Powered By Blogger

Monday 18 May 2015

'Kerana rotan, saya jadi orang'
“SAYA pernah dirotan guru besar di khalayak ramai. Ketika itu saya tingkatan 4, lencana pengawas saya ditarik dan tangan saya dirotan empat kali hingga berdarah,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
 
Itulah kenangan zaman kenakalan Mohamad sebagai pelajar di Sekolah Menengah Rantau, selepas ditanya tentang kenangan zaman persekolahannya dahulu.
Mohamad berkata dia dirotan Guru Besar, Hardial Singh atas kesalahan orang lain.
 
“Bukan saya yang buat salah tapi orang lain. Saya dituduh tapi saya tahu siapa yang buat cuma saya tak nak beritahu. Disebabkan rotan itulah saya menjadi orang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
 
Menurutnya, dia berterima kasih kepada Guru Besar itu kerana mendidiknya dengan penuh sabar sehingga menjadi orang berjaya kini.
 
“Walaupun pendidikan tidak tinggi dan bukan guru berijazah tetapi semangat dia kuat kerana mahu lihat semua pelajar Sekolah Menengah Rantau berjaya,” katanya.
 
Ketika ditanya siapa guru kesayangannya, Mohamad menjawab, isterinya, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.
 
“Isteri saya seorang guru, dia tidak masuk universiti kerana saya suruh jadi cikgu. Sepatutnya dia masuk universiti bersama saya tapi I said no, you jadi cikgu and don’t worry I will marry you,” katanya berseloroh.
 
Mohamad berkata, isterinya seorang guru Bahasa Inggeris di Sekolah Seri Puteri di Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur, sejak tahun 1979 hingga 1987.
 
“Selepas mengajar beberapa tahun, isteri saya berhenti kerana perlu mengikut saya ke London dan pulang semula ke Malaysia pada 1992.
 
“Ketika itu sudah ada tiga orang anak dan isteri mahu menjadi suri rumah sepenuh masa,” katanya.
 
Mohamad berkata, kerjaya seorang guru banyak menyumbang bakti kepada anak bangsa dan negara.
 
“Guru adalah hero yang tidak diraikan, Unsung Heroes. Tetapi guru janganlah berkecil hati kerana jasa mereka amat besar sejak dulu lagi.
 
“Kita berharap guru-guru berjiwa besar dan terus berbakti kepada tanah air dengan mendidik anak bangsa untuk membela negara,” katanya.

Monday 11 May 2015



N9 laksana program kenalpasti bakat


PORT DICKSON - Negeri Sembilan bakal menjadi negeri pertama melaksanakan Program Pengenalpastian Bakat, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata ini selaras dengan hasrat Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang ingin memperkasakan bidang sukan di kalangan belia negeri ini.

"Peruntukan kita dah ada. Saya akan bekerjasama dengan Exco Jawatankuasa Modal Insan, Belia dan Sukan Datuk Zaifulbahri Idris, untuk kita melihat bagaimana kita dapat menjayakan program pengenalpastian bakat atau talent identification ini di peringkat sekolah-sekolah.

"Kita telah mula mengenalpasti sekolah, tetapi saya rasa kita boleh 'fast track' dengan bantuan kerajaan negeri.

"Saya akan aturkan majlis dan kita boleh lancarkan di sini," katanya kepada media selepas menghadiri Festival Belia Negeri Sembilan 2015 di sini hari ini.

Bertemakan "Showcase of Talent", festival tersebut telah dirasmikan oleh Mohamad dan dihadiri oleh belia dari seluruh negeri ini. - Bernama

Thursday 7 May 2015




        Pusat Internet Rakyat hanya bayar RM1

SEREMBAN - Berbekalkan hanya RM1, penghuni Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi, di sini, berpeluang melayari internet disediakan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) melalui Pusat Internet Rakyat dilancarkan secara rasmi, semalam.

Yang Dipertua MPS, Datuk Abd Halim Abd Latif berkata, bayaran itu bertujuan sebagai pendaftaran keahlian untuk tempoh setahun, bagi membolehkan penduduk menggunakan kemudahan tersebut pada bila-bila masa.

“Pusat internet ini dibuka dari Isnin hingga Jumaat, mulai jam 1 petang hingga 10 malam dan tiada had masa dikenakan kepada pengguna. Bagi Sabtu dan Ahad, kita masih mengkaji waktu operasi yang sesuai.    

“Sebanyak 20 komputer, termasuk dua mesin pencetak disediakan. Kesemuanya disumbangkan oleh Negeri Roadstone Sdn Bhd, di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Abd Halim, pusat internet terbabit merupakan yang kedua seumpamanya dilaksanakan oleh MPS, selepas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lobak, di sini, pada 2006.

“Selepas ini, kita bercadang untuk mewujudkan dua lagi pusat internet rakyat iaitu di Sikamat dan Ampangan. Sasaran kita pada tahun depan,” katanya yang mengalu-alukan syarikat tempatan atau antarabangsa untuk bekerjasama.

Adun Paroi, Mohd Ghazali Abd Wahid yang ditemui pada majlis perasmian itu nyata berpuas hati dan gembira dengan kewujudan pusat internet berkenaan.

“Difahamkan kapasiti untuk mengakses internet buat masa ini hanya 2Mbps, berikutan kekangan aspek infrastruktur di fasiliti tersebut.

“Kita harap Telekom Malaysia Berhad (TM) dapat mengambil langkah sewajarnya untuk meningkatkan kelajuan kepada 4Mbps, termasuk menyediakan kemudahan wifi,” katanya.