Powered By Blogger

Sunday 31 March 2013

Serah suratan hakmilik tanah



Bukit Rokan, 20 Jan – Felda Bukit Rokan Barat yang dibuka pada tahun 1979 dan mula dibangunkan pada tahun 1981 oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) di keluasan 789.01 hektar telah melalui pelbagai rintangan dan dugaan.


Mula mengambil peneroka di tahun 1985, kini setelah 30 tahun berlalu dan melalui pelbagai rintangan mereka diberikan suratan hak milik tanah yang diusahakan sejak sekian lama.


Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan ketika lawatan kerjanya di Bahagian Jempol, menyempurnakan Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Peneroka Felda Bukit Rokan Barat, Gemencheh yang terletak di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Jeram Padang, petang tadi.


Seramai 193 orang peneroka menerima suratan tersebut yang diserahkan oleh Menteri Besar di Perkarangan Masjid Felda Bukit Rokan Barat.

Beliau turut mengesa pengurusan Felda Bukit Rokan Barat agar menaiktaraf jalan raya yang telah rosak dan uzur serta membina gelanggang futsal bagi kegunaan belia Felda.


“Jika perkara ini tidak dapat diselesaikan, Kerajaan Negeri akan bertindak menyelesaikannya, maka Felda turut perlu menanggung segala kos yang dibelanjakan. Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, menyalurkan banyak peruntukan di bawah skim Felda, mana mungkin kemudahan asas seperti ini lambat untuk diusahakan?” katanya lagi.



Katanya, “buat apa kita berusaha penat lelah, kemudian kita mendengar dan percaya apa yang dibawa mereka. Beringatlah, Felda satu projek kerajaan yang amat berjaya. Biarlah mereka sahaja menjadi antah, kita yang beras perlu menjaga lopak kita.”


Beliau yang turut menyambut baik projek pembinaan rumah untuk generasi kedua Felda, bersetuju untuk pembinaan tersebut yang memberi kemudahan kepada generasi kedua yang telah membina keluarga dan tinggal di sini.
 Turut hadir, Dato’ VS Mogan, ADUN Kawasan Jeram Padang, Dato’ Zainab Nasir, ADUN Gemas dan Encik Mohd Zambro Zuhri, Ketua Peneroka Felda Bukit Rokan Barat.

Sektor pelancongan jana pendapatan





Port Dickson, 19 Jan – Usaha Kerajaan Negeri membangunkan dan mengembalikan kegemilangan Port Dickson sebagai lokasi peranginan dan pelancongan di negeri ini menampakkan hasil.

Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan hadir bagi menyempurnakan dan merasmikan fasa pertama PD Waterfront dan Pelancaran Boutique Suites di Perkarangan Port Dickson, malam tadi.

Di dalam ucapan, beliau mengucapkan tahniah kepada TSR Group kerana telah melihat bahawa kawasan ini berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan pelancongan seterusnya menyahut cabaran Kerajaan Negeri mahu melihat kegemilangan bandar Port Dickson yang satu ketika dahulu malap kini bergemerlapan semula.

Ujar beliau, “Setelah fasa pertama siap dibangunkan, kita telah melihat bukan sahaja penduduk di Port Dickson malah penduduk negeri ini mendapat kesan baiknya. Kerajaan Negeri turut berharap agar pembangunan PD Waterfront ini menjadi satu projek yang melonjakkan ekonomi Negeri Sembilan di dalam unjuran pendapatan sekurang-kurangnya 30% pada tahun 2020.”

“Kerajaan Negeri juga mahu melihat kawasan-kawasan yang berpotensi di seluruh negeri ini supaya dibangunkan untuk kawasan pelancongan. Kerajaan Negeri melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Sembilan (MTENS) akan sentiasa membuka peluang ini.” tambah beliau.

Katanya lagi, “Kerajaan Negeri juga mahu melihat isu-isu yang berkaitan kebersihan turut diambil berat supaya pencemaran air tidak berterusan. Ianya bukan sahaja akan memberi nilai tambah kepada industri ini, malah sekira ianya dititikberatkan maka tidak mustahil pantai Port Dickson akan menjadi satu pantai yang bersih dan indah.”

