Powered By Blogger

Friday 19 October 2012

‘1Bahasa 1Bangsa 1Negara’ , tema Bulan Bahasa Kebangsaan 2012


NILAI, 10 Okt. – YAB Dato’ Seri Utama Tan Sri Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012, Peringkat Kebangsaan di Stadium Tertutup Nilai, petang tadi.
Tema  ‘1Bahasa 1Bangsa 1Negara’ telah dipilih sebagai tema Bulan Bahasa Kebangsaan tahun ini berkaitan secara langsung dengan Dasar Bahasa Kebangsaan yang membentuk satu bangsa, yang mana Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan.
Dalam ucapan  Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hasan, bahasa kebangsaan merupakan budaya kita. Perlembagaan telah menyatakan teras untuk menyatupadukan antara kaum di Malaysia adalah melalui bahasa.
“Kita memerlukan landasan untuk menyatupadukan sebuah negara yang baru merdeka. Usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menghidupkan bahasa kita sebagai asas perpaduan perlu disokong oleh semua lapisan masyarakat,” tambah beliau lagi.
Menteri Besar menegaskan bahawa bahasa adalah budaya. Peliharalah budaya ini agar kita dapat menangani cabaran globalisasi yang semakin mencabar. Segala usaha DBP untuk memartabatkan bahasa kebangsaan akan disokong sepenuhnya di negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri dalam ucapan perasmiannya turut menegaskan bahawa tema Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 ini bertepatan dengan usaha kerajaan menyeru warga Malaysia untuk menghargai bahasa kebangsaan sebagai tonggak tamadun negara dan budaya kita.



“Penggunaan Bahasa Melayu umum atau lingua franca juga perlu diberi penekanan yang sama supaya bahasa itu benar-benar dapat menjadi tali pengikat semua rakyat berbilang kaum,” kata beliau.
“Kita perlu memartabatkan bahasa kebangsaan secara menyeluruh, selain memartabatkan di peringkat kebangsaan,”ujar beliau.
Tambah beliau, “Kerajaan juga sentiasa menyokong penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa demi menjayakan matlamat Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.”
Dalam dunia globalisasi kini, Timbalan Perdana Menteri juga mengharapkan semua pihak mengambil inisiatif untuk terus memartabatkan bahasa kebangsaan kita.
Penggunaan bahasa ‘rojak’ yang sering kali digunakan perlulah dibendung agar kekuatan Bahasa Melayu dapat terus dipertahankan.
Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan, mengiringi Dato’ Seri Utama Tan Sri Hj Muhyidin bin Hj Mohd Yassin,Timbalan Perdana Menteri  melepaskan Konvoi Kembara Bahasa sebagai gimik pelancaran perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan.
Turut hadir, Dato’ Abdul Razak Mansor, YDP Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Wira Hj Othman bin Mohamad, YDP Dewan Undangan Negeri, Melaka, Dato’ Hj Mat Ali bin Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dr. Awang bin Sariyan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments:

Post a Comment