media dijalankan.
Semua pihak diseru agar berganding bahu dalam menjayakan matlamat menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada generasi muda negara, sekaligus mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB. Dato’ Haji Mat Ali Bin Hasan, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan Dan Kesihatan, YB. Dato’ Shamsulkahar Bin Mohd Deli, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, YBhg. Dato’ Hajah Kalsom Binti Khalid dan Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Encik Mohd Isah Bin Ismail.

No comments:

Post a Comment