Powered By Blogger

Thursday 30 April 2015

Lebih 10 Peratus Penuntut Tajaan Mains Berjaya Tamatkan Pengajian


KAHERAH, 27 April (Bernama) -- Hasil pelbagai inisiatif yang diambil oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk meningkatkan pencapaian akademik para penuntut tajaannya di Asia Barat, seramai 85 peratus penuntut tajaannya berjaya menamatkan pengajian pada 2014.

"Kini MAINS menyasarkan 90 peratus pelajar tajaannya di Timur Tengah lulus dalam pengajian mereka," kata Pengerusi MAINS Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama pelajar tajaan MAINS di Mesir, di sini pada Ahad.

Ini satu yang membanggakan memandangkan pada 2006 tidak sampai 50 peratus penuntut yang ditaja MAINS di Asia Barat lulus dalam pengajian masing-masing.

Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berada di Mesir untuk lawatan kerja tiga hari yang berakhir hari ini bagi bagi meninjau pelajar-pelajar tajaan MAINS yang mengikuti pengajian di Mesir.

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan oleh MAINS bagi meningkatkan peratusan kelulusan pelajar tajaannya di Timur Tengah adalah dengan menyediakan kelas persediaan Bahasa Arab di Malaysia sebelum menghantar mereka ke negara-negara Asia Barat.

Langkah itu bagi mengatasi masalah bahasa di Asia Barat terutama di Mesir yang menjadi punca utama pelajar gagal mencapai kecemerlangan.

Selain itu, katanya, MAINS dan kerajaan negeri telah menaik taraf Rumah Negeri Sembilan di Kaherah yang menjadi kediaman dan pusat interaksi pelajar.

"Rumah Negeri Sembilan di sini kini lebih selesa dan kali ini saya luluskan peruntukkan 50 unit kipas dan bahan bacaan untuk rumah itu terutama dalam bidang perubatan bagi memudahkan penuntut kita membuat rujukan," katanya.

Kira-kira 400 pelajar dari Negeri Sembilan melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di Asia Barat dengan lebih separuh daripada jumlah itu adalah penuntut tajaan MAINS.

No comments:

Post a Comment