Powered By Blogger

Tuesday 25 October 2011

Yayasan Negeri Sembilan berperanan bantu anak-anak Negeri dalam pendidikan


Yayasan Negeri Sembilan berperanan bantu anak-anak Negeri dalam pendidikan



Yayasan Negeri Sembilan (YNS) yang ditubuhkan pada 1 Januari 1980 iaitu 31 tahun yang lalu telah melakar sejarah hari ini apabila buat julung kalinya di adakan Majlis Anugerah Cemerlang Yayasan Negeri Sembilan 2011.
Dengan objektif penubuhannya untuk membantu memberi pinjaman kepada anak kelahiran Negeri Sembilan yang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan dan luar Negara bagi melahirkan tenaga pakar di pelbagai sektor pekerjaan dari anak Negeri Sembilan itu sendiri.
‘Majlis Anugerah Cemerlang Yayasan Negeri Sembilan 2011′ telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Seremban yang turut disertai oleh 50 orang pelajar anak-anak Negeri Sembilan yang berjaya di dalam pendidikan seterusnya menjawat jawatan penting di sektor swasta dan kerajaan.
Menteri Besar menjelaskan kewujudan YNS hakikatnya telah membantu anak-anak terus cemerlang di dalam pendidikan kerana dari pendidikan lah manusia boleh mengubah nasib mereka.
Walaupun YNS sudah memberi pinjaman sebanyak RM73 juta dan hanya 60% sahaja yang membayar semula kepada YNS, Menteri Besar tetap berasa puas hati kerana wang yang dibayar semula itu akan diberi pinjam kepada anak-anak Negeri Sembilan yang menyambung pelajaran.
Sekitar 1000 orang pelajar Negeri Sembilan menyambung pelajaran di universiti tempatan dan luar Negara setiap tahun dan YNS telah berbelanja sebanyak RM6 ke 8 juta sebagai pinjaman pelajaran.
Bagi mingimbangi keupayaan YNS, transformasi dibuat dan  Kerajaan Negeri telah membangunkan tanah sebanyak 20,000 ekar milik YNS dengan kerjasama sektor swasta yang berdaya saing bagi memajukan tanah tersebut dengan penanaman pokok kelapa sawit di mana hasilnya boleh di tuai dalam masa 5 tahun iaitu keuntungan sekitar RM15-17 juta setahun dan boleh meringankan tugas Kerajaan Negeri yang sebelum ini memberi modal pusingan kepada YNS.
“Anak-anak Negeri Sembilan kena menimba ilmu kerana kejayaan tidak mengenal sesiapa, adakah kita mahu bergantung dengan kepakaran asing dari barat selama-lamanya untuk  membangunankan Negara kita?” Ujar Menteri Besar.
”Adalah menjadi hasrat saya selaku Menteri Besar menjadikan Negeri Sembilan sebagai lembah ilmu seterusnya melahirkan lebih ramai anak-anak negeri memegang jawatan penting di pelbagai sektor kerana  kita mahu mengembalikan kegemilangan sewaktu masa dahulu dimana ramai anak Negeri Sembilan memegang jawatan tertinggi Negara ” akhiri Menteri Besar.
Untuk kakitangan yang sudah lama berkhidmat dengan YNS, Kerajaan Negeri bersetuju memberi bonus dua bulan setengah gaji bagi tahun 2011 ini bagi mengenang jasa mereka, juga sebagai galakan untuk mereka lebih berinovatf dalam melaksanakan tugas yang semakin mencabar serta memerlukan komitmen yang tinggi.
Seramai 50 orang anak-anak Negeri Sembilan yang berjaya di dalam pendidikan hari ini dengan purata keputusan CGPA 3.50 – 3.95 Ijazah kelas pertama menerima ganjaran wang sebanyak RM5,000 sebagai dorongan dan motivasi untuk lebih berjaya lagi.

No comments:

Post a Comment