Beliau juga menjelaskan bahawa projek menyediakan sistem kumbahan berpusat di daerah ini telah pun siap dan Kerajaan Negeri telah mengeluarkan arahan kepada semua industri termasuk premis perniagaan, perhotelan dan sebagainya dikehendaki menyambung sistem kumbahan kepada sistem yang disediakan ini.

Turut hadir, Dato’ Abdul Razak Mansor, YDP Dewan Undangan Negeri berserta isteri, Dato’ Mat Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Ahli Majlis Kerajaan Negeri, Tan Sri Dato’ Sri Mohd Noor Abdul Rahim, Pengerusi TSR Group dan Tan Sri Lim Kuan Yeaw, Timbalan Pengerusi TSR Group.

Belanjawan Bantuan Rakyat




Rantau, 18 Jan – Bantuan khas persekolahan yang dijanjikan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Utama Mohd Najib Tun Abdul Razak, tertunai di seluruh negara.Penyerahan bermula semalam di beberapa buah sekolah dan dilakukan secara berkelompok.

Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan menyampaikan Bantuan Khas Persekolahan RM100 Tahun 2013 bagi SJK (T) Rantau, SJK (T) Kg Saga dan SJK (T) Linsum di Dewan Orang Ramai Rantau yang melibatkan lebih 500 orang pelajar.

Menurut Menteri Besar, tidak pernah dibentangkan mana-mana Menteri Kewangan yang melibatkan bantuan secara terus kepada rakyat seperti yang dilakukan di negara ini.

Kebiasaannya, Menteri Kewangan akan memberi penekanan kepada dua perkara iaitu, belanjawan pendapatan pembangunan dan pembentangan untuk kakitangan awam. Malaysia, telah meletakkan belanjawan ketiga iaitu tajuk khusus memberi  bantuan terus kepada rakyat Malaysia.

Bermula Februari ini pula akan bermula penyerahan BR1M 2.0 yang melibatkan ketua isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM3,000. Jika dulu individu yang belum berumah tangga tak diberi penekanan, kini mereka turut dapat jika pendapatan kurang dari RM2,000.


Menteri Besar  berkata, “Negara Malaysia merupakan negara terbaik di dunia, buat apa nak meragam.. kita sudah lama duduk sejak zaman merdeka. Hari ini anak-anak dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

Rahsianya adalah tidak lain dan tidak bukan, mari kita sama-sama bersatu padu, mari kita sama-sama hormat-menghormati. Mari kita menjadi rakyat yang sentiasa mahu melihat negara ini akan terus berada dalam keadaan baik. Itu sahaja rahsianya, tak susah..” tegas beliau.

Beliau turut mengingatkan, “Buat apa percaya cakap orang yang menuduh itu dan ini.. cakap itu tak betul, ini tak betul semua kerajaan buat tak betul.. mereka cuma mahu melihat kita berpecah belah. Bila kita berpecah belah, maka agenda asing yang berkepentingan akan masuk dan mempengaruhi..
“Jika ada yang tidak puas hati.. kita suarakan.. kita cakap.. sudah tentu Kerajaan mendengar denyut nadi rakyat..” katanya lagi.

Turut hadir, Puan Hajah Kalsom Khalid, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan, Encik Mohd Sah Zainal Abidin, Pegawai Pelajaran Daerah Seremban, Encik Mohd Azwar Iq’bal Tahir, PEgawai Pelajaran Port Dickson,  Dato’ Hj Azman Hj Hasan, Setiausaha Barisan Nasional Parlimen Rembau dan Dato’ T. Rajagopalu, Pengerusi MIC Negeri Sembilan.

Hadir sama, Puan Gracy Antony, Guru Besar SJK (T) Linsum, Puan Menahan, Guru Besar SJK (T) Ladang Sagga, Encik Arumugum, YDP SJK (T) Rantau, Encik S. Kumaranell, YDP SJK (T) Linsum dan Encik K. Selvarajah, YDP SJK (T) Ladang Sagga.

Friday 29 March 2013

Bantuan Awal Pendidikan NS




Seremban, 17 Jan – Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan menyempurnakan majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 Tahun 2013 di Sekolah Rendah Agama ABIM, Jalan Sungai Ujong, petang tadi.

Turut menerima bantuan khas dari Menteri Besar Negeri Sembilan, kanak-kanak istimewa iaitu adik Abdul Haziq Waqiuddin Ab Wahid, adik Abdul Faathir Aqil Rafizam, adik Nur Zulaikha Mohd Hashim dan adik Aiman Arif Shahrol Hisham.

Bantuan turut di terima oleh Sekolah Swasta Murid Khas.
Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan di dalam ucapan mengingatkan, “ada negara yang kaya, tetapi mereka tidak ada perancangan pentadbiran untuk kesejahteraan rakyat, mereka asyik bergaduh sesama sendiri dan membina kekuatan masing-masing.

Berbeza pula dengan negara ini.. tak ada pula rakyat yang meninggal kerana kebuluran.. tak ada yang tinggal di rumah plastik, di bawah jambatan atau kediaman yang tidak sempurna.” jelas beliau.

“Bertuah kita, kerana negara ini ada skim perumahan, ada skim PPRT, skim Rumah Harga Rendah di pekan-pekan. Sekarang ni pula kerajaan wujudkan skim PR1MA dan Negeri Sembilan menyambut saranan ini.” ujar beliau lagi.

Katanya, “semalam di dalam media ringkas mingguan saya, saya jelaskan, Stesen Keretapi Seremban akan dimajukan bersama Perbadanan Keretapi Berhad, di mana kita mahu menjadikan Seremban Sentral seperti Kuala Lumpur Sentral. Ini kerana di sana telah berlakunya kepadatan yang maksimum.”

Pentadbiran beliau kini memasuki fasa membangunkan negeri setelah berjaya menyelesaikan isu dan permasalahan rakyat seperti isu tanah di Sendayan dan jalan Bukit Putus berjaya diselesaikan.

Fokus ketika ini akan diberikan kepada pembangunan Negeri Sembilan agar menjadi lebih baik dan sudah pasti Seremban akan menjadi sebagai Sub Urban of Kuala Lumpur atau sebagai sebuah bandar satelit.

Kerajaan Negeri sedang menyediakan prasarana tersebut dan sebagai rakyat di negeri ini kita perlu bersedia.

Katanya, “Walaupun kabinet telah meluluskan gabungan Majlis Perbandaran Nilai dan Majlis Perbandaran Seremban untuk menjadikan Seremban sebagai sebuah bandaraya, selagi terdapat masalah kecil, kita tidak terburu-buru kearah itu. Kita akan pastikan masalah kecil ini dapat diselesaikan.

Beliau turut mengumumkan bantuan pentadbiran Kerajaan Negeri kepada Sekolah Menengah Kebangsaan sebanyak RM50,000 manakala Sekolah Rendah Kebangsaan, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan menerima RM25,000.

Di dalam ucapan, ini merupakan wang pembangunan persekolahan anak-anak kerana fokus Kerajaan Negeri mahu menjadikan negeri ini sebagai lembah ilmu.

Beliau turut menyampaikan anugerah kecemerlangan kejayaan pelajar di dalam UPSR dan PMR 2012.

Turut hadir, Puan Hajah Kalsom Khalid, Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, Dato’ Mohamed Hussein, Pengerusi Lembaga Pengelola Negeri Sembilan dan Tuan Haji Khalil Jali, Ketua Pegawai Eksekutif.

Membangunkan Pusat Perdagangan



Seremban, 06 Jan – Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan mengucapkan tahniah kepada Dato’ William Tan, Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Negeri Sembilan (NSCCCI) kerana kejayaan menganjurkan Ekspo Negeri Sembilan buat kali kedua.

Jika tahun lalu, hanya menerima penglibatan daripada 80 industri perniagaan sahaja, namun tahun ini telah bertambah sebanyak 180 buah gerai. Penambahan begitu banyak ini melibatkan industri perbankan, perhotelan, perkilangan, hardware dan sebagainya.

Menteri Besar turut mempelawa NSCCCI bekerjasama dengan Kerajaan Negeri di masa akan datang untuk dijadikan acara tahunan serta memperbanyakkan peluang perniagaan dibuka dan ianya turut melibatkan agensi kerajaan seperti PKNNS, JKM, SPR dan Pusat Zakat.

Kerajaan Negeri telah merezabkan tanah di Sendayan lebih kurang 15 ekar untuk dibangunkan pusat Ekspo dan perdagangan untuk jangka waktu yang panjang.

Meskipun bukan  perancangan dalam masa terdekat, ianya bakal kita jadikan sebagai pusat perdagangan didalam satu-satu masa dan kawasan tersebut amat strategik dengan insfrastruktur yang sedang membangun.

“Bila siapnya kelak, kita boleh mengadakan Ekspo Buku, Pendidikan, Perindustrian, komputer dan sebagainya. Kedudukan di kawasan tersebut amat strategik dengan insfrastruktur yang sedang membangun.” Kata Menteri Besar.

Terdahulu, beliau diiringi Dato’ William Tan, Pengerusi NSCCCI, Encik Lau Boon Soon, Setiausaha NSCCCI, Pengelola Ekspo, Encik Raymond Chew dan Encik Peter Lock, AJK NSCCI melawat gerai yang terlibat sepanjang Ekspo ini dijalankan.

Bantuan RM800,000 untuk baikpulih


Bantuan RM800,000 untuk baikpulih


Senawang. 27 Mac – Jalan menghubungkan antara Taman Seri Bayu, Taman Seri Pagi, Taman Orked, Senawang  ke Giant, bandar Seremban dan sekitarnya, yang runtuh akibat hujan lebat pada December 2012.

Tanah runtuh semakin curam dan merbahaya itu mendapat perhatian Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan sejak Disember tahun lalu.

Menteri Besar berkata “Sehingga kini, segala urusan mengikut prosider antaranya menyiasat tempat kejadian, meneliti laporan yang dibuat oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS) serta membincangkannya di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi tindakan yang perlu di ambil.

Kerajaan Negeri bersetuju untuk menghulurkan bantuan sebanyak RM800,000 untuk kerja-kerja baik pulih dan dijangka siap dalam jangkamasa tiga bulan.

Menurut Menteri Besar di dalam ucapannya, bermohon agar masyarakat yang menggunakan laluan ini bersabar, bukan Kerajaan Negeri tidak berusaha mengambil tindakan, tetapi memandangkan kerosakan yang amat teruk dan memerlukan perbelanjaan yang besar.

Dalam majlis sama, beliau turut bersetuju permohonan padang futsal yang dipohon oleh Encik Mohd Ali, Pengerusi KRT Taman Seri Bayu untuk belia taman ini.Selain, beliau mengambil peluang ini untuk beramah mesra dengan penduduk taman ini.

Hadir sama, Dato’ T. Rajagopalu, Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Dato’ Abdul Halim Abdul Latif, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS)/ Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Dato’ Yip, Tuan Dr. Harris Abdullah, wakil PPP Negeri Sembilan.

Monday 11 March 2013

Guru KAFA Negeri Sembilan Terima Sagu Hati



Mohamad Hasan bergambar bersama sebahagian guru selepas Majlis Penyerahan Saguhati Bagi Guru-Guru Kelas Agama Fardu Ain Negeri Sembilan di Klana Resort, Seremban, semalam.


Seremban, 10 Mac : Guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri  ini menerima sagu hati daripada kerajaan negeri sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan bakti mereka dalam memastikan pendidikan Islam kanak – kanak  terus subur.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan berkata pemberian sagu hati itu juga merupakan salah satu langkah bagi mencapai matlamat memastikan semua kanak-kanak Islam di negeri ini mendapat pendidikan Islam secara sistematik serta menguasai tuntutan Fardu Ain.

“Sagu hati ini di berikan melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), selain kerajaan negeri memberi perhatian terhadap aspek pembangunan, kerajaan juga menitik beratkan soal kecemerlangan pendidikan di negeri ini.

“Walaupun saiz dan populasi negeri ini kecil berbanding negeri lain di Malaysia, namun adalah menjadi hasrat supaya lebih ramai golongan bijak pandai lahir dan menabur bakti di negeri kelahiran mereka, ” katanya pada majlis penyerahan sagu hati bagi guru – guru KAFA Negeri Sembilan di Klana Resort, Seremban.
Katanya, kerajaan negeri serius mahu menjadikan Negeri Sembilan sebagai lembah ilmu bagi melahirkan modal insan bermutu.

‘Kita mahu taraf pendidikan di negeri ini terus subur dan adalah malang jika segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan telah disia-siakan oleh rakyat.

”Sebab itulah asas di peringkat tadika dan pra sekolah itu juga perlu diberi perhatian semua pihak, begitu juga dengankepentingan pendidikan agama yang menjadi asas dan benteng dalam kehidupan,” kata beliau.